Halaman

13 June 2011

Siti Rajiah dominasi ganjaran tertinggi

Oleh: Aida Abd Rahman



Ratu kanu Terengganu, Siti Rajiah Ali sekali lagi menjadi tumpuan apabila membolot enam pingat emas bagi acara sukan air di temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-14 Kuala Lumpur 2011 yang berakhir semalam.

Walaupun gagal menyamai penampilan cemerlang ketika Sukma Melaka tahun lalu dengan kelebihan satu pingat emas, Olahragawati Harapan Terengganu 2009/2010 itu masih unggul mempertahankan gelaran atlet yang berjaya meraih pingat terbanyak pada edisi Sukma kali ini.
Malah, anak kelahiran Marang itu juga bakal menerima imbuhan tertinggi iaitu RM30,000 keseluruhan daripada kerajaan negeri hasil kejayaannya yang diraihnya secara individu serta berpasukan.

Bagi setiap pingat emas yang berjaya dikutip atlet Terengganu yang sah bergelar juara Sukma kali ini layak menerima RM5,000.

Acara kanu yang berlangsung tiga hari di Kompleks Sukan Air Putrajaya membawa atlet berusia 21 tahun itu mengutip dua emas menerusi acara K1 200 meter wanita dengan catatan 55.191 saat, manakala satu lagi pingat emas diperolehnya dalam acara K4 200 meter hasil gandingan bersama Abidah Nor Azaha, Norazlina Tajudin dan Nurul Farahim Wahab (47.909 saat).

Terdahulu, pendayung kelahiran Marang itu memperoleh pingat emas menerusi acara K1 1000 meter, K4 1000 meter, K1 500 meter dan K4 500 meter.

Sementara itu, rakan-rakan sepasukan Siti Rajiah turut cemerlang apabila menyumbangkan tiga lagi pingat emas untuk Terengganu bagi mengukuhkan kedudukan di tangga teratas pungutan pingat.

“Saya gembira dengan kejayaan yang diperoleh kali ini tetapi sedikit kecewa kerana gagal menyamai pencapaian yang saya lakar pada Sukma di Melaka tahun lalu.

“Ketika itu, saya berjaya meraih tujuh pingat emas, namun tahun ini hanya enam pingat emas sahaja,” kata Siti Rajiah.

Terengganu memonopoli acara kanu dan mendayung pada temasya kali ini apabila berjaya menuai 17 pingat emas (12 kanu, lima mendayung), dua perak (kanu) dan lima gangsa (dua kanu dan tiga mendayung).



12 June 2011

Terengganu jadi tarikan rali perahu layar dunia

Oleh: Esah Abdullah

Terengganu mempunyai kemudahan marina bertaraf antarabangsa dengan menyediakan kemudahan pelayar dari seluruh dunia termasuk penganjuran sukan Piala Monsun yang diadakan di negeri ini.


“Penganjuran rali perahu layar ini dijangka mampu mempromosikan pelancongan marin di perairan negara terutama di pantai timur,” - YB Datuk Haji Abdul Rahin Mohd Said

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Datuk Haji Abdul Rahin Mohd Said berkata, rekod kedatangan dan penyertaan perayu layar ke negeri ini meningkat setiap tahun.

“Ini dapat diihat pada penganjuran 2008, 10 perahu layar dengan 20 pelayar manakala tahun lalu meningkat kepada 40 perahu layar dengan 80 pelayar,” katanya di majlis makan malam meraikan peserta Sail Malaysia Passage To The East (SMPTTE) di Ri-Yaz Heritage Resort & Spa Pulau Duyung, Kuala Terengganu.

Katanya, 35 perahu layar SMPTTE membabitkan 60 pelayar dari serata pelusuk dunia singgah di Bandaraya Kuala Terengganu sebelum berlepas ke Sarawak.

“Penganjuran rali perahu layar ini dijangka mampu mempromosikan pelancongan marin di perairan negara terutama di pantai timur,” katanya.

Selain itu katanya, program ini juga mampu menjadi platform bagi perkenalkan laluan pelayaran baru terutama di negeri ini yang belum diteroka sepenuhnya oleh komuniti pelayar antarabangsa.

