Halaman

27 August 2011

Wanita rakan kongsi pembangunan negeri

Oleh FAUZI MOHD


Tokoh Wanita Terengganu kepada Dato’ To’ Puan Seri Ashiahton Fadzullah Suhaimi.

Golongan wanita di negeri ini memainkan peranan penting sebagai pemangkin kepada perpaduan serta rakan kongsi dalam proses merakyatkan pembangunan Terengganu, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.

Menurutnya, fitrah wanita yang penuh dengan sifat keprihatinan, kesabaran dan penuh kelembutan menjadikan mereka sebagai insan yang layak menjadi ejen perpaduan dan pembangunan sosial negeri.

"Kerana itu wanita perlu diberi ruang dan peluang yang besar termasuk dalam bidang ekonomi serta soaial sekiranya kita mahu menjadi sebuah negeri maju, maka kita tidak boleh mengasingkan wanita sebagai modal insan,” katanya.

Beliau berucap pada Sambutan Hari Wanita peringkat Negeri Terengganu dan majlis berbuka puasa di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk, Kuala Terengganu, petang semalam.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad dan Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah.

Hadir sama, Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, Mohd. Shafaruddin Mustaffa dan Ketua Wanita UMNO negeri' Dato' Fatimah Hamat.

Pada majlis itu, Menteri Besar turut menyampaikan Anugerah Tokoh Wanita Terengganu kepada Dato’ To’ Puan Seri Ashiahton Fadzullah Suhaimi yang juga isteri kepada bekas Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad.

Dengan tema ‘Wanita Penjalin Perpaduan’ anugerah berkenaan sebagai menghargai dan mengiktiraf sumbangan penting tokoh itu kepada pembangunan wanita di negeri ini khususnya dalam memperkukuhkan kerjasama dan silaturahim.

Menteri Besar rai kemeriahan Pertandingan Pelita Raya

Oleh FAUZI MOHD



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said meluangkan masa kira-kira sejam bagi meraikan kemeriahan Pertandingan Pelita Raya 2011 bersama penduduk di beberapa buah kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh, malam tadi.

Beliau yang ditemani isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud berpeluang menyaksikan lebih 12,000 pelita yang dipasang di lima buah kampung sebagai amalan warisan setiap kali menjelang Aidilfitri.

Program anjuran Muzium Terengganu dengan kerjasama Kerajaan negeri dan Pejabat Kementerian Pelancongan itu disertai kira-kira 200 penduduk yang melibatkan Kampung Raja Tepoh, Kampung Baru, Kampung Padang Hangus, Kampung Pagar Ubi dan Kampung Tokeng.

Menteri Besar berkata, usaha yang dijalankan oleh pihak muzium itu sememangnya bertepatan dengan matlamat penambahbaikan kepada pengekalan dan pemuliharaan warisan tradisi itu.

“Kemuncak pada pertandingan selama tiga malam ini ialah pada malam tujuh likur yang akan menggamit nostalgia berpuasa satu ketika dulu," ujarnya.

Turut serta dalam kunjungan itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd. Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Muhammad Ramli Nuh dan Pengarah Muzium Terengganu, Mohd. Yusof Abdullah.

Kreativiti para peserta yang bertanding menonjolkan aturan pelita dalam pelbagai bentuk seperti kubah masjid, kapal layar, kincir angin, beca, wau bulan, pintu gerbang dan pokok kelapa menjadi panorama mengasyikkan di sekitar kampung itu.

Tambah Dato’ Seri Ahmad, selain pembiayaan daripada Muzium Terengganu dan Pejabat ADUN Tepoh, Kerajaan negeri akan memberi peruntukan khas untuk pertandingan itu pada tahun hadapan.

"Kita harap, dengan peruntukan itu, hadiah yang ditawarkan lebih lumayan dan bilangan perserta yang masuk bertanding bakal meningkat.

"Justeru, saya yakin pertandingan ini mendapat sambutan yang meriah kerana ia merupakan salah satu produk pelancongan negeri yang turut mendapat perhatian pelancong asing," katanya.

Sementara itu kata Mohd. Yusof, johan bagi pertandingan berkenaan bakal menerima wang tunai RM1,000 manakala naib johan RM750 diikuti RM300 untuk tempat ketiga dan tujuh hadiah saguhati bernilai RM250 untuk setiap kampung yang bertanding.

