Halaman

08 June 2011

Baiki kelemahan menjelang final Piala FA

Oleh: Esah Abdullah



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berharap pasukan bola sepak Terengganu dapat memperbaiki mutu permainan dan kelemahan menjelang perlawanan akhir menentang Kelantan bagi merebut Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

“Saya lihat dua perlawanan kebelakangan ini termasuk perlawanan dengan Kelantan malam kelmarin begitu merosot,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, hari ini.



Beliau berkata, sudahmenjadi adat permainan berlaku turun naik, bagaimanapun apabila penurunan yang begitu mendadak mencetuskan sesuatu yang betul dalam pasukan.

Pada masa yang sama, Menteri Besar meminta supaya Terengganu membaiki kemerosotan itu dan menggunakan peluang yang ada dalam tempoh beberapa hari lagi untuk memperbaiki mutu permainan.



“Saya berharap Terengganu merubah wajah dalam pertandingan Piala FA nanti dan tidak seperti yang digambarkan semasa pertandingan Piala Liga baru-baru ini.

“Harap pemain kita dapat tunjukan komitmen yang tinggi untuk membawa pulang Piala FA ke Terengganu minggu depan,” katanya.

Katanya, masih ada masa memperbaiki keadaan dengan memberi lebih fokus kepada perlawanan berikutan situasi dalam persaingan akhir berbeza dan tidak semestinya apabila kalah dalam saingan Liga Super akan berulang pula dalam final Piala FA kerana semuanya boleh berlaku sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.

Mengulas perkembangan Sukan Malaysia (Sukma) ke-14 Kuala Lumpur, Menteri Besar melahirkan rasa gembira kerana Terengganu mendahului negeri-negeri lain dalam pungutan pingat setakat ini.

“Kita harap dapat menambah emas kerana esok ada sembilan pingat emas yang ditawarkan dalam acara mendayung dan atlet kita menyertai semua acara berkenaan ,” katanya.

Katanya, walaupun acara mendayung baru pertama kali diperkenalkan dalam temasya Sukma kali ini, Terengganu dijangka mampu memungut tiga hingga empat pingat emas bagi emnambah koleksi pingat sedia ada.

Dato’ Seri Haji Ahmad kemudiannya melahirkan rasa bangga dan mengucapkan tahniah kepada atlet judo yang berjaya mengutip enam daripada lapan emas yang dipertandingkan biarpun acara ini tidak begitu popular dan Terengganu pada awalnya hanya mensasarkan tiga emas sahaja.

“Saya difahamkan ada atlet judo yang cedera lutut dan lengan dan mengarahkan supaya atlet berkenaan diberi rawatan terbaik serta jika perlu akan dihantar kepada pakar,” katanya.

Menteri Besar kemudiannya telah mengagihkan tiket percuma kepada kumpulan media yang hadir bagi menonton perlawanan akhir Piala FA antara Terengganu dengan Kelantan yang akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini (11 Jun).