Katanya, usaha dilakukan ini boleh memperkenalkan destinasi pelayar yang masih belum dikenali ramai memandangkan laluan di Laut China Selatan bukan laluan utama pelayar.





Kejuaraan berganda milik Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Impian Terengganu untuk muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) Ke-14 Kuala Lumpur, akhirnya terlaksana apabila skuad bola baling melengkapkan pingat emas ke-30 buat kontinjen `Hanelang’ pulang ceria.

Selain Sukma, Terengganu terlebih dahulu berjaya menewaskan Kelantan, dalam saingan akhir perebutan Piala FA yang berlangsung sengit, di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam, sekaligus menceriakan seluruh rakyat serta kepimpinan negeri yang menanti piala itu sejak 11 tahun lalu.
Sehingga tamat semua acara pada temasya Sukma semalam, juara bertahan dari edisi Sukma 2008 dan Sukma Melaka 2010, Terengganu terus kekal di tangga teratas kutipan pingat keseluruhan dengan meraih 28 emas, tujuh perak dan 12 gangsa diikuti Selangor (24, 18, 27) dan Johor (21, 20, 11).

Skuad sofbol wanita menghadiah pingat emas ke-29 buat Terengganu sebelum bola baling menamatkan penguasaan Terengganu dengan menghadiahkan pingat emas terakhir, petang ini yang menjadikan pungutan pingat secara mutlak berjumlah 50 dengan 30 emas dan masing-masing lapan perak serta 12 gangsa.

Terengganu mencapai 23.26 peratus daripada keseluruhan 129 pingat emas yang ditawarkan dalam Sukma kali ini.

Sebelum ini, perebutan untuk bergelar juara keseluruhan lebih terarah kepada Terengganu dan Selangor yang dipisahkan menerusi empat pingat emas.

Selangor kekal di tangga kedua dengan pungutan 26 emas, 18 perak dan 28 gangsa. Pingat emas terakhir diraih kontinjen itu menerusi sofbol lelaki dan bola baling wanita.

Manakala Johor di tangga ketiga dengan 21 emas, 20 perak dan 12 gangsa, diikuti Negeri Sembilan di kedudukan keempat 16 emas, 11 perak dan 19 gangsa.

Berbanding dengan edisi sebelum ini, Sukan Malaysia yang bermula secara temasya tahunan mulai tahun ini dengan berselang seli dianjurkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan negeri-negeri, hanya mempertandingkan 19 acara pilihan.

Acara penutup temasya sepuluh hari itu akan disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek di Stadium Mini MSN di Bukit Jalil, malam ini.

TERENGGANU HANELANG!!!





Kota London jadi kenyataan

Oleh: Aida Abd Rahman


Irfan Bakti Abu Salim

Impian pemain Terengganu untuk melancong ke Kota London sebagaimana dijanjikan Kerajaan Terengganu pastinya menjadi kenyataan selepas memenangi Piala FA dalam perlawanan sengit menentang Kelantan yang berkesudahan 2-1, di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berjanji membawa skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim melawat kota kosmopolitan itu selepas melancarkan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Terengganu Sukma Ke-14 Kuala Lumpur 2011, di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, pada 30 Mei lalu.

Malah, kenyataan yang sama terus diungkapkan Menteri Besar dalam pelbagai majlis rasmi serta sebagai menjawab pertanyaan media apabila mengulas mengenai perkembangan sukan bola sepak negeri.

Dato’ Seri Haji Ahmad yang ditemui media di pintu masuk ruang kenamaan Stadium Bukit Jalil sebelum wisel permulaan perlawanan final antara Terengganu dan kelantan, semalam turut menegaskan pendirian beliau untuk memberikan ganjaran itu tidak berubah .

Beliau yang ditemani isteri, Toh Puan Seri Norliza Mahmud berkata, insentif lain juga akan difikirkan kemudian bersesuaian dengan pencapaian pasukan Terengganu pada perlawanan berkenaan.

“Setakat ini apa yang kita putuskan tempoh hari tidak berubah. Untuk seterusnya saya tidak boleh beri sebarang komen lagi, biar Terengganu menang dahulu,” katanya lagi.

Malah, berbaki dua lagi perlawanan dalam Liga Super yang menyaksikan Terengganu kini berada di tangga ketiga liga,Kerajaan Terengganu masih mengharapkan pasukan Peteh mampu menjuarai liga berprestij itu sekaligus habuan mengellilingi Eropah menanti pasukan berkenaan.




