Halaman

15 June 2011

Program Bicara 1Malaysia dapat tingkat pengetahuan

Oleh: Suriati Ali dan Azwa Shasuddin (Pelatih UPM)



Pendekatan Jabatan Penerangan Terengganu dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hwa Wei Sin menganjurkan program Bicara 1Malaysia bukan sahaja mampu meningkatkan pengetahuan malah dapat mengukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat termasuk pelajar.

Kira-kira 200 pelajar dari sekolah itu terlibat dengan penganjuran program yang bertujuan meningkatkan pemahaman mengenai konsep dan gagasan 1Malaysia.



Peserta program yang juga pelajar tingkatan Empat, Lee Yi Xian, berkata penganjuran program seperti ini memberi manfaat berguna kepada setiap peserta terutama berkaitan erti perpaduan.

“Saya akan ingat pesan penceramah yang menyarankan supaya jangan merosakkan perpaduan dan kedamaian yang dinikmati seluruh rakyat Malaysia,” katanya.



Pelajar Arwin Suresh, 16, berkata dia mempunyai ramai rakan yang berlainan agama dan bangsa. Kepelbagaian kaum ini tidak menjadi halangan kepadanya untuk menyesuaikan diri ketika berkawan dan memahami sesuatu perkara.

“Setiap pelajar patut memahami pengertian gagasan 1Malaysia seperti apa yang dihebahkan Perdana Menteri dan pemimpin setempat,” katanya yang berdarah campuran India dan China.


Pensyarah UniSZA raih Anugerah Berinovasi Tinggi

Oleh: Aida Abd Rahman

Penyelidikan bertajuk `Robust Diagnostic F for the Identification of Outliers in the Fixed Effect Panel Data Model' yang dihasilkan seorang pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), berjaya meraih Anugerah Penyelidikan Berinovasi Tinggi pada Seminar Kebangsaan Pasca Siswazah Statistik, Institut Statistik Malaysia (ISM),baru-baru ini.



Pensyarah berkenaan,Puan Nor Mazlina Abu Bakar, 39, berasal dari Kampung Kuala Ibai, Kuala Terengganu menghasilkan penyelidikan itu bersama Pensyarah Institut Penyelidikan Matematik, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Habshah Midi.
Puan Nor Mazlina berkata, penyelidikan itu merupakan sebahagian daripada penyelidikan peringkat Doktor Falsafah (PhD) beliau dengan Dr. Habshah yang juga bertindak sebagai penasihat pengajian PhD beliau.

"Penyelidikan yang kami hasilkan adalah penggabungan kaedah statistik teguh dan kaedah diagnostik bagi mengenal pasti data-data terpencil.

"Hasil penggabungan kedua-dua kaedah itu ternyata mempunyai impak yang besar dan berjaya menarik perhatian panel hakim dalam seminar itu," katanya.


Menurut Nor Mazlina, kajian yang lebih mendalam sedang dijalankan bagi menambah baik hasil kajian sedia ada dan seterusnya mengaplikasikannya dalam bidang ekonometrik.

"Dengan anugerah berkenaan, ia akan dikongsi bersama dengan penuntut di UniSZA sebagai panduan dalam penyelidikan pelbagai bidang statistik dan memberi lebih pendedahan tentang penggunaan ilmu itu dalam industri.

"Ia juga selaras dengan peranan UniSZA untuk melahirkan lebih banyak kajian dan penyelidikan dalam pelbagai disiplin ilmu," katanya.

Program ilmu anjuran ISM itu diadakan di Pusat Asasi Sains, Universiti Malaya yang turut disertai hampir 300 peserta lain termasuk dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Utara Malaysia dan Universti Teknologi Mara.

Seminar bertema Memperkasakan Ahli Statistik dalam Membuat Keputusan bertujuan menyediakan satu platform bagi ahli akademik dan pemain industri berkongsi penyelidikan dalam bidang berkenaan.


