Halaman

07 June 2011

Sukan berkuda untuk semua lapisan masyarakat

Oleh: Esah Abdullah



Aktiviti sukan berkuda tidak lagi menjadi hak eksklusif golongan elit atau mereka yang berada sahaja tetapi mampu disertai oleh semua lapisan masyarakat dan pelbagai peringkat umur.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, usaha majlis Ekuin Malaysia (MEM) memaju dan memperkembangkan ilmu dan kemahiran mengenai equestrian telah menampakkan hasilnya apabila ramai pelajar sekolah menyertai Program Menunggang di Sekolah dan menyertai Kelab-kelab Poni di seluruh negara.

“Ramai ahli-ahli kelab itu yang telah berjaya mewakili negeri masing-masing dalam pertandingan di peringkat kebangsaan bahkan ada yang telah mewakili negara ke peringkat antarabangsa,” katanya ketika berucap di majlis perasmian Perkhemahan Poni Kebangsaan 2011 di Terengganu Equestrian Resort (TER) Kuala ibai, semalam.

Perkhemahan berkenaan telah dirasmikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al- Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Turut berangkat, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah beserta dua puteri baginda Tengku Nadhirah Zahrah dan Tengku Fatimatuz Zahra’.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pengerusi MEM, Dato’ Sri Mahamad Fathil Mahmood.

Dato’ Seri Haji Ahmad mengucapkan syabas kepada jawatankuasa penganjur yang telah berjayamengumpulkan hampir kesemua Kelab Poni di seluruh negara.

“Perkhemahan kali merupakan yang terbesar pernah diadakan termasuk penyertaan empat kelab baru ditubuhkan iaitu Kelab Poni Imtiaz Yayasan Terengganu, Sabah, Sarawak serta Bahagian Teknik dan Vokasional, ,” katanya.

Dato’ Seri Haji Ahmad kemudiannya berharap perkhemahan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua peserta untuk menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam bidang equestrian.

“Rebutlah peluang yang ada untuk mengeratkan silatulrahim dan memupuk semangat kerjasama dalam pasukan,” katanya.

Menteri Besar menaruh keyakinan kelab ini akan berjaya menghasilkan lebih ramai atlit sukan berkuda yang cekap dan berdisiplin serta mampu mewakili negeri dan negara ke peringkat antarabangsa.