Halaman

09 June 2011

Pihak berkaitan perlu kekal tradisi `turun pantai’

Oleh: Suriati Ali

Usaha Kerajaan negeri mengekalkan tradisi Pesta Pantai atau kini dikenali sebagai Karnival Kebudayaan dan Sukan Pantai (KKSP) mendapat sokongan pelbagai pihak terutama penduduk Kampung Padang Kemunting, Batu Rakit.

Seorang peserta, Dayang Jusoh, 52, berkata dia dan ahli keluarga lain tidak melepaskan peluang menyertai KKSP kerana mahu merapatkan hubungan kekeluargaan antara masyarakat kampung dan penduduk luar.


Katanya, paling mengembirakan, anak-anak yang berkerja di luar Terengganu mengambil cuti panjang semata-mata mahu bermalam di bangsal yang dibina awal seminggu sebelum KKSP bermula.

“Saya seronok dapat menyertai aktiviti ini kerana mampu mengekalkan tradisi kunjung mengunjung, sepakat dalam melaksanakan kerja dan dapat menghidupkan kembali pelbagai jenis sukan rakyat.

“Setiap kali ingin turun ke pantai, kebanyakan kami di Kampung Padang Kemunting akan membuat persiapan lebih awal dengan menyediakan pelbagai jenis kuih tradisional dan menempah pakaian baru,” katanya ketika ditemui di tapak carnival di Pantai Tanjung Gelam, Kuala Terengganu, petang kelmarin (8 Jun).

Menurutnya, dia bersama penduduk lain yang turut serta dalam aktiviti ini berasa bangga dengan suasana ini kerana seolah-olah menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Saya berharap pihak berkaitan bersama-sama membantu mengekalkan tradisi nenek moyang ini supaya tidak dilupakan begitu saja,” katanya.

Pengunjung program, Encik Adi Hafizal Arifin, berkata dia tertarik untuk mengunjungi KKSP kerana ianya cukup unik berbanding program lain.

“Saya puji dengan kerelaan penduduk Kampung Padang Kemunting yang sanggup bermalam di dalam bangsal semata-mata mahu mengekalkan tradisi nenek moyang selain ingin mengekalkan lagi hubungan antara jiran sekampung,” katanya.