Halaman

07 June 2011

Terengganu terus `gah’ raih pingat

Oleh: Suriati Ali


Acara berbasikal trek menjadi penyumbang utama dalam pungutan pingat apabila dua pingat emas dikutip menerusi acara wanita berpasukan sprint dan lelaki point race.

Pasukan Terengganu terus menguasai kutipan pingat apabila meraih dua pingat emas, satu perak dan tiga gangsa pada hari kelima temasya Sukan Malaysia Ke-14, semalam (6 Jun).

Secara keseluruhan, Terengganu kini mengumpul 22 pingat emas, lima pingat perak dan 10 pingat gangsa.

Acara berbasikal trek menjadi penyumbang utama dalam pungutan pingat apabila dua pingat emas dikutip menerusi acara wanita berpasukan sprint dan lelaki point race.

Hari ini (7 Jun) yang juga hari ke enam temasya, sebanyak lapan pingat emas, lapan perak dan 11 gangsa ditawarkan iaitu empat emas dari acara berbasikal, tiga dari acara lawan pedang dan satu dari acara polo air.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, insentif bernilai RM5,000 akan diberi kepada atlet yang berjaya memperoleh pingat emas, RM3,000 perak dan RM2,000 gangsa.



“Ganjaran besar itu hanya akan diberikan seandainya kontinjen Terengganu muncul sebagai juara keseluruhan pada temasya yang berakhir 12 Jun ini.

"Jika sebaliknya, kita akan beri RM3,000 kepada mereka yang meraih emas, manakala masing-masing RM2,000 dan RM1,000 bagi pemenang perak dan gangsa," katanya.

Pasukan Terengganu yang diketuai ketua kontinjen, Datuk Wan Ahamad Wan Muda mempertaruhkan 214 atlet untuk beraksi dalam 15 acara daripada 20 acara yang dipertandingkan.

Sasaran awal yang diletakkan juara bertahan itu adalah 27 emas, 18 perak dan 12 gangsa dengan acara kenu dan berbasikal dijadikan 'lubuk' utama dalam pemburuan pingat.

Selain kenu dan berbasi kal, antara acara lain yang disertai Terengganu adalah judo, lawan pedang, ragbi, softbol, bola baling, futsal dan bola tampar.

Pada temasya di Melaka tahun lalu, Terengganu berjaya muncul juara buat kali kedua berturut-turut selepas memungut 47 pingat emas, 30 perak dan 43 gangsa.