Pengayuh beca dapat ‘duit raya’


Oleh: Kamarudin Mat Akib




Seramai 68 pengayuh beca di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu menerima ‘duit raya’ sebanyak RM300 seorang, daripada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, hari ini.
Sumbangan tersebut disampaikan sendiri Menteri Besar kepada semua pengayuh beca berkenaan di Dataran Shahbandar, pagi ini.

Ini merupakan tahun ketiga Menteri Besar memberi sumbangan ‘duit raya’ kepada semua pengayuh beca di Kuala Terengganu, bagi membolehkan mereka membeli pelbagai keperluan untuk menyambut Aidilfitri.

Beliau berkata, kerajaan negeri memberi sumbangan tersebut bagi menghargai jasa-jasa pengayuh beca menyediakan perkhidmatan mereka di sekitar kawasan bandaraya.
“Tambahan pula pengayuh beca terdiri daripada warga emas dan daripada golongan miskin yang perlu dibela nasib mereka,” katanya.



Beliau berharap bantuan berkenaan dapat meringankan beban mereka untuk mencari sumber kewangan bagi membuat persiapan menyambut hari lebaran.

Media bantu promosi kecemerlangan Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Kerajaan negeri mengakui media massa memainkan peranan penting dalam mempromosikan kecemerlangan bidang pendidikan di Terengganu sejak kebelakangan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman berharap wartawan terus menyiarkan berita-berita mengenai kecemerlangan bidang pendidikan di Terengganu supaya rakyat tahu betapa kerajaan negeri begitu cakna soal pendidikan rakyat.

“Kerajaan negeri sudah melakukan bermacam-macam usaha dan mengeluarkan peruntukan yang besar pada setiap tahun agar Terengganu terus cemerlang dalam bidang pendidikan,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa meraikan wakil media massa di Taman Tamadun Islam, malam kelmarin.

Kira-kira 50 orang wartawan, jurufoto dan jurukamera mewakili pelbagai organisasi media hadir pada majlis tersebut.

YB Haji Ahmad Razif berkata, kehebatan anak-anak Terengganu dalam pelajaran dan pelbagai kejayaan diraih dari semasa ke semasa telah berjaya meletakkan negeri ini di landasan terbaik ke arah menjadikannya Negeri Anjung Ilmu.

“Kita harap Terengganu akan terus kekal sebagai negeri terbaik dalam setiap peperiksaan utama, termasuk Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).


JPJ saran pemandu berhemah di jalan raya

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengingatkan para pemandu bas ekspres supaya memandu dengan berhemah dan tidak menggadai nyawa penumpang pada musim perayaan ini.

Pengarah JPJ negeri, Encik Abdul Rahman Emang Anyie berkata, pemandu bas ekspres perlu mengutamakan nyawa penumpang dan tidak sekali-kali memandu laju sehingga mengundang tragedi.

Menurutnya, mereka perlu sentiasa bertanggungjawab terhadap keselamatan penumpang yang pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri.

Pada masa yang sama katanya, pemandu bas juga sewajarnya menjaga imej mereka agar perkhidmatan yang disediakan paling selamat untuk digunakan orang ramai.

"Sekarang ada orang fikir naik bas sudah tidak selamat. Jadi, para pemandu (bas ekspres) kena memandu dengan berhemah dan jangan pula ada yang berlumba sesama sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan sebahagian pemandu bas ekspres dari seluruh negeri ini di Ibu Pejabat JPJ Terengganu, baru-baru ini.

Sesi perjumpaan selama lebih sejam itu adalah pertama kali diadakan untuk menyampaikan hasrat JPJ selain mendapat penjelasan dan maklum balas daripada pemandu bas ekspres sempena Hari Raya Aidilfitri.

Encik Abdul Rahman juga berharap agar para pemandu berkenaan menjadi 'mata dan telinga' kerajaan bagi membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya pada musim perayaan.

Katanya, dalam masa cuba mengelak ditimpa kemalangan, mereka juga perlu segera melaporkan kepada agensi penguatkuasaan jika berlaku nahas jalan raya yang menimpa orang lain.

"Mereka boleh menjadi 'mata dan telinga' dengan segera menghubungi talian 09-6222023 (JPJ) atau 999 untuk tindakan selanjutnya," ujarnya.



26 August 2011

Pemuda, Puteri UMNO Kuala Nerus rai 120 anak yatim di Pasaraya Giant

Oleh FAUZI MOHD

Sambutan Aidilfitri kali ini pasti menjadi saat cukup menggembirakan buat 120 anak yatim dari Parlimen Kuala Nerus apabila mereka dibawa membeli baju raya oleh Pemuda dan Puteri UMNO bahagian itu, semalam.

