Halaman

06 June 2011

Kakitangan Ukom perlu laksana amanah dan tanggungjawab

Oleh: Suriati Ali



Kakitangan Unit Komunikasi Negeri (Ukom) diminta supaya melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka sebaik mungkin walaupun ketika ketiadaan pengarah atau ketua unit masing-masing.

Pengarah Ukom, Haji Shamsuddin Sulong, berkata buat masa terdekat ini beliau berpuas hati dengan tugasan yang dilaksanakan kakitangan terutama yang terlibat dengan liputan program rasmi kerajaan negeri.

“Apabila tanggungjawab yang diamanahkan berjalan dengan sempurna dan `comel’, barulah saya tidak sakit kepala memikirkannya jika terdapat pegawai atasan menyoal perkara berkaitan,” katanya ketika memberi tazkirah sempena Perhimpunan Bulanan Kakitangan, di perkarangan bangunan Ukom, Jalan Pejabat, Kuala Terengganu, pagi ini.



Perhimpunan yang diadakan pada setiap awal bulan itu bertujuan memberi motivasi kepada kakitangan terutama berkaitan amalan harian dan tanggungjawab yang wajib dilaksanakan sebagai pejawat awam dan umat Islam.

Haji Shamsuddin turut menyentuh soal kebahagiaan di dunia dan akhirat dengan memberitahu sekiranya seseorang itu inginkan kebahagiaan, mereka perlu melaksanakan perintah Allah S.W.T dan tidak boleh sama kali mengingkarinya.

Paling penting, seseorang umat Islam itu perlu menunaikan solat lima waktu dan pelbagai ibadat lain yang boleh memberi ketenangan dan kelapangan jiwa, sesuai dengan tuntutan agama.