Ulamak dapat terima kebaikan kerajaan- Haji Khazan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri tidak pernah bimbang untuk melahirkan lebih ramai ulamak dan pemimpin agama dalam negeri serta negara kita walaupun ada pihak beranggapan golongan itu lebih cenderung untuk menyokong parti pembangkang.

“Lazimnya ramai yang mengatakan orang yang belajar agama lebih cenderung kepada pembangkang, namun pada pandangan saya dan pendirian kerajaan semakin seseorang faham mengenai agama (Islam), semakin seseorang akan memahami serta dapat menerima apa sahaja kebaikan yang dilaksanakan oleh kerajaan hari ini,” katanya Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan kitabMatla' al-Badrain Wa Majma' al-Bahrain dan tujuh buku baru terbitan Yayasan Islam Terengganu (YIT) dengan kerjasama Kerajaan Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Muhammad Ramli Nuh dan Pengarah YIT, Haji Md Kamaru Al-Amin Ismail.

YB Haji Khazan berkata, perkembangan itu juga memperlihatkan bahawa sejak dulu lagi Kerajaan Barisan Nasional dan Umno tidak pernah kekurangan ulamak yang sentiasa mendukung segala hasrat dan misi kerajaan sehinga berjaya melaksanakan segala pembangunan bersandarkan syariat Islam.

“Perkembangan mutakhir yang ditunjukkan dalam pembangkang, apa yang dilaksanakan kerajaan negeri kini menepati sert a tidak bercanggah dengan agama. Dulu mereka kata tidak boleh bekerjasama dengan orang bukan Islam, bagaimanapun kini mereka pun buat,”katanya lagi.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa peka dengan pendidikan dan pelaksanaan syariat agama yang menepati dengan konteks negara serta ianya boleh dinilai berdasarkan kepada pelbagai perubahan yang memberi manfaat kepada masyarakat sehingga kini.

Menurutnya, pelbagai tuduhan yang dilontarkan oleh pembangkang kepada kerajaan, namun kerajaan tetap konsisten sejak dulu lagi bagi melaksanakan pendidikan serta syariat agama dalam sistem pentadbiran termasuk memperbaharui sistem kewangan, perbankan dan memperkenalkan bank Islam.

“Boleh dikatakan semua sistem bank yang satu masa dulu mengamalkan sistem konvensional mengubahnya kepada perbankan Islam dalam perkhidmatan mereka kerana sistem itu lebih baik, adil dan dapat diterima oleh masyarakat,” katanya.

Malah, negara kita juga mendahului negara lain dalam memperkenalkan sistem pajak gadai Islam, ar-Rahnu dan insurans Islam.




14 June 2011

Kerajaan negeri adil dan saksama

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Adil dan saksama – Itulah kesimpulan yang dapat dibuat hasil pengumuman Menteri Besar, Dato’ Haji Ahmad Said, ketika meraikan skuad Penyu yang meraih Piala FA dan atlet Terengganu yang menjuarai Sukan Malaysia (Sukma) XVI.

Pada majlis itu, pemain bolasepak Terengganu kegirangan apabila Menteri Besar mengumumkan ‘durian runtuh’ RM10,000 bagi setiap pemain dan jurulatih di samping lawatan ke London seperti yang dijanjikan sebelum ini.

Selain itu, setiap pemain juga akan dihadiahkan komputer riba setiap orang, sumbangan Syarikat Top IT, sebuah anak syarikat negeri.

Manakala atlet yang turut mengharumkan nama negeri setelah muncul juara Sukma buat kali ketiga berturut-turut akan menerima wang tunai RM5,000 bagi setiap pingat emas yang dimenangi, perak RM3,000 dan gangsa RM2,000.

Pada majlis itu juga Menteri Besar membuat pengumuman yang amat dinanti-nantikan seluruh rakyat Terengganu, yang berbunyi:

“Dengan kuasa yang ada pada saya sebagai Menteri Besar, dengan ini saya mengumumkan bahawa hari Ahad ini (19 Jun) sebagai cuti umum bagi meraikan kejayaan atlet kita,”.