Anak yatim dari empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Teluk Pasu, Tepuh, Bukit Tunggal dan Seberang Takir itu diberikan baucer RM100 seorang sumbangan Pasaraya Giant Kuala Terengganu untuk membeli baju raya di pasaraya berkenaan.



Ketua Pemuda UMNO Kuala Nerus, Apli Yusof berkata, peruntukan tersebut adalah sumbangan Pasaraya Giant manakala majlis berbuka puasa di T'Cafe D'Muara, Losong, di sini ditaja oleh kedua-dua pergerakan itu.

"Anak yatim yang kebanyakkannya masih di bangku sekolah ini dipilih 30 orang dari setiap DUN dengan kerjasama Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu.

"Selain diberi kesempatan membeli baju raya bersama Ketua Pemuda dan Puteri Cawangan masing-masing, anak-anak yatim ini turut mendapat sumbangan hamper raya," katanya.

Turut meraikan anak-anak yatim dalam Program Cakna Aidilfitri itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Mohd. Nasir Ibrahim Fikri yang sempat meluangkan masa kira-kira sejam melayan kerenah mereka memilih pakaian.



Turut hadir, Ketua Puteri UMNO Kuala Nerus, Aida Azam dan Pengurus Besar Pasaraya Giant Kuala Terengganu, Ahmad Tajuddin Zakaria.

Tambah Apli, program itu diharap dapat menceriakan anak-anak yatim tersebut yang dilihat kurang mendapat perhatian berbanding mereka yang tinggal di asrama atau rumah kebajikan.

"Kita amat berharap anak-anak yatim ini dapat merasai kemeriahan dan semangat Aidilfitri walaupun tidak dapat meraikannya bersama insan tersayang," ujarnya.

Majlis berbuka puasa pekerja Pos Malaysia meriah

Oleh: Mohammad Ishak


Pekerja dan pesara Pos Malaysia Besut menghadiri majlis berbuka puasa.

Bulan Ramadan biasanya hari paling gembira kepada kakitangan kerajaan dan sektor lain kerana tidak menghadapi beban tugas yang banyak berbanding bulan biasa menyebabkan peluang untuk berehat adalah lebih banyak kerana kurangnya berurusan dengan orang ramai.

Bagaimanapun perkara itu tidak dirasai sebahagian besar pekerja Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) kerana bulan puasa biasanya beban kerja di syarikat berkenaan adalah lebih banyak dan terpaksa berhadapan dengan pelbagai suasana.

Petugas dibahagian serahan (Posmen) biasanya terpaksa memikul beban tugas lebih berat berbanding hari biasa kerana jumlah mel untuk diserahkan kepada penerima bertambah banyak.

Malah, ada sesetengah kawasan di negeri ini posmen penyerahan terpaksa menjalankan tugas seperti biasa pada hari Jumaat dan cuti umum kerana ingin menyampaikan kiriman dari seseorang kepada penerima.

Selepas penat menjalankan tugas harian pekerja Pos tidak ketinggalan menganjurkan majlis berbuka puasa sebagai tanda kesyukuran dan ingin menjalinkan kemesraan antara mereka sempena bulan mulia Ramadan.

Berikutan itu, Persatuan Kebajikan Islam Pos (PKIP) cawangan Terengganu, menganjurkan majlis berbuka puasa untuk kakitangan Pos Malaysia di daerah Besut dan Setiu bertempat di perkarangan Pejabat Pos Jertih, semalam.

Kira-kira 80 pekerja Pos termasuk 20 pesara syarikat itu diundang khas bagi memeriahkan majlis berbuka puasa yang turut dihadiri oleh pengurusan kanan Pos Malayisa Negeri Terengganu.

Skuad Penyayang DUN Jertih hulur sumbangan

Oleh: Mohammad Ishak


PRIHATIN..Toh Puan Kamarian menyampaikan hamper kepada bekas pemimpin wanita Umno Seberang Jertih.

Skuad Penyayang Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih, mengambil langkah proaktif terhadap masalah golongan miskin dan ibu tunggal yang menghadapi masalah apabila badan itu turun padang menemui mereka yang memerlukan bantuan.

Dengan diketuai isteri ADUN Jertih, Toh Puan Kamariah Zakaria, ahli skuad menjelajah seluruh pelosok kampung di kawasan DUN berkenaan sambil menemui penduduk terutama golongan wanita sambil mengagihkan sumbangan makanan.

