Jabatan Pendidikan dan Vokasional Kementerian Pelajaran Malaysia telah perkenalkan Program Pelajaran Ekuin untuk pelajar-pelajar sekolah dan mereka akan menjadi kelompok lepasan sekolah pertama yang memilih kerjaya dalam industri Ekuin.
Pengerusi Majlis Ekuin Malaysia (MEM), Dato’ Sri Mahamad Fathil Mahmood.
Pengerusi Majlis Ekuin Malaysia (MEM), Dato’ Sri Mahamad Fathil Mahmood berkata, ini perkembangan yang baik apabila bidang ekuin dan sukan ekuestrian telah mendapat tempat kalangan masyarakat di negara ini.
“Saya mengalu-alukan kehadiran gelegasi Sabah, Serawak, Imtiaz dan pelajar dari Sekolah Menengah Vokasional Kajang dan Sungai Buloh, Selangor yang menjadi ahli baru,” katanya ketika berucap di majlis perasmian Perkhemahan Kelab Poni Kebangasaan 2011 di Terengganu Equestrian Resort (TER), Kuala Ibai petang semalam.
Perkhemahan berkenaan telah dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Berkenan berangkat ke majlis berkenaan, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah dan dua puteri baginda, Tengku Nadhirah Zahrah dan Tengku Fatimatuz Zahra'.
Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Setiusaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah, kerabat-kerabat di raja dan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.
“Sokongan dari pelbagai pihak terhadap pembangunan sukan ini terus memungkinkan acara ini direalisasikan dengan cemerlang pada masa akan datang,” katanya.
Katanya keahlian Kelab Poni terbuka kepada anak-anak muda sehingga berusia 25 tahun dan merupakan antara pergerakan belia terbesar di dunia.
Lebih penting lagi katanya, perkhemahan ini akan menjadi pemangkin visi 1Malaysia di mana peserta boleh bergaul mesra serta menjalin persahabatan tanpa mengira bangsa dan agama.
Selain itu, kem ini memberi peluang kepada ahli-ahli kelab dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak menyertai program menunggang kuda, latihan penjagaan, pengurusan kuda serta latihan menunggang kepada guru-guru di negara ini.