Pengumuman beliau itu disambut sorakan dan tepukan gemuruh lebih 7,000 penduduk tempatan yang membanjiri Dataran Shahbandar bagi sama-sama meraikan skuad Terengganu dan para atlet tempatan yang berjaya mengarumkan nama negeri ini.

Menteri Besar yang bergegas pulang dari Kuala Lumpur semata-mata untuk meraikan skuad ‘Penyu’ dan para atlet itu ternyata begitu gembira dengan kejayaan berganda ahli sukan negeri ini.

Dato’ Haji Ahmad menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak pernah lokek untuk memberi pengiktirafan kepada mereka yang berjaya dalam segala bidang, terutama pelajaran dan sukan.

Ini terbukti apabila beberapa ahli sukan seperti Azizulhasni Awang dan Anwar Manan yang mengukir nama dalam sukan lumba basikal di peringkat antarabangsa, masing-masing sudah menerima habuan daripada kerajaan negeri.

Malah, Menteri Besar memberi jaminan kerajaan negeri akan menghulurkan pelbagai bantuan yang mereka perlukan bagi memastikan mereka dapat mencipta kejayaan lebih besar di masa depan.

Itulah sepintas lalu gambaran kecaknaan kerajaan negeri terhadap mereka yang berjasa dan bukan saja jasa mereka dikenang, rakyat turut menumpang bangga dan mereka sepatutnya diberi cuti umum sebagai tanda sokongan kepada para atlet yang telah berjaya.

Dewan serbaguna untuk komuniti Tionghua Kemaman

Oleh: Aida Abd Rahman/ Hazwan Rosli


Dato' Seri Haji Ahmad Said ketika hadir pada majlis perasmian Dewan Komuniti Tionghua Kemaman. - Foto: ZULKIPLI PUTRA.

Keprihatinan kerajaan negeri terhadap semua kaum terbukti apabila menyediakan dewan serba guna untuk kegunaan masyarakat Tionghua di Kemaman.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata Kerajaan Negeri prihatin dengan keperluan penduduk kaum Cina di Kemaman yang mengalami masalah untuk mengadakan pelbagai majlis dan aktiviti keramaian termasuk perkahwinan.

“Kita luluskan peruntukan untuk membina sebuah dewan serba guna berharga lebih RM3.8 juta untuk mereka. Cuma, apa yang kita harapkan penduduk Cina tidak mudah terpengaruh dengan fitnah dan dakyah pembangkang sebaliknya terus memberikan sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya ketika merasmikan Dewan Komuniti Tionghua Kemaman, di Kampung Bukit Mak Dayang, Kemaman, baru-baru ini.



Menteri Besar berharap pengorbanan kerajaan dapat dinilai penduduk serta terus menyokong kerajaan negeri tanpa berbelah bagi terutama dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Lebih menggembirakan, pada majlis itu, Dato' Seri Haji Ahmad turut mengumumkan kelulusan peruntukan tambahan RM100,000 untuk membuat penambahan dan pengubahsuaian pendingin hawa di dewan berkenaan yang siap awal tahun ini dan berharap ia dapat memberikan manfaat kepada warga Tionghua di daerah ini khususnya.


Sementara itu, kewujudan dewan serba guna berkenaan diterima dengan penuh gembira oleh kira-kira 2,000 penduduk Tionghua di daerah ini kerana penantian sejak lebih 20 tahun lalu akhirnya terealisasi.

Dewan yang menyediakan kelengkapan gelanggang badminton, futsal dan sepak takraw itu juga boleh digunakan sebagai tempat perkahwinan masyarakat Cina serta penganjuran acara kemasyarakatan.