Penghuni Perumahan Awam Pelagat Tiga, Seberang Jertih juga tidak ketinggalan dikunjungi skuad terbabit semalam apabila mereka menyampaikan hamper berbentuk makanan kepada ibu tunggal dan bekas pemimpin Umno.

Kehadiran skuad berkenaan mengejutkan penghuni perumahan berkenaan kerana mereka tidak diberitahu mengenai kehadirannya sebaliknya dimaklumkan secara mengejut.

"Pemilihan penerima sumbangan dipilih sendiri oleh Ketua Wanita Cawangan dan skuad berkenaan hanya datang berjumpa penerima selepas dimaklumkan oleh ketua wanita terbabit,” kata Kamariah yang juga isteri Datuk Seri Idris Jusoh.

Katanya, skuad berkenaan bukan sahaja turun padang ketika bulan Ramadan sebaliknya aktiviti sosial dan kemasyarakatan berjalan sepanjang masa di kawasan berkenaan.

1,000 perantau bakal dirai

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 1,000 anak jati Terengganu yang berada di perantauan akan diraikan di Majlis Aidilfitri Bersama Perantau 2011 di Kediaman Seri Iman, Batu Burok, Kuala Terengganu pada Hari Raya Kedua iaitu 31 Ogos.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said bersama isteri, To’ Puan Norliza Mahmud dijangka turut memeriahkan majlis anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Unit Komunikasi Negeri (Ukom).

Persembahan kebudayaan, nyanyian lagu Hari Raya, sesi interaksi dan fotografi pasti menjadi tarikan perantau yang hadir di majlis tahunan yang bermula jam 10 pagi itu.

Pengarah Ukom, Haji Shamsudin Sulong, berkata program yang dianjurkan ini membolehkan setiap perantau dapat menghayati perubahan serta hala tuju pembangunan negeri dan seterusnya bersama-sama membantu ke arah menjayakan aspirasi negara.

Katanya, di samping itu, hubungan silaturahim antara pemimpin dan anak-anak Terengganu sama ada yang belajar di luar Terengganu dan bekerja di negara Asing dapat diperkukuhkan lagi.

“Program yang dianjurkan sejak 2004 akan diteruskan kerana mampu memberi impak positif kepada semua pihak mengenai pelbagai perkara termasuk memperjelaskan isu-isu semasa mengenai kerajaan negeri,” katanya.


25 August 2011

Fama jamin bekalan mencukupi menjelang Aidilfitri

Oleh; Esah Abdullah


Fama tinjau Pasar Tani Mega Padang Hiliran

Pengguna di negeri ini tidak perlu bimbang kekurangan bahan keperluan menjelang Aidilfitri kerana pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) telah menyediakan stok bekalan yang mencukupi.

Pengarah Fama negeri, Haji Hasan Jusoh berkata, antara barangan keperluan termasuklah ayam, daging, ikan, sayuran dan buahan.

“Fama menyediakan stok bekalan ayam sebanyak 20 peratus untuk keperluan di musim perayaan serta mengedarkan 370 metrik tan (mt) sayur. ayam, ikan dan daging setiap minggu bernilai RM2.5 juta,” katanya sempena pelancaran Pasar Tani Khas Pra Aidilfitri ,program ‘Jimat Belanja Dapur’ di tapak Pasar Tani Mega (PTM) Padang Hiliran, Kuala Terengganu hari ini.

Katanya, Pasar Tani Mega Padang Hiliran akan beroperasi mulai 27 hingga 29 Ogos untuk memberi peluang orang ramai mendapatkan bekalan keperluan persiapan menjelang Aidilfitri.

Menurutnya, terdapat tiga PTM telah diwujudkan termasuklah di Kerteh, Kemaman dan Jertih, Besut dan PTM Padang Hiliran telah mencapai nilai jualan lebih RM3.1 juta dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

“Pasar tani Permint Jaya berjaya mengutip nilai jualan RM1 juta dan pasar tani Jalan Budiman beroleh RM286,130 dalam tempoh yang sama,” katanya.

Katanya, Fama juga akan membuka lima buah lagi pasar tani baru tahun ini antaranya di Cukai, Kemaman yang dibuka 1 April lalu, Pulau Serai, Dungun (9 April), Kuala Telemong, Hulu Terengganu (3 Jun), Kuala Dungun, Dungun (24 Jun) dan Gong Badak, Kuala Terengganu dijangka pada September depan.

Berdasarkan pertambahan tapak pasar tani baru pihaknya mensasarkan dapat melahirkan 1,200 usahawan seluruh negeri sehingga akhir tahun ini.