Halaman

08 June 2011

Kepakaran TATiUC tarik pelajar asing

Oleh: Aida Abd Rahman

Kolej Universiti TATI (TATiUC) di Kemaman, bakal menerima lebih ramai pelajar dari luar negara pada sesi pengajian akan datang, sesuai dengan hasrat kerajaan negeri untuk mengantarabangsakan institusi pengajian itu.

Sehingga kini, TATiUC sudah menerima 22 pelajar asing, masing-masing 20 dari Sudan dan selebihnya Indonesia. Manakala pada tahun ini juga, sepuluh pelajar daripada Indonesia turut mengesahkan permohonan memasuki TATiUC dalam pelbagai jurusan yang ditawarkan.
Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik dan Pengantarabangsaan TATiUC, Dr Zunaidi Ibrahim, berkata TATiUC mengorak langkah bagi meningkatkan pengambilan pelajar antarabangsa bukan hanya dengan negara jiran, Indonesia bahkan mengembangkannya ke seluruh dunia.

Dalam perkembangan yang sama, TATiUC turut menjadi pusat latihan pelajar dari Timor Leste mengikuti kursus jangka pendek dalam pelbagai bidang kejuruteraan.
Katanya, TATiUC melatih dua kumpulan pelajar yang melibatkan 20 rakyat negara itu dalam bidang kejuruteraan minyak dan gas serta kejuruteraan automatif sejak tahun lalu.

“Kita berharap TATiUC dapat mengembangkan hubungan dua hala dan kerjasama dengan pusat kemahiran serta institusi pengajian luar negara dalam usaha menarik lebih ramai pelajar luar negara, termasuk menerusi persidangan antarabangsa yang dianjurkan julung kali ini,” katanya sempena majlis Persidangan Antarabangsa Sistem Automasi dan Robotik (ICORAS), Inovasi Kimia (ICCI) & Teknologi Pembuatan (ICAM), Pusat Latihan Antarabangsa (ITC)-TATiUC, di Kemaman, baru-baru ini.

Dr Zunaidi berkata, jika tahun lalu, TATiUC menerima pelajar luar negara yang mengikuti pengajian Bachelor Computer Sciense (Database Management), pada tahun ini permohonan pelajar luar negara berkembang kepada bidang kemahiran lain termasuk Diploma Non Destructive Testing (ujian tanpa musnah), Bachelor Mechatronics dan program berasaskan komputer di peringkat diploma.

Bagaimanapun, katanya TATiUC tetap akan mengekalkan kuota pengambilan 10 peratus pelajar bangsa asing bagi memberi peluang kepada lebih ramai anak Terengganu dan Malaysia melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang kejuruteraan dan kemahiran yang ditawarkan di institusi pengajian itu.

“Walaupun dengan pertambahan pelajar dari luar Terengganu dan negara asing belajar di TATiUC, kita tetap akan mengekalkan kuota minimum pengambilan pelajar Terengganu 70 peratus dan sepuluh peratus terbuka kepada pelajar asing,” katanya lagi.

Beliau berkata, perkembangan baik itu turut memacu kepada usaha menjadikan TATiUC sebagai pemain antrabangsa dalam sektor pendidikan negara sekaligus merealisasikan hasrat menjadi universiti penuh menjelang 2015.