Menara berkembar 30 tingkat di Kuala Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu bakal memiliki satu mercu tanda baru apabila kerajaan negeri merancang membina menara berkembar setinggi 30 tingkat di kawasan zon strategik dalam bandar raya Kuala Terengganu, tidak lama lagi.

Setiausaha Kerajaan negeri Dato’ Mazlan Ngah, berkata menara berkembar akan dibina di sebuah kawasan seluas 16.2 hektar dengan menelan belanja beratus juta ringgit.

Katanya, bangunan itu nanti bakal menempatkan pejabat Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Yayasan Terengganu (YT), Yayasan Pembangunan Keluarga dan Yayasan Islam Terengganu di bawah satu bumbung.
“Secara dasarnya kerajaan negeri sudah bersetuju membina dua menara di bandar dalam Rancangan Malaysia Ke-10,” katanya selepas pelancaran Pelan Strategik Yayasan Terengganu 2011-2015, di Bangunan YT, Kuala Terengganu, semalam.

Mengenai pelan strategik YT, beliau berkata agensi itu akan menjadi badan berkanun pertama di Pantai Timur mengadakan kerjasama dengan Arkib Negara.

Selain itu, Yayasan Terengganu akan memberi tumpuan dalam sektor pendidikan anak-anak negeri terutamanya bidang doktor pakar.

Untuk rekod, pada tahun ini Yayasan Terengganu akan menghantar seramai 150 calon untuk mengikuti kursus kedoktoran di beberapa negara termasuk Mesir, Rusia, Ireland dan Indonesia.






Terengganu jaga kebajikan atlet

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri menanggung sepenuhnya kos pembedahan dan rawatan tiga atlet Terengganu berjumlah RM46,000 yang mengalami kecederaan serius ketika beraksi dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-14 di Kuala Lumpur.



Timbalan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Encik Ibni Amin Busu berkata, rawatan terbaik diberikan kepada tiga atlet yang telah berjuang mengharumkan nama negeri bersama atlet lain sehingga berjaya mencipta hatrik dengan mempertahankan kejuaraan selama tiga tahun berturut-turut.

Katanya, atlet tersebut adalah Siti Aminah Ahmad dari pasukan bola jaring, Saiful Iskandar Manan dan Mohd Syukri Nawi Judo mewakili pasukan Judo.

“Tiga atlet itu mengalami kecederaan yang agak serius dan memerlukan rawatan rapi, bagi menjaga kebajikan dan kesihatan mereka, kerajaan negeri membuat keputusan untuk memastikan mereka mendapat rawatan terbaik.

“Mereka yang dimasukkan ke Pusat Perubatan Prince Court Kuala Lumpur itu sudah pun selamat menjalani pembedahan dan akan dibenarkan keluar bila-bila masa,” katanya.


TADC ternak ikan air tawar

Oleh: Suriati Ali

Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) mampu mengeluarkan 100 metrik tan ikan air tawar jenis tilapia dan patin hibrid dalam tempoh sebulan.



Pengerusi TADC, Encik Razali Idris berkata pengeluaran projek itu dari semasa ke semasa sentiasa meningkat iaitu pada tahun 2009 sebanyak 85 tan metrik, 96 tan metrik pada 2010 dan 50 tan metrik sehingga Jun 2011.

Katanya, pada masa sama kerajaan negeri meluluskan kawasan seluas 2,800 hektar untuk ternakan ikan dalam sangkar di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

“Sasaran projek akuakultur itu ialah untuk memenuhi pengeluaran makanan negara, dan TADC akan menarik seberapa ramai pengusaha untuk melabur dalam bidang tersebut,” katanya.

“Pasaran utama ikan-ikan itu ialah di Lembah Klang, Negeri Sembilan, Ipoh, Johor Bharu dan Kuala Terengganu, dan berkemungkinan dieksport jika bekalannya mencukupi,” katanya.