Maidam terima bayaran zakat perniagaan

Oleh: Suriati Ali

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu menerima bayaran zakat perniagaan daripada Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) di majlis berasingan baru-baru ni.



BIMB dengan diwakili Pengarah Urusannya Datuk Seri Mohd Zukri Samat, menyerahkan zakat perniagaan 2010 berjumlah RM 390,000.00 kepada Pegawai Eksekutif Maidam Tuan Haji Wan Harujan Sulaiman, dengan disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Mejar Jeneral (B) Dato' Seri Haji Jamil Khir Baharom di Hotel Istana, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Manakala BSN pula menyerahkan zakat perniagaan bagi tempoh yang sama sebanyak RM45,667.00 di pejabat Maidam.

Maidam mengucapkan jutaan terima kasih kepada kedua-dua bank itu yang sudah melaksanakan kewajipan dan megharapkan perniagaan syarikat masing-masing terus maju dan berkembang pesat.


Rakyat diminta bijak memilih antara kaca dan permata

Oleh: Suriati Ali

Rakyat yang hidup selesa hasil sikap cakna kerajaan dan pemimpin di saran perlu bijak memilih antara kaca dan permata.


Timbalan Pengarah Unit Komunikasi Negeri (Ukom), Ruslan Abdul Rahman.

Timbalan Pengarah Unit Komunikasi Negeri (Ukom), Ruslan Abdul Rahman berkata, pelbagai kaedah dilaksanakan kerajaan negeri termasuk membelanjakan jutaan ringgit setahun untuk kecemerlangan pelajar, pelbagai jenis bantuan dan kebajikan semata-mata untuk keselesaan rakyat.

“Sikap cakna rakyat itu jelas tidak dilaksanakan mereka yang bergelar pemimpin pembangkang di mana sebaliknya hanya pandai menghentam, mengkritik dan menuduh apa yang dilaksanakan kerajaan.

“Kerajaan adalah untuk rakyat, rakyat yang memilih untuk kerajaan, sebab itu kerajaan buat segalanya untuk rakyat sesuai dengan moto `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan,” katanya ketika menjadi tetamu Terengganufm, hari ini (12 Jun).

Ruslan turut memberitahu, media baru seperti blog, facebook dan twitter adalah satu cabaran kepada masyarakat hari ini sama ada untuk mempercayai berita benar, palsu atau fitnah semata-mata.

“Kebenaran sesuatu berita cukup penting, oleh itu mereka diingatkan supaya tidak mudah mempercayai pelbagai berita karut dan fitnah yang banyak dipaparkan pembangkang.

“Ukom antara agensi kerajaan yang bertanggungjawab menghebahkan pelbagai maklumat terkini dan tepat berkaitan program kerajaan dan jabatan,” katanya.

Cukup mudah untuk mengetahui maklumat terkini dan tepat mengenai kerajaan, mereka hanya perlu klik www.terengganu.gov.my dan http://teganukita.blogspot.com.


YPU dan DPPMT bantu usahawan Bumiputra

Oleh: Esah Abdullah

Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) kerjasama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Terengganu (DPPMT) membuat sasaran membuka 20 rangkaian kedai barangan perkakasan T-Hardware di seluruh negeri tahun ini.

Di samping 20 buah T-Hardware, sebuah gudang utama dikenali sebagai Bina Trade akan dibangunkan di kawasan berhampiran Pelabuhan Kemaman.

Daerah Kemaman dilihat sesuai dijadikan tapak gudang utama untuk kemudahan logistik dan simpanan barangan import yang tiba di pelabuhan itu sebelum diagihkan ke semua T-Hardware di daerah-daerah lain.

Menurut Yang Dipertua DPPMT, Tengku Ismail Tengku Jaafar, matlamat DPPMT adalah untuk membantu usahawan Bumiputra terbabit dalam perniaga yang berdaya maju.

“Dengan penglibatan rangkaian kedai T-Hardware mereka mampu menjana pendapatan sehingga RM5 juta setahun sekiranya konsep yang disasarkan itu terlaksana,” katanya.

