Halaman

07 June 2011

Sukan berkuda untuk semua lapisan masyarakat

Oleh: Esah Abdullah



Aktiviti sukan berkuda tidak lagi menjadi hak eksklusif golongan elit atau mereka yang berada sahaja tetapi mampu disertai oleh semua lapisan masyarakat dan pelbagai peringkat umur.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, usaha majlis Ekuin Malaysia (MEM) memaju dan memperkembangkan ilmu dan kemahiran mengenai equestrian telah menampakkan hasilnya apabila ramai pelajar sekolah menyertai Program Menunggang di Sekolah dan menyertai Kelab-kelab Poni di seluruh negara.

“Ramai ahli-ahli kelab itu yang telah berjaya mewakili negeri masing-masing dalam pertandingan di peringkat kebangsaan bahkan ada yang telah mewakili negara ke peringkat antarabangsa,” katanya ketika berucap di majlis perasmian Perkhemahan Poni Kebangsaan 2011 di Terengganu Equestrian Resort (TER) Kuala ibai, semalam.

Perkhemahan berkenaan telah dirasmikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al- Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Turut berangkat, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah beserta dua puteri baginda Tengku Nadhirah Zahrah dan Tengku Fatimatuz Zahra’.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pengerusi MEM, Dato’ Sri Mahamad Fathil Mahmood.

Dato’ Seri Haji Ahmad mengucapkan syabas kepada jawatankuasa penganjur yang telah berjayamengumpulkan hampir kesemua Kelab Poni di seluruh negara.

“Perkhemahan kali merupakan yang terbesar pernah diadakan termasuk penyertaan empat kelab baru ditubuhkan iaitu Kelab Poni Imtiaz Yayasan Terengganu, Sabah, Sarawak serta Bahagian Teknik dan Vokasional, ,” katanya.

Dato’ Seri Haji Ahmad kemudiannya berharap perkhemahan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua peserta untuk menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam bidang equestrian.

“Rebutlah peluang yang ada untuk mengeratkan silatulrahim dan memupuk semangat kerjasama dalam pasukan,” katanya.

Menteri Besar menaruh keyakinan kelab ini akan berjaya menghasilkan lebih ramai atlit sukan berkuda yang cekap dan berdisiplin serta mampu mewakili negeri dan negara ke peringkat antarabangsa.





Terengganu terus `gah’ raih pingat

Oleh: Suriati Ali


Acara berbasikal trek menjadi penyumbang utama dalam pungutan pingat apabila dua pingat emas dikutip menerusi acara wanita berpasukan sprint dan lelaki point race.

Pasukan Terengganu terus menguasai kutipan pingat apabila meraih dua pingat emas, satu perak dan tiga gangsa pada hari kelima temasya Sukan Malaysia Ke-14, semalam (6 Jun).

Secara keseluruhan, Terengganu kini mengumpul 22 pingat emas, lima pingat perak dan 10 pingat gangsa.

Acara berbasikal trek menjadi penyumbang utama dalam pungutan pingat apabila dua pingat emas dikutip menerusi acara wanita berpasukan sprint dan lelaki point race.

Hari ini (7 Jun) yang juga hari ke enam temasya, sebanyak lapan pingat emas, lapan perak dan 11 gangsa ditawarkan iaitu empat emas dari acara berbasikal, tiga dari acara lawan pedang dan satu dari acara polo air.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, insentif bernilai RM5,000 akan diberi kepada atlet yang berjaya memperoleh pingat emas, RM3,000 perak dan RM2,000 gangsa.



“Ganjaran besar itu hanya akan diberikan seandainya kontinjen Terengganu muncul sebagai juara keseluruhan pada temasya yang berakhir 12 Jun ini.

"Jika sebaliknya, kita akan beri RM3,000 kepada mereka yang meraih emas, manakala masing-masing RM2,000 dan RM1,000 bagi pemenang perak dan gangsa," katanya.

Pasukan Terengganu yang diketuai ketua kontinjen, Datuk Wan Ahamad Wan Muda mempertaruhkan 214 atlet untuk beraksi dalam 15 acara daripada 20 acara yang dipertandingkan.

Sasaran awal yang diletakkan juara bertahan itu adalah 27 emas, 18 perak dan 12 gangsa dengan acara kenu dan berbasikal dijadikan 'lubuk' utama dalam pemburuan pingat.

Selain kenu dan berbasi kal, antara acara lain yang disertai Terengganu adalah judo, lawan pedang, ragbi, softbol, bola baling, futsal dan bola tampar.

Pada temasya di Melaka tahun lalu, Terengganu berjaya muncul juara buat kali kedua berturut-turut selepas memungut 47 pingat emas, 30 perak dan 43 gangsa.


