Halaman

11 August 2011

Ladang Ketengah keluar 126,591mt hasil sawit setahun

Oleh: Esah Abdullah

Kumpulan Syarikat Ketengah Holding Sdn Bhd memiliki ladang kelapa sawit seluas 6,873 hektar seluruh negeri dengan pengeluaran hasil 126,591 metrik tan (mt) tahun lalu.


Pengurus Besar Ketengah, Dato' Haji Hamzah Ngah

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Dato’ Haji Hamzah Ngah berkata, Kilang Rakyat Ketengah Perwira juga telah berjaya memproses 249,820 mt buah tandan segar (BTS) yang diperolehi daripada ladang-ladang syarikat dan juga dari luar.

Katanya, antara lima ladang milik syarikat, Ketengah Perwira mempunyai ladang sawit paling luas iaitu 2,986 hektar manakala Ketengah Jaya 2,891 hektar, YIT-Ketengah Perwira (715 hektar), Kebunika (142 hektar) dan ladang Ternak Tani (139 hektar).

“Harga purata kasar kelapa sawit yang dapat dicapai tahun lepas sekitar RM639/mt berbanding RM494/mt tahun sebelumnya,” katanya kepada Teganukita.

Menurutnya, peningkatan harga kelapa sawit merupakan faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan keuntungan yang diperolehi di samping kecekapan dalam pengurusan syarikat.

Daripada keuntungan itu katanya, syarikat telah membayar zakat berjumlah RM973,505 berbanding tahun lalu RM443,604 dengan peningkatan sebanyak 119.45 peratus.




PERKIM BESUT TERBAIK DI MALAYSIA

Oleh: Mohammad Ishak


YB Nawi kiri dan Muhammad Pehimi menghadiri majlis berbuka puasa anjuran PERKIM Besut

Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Daerah Besut, dikitiraf oleh Perkim Pusat sebagai yang terbaik di Malaysia kerana berjaya membawa organisasi itu dalam pelbagai aspek termasuk pengurusan dan keaktifan menjalankan aktiviti sepanjang tahun lalu.

Penasihatnya, Nawi Mohamad, berkata beliau bangga kerana pimpinan pertubuhan itu berjaya mengharumkan nama negeri dalam bidang dakwah dan sosial ke peringkat kebangsaan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, berkata kejayaan itu adalah usaha gigih ahli jawatankuasa yang sentiasa berusaha mempelbagaikan aktiviti dakwah dikalangan saudara baru yang menganggotai pertubuhan itu.

Menurutnya, Perkim Besut kini mempunyai lebih 200 ahli di bawah pimpinan Anuar Hassan selaku pengerusi mampu menyampaikan dakwah kepada ahli menerusi kegiatan yang dilaksanakan sepanjang masa.

“Sokongan padu ahli jawatankuasa juga memberi kesan baik sehingga ia diiktiraf sebagai Perkim terbaik peringkat kebangsaan tahun lalu,” katanya pada majlis berbuka bersama ahli jawatankuasa Perkim Besut di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Wilayah Timur, Bukit Keluang, Besut, di sini petang semalam.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Muhammad Pehimi Yusof dan barisan kepimpinan Perkim bersama ahli keluarga mereka.

Sementara itu, Anuar berkata, kejayaan pertubuhan berkenaan memperolehi anugerah peringkat kebangsaan kerana sistem pengurusan yang sistematik dalam pertubuhan selain keupayaan ahli jawatankuasa menjalankan pendekatan dakwah menerusi aktiviti semasa.

Katanya, Perkim Besut bukan sahaja berjaya menarik minat saudara baru dari bangsa Cina, India dan Siam malah usaha juga dilakukan bagi menarik masyarakat Orang Asli mendekati ajaran agama Islam.

“Program berbuka puasa di perkampungan Orang Asli di Hulu Besut serta menganjurkan majlis perkahwinan mengikut budaya Melayu dan ajaran Islam adalah antara program menarik di perkampungan berkenaan,” katanya.

