Halaman

  • 8 FEBRUARI 2020 (SABTU) - *5.00 petang :* Perlawanan TNB Malaysia Hockey League 2020 antara Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) dengan Hockademy KL *di Stadium Hoki Batu Buruk (SHB...
    3 weeks ago

05 June 2011

Terengganu tuai emas , melonjak tangga teratas

Oleh: Aida Abd Rahman


Ketua Kontinjen Sukma Terengganu 2011, Dato' Haji Wan Ahamad Wan Muda menyampaikan insentif kepada atlet Terengganu yang berjaya menuai pingat.

Terengganu terus menuai emas untuk memastikan sasaran bergelar juara keseluruhan buat kali ketiga berturut-turut pada temasya Sukan Malaysia Ke-14 Kuala Lumpur menjadi milik kontinjen itu, hampir menjadi kenyataan walaupun temasya baru memasuki hari ketiga.

Daripada kedudukan di tangga kedua semalam, Terengganu melonjak memintas Johor dengan kutipan 20 emas, empat perak dan tujuh gangsa untuk berada di takhta utama senarai kontinjen hari ini.



Kontinjen Terengganu sebelum ini di belakang Johor dengan berkongsi sembilan emas dan hanya membezakan dengan dua pingat perak.Sementara pingat gangsa masing-masing dengan enam (Terengganu) dan satu (Johor).

Dengan jumlah kutipan 31 pingat, Terengganu jauh meninggalkan kontinjen di tangga kedua, Johor dengan pungutan 25 pingat keseluruhan melibatkan 11 emas, 10 perak dan empat gangsa.

Manakala Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur masing-masing kekal di kedudukan ketiga dan keempat.

Judo antara acara yang menyumbang pingat terbanyak buat Terengganu sehingga mampu melonjak ke tangga teratas dengan kutipan enam emas dan satu gangsa.

Menurut pengurus judo, Encik Ali Tengah, pasukan judo terbukti mengatasi sasaran awal untuk mengutip tiga emas, apabila berjaya meneruskan rentak penguasaan pada hari ketiga pertandingan itu dengan membaham enam emas dan satu gangsa.

“Alhamdulillah, berkat kesungguhan, disiplin dan komitmen semua atlet, judo telah meledak satu keputusan yang di luar jangkaan. Kami berharap kejayaan ini akan berterusan dan terus membantu Terengganu untuk gah sebagai kuasa sukan negara,” katanya lagi.