Kasih dan cinta Mohd Harrif Salleh, 23, tertumpah pada sukan berbasikal sejak usia sembilan tahun lagi, selepas melihat dua abang kandungnya, Rosli, 37, dan Zamri, 28 (kini bersama pasukan Tentera Laut DiRaja Malaysia) terlebih dahulu menceburi bidang itu.
Langkah atlet yang lahir di Kampung Ladang Titian, Kuala Terengganu itu kian menyinar di bawah pasukan Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG). Malah, namanya sering disebut-sebut sebagai sandaran memburu kejuaraan apabila menyertai pelbagai kejohanan peringat Asia mahupun antarabangsa, termasuk memburu tempat ke Sukan Olimpik London 2012.
Figura pemenang Olahragawan Harapan Negeri Terengganu 2008, kian dikenali umum, lantaran kejayaan demi kejayaan diraihnya sejak tujuh tahun lalu. Maka tidak hairanlah, kelebihan itu menyebabkan dia dilamar empat kelab ternama yang berpangkalan di Australia dan Sepanyol.
Namun, anak keempat daripada lima beradik itu tetap setia bersama TSG bagi mencapai misi yang lebih penting untuk menempatkan kelab profesional ilham Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said itu sebaris dengan pasukan ternama dunia yang lain.
Pelumba negara pertama yang memegang rekod juara Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) Bangkok 2007 itu juga mempunyai kelebihan dan kelas tersendiri yang jarang dimiliki atlet berbasikal yang lain apabila mampu menguasai dua acara, sama ada lebuh raya mahupun trek.
Atlet yang lahir tanggal 15 September 1988 itu pernah mendapat pendedahan dalam acara trek di bawah kendalian Ketua Jurulatih, John Beasley, bersama-sama rakan seangkatan yang juga jaguh trek dunia, Azizulhasni Awang. Namun, John melihat potensi Mohd Harrif yang lebih menyerlah menerusi acara lebuh raya.
Kegetiran hidup masa lampau yang hanya bergantung kepada sumber pendapatan ibunya, Esah Abdullah, 57, yang bekerja kampung selepas kehilangan bapa, Allahyarham Salleh Yusof, akibat penyakit jantung 18 tahun dulu, menguatkan semangat bekas murid Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Mariam itu bagi merealisasikan impian menggunung dalam arena itu.
Terlalu banyak lakaran kejayaan dihasilkan anak muda itu, termasuk Kejohanan Le Tour de-Langkawi (LTdL) 2011, dia mendapat tempat ketiga (peringkat pertama) dan keempat (peringkat keenam), selain membawa TSG sebagai pasukan kelima terbaik Asia dan kelapan keseluruhan pasukan yang bertanding.
Malah, Mohd Harrif turut mendominasi tempat pertama di Litar Sepang Bikethon Race dan Grand Prix Kebangsaan Sirkit 1, Rantau Panjang, Kelantan.
Figura anak muda itu paling menonjol ketika Jelajah Malaysia (JM) 2011 yang lalu apabila membolot empat jersi sekaligus, iaitu pendahulu Individu Keseluruhan (jersi kuning), Raja Pecut (jersi hijau), Terbaik Asia (jersi biru) dan Terbaik Malaysia (jersi putih).
Dia turut mendapat tempat ketiga (peringkat pertama), tempat kedua (peringkat kedua), tempat keempat (peringkat keempat). Malah, turut membantu membawa TSG sebagai pasukan terbaik Malaysia.
Pada tahun lalu, Mohd Harrif turut menyertai Kejohanan Grand Prix Melaka (ke-11), `Oceania Track Championship Australia Scratch Race’ (tempat pertama), `Tour Of Gipsland Australia Open’ (tempat Pertama, peringkat ketujuh).
Malah, dia turut menyertai Sukan Komanwel India 2010 (tempat ketiga, peringkat kelima), Sukan Asia Guangzhou, China dan Tour Of Murray Australia Open. Selain turut mendapat tempat pertama di kejohanan `Malaysia Champion Velodrom’ bagi acara `Scratch Race’.
Mohd Harrif turut menghadiah tiga emas buat Terengganu dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2008, selain menyertai Tour South China, Hong Kong 2008 (tempat pertama, peringkat pertama).
Anak muda itu turut melakar kejayaan sebagai pemenang utama (peringkat kedua) ketika mewakili Majlis Sukan Negara (MSN) di JM 2007 serta tempat pertama di peringkat kedua, tempat kedua di peringkat kelima, tempat ketiga di peringkat ketujuh dan tempat pertama di peringkat ke-13 bagi kejohanan Tour Of Vietnam-Campuchia.
Dia yang pernah menjalani latihan di `Shuzenji Cycling Center Jepun’ dan di `Kunming Athetlet Center China’ bersama pasukan negara turut ke Kejohanan ACC di Bangkok (tempat pertama bagi acara Scratch Race) serta temasya Sukan Sea Di Korat, Thailand (tempat pertama bagi acara Team Persuit), sekaligus mencipta rekod kebangsaan di temasya itu.
Ketika bersama Pasukan Malaysia National Council Foundation (MNCF) (2006-2008), pelumba muda itu turut ke `Kejohanan World Championship di Sydney, Australia’, kejohanan `Ocenia Australia Open (tempat kelima) serta temasya Sukan Asia Doha Qatar 2006 (tempat ketujuh).
Dia juga mewakili negara di kejohanan `Tour Of Mazandaran, Iran’ (tempat pertama di peringkat ketiga) serta juara keseluruhan berpasukan, selain tempat pertama masing-masing bagi acara `Scratch Race’ dan `Olimpic Sprint’ di Asia Cycling Championship Di Ludhiana India.