10 August 2011

Kerajaan negeri minta Pusat segera bina hospital baru Dungun.

Oleh : Kamarudin Mat Akib dan Hazwan Roslee


Dalam lawatan kerja ke Hospital Dungun, Ahmad meluangkan masa untuk menziarahi pesakit.

Kerajaan negeri meminta Kerajaan Pusat memberi keutamaan projek pembinaan Hospital Daerah Dungun yang baru kerana hospital sedia ada terlalu sesak.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, masalah kesesakan di Hospital Daerah Dungun terlalu kronik dan tidak lagi sesuai untuk para pesakit.

“Kerajaan negeri sudah menyediakan tapak yang sesuai untuk pembinaan hospital baru berdekatan dengan Bandar Dungun,” katanya kepada wartawan di sini hari ini.


To' Puan Seri Norliza Mahmud, mengagihkan sumbangan makanan dan hamper kepada pesakit.


Sebelum itu, beliau dan isteri To' Puan Seri Norliza Mahmud, mengagihkan sumbangan makanan dan hamper kepada pesakit di hospital berkenaan

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Dungun, Dato’ Rosli Mat Hassan dan pegawai kanan hospital tersebut.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, hospital baru itu sepatutnya dibina melalui Rancangan Malaysia ke-8 (RMK8) tetapi ia ditangguhkan kerana masalah ekonomi negara.

“Kita berharap Kementerian Kesihatan menilai semula keadaan ini dan memasukkan projek pembinaan hospital ini dalam RMK10,”katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri berharap pembinaan hospital ini perlu disegerakan bagi memastikan rakyat mendapat khidmat kebersihan yang terbaik.

Ladang Rakyat bayar zakat berjumlah RM521,709.80

Oleh: Suriati Ali


Majlis penyerahan zakat perniagaan oleh Ladang Rakyat disaksikan Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said.

Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd (Ladang Rakyat) mengeluarkan zakat perniagaan bagi 2010 berjumlah RM521,709.80 iaitu meningkat sebanyak RM362,175.5 daripada zakat yang dikeluarkan 2009.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata bayaran zakat itu dibayar berdasarkan keuntungan bersih yang diperoleh sebelum cukai berjumlah RM33.59 juta.

Katanya, keuntungan bersih ini adalah yang tertinggi pernah dicatatkan syarikat itu sejak penubuhannya pada 2 Ogos 1977.

“Aktiviti utama syarikat adalah perladangan dan pemprosesan kilang sawit membabitkan tiga kawasan iaitu Cheneh Kemaman; Lembah Bidong, Setiu dan Marang atau kawasan seluas 8,000 hektar.

“Melalui aktiviti itu, Ladang Rakyat mampu menyediakan 1,200 peluang pekerjaan di pelbagai sektor,” katanya kepada pemberita selepas mempergerusikan Mesyuarat Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini.

Pengerusi Ladang Rakyat Encik Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata, pihaknya akan terus mencari ruang dan peluang untuk mengembangkan lagi perniagaan untuk terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.

“Sebanyak RM50 juta keuntungan bersih dijangka diperoleh sekiranya harga pasaran kelapa sawit berada dalam keadaan stabil dan memberangsangkan,” katanya.

Encik Wan Ahmad Nizam kemudiannya menyerahkan bayaran zakat perniagaan berjumlah RM521,709.80 kepada Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Sulaiman sambil diperhatikan Dato’ Seri Haji Ahmad Said.


Felda Terengganu lancar Kelab 30 Tan

Oleh FAUZI MOHD

Felda Wilayah Terengganu melancarkan Kelab 30 Tan bagi memastikan setiap peneroka di negeri ini dapat meningkatkan pengeluaran hasil yang diusahakan.


