Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (Ngo) harus berperanan sebagai sebuah organisasi yang benar-benar dapat memberikan kritikan yang membina kepada kerajaan di samping dapat membina dan memperkasakan pembangunan negara.
Naib Presiden UMNO Malaysia merangkap Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kalau Ngo main peranan berdasarkan perjuangan untuk meraih sokongan rakyat ia harus diterjemahkan dalam acuan yang bersesuaian dengan negara berkenaan.
“Di negara kita berbeza dan tidak ada sejarah sebagaimana luar negara yang dapat memerintah melalui pemberontakan justeru jangan sesekali mencipta sejarah berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Peranan Ngo’s Dalam Menghadapi Isu-isu Semasa dan Membentuk Masa Depan Negara di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), petang semalam.
Hadir sama, Ahli Parlimen (AP) Kulim, Kedah, Dato’ Zulkifli Nordin; AP Padang Serai, Pulau Pinang, N. Gobalakrishnan dan Pengerusi Biro Pengundi Luar dan Ngo’s, Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Senator Datuk Haji Abdul Rahman Bakar.
Katanya, acuan negara kita berbeza dengan negara luar dan kalau mahu merubah kerajaan adalah melalui peti undi dan melalui peranan parti-parti politik.
“Saya tidak fikir Perdana Menteri berniat untuk menahan jika apa yang dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atau mana-mana organisasi atau kerajaan itu baik dan kita tidak perlu mengotorkan peraturan dan undang-undang yang sudah sedia bersih,” katanya.
Kata Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid, apa yang diizinkan oleh perlembagaan adalah perhimpunan secara aman dan bukan perarakkan jalanan, namun jika ia berlaku pada 9 Julai depan anggota keselamatan akan bertindak mengikut undang-undang kepolisian.
“Ingatan dan nasihat sudah diberi oleh banyak pihak, tetapi jika ia tetap berlaku serta menimbulkan kekecohan pihak berkuasa akan mengunakan undang-undang yang ada,” katanya.