Program pelajaran ekuin di sekolah

Oleh: Esah Abdullah

Jabatan Pendidikan dan Vokasional Kementerian Pelajaran Malaysia telah perkenalkan Program Pelajaran Ekuin untuk pelajar-pelajar sekolah dan mereka akan menjadi kelompok lepasan sekolah pertama yang memilih kerjaya dalam industri Ekuin.


Pengerusi Majlis Ekuin Malaysia (MEM), Dato’ Sri Mahamad Fathil Mahmood.

Pengerusi Majlis Ekuin Malaysia (MEM), Dato’ Sri Mahamad Fathil Mahmood berkata, ini perkembangan yang baik apabila bidang ekuin dan sukan ekuestrian telah mendapat tempat kalangan masyarakat di negara ini.

“Saya mengalu-alukan kehadiran gelegasi Sabah, Serawak, Imtiaz dan pelajar dari Sekolah Menengah Vokasional Kajang dan Sungai Buloh, Selangor yang menjadi ahli baru,” katanya ketika berucap di majlis perasmian Perkhemahan Kelab Poni Kebangasaan 2011 di Terengganu Equestrian Resort (TER), Kuala Ibai petang semalam.

Perkhemahan berkenaan telah dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Berkenan berangkat ke majlis berkenaan, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah dan dua puteri baginda, Tengku Nadhirah Zahrah dan Tengku Fatimatuz Zahra'.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Setiusaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah, kerabat-kerabat di raja dan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Sokongan dari pelbagai pihak terhadap pembangunan sukan ini terus memungkinkan acara ini direalisasikan dengan cemerlang pada masa akan datang,” katanya.

Katanya keahlian Kelab Poni terbuka kepada anak-anak muda sehingga berusia 25 tahun dan merupakan antara pergerakan belia terbesar di dunia.

Lebih penting lagi katanya, perkhemahan ini akan menjadi pemangkin visi 1Malaysia di mana peserta boleh bergaul mesra serta menjalin persahabatan tanpa mengira bangsa dan agama.

Selain itu, kem ini memberi peluang kepada ahli-ahli kelab dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak menyertai program menunggang kuda, latihan penjagaan, pengurusan kuda serta latihan menunggang kepada guru-guru di negara ini.




Pantai Tok Jembal jadi pilihan pengunjung

Oleh: Suriati Ali



Pantai Tok Jembal, Kuala Terengganu yang terletak di antara Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniZA) cukup menarik dan sememangnya dikenali ramai terutama di kalangan pelajar dan penduduk setempat.

Destinasi pelancongan yang terkenal dengan pasir pantai putih itu terletak hanya kira-kira 16 kilometer (km) dari Bandar Raya Kuala Terengganu dan lapan km dari Pekan Batu Enam.

Lokasi itu yang dahulunya suram dan sunyi tanpa kehadiran pengunjung, kini ceria selepas pihak berkaitan termasuk Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menaiktaraf kawasan tersebut dengan membina pelbagai infrastruktur dan lot perkedaian.

Setiap hari terutama hujung minggu dan cuti sekolah pasti ada yang berminat mengunjungi Pantai Tok Jembal dengan pelbagai tujuan.

Ada di antara mereka datang semata-mata ingin mencari ketenangan dan melepaskan kepenatan selepas seharian berkerja.

Angin bertiup segar yang hadir bersama deruan ombak , membuatkan pengunjung seakan malas untuk berganjak dari lokasi itu.

Bagi mereka yang membawa anak berusia 12 tahun ke bawah pula, mereka lebih berminat menghabiskan masa di taman permainan yang berada bersebelahan dengan Pantai Tok Jembal.

Seorang Pengunjung Mazlina Sapihi, 30, dari Batu Rakit berkata dia cukup gemar membawa tiga anaknya bersiar-siar di Pantai Tok Jembal kerana pelbagai kemudahan disediakan termasuk taman permainan, pondok rehat, lot kedai makan dan tandas.

“Jika anak-anak sudah penat bermain gelongsor dan buaian, dia akan membawa anak bermain pasir di tepi pantai pula yang sememangnya bersih daripada dicemari sampah sarap,” katanya ketika ditemui di Pantai Tok Jembal


Terengganu bakal jadi pengeluar tebu

Oleh: Suriati Ali



Terengganu bakal menjadi negeri pengeluar tebu terbesar di Pantai Timur apabila projek sulung tanaman tebu dilaksanakan di daerah Setiu akhir tahun ini.



Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri YB Asha'ari Idris berkata kerajaan negeri telah mengenal pasti kawasan seluas 12 hektar di Bukit Munduk Langkap, Setiu untuk tujuan itu.

"Ini projek percubaan dan sekiranya projek ini berjaya kita akan memperluaskan lagi kawasan untuk tanaman itu.