Abd. Malib Abd. Rani

Pengurus Besarnya, Abd. Malib Abd. Rani berkata, penubuhan kelab itu baru-baru ini sebagai galakan kepada pengeluaran hasil yang lebih maksimum selain menambah baik sistem pengurusan sedia ada.

“Kelab 30 Tan ini akan memastikan setiap satu hektar tanah dapat mengeluarkan hasil 30 tan buah sawit dalam jangka masa setahun.

“Setakat ini ahli baru yang menyertai kelab ini adalah seramai 14 orang yang semuanya sudah mencapai sasaran hasil yang ditetapkan pengurusan Felda,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, ahli yang telah menyertai Kelab 30 Tan diharap boleh menjadi contoh kepada peneroka lain bagi Felda seluruh negeri Terengganu dengan mengekalkan pengeluaran hasil maksimum, selain boleh berkongsi pengalaman masing-masing.

“Kita yakin peneroka lain pun boleh mencapai hasil sasaran yang ditetapkan walaupun pada masa ini peneroka Felda Bukit Bading yang paling ramai berbanding peneroka Felda lain.

“Apa yang penting, sasaran ini akan meningkat lebih daripada 100 peratus pada tahun depan dengan keahlian dijangka kira-kira 50 peneroka,” katanya.

Abd. Malib berkata, potensi untuk mencapai hasil itu ada, tetapi paling penting adalah usaha untuk melipatgandakannya ke arah melakukan transformasi baru setiap tahun.

“Tidak mustahil hasil diperoleh sebanyak 20 tan setahun boleh ditingkatkan lagi sebanyak10 tan jika persefahaman daripada peneroka dan usaha yang dilaksanakan oleh pihak Felda sentiasa berterusan,” katanya.

MASJID KAYU SEBERANG JERTIH MERCU TANDA BARU DAERAH BESUT

0leh: Mohammad Ishak


UNIK..Masjid Kayu Seberang Jertih mercu tanda baru syiar Islam di Besut

PEMBINAAN masjid baru Seberang Jertih mencetuskan idea kreatif kini menarik perhatian bukan sahaja di kalangan penduduk setempat malah pelancong asing yang berkunjung ke daerah Besut.

Masjid yang dikenai “Masjid Kayu Seberang Jertih” dibina pada awal 2010 membabitkan kos RM8 juta menjadi mercu tanda baru kepada masyarakat Islam daerah itu kerana seni bina berkonsepkan ciri-ciri Melayu silam.

Pengerusinya, Ayub Jusoh, berkata masjid itu dibina bagi menggantikan masjid lama yang uzur mula digunakan awal bulan ini walaupun kerja-kerja pembinaan belum siap sepenuhnya.

Katanya, umat islam kawasan berkenaan mula memanfaatkan masjid itu sempena mengambil berkat bulan Ramadan.

Menurutnya, masjid itu dianggap unik kerana kerangka bangunan menggunakan 90 peratus kayu cengal dan disesuaikan dengan reka bentuk tradisional Melayu.

Terletak di tepi jalan utama antara Bandar Jertih-Kota Bharu dan Kuala Terengganu, masjid berkenaan sebuah bangunan berbentuk kelasik tetapi kelihatan moden.

Ayub berkata, masjid itu mampu memuatkan kira-kira 800 jemaah dalam sesuatu mangsa lengkap dengan pelbagai kemudahan asas termasuk ruang solat, dewan kuliah,setor dan sebuah kolah besar untuk menyimpan air di hadapan bangunan berkenaan.

“Sesuai dengan kedudukkannya di kawasan strategik pihaknya juga menyediakan landskap bagi menghidupkan suasana hijau di kawasan masjid,” katanya.


Kesuburan wanita Terengganu melebihi paras nasional

Oleh; Esah Abdullah


Kadar kematian ibu bersalin di negeri ini merupakan antara yang terendah di negara ini.- Dato’ Hajah Aminah Abdul Rahman.

