Penganjuran pesta buku atau pelbagai karnival ilmu sewajarnya diperbanyakkan dalam tempoh setahun dalam usaha menanam semangat membaca di kalangan masyarakat terutama pelajar.
Pesta Buku 2011 anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) wajar dipuji berikutan mendapatkan sambutan diluar jangkaan.
Tinjauan pemberita Teganukita, hari ini (10 Jun) mendapati ratusan pengunjung tekun memilih buku kegemaran masing-masing. Ada di antara mereka memilih buku latihan, ulang kaji, rujukan; novel dan alat tulis.
Golongan ibu bapa, pelajar dan belia yang hadir di pesta itu beranggapan harga yang ditawarkan cukup murah berbanding di kedai buku.
Ada di antara mereka sanggup berdiri lama di setiap gerai kerana tidak mahu melepaskan peluang mendapat harga promosi antara 10 peratus hingga 70 peratus sebuah buku.
Pengunjung dari Marang, Puan Nurul Suhaibah Yaakob, 35, berkata pesta buku seumpama ini wajar dianjurkan kerap kali atau tiga hingga lima kali dalam tempoh setahun.
“Langkah ini memudahkan pengunjung mendapatkan pelbagai jenis buku yang diingini dengan harga murah.
“Anak-anak saya pun suka datang ke lokasi ini kerana mudah bagi mereka mencari buku kegemaran berikutan susun atur setiap produk cukup kemas dan mesra pelanggan,” katanya.
Pelajar , Hajar Husna Nabilah Hussein 16, berkata dia bersama beberapa rakan tidak akan melepaskan peluang mengunjungi pesta buku setiap kali dianjurkan .
“Pelbagai jenis judul buku dibeli kerana harga yang memuaskan hati.Paling penting dia akan mendapatkan seberapa banyak buku latihan yang hanya berharga RM1 sebuah,” katanya.