Halaman

14 August 2011

Warga hospital dirai dalam majlis berbuka puasa

Oleh; Esah Abdullah

Kira-kira 2,500 orang kakitangan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), klinik swasta dan keluarga pesakit akan diraikan dalam satu majlis berbuka puasa di perkarangan Klinik Harian Kuala Terengganu pada 27 Ogos depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Timbalan Menteri Kesihatan, YB Dato’ Rosnah Rashid Shirlin dijangka hadir pada majlis yang pertama kali diadakan bagi meraikan petugas di hospital.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Perhubungan Terengganu merangkap Ketua Penerangan Puteri UMNO Pusat, Puan Nordiana Dato’ Shafie berkata, program ini anjuran bersama Persatuan Wanita Melayu Muda (Mawardah) dan Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT).

“Majlis ini antara lain untuk menyatakan penghargaan terhadap kakitangan hospital yang tidak kenal erti jemu melayan pelbagai ragam pesakit ,” katanya kepada Teganukita.

Selain itu katanya, tugas jururawat dan doktor tanpa mengira waktu dan pengorbanan mereka tidak ternilai dengan wang ringgit.

Menteri Besar dan Dato’ Rosnah yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia akan turut mengagihkan 850 hamper kepada semua pesakit bermula di wad satu hingga lapan di HSNZ pada hari berkenaan.




Program kayuhan singgah sahur


Oleh; Esah Abdullah

Pergerakan Pemuda UMNO Perhubungan Negeri Terengganu mempunyai cara tersendiri mendekati masyarakat dengan mengadakan Program Kayuhan Singgah Sahur/Ambang Merdeka 2011 pada 16 Ogos ini.

Ketuanya, Encik Saiful Bahari Dato’ Baharuddin berkata, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dijangka turut serta bersama kira-kira 500 pemuda akan mengayuh basikal sambil mengagihkan juadah untuk bersahur kepada mereka yang bertugas malam.



“Ini termasuklah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), pengawal keselamatan dan petugas hospital kerajaan dan klinik swasta sekitar bandaraya,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, kayuhan akan bermula di Taman Awam Batu Buruk mulai jam 11 malam dan dijangka berakhir dua pagi dengan membawa juadah seperti nasi goreng, kurma dan air zamzam untuk diagihkan.

“Mereka yang menyertai program ini merupakan ahli-ahli Kelab Remaja Terengganu yang menjadi benteng dan pewaris generasi akan datang,” katanya.

Sehubungan itu katanya, mereka diberi pendedahan sedikit demi sedikit mendekati pelbagai golongan masyarakat dengan cara turun padang beramah mesra serta menghulur bantuan kepada yang memerlukannya.

katanya, usaha ini sebahagian daripada pendedahan awal kepada mereka untuk menjadi seorang pemimpin yang peka dan menjaga kebajikan rakyat.




Program Semarak Ramadan meriah



Oleh FAUZI MOHD

Peniaga bazar Ramadan Pekan Manir bertuah apabila menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Dato’ Mohd. Said sempena program Semarak Ramadan Berita Harian-AmIslamic kelmarin.

Kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri Teluk Pasu itu bersama Pengurus Besar Jualan AmIslamic, Dato’ Zainal Abidin Mohamad dan Pengarang Eksekutif Rencana Berita Harian, Zainor Said diserikan dengan penyerahan kemeja T, apron, air mineral sumbangan AmIslamic Bank.

Manakala, Berita Harian turut mengagihkan 500 naskah akhbarnya secara percuma kepada peniaga dan pengunjung bazar itu.

Dalam program itu, AmIslamic turut menymbangkan wang tunai RM5,000, beras dan kurma kepada 50 anak yatim serta ibu tunggal dari kariah Kampung Bukit Baru, manakala Berita Harian menyerahkan sumbangan RM2,000.

Sesi gotong-royong bermula di Masjid Al-Ikhlas di Kampung Banggol Tuan Muda, dengan acara menyembelih lembu sumbangan AmIslamic seawal pukul 8 pagi, diikuti acara memasak juadah berbuka puasa bersama penduduk kampung.

Kemuncak program itu, lebih 500 penduduk setempat menghadiri majlis berbuka puasa di masjid berkenaan yang turut disertai Dato’ Abdul Rahin dan pemimpin masyarakat setempat yang lain.






Tindakan serah semula wang zakat wajar dipuji

Oleh: Suriati Ali

Keprihatinan 21 penerima zakat di negeri ini yang menyerahkan semula wang bantuan tersebut kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sewajarnya dicontohi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, wang bantuan zakat itu perlu diserahkan kembali kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu untuk diagihkan kepada mereka yang benar-benar layak sahaja.

Katanya, semua pihak perlu memberi penekanan serius dalam mengagihkan wang zakat, terutama dengan memastikan setiap penerima adalah golongan asnaf.

"Kalau ada yang rasa mereka tak layak terima zakat, mereka boleh semak terlebih dahulu. Jika tak layak, jangan terima wang zakat.