“Kerja-kerja membersih kawasan dan penyediaan prasarana dijangka bermula dalam masa terdekat manakala kerja-kerja penanaman akan dijalankan pada Oktober depan,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui kerajaan negeri menyediakan peruntukan awal kira-kira RM150,000 untuk melaksanakan projek itu.

Asha'ari berkata melalui projek percubaan ini, Terengganu dijangka mengeluarkan lebih 100,000 batang tebu semusim dan ia mencukupi untuk keperluan dalam negeri

“Projek itu akan memberi peluang pekerjaan kepada lebih 30 penduduk setempat terutama mereka dikategorikan di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin,” katanya.



06 June 2011

Perkhemahan Poni meriah

Oleh; Esah Abdullah


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan melawat gerai pameran selepas menyempurnakan perasmian Perkhemahan Poni Kebangsaan 2011 di Terengganu Equestrian Resort (TER) Kuala Ibai. - Foto: Harish Fadzillah.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Perkhemahan Poni Kebangsaan 2011 di Terengganu Equestrian Resort (TER) Kuala Ibai petang ini.

Berkenan berangkat Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah beserta dua anakanda baginda Tengku Nadhirah Zahrah dan Tengku Fatimatuz Zahra.



Hadir sama Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja, Tengku Sri Bendahara Raja; Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pengerusi Majlis Ekuin Malaysia, Dato’ Sri Mahamad Fathil Mahmood.



Baginda Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan menyerahkan plak dan bendera kepada empat buah kelab yang baru ditubuhkan iaitu Kelab Poni Imtiaz Yayasan Terengganu, Sabah, Sarawak dan Kelab Poni Bahagian Teknik dan Vokasional.



Seramai 325 peserta daripada seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak menyertai Perkhemahan Poni Kebangsaan di Terengganu tahun ini yang bermula 4 Jun lalu dan berakhir Khamis ini.

Kelab Poni suatu persatuan remaja kebangsaan terbesar di dunia yang wujud di 15 negara termasuk Malaysia dan mempunyai keahlian melebihi 100,000 orang.




UKOM anjur Forum Rakyat

Oleh: Azwa Shamsuddin (pelatih UPM)

Orang ramai terutama penduduk sekitar Kuala Terengganu dijemput menghadiri Forum Rakyat yang akan diadakan di Kampung Tok Jiring, Kuala Terengganu, kira-kira jam 9 malam pada 17 Jun ini.

Forum itu dijangka membincangkan tajuk 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan serta Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan Negeri Terengganu.

Ahli-ahli panel yang hadir terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Tepoh, YB Ustaz Muhammad Ramli Nuh; penceramah bebas, Haji Ruslan Kassim; Pengarah Unit Komunikasi Negeri (Ukom), Haji Shamsuddin Sulong dan Pegawai Agama Pejabat Menteri Besar Terengganu, Ustaz Kamalrudin Omar.

Timbalan Pengarah Ukom, Encik Ruslan Abdul Rahman, berkata kira-kira 1,000 penduduk dijangka menghadiri forum itu yang dianjurkan bersama Jawatankuasa Peti Undi Kampung Tok Jiring.

“Kita akan menayangkan beberapa rakaman video tentang hala tuju kerajaan negeri di samping siri pembohongan yang dilakukan oleh pemimpin pembangkang,” katanya.

Orang ramai yang hadir diberi peluang untuk mengemukakan pertanyaan kepada ahli panel yang hadir. Soalan yang diajukan dijawab secara bergilir-gilir.

Encik Ruslan berkata, forum sama akan diteruskan secara bersiri di beberapa daerah dan kawasan Parlimen lain mengikut jadual yang ditetapkan.


Pelancong ambil peluang bercuti di Terengganu

Foto dan berita: Suriati Ali



Pelancong luar Terengganu dan pengunjung tempatan mengambil kesempatan menghabiskan waktu cuti sekolah bersama keluarga dengan mengunjungi beberapa lokasi menarik di Terengganu.

Antara destinasi yang menjadi tumpuan termasuk, Pantai Batu Buruk, Taman Shahbandar, Muzium Negeri Terengganu, Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu; Taman Reakreasi dan Mini Zoo Bukit Takal, Kemaman dan beberapa pulau di negeri ini.

Pihak berkaitan turut menganjurkan pelbagai program seperti Fiesta Waterfront di Taman Shahbandar, Karnival Juala Murah di Pantai Batu Buruk dan Pesta Buku di Pusat Dagangan Terengganu Jalan Hiliran, Kuala Terengganu semata-mata menarik minat pengunjung.

Tinjauan Teganukita di Pasar Besar Kedai Payang, Taman Shahbandar dan Batu Buruk mendapati orang ramai terpaksa berhimpit ketika ingin membeli barangan dan produk yang mereka minati.

