Halaman

10 June 2011

Pengunjung teruja pilih buku serendah RM1

Oleh: Suriati Ali



Puluhan jenis buku bacaan dan latihan yang ditawarkan semurah RM1 hingga RM50 sempena Pesta Buku Terengganu 2011 membuatkan pengunjung seakan teruja memilih buku kegemaran masing-masing.

Pesta buku yang berlangsung selama tujuh hari dan berakhir 15 Jun ini di Pusat Dagangan Terengganu, Jalan Hiliran, Kuala Terengganu mendapat sambutan sangat membanggakan daripada orang ramai terutama pelajar.

Kira-kira 10,000 pengunjung tempatan dan luar Terengganu dijangka hadir di pesta buku anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT).

Lebih 30 pengedar dan pengusaha kedai buku mengambil kesempatan mempromosi produk dan judul buku masing- masing.

Pengarah PPAT, Puan Hajah Nor Akmal Abdul Fatah, berkata pihaknya bangga dengan sambutan pengunjung terhadap pesta buku yang dianjurkan pada kali ini berikutan mendapat sambutan diluar jangkaan walaupun baru dibuka semalam (9 Jun).

“Orang ramai termasuk pelajar seakan tidak mahu meninggalkan lokasi pesta buku kerana mereka teruja mendapatkan pelbagai jenis buku yang ditawarkan semurah RM1.

“Berdasarkan sambutan menggalakkan, membuktikan masyarakat kini sudah mula sedar terhadap kepentingan membaca dan menuntut ilmu,” katanya.