"Kita tak mahu tanggung dosa orang kerana ini bukan kerana belas kasihan tapi ini berkaitan hukum," katanya.

Maidam memperuntukkan RM15 juta bantuan zakat untuk diagihkan kepada 30,000 orang fakir miskin di seluruh negeri bagi persiapan menyambut Aidilfitri tahun ini.

“Tahun ini kita percepatkan pengagihan bagi memberi peluang golongan fakir miskin dapat membuat persiapan menyambut ketibaan Ramadan dan Hari Raya Puasa,” kataya

Katanya, terdapat dua skim pengagihan yang dibuat Maidam iaitu golongan miskin terdiri daripada mereka yang pendapatan isi rumah RM750 manakala fakir pula pendapatan isi rumah RM450 sebulan.

“Bagi yang mempunyai tanggungan empat orang dan ke atas menerima RM450 manakala mereka mempunyai tanggungan tiga orang ke bawah akan menerima RM350,” katanya.


SME Corp anjur program di Jheat

Oleh: Suriati Ali

SME Corporations Malaysia (SME Corp) Terengganu menganjurkan Mini Showcase Persijilan Halal Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Terengganu di Ruang Legar Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (Jheat) hari ini (14 Ogos).

Pengarah SME Corp Malaysia Terengganu, Mohd. Farid Awang berkata, program sehari itu bertujuan memberi pendedahan dan maklumat kepada orang awam terutama pengusaha IKS mengenai kepentingan dan proses ke arah memperoleh persijilan halal.

Lapan agensi yang berkaitan dengan persijilan halal akan terlibat termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jheat, Jabatan Kesihatan Negeri, Jabatan Kimia, SIRIM, Focus Group Pengurusan Persijilan Halal (FGPPH), SME Corp dan Halal Industri Development Corporation (HDC).



SolarTIF labur RM20 juta di Chendering

Oleh FAUZI MOHD

Syarikat pengeluar panel solar milik bumiputera, SolarTIF Sdn. Bhd. bakal mengembangkan operasi perniagaannya dengan membina kompleks kilang baru di kawasan seluas 1.2 hektar di Chendering, Kuala Terengganu.

Projek yang menelan belanja kira-kira RM20 juta itu bakal dilengkapi pelbagai prasarana dan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2015.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shamsul Ezan Zairi berkata, projek tersebut akan melalui tiga fasa pembinaan dan keseluruhan projek dijangka mengambil masa antara 12 bulan hingga 18 bulan untuk siap.

Tambah beliau, fasa pertama pembinaan membabitkan sebuah blok setinggi empat tingkat yang menempatkan unit pengeluaran.

Fasa kedua pula jelasnya, mengandungi ruang pejabat, asrama, restoran, bangunan latihan manakala untuk fasa ketiga menempatkan surau, kolam renang, rumah rehat dan taman solar.

"Buat masa ini kita sedang dalam proses perundingan dengan pihak-pihak berkenaan termasuk di segi pelepasan pembangunan untuk memajukan tanah dan tanah ini adalah milik kita.

"Jika segala-galanya berjalan lancar, ia akan mula dibina pada tahun depan. Kilang baharu ini hanya terletak 200 meter dari kilang sedia ada di kawasan perindustrian Chendering," katanya di sini baru-baru ini.

Sebaik sahaja kilang itu siap kelak, Shamsul Ezan berkata, pihaknya menyasarkan pengeluaran kira-kira 250,000 panel solar 50 megawatt (mw) dihasilkan pada tahun 2013 manakala kira-kira 500,000 panel solar 100 mw pada 2015.

"Sejak ditubuhkan pada Jun 2007 lalu, syarikat ini mempunyai tiga cawangan operasinya di Serdang dan Bangi di Selangor serta di Chittagong, Bangladesh," ujarnya.


Ladang Rakyat rai 200 anak yatim

Oleh FAUZI MOHD dan NURUL AZIELLA SABERI



Tidak ketinggalan mencari barakah sempena Ramadan ini, Ladang Rakyat Terengganu Sdn. Bhd. meraikan lebih 200 anak yatim dalam majlis berbuka puasa di kediaman Pengerusi syarikat itu di Geliga, Kemaman, petang semalam.

Selain dijamu dengan hidangan pelbagai jenis variasi lauk, anak-anak yatim terbabit turut diberi sumbangan duit raya yang disampaikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud.

Pengerusi anak syarikat kerajaan negeri itu, Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata, program itu sebahagian daripada komitmen syarikat perladangan itu dalam melaksanakan kebajikan sosial kepada masyarakat yang memerlukan perhatian.

“Majlis itu diadakan bagi meraikan golongan anak yatim agar mereka berasa dihargai dan tidak merasa terpinggir dari keperihatinan masyarakat lain khususnya menjelang hari raya nanti.

“Ia juga diharap dapat menarik minat organisasi korporat yang lain untuk turut sama menyalurkan bantuan dalam meringankan beban golongan berkenaan,” ujarnya yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar.