Kadar kesuburan wanita di Terengganu jauh lebih tinggi berbanding paras nasional, kata Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dato’ Hajah Aminah Abdul Rahman.

“Kajian menunjukkan 3.3 anak bagi setiap wanita di negeri ini berbanding 2.3 anak untuk Malaysia,” katanya kepada pemberita sebaik selesai memberi taklimat mengenai Dasar Keluarga Negara (DKN) kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said serta Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman hari ini.

Katanya, kadar ini merujuk kepada purata bilangan anak yang dilahirkan seorang wanita semasa subur dari umur 15 hingga 49 tahun.

“Senario ini berlaku disebabkan keinginan mendapatkan anak yang lebih ramai di kalangan penduduk Terengganu di mana hanya 32.4 peratus sahaja wanita yang berkahwin menggunakan kaedah moden untuk menjarakkan kehamilan,” katanya.


Dato' Hajah Aminah Abdul Rahman


Menurut Dato’ Hajah Aminah, kadar kematian ibu bersalin di negeri ini merupakan antara yang terendah di negara ini manakala kadar kematian bayi bawah usia setahun menunjukkan 9.2 setiap seribu kadar kelahiran hidup berbanding paras nasional 6.3 sahaja.

Katanya, melalui DKN dapat membantu kerajaan untu mengambilkira perspektif keluarga dalam pelan Strategik agenda Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan.

“LPPKN akan mengkaji semula dasar-dasar dan peraturan yang tidak mesra keluarga di tempat kerja di samping memberi khidmat sokongan keluarga yang lebih komprehensif terutama dari segi kesihatan wanita dan anak-anak,” katanya.

Katanya, Terengganu merupakan negeri ke-13 yang dikunjungi dalam siri taklimat kepada semua kerajaan negeri mengenai DKN yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 17 Disember tahun lalu.


Puan Nurfarhana Lee Mohd Zukiflee Lee

Hadir sama, Pengarah LPPKN negeri, Puan Nurfarhana Lee Mohd Zukiflee Lee.


Junjung lauk dari rumah ke masjid


Tradisi menjunjung lauk dari rumah ke masjid masih diamalkan oleh penduduk Kampung Gemuroh, Tepoh, pada bulan Ramadan.

Oleh FAUZI MOHD
Gambar HARISH FADZILLAH




Bagi generasi baru, budaya itu cukup asing buat mereka, manakala sebahagian orang-orang tua, apa yang diperhati mampu mengembalikan nostalgia silam yang sudah semakin jauh dari ingatan mereka.

Itulah yang dirakam di Masjid Kampung Gemuruh, Tepoh, petang semalam, apabila tradisi menjunjung lauk dari rumah-rumah ke masjid yang semakin hilang dimamah zaman, dihidupkan kembali.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung itu, Amran Abdullah berkata, ia bukan rutin tahunan mereka setiap kali tibanya bulan Ramadan.

Tetapi katanya, dek kerana kampung itu mahu dikunjungi ramai pemimpin negeri termasuk Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, penduduk di situ bersepakat untuk menjadikan majlis berbuka puasa itu, bukan acara biasa.

“Kami tidak mahu cara memasak gotong-royong diadakan seperti yang biasa dilakukan pada tahun-tahun sebelumnya, tetapi ia perlu dimasak sendiri oleh orang kampung di rumah mereka.

“Dengan cara ini, setiap masyarakat menghantar juadah ke masjid dengan menunya yang pelbagai dan membuatkan semua orang dapat merasa air tangan orang kampung yang diakui memecah liur,” katanya.



Amran ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa peringkat Daerah Kuala Terengganu yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Tepoh, Ustaz Haji Muhammad Ramli Nuh dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail.

Simbolik menyambut ketibaan Menteri Besar dan kenamaan lain, seramai 15 wanita menjunjung talam dengan pelbagai jenis lauk berarak sambil berselawat mengiringi mereka hingga ke meja makan.