Kebanyakan pelawat dari Kedah, Melaka, Johor, Pahang dan Selangor itu membeli pakaian, rantai kunci dan pelbagai produk yang mempunyai indentiti Terengganu untuk dihadiahkan kepada saudara dan dijadikan sebagai dikenang-kenangan.

Pengunjung dari Melaka, Puan Zaiton Zainudin, 38, gembira dapat berkunjung ke Terengganu bersama-sama keluarga kerana terdapat pelbagai kemudahan dan destinasi menarik yang boleh dilawati.

Katanya, destinasi paling menarik adalah TTI dan Pantai Batu Buruk yang sememangnya menjadi lokasi pilihan bagi pengunjung setiap kali mengunjungi Terengganu.

“Tempoh tiga hari dua malam yang diambil untuk bercuti di negeri ini tidak cukup buat kami sekeluarga kerana banyak lagi destinasi lain belum sempat dilawati termasuk Tasik Kenyir, Hulu Terengganu dan Pulau Redang, Setiu.

“Pada masa akan datang kami bercadang mengambil cuti panjang untuk melepaskan hasrat melawat destanasi itu,” katanya.

Encik Kamaruddin Idrus berasal dari Selangor, berkata dia dan keluarga datang ke Terengganu kerana dua tujuan iaitu menghadiri majlis perkahwinan saudara dan bercuti.

Katanya, dari Merang dia terpaksa melalui kesesakan lalu lintas lebih satu jam sebelum tiba ke PBKP dan Taman Shahbandar untuk membeli-belah dan bersiar-siar.


Atlet Terengganu ungguli acara judo SUKMA

Atlet judo Terengganu menguasai gelanggang pada hari terakhir acara judo semalam pada temasya Sukan Malaysia ke-14, apabila merangkul enam daripada lapan emas yang dipertandingkan.

Penaung Persatuan Judo Terengganu, YB Haji Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar, berkata kejayaan itu melepasi sasaran tiga emas yang ditetapkan oleh persatuan tersebut.

"Ini merupakan rahmat daripada Tuhan dan berkat kesungguhan atlet judo Terengganu. Kejayaan ini juga hasil perancangan awal kerajaan negeri yang telah memulakan program pembangunan judo sejak 2006," katanya kepada pemberita di Dewan Majlis Olimpik Malaysia, semalam.

Terengganu memenangi emas menerusi Syaiful Rizal Ahmad Zaidi dalam acara lelaki atas 90kg dan lelaki bawah 90kg oleh Farish Farhan Badri.

Atlet wanita skuad itu turut mempamerkan pencapaian cemerlang apabila membolot semua pingat emas yang ditawarkan bagi kategori wanita.

Nor Asnida Abdul Razak membawa pulang emas bagi acara atas 70kg, Nor Izzatul Fazlia Mat Tahir (bawah 70kg), Norsafrina Rahman (bawah 63kg) dan Nik Norlydiawati Nik Azman (bawah 57kg).

Sarawak membawa pulang satu emas hasil persembahan bertenaga Brenton Sim menerusi acara lelaki bawah 81kg manakala Pulau Pinang meraih satu emas dalam acara lelaki bawah 73kg oleh Ooi Aik Tong.

Kerajaan BN sedia kongsi susah senang

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan Barisan Nasional (BN) sedia berkongsi susah senang khususnya dengan golongan nelayan dalam usaha meningkatkan taraf hidup golongan itu bagi menyediakan banyak peluang kepada mereka untuk membabitkan diri di bidang lain, di samping mencari rezeki di laut.

Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, elaun sara hidup yang diperkenalkan kerajaan membuktikan ia sentiasa mencari jalan memperbaiki taraf hidup golongan miskin.

“Kehidupan golongan petani dan nelayan sentiasa dekat dan mendapat perhatian kita,” katanya ketika berucap di majlis penyampaian Bantuan Sara Hidup Nelayan Kuala Terengganu Selatan, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Losong, Kuala Terengganu.

Katanya, pelbagai bantuan disalurkan termasuk bantuan pukat, enjin bot, subsidi minyak dan bantuan sara hidup dan pemberian ini tidak termasuk pampas an harta benda yang musnah ketika ditimpa musibah.

“Mana nak cari kerajaan yang cakna begini, pusing seluruh dunia pun tuan-tuan tidak akan jumpa seperti apa yang dilakukan oleh pucuk pimpinan kita ,” katanya di hadapan lebih 500 nelayan yang membanjiri dewan SMK Losong.

Dato’ Wan Ahmad Farid merupakan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu turut mengingatkan nelayan supaya tidak lupa berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tidak memilih bulu ketika memberi bantuan.

“Kita perlu kekalkan kerajaan memerintah hari ini agar segala bentuk bantuan terus terus diterima oleh tuan-tuan dan sokong BN dalam pilihanraya akan datang ,” katanya.