Daripada 129 pingat emas yang dipertaruhkan dalam Sukan Malaysia (Sukma) Ke-14 Kuala Lumpur, 85 pingat sudahpun menjadi milik setiap kontinjen yang bertanding. Penguasaan emas sehingga semalam, pastinya masih kekal milik Terengganu dengan 23 emas, lima perak dan 10 gangsa.
Dalam perkembangan terkini, tiga acara akhir yang menawarkan tiga pingat emas yang dipertandingkan pada hari ini, tidak melibatkan penyertaan kontinjen Terengganu.
Sehingga semalam, Terengganu sudah pun mencapai 17.83 peratus pungutan pingat emas. Hanya tinggal beberapa peratus sahaja lagi untuk Terengganu merealisasikan sasaran pingat pada temasya yang masuk hari ketujuh itu.
Daripada baki kira-kira 40 pingat emas lagi yang bakal menjadi rebutan setiap kontinjen sebelum tirai kejohanan berlabuh, kedudukan Terengganu seakan sukar digugat, malah masih berpeluang menambah koleksi pingat, sekaligus mempertahankan juara untuk kali ketiga.
Pada edisi kali ini, kontinjen Terengganu mensasarkan 27 emas, 18 perak dan 12 gangsa menerusi 17 acara yang disertai .
Seramai 214 atlet melibatkan 119 lelaki dan selebihnya wanita membawa cabaran untuk mempertahankan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut selepas menjuarai temasya yang sama pada 2008 dan 2010 yang lalu.
Mengekori Terengganu, kontinjen Johor dengan 15 emas, 14 perak dan enam gangsa. Manakala negeri Sembilan di tempat ketiga dengan 10 emas, lapan perak dan 13 gangsa, sementara Selangor mengekori rapat Negeri Sembilan dengan sembilan emas, lapan perak serta 18 gangsa.
Sebagaimana sasaran awal, acara kanu, judo dan basikal trek menjadi penyumbang utama kepada kejayaan kontinjen Terengganu menuai pingat pada temasya kali ini.
Skuad kanu Terengganu menyumbang 12 daripada 16 emas yang ditawarkan, manakala judo pula menghadiahkan tujuh emas dan tiga gangsa daripada 17 pingat emas yang dipertandingkan sepanjang kejohanan itu.
Acara berbasikal turut menceriakan kontinjen Terengganu apabila skuad negeri itu melabuhkan tirai semalam dengan membaham empat emas lagi.