Katanya, rangkaian T-Hardware kebih tersusun dan teratur berbanding kedai perkakasan sedia ada dan kos pembukaan setiap premis dianggarkan RM200,000 manakala gudang utama RM2 juta.

Selain itu katanya, jika pelaksanaan rangkaian kedai berkenaan berjaya mencapai sasaran jualan, ia akan dijadikan model serta diperluas ke seluruh negara di mana usahawan Bumiputra baru dan pengusaha kedai perkakasan sedia ada akan diberi peluang menyertainya.





Terengganu jadi lokasi penamat LTDL 2012

Oleh: Aida Abd Rahman

Sesuai sebagai status negeri yang menjadi `kilang’ melahirkan jaguh sukan berbasikal negara dan mampu mengharumkan nama di persada antarabangsa, Terengganu diberi penghormatan apabila buat pertama kalinya dipilih sebagai destinasi terakhir perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012.

Sebelum ini, perlumbaan berprestij yang disertai pelumba seluruh dunia itu ditamatkan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.



Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pemilihan Terengganu dibuat sebagai memberi penghormatan kepada negeri itu atas usaha dan pelaburan mereka dalam menghasilkan ramai pelumba negara dalam acara trek dan lebuh raya.

“Penghormatan ini menjadi cabaran kepada negeri lain supaya mempunyai program pembangunan masing-masing dalam usaha mencungkil bakat baru dalam sukan berbasikal,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Imej dan Pengumuman laluan LTdL 2012, di Putrajaya, Selangor, Khamis lalu.

Dalam majlis itu turut berlangsung pertukaran memorandum persefahaman antara Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan wakil dari dua pasukan ProTour, Team garmin-Cervelo dan Pro Team Astana.

Malah, penganjuran tahun depan turut mempertandingkan kembali acara Ujian Masa Individu 20.3 kilometer (km) yang menjadi ujian getir setiap pelumba.

Dato’ Seri Ahmad Shabery berkata, penganjuran edisi ke-17 tidak melibatkan kos tinggi berbanding sebelum ini berikutan tidak melibatkan perlumbaan di Pulau Langkawi.

“LTdL adalah jenama dan tidak semestinya kerana namanya Le Tour de Langkawi jadi kita harus melalui Langkawi. Bagaimanapun, kita tetap akan adakan perlumbaan di pulau terbabit berselang-seli. Contohnya pada 2011 kita ke Langkawi, jadi 2012 kita beri peluang kepada negeri lain dan 2013 kita kembali ke pulau itu,” katanya.

Cabaran edisi ke-17 melibatkan perlumbaan sejauh 1,414.8km bermula dari Putrajaya pada 24 Februari hingga 4 Mac di Kuala Terengganu yang juga tuan rumah tiga peringkat bagi peringkat ke-8, 9 dan terakhir, 10.

Sebanyak 22 pasukan profesional termasuk tiga pasukan tempatan yang juga skuad kebangsaan termasuk Terengganu Cycling Team (TSG) dan Le Tua Cycling Team bakal membawa cabaran negara dalam LTdL yang bertemakan `Ready For The Wold' musim depan itu.





Piala FA 2011 milik Terengganu!

Oleh: Aida Abd Rahman



Akhirnya kemenangan mutlak milik Terengganu yang menamatkan kemarau selama 11 tahun untuk menjulang Piala FA selepas menumpaskan Kelantan 2-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung penuh dramatik, di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Pemain gantian, Ahmad Nordin Alias yang masuk menggantikan Ismail Faruqi muncul wira pasukan Penyu apabila berjaya menjaringkan gol penentuan kemenangan pada masa tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat dengan jaringan 1-1 selepas tempoh 90 minit berakhir.



Kali terakhir Terengganu menjulang trofi itu ialah pada 2000 setelah menewaskan Pulau Pinang melalui sepakan penalti 5-3 apabila kedudukan terikat 1-1 setelah tamat masa tambahan.



Beraksi dengan disaksikan kira-kira 85,000 penyokong kedua-dua pasukan, Terengganu dan Kelantan bermula garang apabila masing-masing saling berbalas serangan dan perlawanan yang seimbang turut mengheret sehingga ke minit -79 untuk Kelantan memecah kebuntuan dengan gol pendahuluan.