Sejurus majlis itu, Menteri Besar bersama-sama dengan masyarakat setempat menunaikan solat sunat Terawih di Masjid Geliga, Kemaman.










50 Penduduk miskin dari DUN Kota Putera terima sumbangan

Oleh: Mohammad Ishak


Tengku Baharuddin menyampaikan sumbangan makanan kepada seorang penduduk sambil diperhatikan oleh YB Muhammad Pehimi

Seramai 50 golongan miskin dari Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera, menyifatkan diri mereka bertuah kerana dikunjungi seorang kerabat Raja yang sanggup turun padang menemui mereka sempena Ramadan tahun ini.

Kehadiran Seri Paduka Raja, Datuk Seri Tengku Baharuddin Sultan Mahmood bersama rombongan ahli Kelab Permotoran Teranggang (KPT) sesuatu yang ditunggu oleh penduduk kerana bukan mudah untuk bertemu dengan seorang kerabat raja.

Tengku Baharuddin yang juga presiden kelab berkenan bersama 12 penunggang motosikal berkuasa tinggi tiba di Dewan Kampung Tembila dan disambut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Muhammad Pehimi Yusof.

Sempena kunjungan bersejarah itu, Tengku Baharuddin turut menyampaikan sumbangan makanan kepada golongan berkenaan untuk kegunaan sepanjang bulan Ramadan.

Muhammad Pehimi, bagi pihak pennduduk berkata pihaknya amat bangga dengan kunjungan rombongan KPT ke kampung berkenaan sambil menyampaikan sumbangan makanan kepada penduduk kampung.

“Saya menganggap penduduk amat bertuah dan mencatat sejarah tersendiri kerana seorang kerabat raja sangup turun padang dan bersama-sama penduduk kampung,” katanya.

Katanya, penduduk sanggup bersabar menunggu kehadiran rombongan semata-mata ingin melihat ahli KPT yang aktif menjalankan aktiviti kemasyarakatan di negeri ini.

Muhammad Pehimi berkata, dengan pemberian sumbangan makanan itu ia dapat membantu mengurangkan beban golongan terbabit terutama bagi melaksanakan ibadat puasa tahu ini.

13 August 2011

Sekitar Majlis Pembahagian Zakat di Ketengah Jaya dan Pembahagian Dana Raya di Dun Kijal



















Cukuplah menderma untuk PAS

Oleh FAUZI MOHD



Ahli dan penyokong PAS yang rasa tertipu dengan janji pemimpin mereka untuk menubuhkan negara Islam, dinasihatkan supaya tidak lagi membazirkan wang menderma kepada parti itu.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said berkata, ramai penyokong PAS terutamanya di peringkat akar umbi yang selama ini sudah banyak berhabis wang dan harta demi perjuangan parti itu sudah mula berfikir untung nasib mereka.

Katanya, ramai penyokong PAS tersentak dengan sikap gelojoh pemimpin parti itu menggantikan perjuangan negara Islam kepada negara berkebajikan demi meraih habuah lebih besar dengan menawan Putrajaya.

"Pemimpin PAS dilihat makin moden. Selain bernafsu besar untuk memiliki pejabat lebih selesa di Putrajaya, slogan parti mereka dah bertukar, imej dah bertukar, bangunan mereka makin besar dan mesyuarat di hotel-hotel mewah.

"Satu perkara yang masih tidak berubah sejak dulu hingga sekarang iaitu amalan mengutip derma daripada penyokong mereka setiap kali parti itu anjurkan ceramah," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pembahagian dana Hari Raya Aidilfitri kepada lebih 400 penerima di Sekolah Kebangsaan Padang Kubu, Kijal, Kemaman, hari ini. Turut hadir, isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Norliza Mahmud.

Tambah Dato' Seri Ahmad, bagi memastikan parti itu terus bertahan, PAS akan melakukan apa sahaja termasuk memperjudikan kesucian agama Islam, asalkan cita-cita mereka untuk berkuasa tercapai.

"PAS sanggup buat macam-macam. Tukar slogan, tukar Timbalan Presiden lantik Mat Sabu (Mohammad Sabu), buang ulama, buat demontrasi, pakai baju kuning dan sebagainya.

"Itu semuanya kerana mahu menjadikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. PAS tak ada cita-cita pun nak jadi Perdana Menteri. Pemimpin mereka buat itu semua kerana Anwar bukan kerana penyokong PAS di kampung-kampung," ujarnya.

Kata Menteri Besar, rakyat terutama peminat setia majlis-majlis ceramah PAS diingatkan berhati-hati dan berfikir panjang sebelum menderma kepada tabung parti itu.

"Setiap duit walaupun satu sen yang didermakan itu tidak pernah diaudit dan pemimpin Pas boleh buat apa saja ke atas duit tersebut.

"Cukuplah menderma untuk PAS. Parti itu sudah cukup kaya sekarang. Derma yang dihulurkan hanya untuk mengenyangkan perut-perut pemimpin PAS," ujarnya.