Halaman

  • 8 FEBRUARI 2020 (SABTU) - *5.00 petang :* Perlawanan TNB Malaysia Hockey League 2020 antara Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) dengan Hockademy KL *di Stadium Hoki Batu Buruk (SHB...
    3 weeks ago

09 June 2011

Pengajaran agama lebih jelas guna Kitab Matla' al-Badrain

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri berharap segelintir guru agama di masjid dan surau yang sebelum ini mengajar dengan merujuk kitab tetapi berdasarkan kefahaman yang berbeza dan kemampuan sendiri, akan lebih tepat serta lancar apabila menggunakan kitab Matla’ al-Badrain Wa Majma’ al-Bahrain.

Kitab terbitan Yayasan Islam Terengganu (YIT) diterjemah oleh enam ahli panel di kalangan pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA) menggunakan bahasa mudah dan moden, merangkumi aspek ibadat, munakahat, jual beli dan muamalat.



Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat, berkata penerbitan naskhah yang diterjemahkan daripada kitab tersohor inisiatif YIT bertujuan memudahkan guru agama di masjid dan surau mengajar dan memberi kefahaman yang lebih jelas kepada masyarakat seluruh Terengganu.

Seramai 2,000 guru agama di masjid dan surau dilantik di bawah YIT. Bagaimanapun, jumlah itu tidak termasuk guru ta’mir dan mubaligh yang dilantik menerusi Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.

YB Haji Khazan berkata, semua guru berkenaan terlebih dahulu diberi pendedahan mengenai kaedah mengajar yang betul melalui Kursus Metodologi Pengajaran Kitab Matla’ al Badrain yang disampaikan bekas Timbalan Mufti negeri, Haji Abdul Halim Awang.

“Kursus yang diatur oleh Yayasan Islam (Terengganu) untuk memberi kefahaman, mendalami dan mentafsir kitab yang akan diguna pakai oleh semua guru agama di negeri Terengganu. Kitab ini sangat baik dan menyeluruh.

“Kitab yang komprehensif ini bukan sahaja merangkumi mengenai ibadat, munakahat, jual beli dan muamalat, malah pelbagai aspek lagi,” katanya ketika sidang media selepas melancarkan kitab itu serta tujuh buku baru terbitan YIT dengan kerjasama kerajaan negeri , di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, pagi ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Muhammad Ramli Nuh dan Pengarah YIT, Haji Md Kamaru Al-Amin Ismail.

Menurut YB Haji Khazan, tempoh masa dua tahun diambil bagi menyiapkan naskhah agama itu berikutan ahli panel bukan di kalangan mereka yang bekerja sepenuh masa , selain proses menghasilkan buku itu melalui pelbagai peringkat termasuk transliterasi, pengstrukturan semula dan ulasan.

Selain itu, kitab setebal 94 muka surat itu juga merangkumi aspek penyuntingan menggunakan Bahasa Melayu moden dan mudah, menulis dalam Bahasa Melayu versi jawi, menterjemah perkataan Arab, menghurai maksud perkataan, istilah, teks yang tidak jelas serta sukar difahami, selain menterjemah tokoh ulama yang tercatat namanya dalam kitab itu.

“Selepas ini, kerajaan negeri akan memastikan tempoh masa menyiapkan penterjemahan itu dapat dipercepatkan lagi bagi menghasilkan kitab rujukan lain termasuk bidang fiqah, tauhid dan usuluddin.