Mohd Nurul Azwan Roya, menghadiahkan gol pertama itu untuk skuad `The Red Warrior’ ceria buat seketika.

Sebelum itu, skuad anak didik Irfan Bakti Abu Salim berpeluang mendapat gol awal pada minit ke-20 menerusi penyerang sensasi, Abdul Hadi Yahaya yang membuat sepakan percubaan dari dalam kotak penalti, namun ketangkasan penjaga gol Kebangsaan yang menjaga gawang Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat menafikan cubaan itu.

Malah, Kelantan turut mendapat peluang terbaiknya pada minit ke-40 tetapi sepakan kencang penyerang berbisa Norshahrul Idlan Talaha berjaya ditepis keluar penjaga gawang Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli.

Pada minit ke-68, anak didik Datuk M. Karathu gagal menyudahkan peluang terbaik apabila penjaga gol skuad Penyu 'lemas' dan gagal menangkap kemas percubaan Mohd Ramzul.

Jaringan pertama kelantan langsung tidak mematahkan semangat juang pemain Terengganu yang tangkas bangkit mengatur serangan untuk memaksa Kelantan bertahan, dan hasilnya skuad Penyu memperolehi gol penyamaan pada masa kecederaan hasil kesilapan pemain pertahanan negeri Cik Siti Wan Kembang, Daudsu yang tertanduk bola ke gawang sendiri.

Kedudukan itu membawa pertarungan ke masa tambahan, sebelum Terengganu menamatkan impian pasukan lawan untuk bergelar juara FA buat kali pertama menerusi jaringan Ahmad Nordin yang menggegarkan stadium khususnya di bahagian penyokong hitam putih .

Kemenangan yang dinantikan seluruh rakyat Terengganu itu lebih istimewa apabila menjadi hadiah bagi meraikan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada Sabtu lalu. Baginda turut berkenan menyaksikan perlawanan sekaligus menyampaikan trofi kemenangan kepada pemain kedua-dua pasukan.

Turut hadir, dua pemimpin utama berasal dari Terengganu, Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Haji Ahmad Said.

Sementara ketua pasukan Terengganu, Mohd Mazuki Yusof dinobatkan selaku sebagai pemain terbaik perlawanan akhir itu.

Pasukan Terengganu mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi penjulang terakhir trofi yang diperkenalkan pada 2005 sebelum trofi baru bakal diperkenalkan untuk edisi musim depan.

Syabas Terengganu...Kuasa Baru Sukan Negara!




Imbuhan suntik semangat genggam Piala FA

Oleh: Aida Abd Rahman



Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu (Peteh) berjanji akan memberi imbuhan RM1,000 kepada setiap pemain sekiranya pasukan negeri itu berjaya menjadi juara Piala FA musim ini.


Semalam, sah Terengganu menggengam antara piala berprestij dalam arena bola sepak negara itu selepas menewaskan negeri jiran, Kelantan dengan keputusan 2-1, dalam persaingan penuh mendebarkan, di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Skuad Penyu menamatkan kemarau 11 tahun untuk membawa pulang piala yang dinanti-nantikan seluruh rakyat Terengganu dan dihadiahkan sempena Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Setiausaha Peteh, Encik Wan Mohd Azmi Wan Ngah berkata , selain imbuhan RM1,000 yang bakal diterima setiap pemain, mereka juga akan mengadakan jamuan besar-besaran sebagai meraikan kemenangan Terengganu itu.



Katanya, walaupun jumlah itu tidak besar dibandingkan usaha dan penat lelah pemain, langkah itu tetap menjadi antara sumbangan Kelab Peteh sebagai tanda penghargaan dan suntikan semangat kepada pemain berjuang berhabis-habisan pada perlawanan akhir yang memihak kepada pasukan kendalian Irfan Bakti Bakti Abu Salim itu.

Kelab Peteh menyediakan tujuh buah bas untuk membawa penyokong dan ahli kelab ke Stadium Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur untuk memberi sokongan kepada pasukan mereka.

Dalam pada itu, sokongan terhadap pemain Terengganu turut diberikan pelbagai pihak lain termasuk seorang ahli korporat di negeri ini yang menaja sepasang but baru kepada setiap pemain yang digunakan ketika beraksi semalam.

Terengganu hebat!