Kejayaan hasil kerjasama erat semua pihak – Dato’ Haji Wan Ahamad

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kejayaan Terengganu meraih Piala FA dan juara Sukan Malaysia (Sukma) kali ketiga berturut-turut, dapat dicapai hasil kerjasama erat semua pihak dalam memajukan bidang sukan di negeri ini.


Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda.

Ketua Kontijen Sukma Terengganu, Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda, berkata paling penting bidang sukan di negeri berkembang pesat hasil dana kerajaan negeri yang memberi keutamaan kepada bidang itu setanding dengan sektor lain.

“Kerajaan negeri meletakkan pembangunan sukan di negeri ini setaraf dengan sektor-sektor lain bagi melahirkan atlet-atlet yang cemerlang,” katanya ketika berucap pada majlis meraikan pasukan bolasepak dan atlet Terengganu yang muncul juara Piala FA dan Sukma ke-14, di Dataran Shahbandar, malam tadi.



Dato’ Haji Wan Ahamad yang juga Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), berkata kejayaan yang diraih Terengganu adalah hasil kerjasama semua pihak, termasuk Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Majlis Sukan Negeri, persatuan-persatuan sukan, jurulatih dan ibu bapa atlet.

“Paling penting, atlet sendiri telah berlatih bersunggugh-sungguh bagi memastikan mereka menang dalam acara yang disertai,” katanya.

Beliau berkata, jika kesungguhan mereka berlatih diteruskan, Terengganu akan terus menjadi juara Sukma pada edisi yang akan datang.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu, Dato’ Che Mat Jusoh, berkata pihaknya akan berusaha dengan lebih gigih bagi memastikan pasukan Terengganu akan mencapai lebih banyak kejayaan selepas ini.

Beliau berkata, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said sendiri banyak memberi dorongan dan sokongan kepada skuad Terengganu sejak awal lagi bagi memastikan ia menjadi juara sekurang-kurangnya bagi satu piala.

“Kemenangan Piala FA merupakan satu sejarah bagi pasukan Terengganu kerana pertandingan akhir antara pasukan kita dengan Kelantan telah diiktiraf sebagai perlawanan akhir terbaik dalam sejarah pertandingan bolasepak Malaysia,” ujarnya.

13 June 2011

Terengganu cuti umum Ahad (19 Jun 2011)

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Menteri Besar, Dato’ Haji Ahmad Said mengumumkan Ahad ini (19 Jun 2011) sebagai cuti umum bagi menghargai kejayaan pasukan Terengganu menjuarai Piala FA serta kontijen negeri ini menjuarai Sukan Malaysia (Sukma) XVI.

“Dengan kuasa yang ada pada saya sebagai Menteri Besar, dengan ini saya mengumumkan bahawa hari Ahad ini sebagai cuti umum bagi meraikan kejayaan atlet kita,” katanya sambil diiringi tepukan gemuruh lebih 7,000 orang yang membanjiri Dataran Shahbandar bagi meraikan skuad Terengganu dan atlet yang menyertai kejohanan Sukma dan muncul juara kali ketiga berturut-turut.



Menteri Besar yang begitu gembira dengan kejayaan berganda ahli sukan negeri ini, berkata kerajaan negeri amat berbangga dengan kejayaan mereka dan berharap lebih banyak kejayaan dicipta atlet di masa depan.

“Kerajaan negeri tidak pernah lokek untuk memberi pengiktirafan kepada mereka yang berjaya dalam segala bidang.



“Mereka yang berjaya akan diberi ganjaran yang setimpal dengan kejayaan yang telah mereka capai,” ujar beliau.

Sempena majlis yang dianjurkan kerajaan negeri bagi menghargai sumbangan pasukan bolasepak dan kontijen Sukma itu, beliau turut mengumumkan beberapa ganjaran yang lumayan kepada mereka yang telah berjaya mengharumkan nama negeri.



Beliau turut berharap rakyat negeri ini akan terus memberi sokongan kepada pemain bolasepak dan atlet negeri yang menyertai kejohanan pada masa depan.