Tambah Amran, sekitar tahun 1970-an dulu, jumlah hidangan cukup banyak yang dihantar oleh para isteri membuatkan ruang dalam masjid penuh dengan talam hidangan yang bertutup tudung saji ayaman nipah.

“Jika tidak muat mereka menyusunnya berlapis-lapis di atas talam. Kemudian, setelah semuanya selesai dan setiap satu dihias cantik baru dihantar ke masjid untuk disajikan dalam majlis berbuka puasa beramai-ramai,” katanya.



Jelasnya, majlis yang penuh adat dan cara tradisional itu melibatkan lebih 100 hidangan lauk tradisional dan kuih muih yang dimasak di rumah mengikut kreativiti dan kemampuan masing-masing, dan dibawa ke masjid secara beramai-ramai pada pukul 5.30 petang.

“Antara masakan kampung yang dihidangkan seperti gulai ayam kampung, sayur rebun buluh, acar pisang, gulai telur itik, kerabu jantung pisang dan sambal petai serta kuih tradisional seperti nekbat, puteri mandi, bubur lambuk, lompat tikam dan tapai beras.

“Tradisi unik ini mungkin akan hilang sekiranya generasi baru tidak mengambil jalan menyambung apa yang sudah dilakukan turun temurun oleh datuk nenek kita pada masa dahulu,” ujarnya.

Ketengah sedia RM8.35 juta bina rumah baru

Oleh; Esah Abdullah


Majlis penyerahan zakat Ketengah oleh Dato' Haji Hamzah kepada Maidam diwakili Haji Wan Harujan disaksikan Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said.

Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) menyediakan peruntukan RM8.35 juta untuk membina 123 unit rumah baru pelbagai jenis bagi menampung pertambahan penduduk dalam wilayahnya.

Pengurus Besar Ketengah, Dato’ Haji Hamzah Ngah berkata , sehingga ini Ketengah telah membina 3,940 unit rumah mampu milik bagi keperluan penduduk di empat bandar di wilayahnya.

“Kita mengambil langkah proaktif ini bagi memastikan masalah perumahan di bandar-bandar Ketengah dapat dikurangkan,” katanya kepada pemberita di majlis Berbuka Puasa Ketengah dan Media di Primula Beach Hotel semalam.

Menurutnya, 44 unit rumah kos sederhana dan kos rendah di empat bandar dalam wilayah Ketengah iaitu Bukit Besi (9 unit), Al Muktafi Billah Shah (AMBS) (19 unit), Ketengah Jaya ( (7 unit) dan Ceneh Baharu (9 unit) yang membabitkan kos RM3.531 juta.

“Kita juga akan membina 79 unit rumah teres mampu milik di AMBS (44 unit) dan Ceneh baharu (35 unit) membabitkan kos RM4.819 juta,” katanya.

Selain itu katanya, pembangunan di sekitar bandar AMBS turut menjadi pemangkin kepada keperluan perumahan termasuk pembinaan Asrama Berkelompok Yayasan terengganu (YT) Kolej Ketengah dan institusi kerajaan seperti Jabatan Pelajaran,Bomba dan Penyelamat, Polis dan Jabatan Pengangkutan jalan (JPJ).

“Bandar Ketengah Jaya pula mempunyai penduduk paling ramai ditambah dengan limpahan industri petroleum dan gas begitu juga di Seri Bandi dan Ceneh Baharu,” katanya.

Sehubungan itu katanya,pembinaan Kompleks Penjara, kampus UiTM serta pembinaan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan persimpangan Bukit Besi membawa kesan langsung kepada keperluan perumahan.

“Ketengah akan mempertingkat pembangunan perumahan dari semasa kesemasa bagi memenuhi permintaan penduduk selari dengan usaha pembesaran bandarnya,” katanya.

Katanya, para pelabur, pemaju perumahan dan syarikat termasuk anak syarikat dapat berperanan untuk memajukan bidang perumahan di wilayah Ketengah.