Halaman

11 September 2011

Pelumba TSG tunjuk belang di Brunei



Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Shahrul Mat Amin memahat nama sebagai juara di Brunei Darulssalam, semalam.

Dalam kejohanan Lumba Basikal Jelajah Brunei 2011 itu, Mohd Shahrul mengungguli saingan peringkat keempat kejohanan tersebut dari Tutong Town ke Bandar Seri Begawan sejauh 104.70 kilometer (km).

Pelumba berusia 22 tahun itu melintasi garisan penamat dengan catatan masa 2 jam 25 minit 34 saat meninggalkan Lloyd Lucien Reynante daripada pasukan 7 Eleven-RTS Racing dan rakan sepasukannya, Mohd. Harrif Salleh di tempat ketiga.

Ini adalah kemenangan ketiga pasukan TSG pada Jelajah Brunei 2011 selepas dua lagi pelumbanya, Anuar Manan dan Mohd. Harrif masing-masing turut memenangi peringkat kedua dan ketiga.

Anuar bagaimanapun menamatkan perlumbaan semalam di tempat kelima.

Selain menjuarai peringkat keempat, Mohd. Shahrul turut berjaya memenangi zon pecutan pertama dan menduduki tempat kedua di zon pecutan kedua selain menduduki tempat kedua dalam dua zon pendakian.

Apa pun, kejayaan Shahrul ini masih belum mampu menggugat kedudukan pelumba pasukan kebangsaan, Muhd. Adiq Hussainie Othman yang terus kekal menyarung Jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan dengan catatan 11’29:25s.

Adiq Hussainie, 20, yang memenangi peringkat pertama jelajah ini Rabu lalu, bagaimanapun bakal berdepan cabaran hebat dalam perebutan gelaran keseluruhan tersebut pada saingan terakhir hari ini apabila pelumba Tabriz Petrochemical Cycling, Jahanbanian Kamnabi Hossein hanya ketinggalan enam saat di belakangnya.

Saingan terakhir hari ini akan berlangsung di Bandar Seri Begawan sejauh 146.50km melibatkan lima pusingan.



2,000 rai Pesta Tanglung di Kemaman

Oleh FAUZI MOHD dan NURUL AZIELA SABERI

Perarakan dan pertunjukan tanglung pastinya menjadi acara tahunan yang paling ditunggu-tunggu setiap kali tiba perayaan kuih bulan yang disambut pada hari ke-15 bulan kelapan dalam kalendar Cina.



Ia diraikan menandakan berakhirnya musim menuai pada zaman dahulu kala dan masyarakat Cina akan menyambutnya dengan berkumpul bersama ahli keluarga.

Bagi kaum wanita, pada malam itu mereka akan sibuk membuat kuih bulan manakala kaum lelaki pula bersama-sama menghasilkan tanglung

Amalan memberi kuih bulan kepada rakan-rakan dan saudara-mara adalah bertujuan untuk mengukuhkan ikatan persaudaraan kerana kuih bulan dianggap sebagai lambang penghormatan di dalam masyarakat tersebut.

Sesuai dengan semangat perpaduan dan menjana keharmonian kaum, malam tadi masyarakat Cina di daerah Kemaman telah merayakan Pesta Tanglung 2011 anjuran Dewan Perhimpunan Tiong Hua Daerah Kemaman.



Kira-kira 2,000 pengunjung hadir memeriahkan majlis yang diadakan di Dewan Seri Amar Diraja, Chukai yang turut dihadiri Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud.

Apa yang menarik, kanak-kanak dan orang dewasa termasuk beberapa pelancong asing sama-sama berarak di sekitar Bandar Cukai, Kemaman dengan membawa tanglung.

Dalam masa sama, pelbagai acara menarik juga diadakan antaranya perarakan kereta berhias, pertunjukan fesyen kanak-kanak, tarian singa dan pertunjukkan pakaian dan tarian masyarakat Cina.



Menurut Dato’ Seri Ahmad, semangat 1Malaysia yang dilaungkan pemimpin negara dapat dilihat pada pesta tanglung tahun ini.

“Melihat masyarakat Cina turut sama membantu pengunjung kaum lain yang ingin tahu berkatan perayaan ini menjadikan suasana pada malam ini sungguh harmoni.

“Kita berharap pada tahun-tahun akan datang acara ini akan diadakan secara besar-besaran seperti ini agar dapat mengeratkan perpaduan antara kaum,” katanya dalam ucapan pada majlis itu.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamaed Awang Tera yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai dan Pengerusi Dewan Perhimpunan Tiong Hua Daerah Kemaman, Dato’ Jimmy Tan Yunn Siong.

Pada majlis itu, Menteri Besar turut menyampaikan ‘Ang Pau’ kepada lebih 30 warga emas kaum Tiong Hua.

Lebih 10,000 kunjungi rumah terbuka MB Teluk Kalong

Oleh FAUZI MOHD dan NURUL AZIELA SABERI

Tradisi rumah terbuka terus disambut dengan penuh meriah di seluruh negara bagi memberi peluang pemimpin dan rakyat bertemu dalam suasana muhibah sepanjang Syawal ini.

Sebentar tadi, kemeriahan itu terus terpancar apabila lebih 10,000 pengunjung berbilang bangsa hadir ke rumah terbuka Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said di kediamannya di Teluk Kalong, Kemaman.



Biarpun acara rumah terbuka untuk orang ramai bermula pada pukul 10 pagi, tetapi pengunjung telah mula tiba sejak pukul 8 pagi bagi mengelakkan kesesakan dan mengambil peluang untuk bersalaman dengan Menteri Besar dan isteri, To' Puan Seri Norliza Mahmud.

Semangat kekeluargaan nyata terpancar di wajah setiap pengunjung daripada segenap lapisan masyarakat yang sama-sama hadir untuk meraikan dan memeriahkan sambutan itu.


Pengunjung disajikan dengan pelbagai juadah istimewa dan makanan tradisional seperti lemang, ketupat, rending, nasi dagang, sate dan pelbagai jenis kuih raya selain dihiburkan dengan dendangan lagu-lagu Hari Raya.



Sementara itu, di perkarangan rumahnya lebih 20 khemah dipasang berserta kerusi dan meja untuk orang ramai menjamu selera sambil berbual mesra antara satu sama lain dan tidak melepaskan peluang bergambar di kawasan sekitar itu.



Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek yang juga Ahli Parlimen Kemaman, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera dan beberapa pemimpin negeri yang lain.


Terengganu sedia 347 pusat perpindahan untuk 51,700 mangsa banjir.

Oleh FAUZI MOHD, ESAH ABDULLAH dan SURIATI ALI

Terengganu kini melakukan persediaan awal bagi menghadapi musim banjir dengan melaksanakan kempen kesedaran di peringkat komuniti.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Terengganu, Mohd. Tarmizi Dan berkata, Program Bersama Komuniti pada Julai lalu mampu memberi kesedaran berhubung tindakan yang perlu diambil sebelum dan selepas banjir.

"Melalui program ini, orang awam di negeri ini akan tahu peranan masing-masing ketika berlaku bencana alam itu bagi memastikan keselamatan dan kesihatan terjamin.

"Ini sangat penting bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti kematian dan penularan penyakit berjangkit," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya MKN Terengganu di sini hari ini.

Sebelum ini, pihaknya telah mengadakan program kesedaran komuniti peringkat negeri di daerah Hulu Terengganu dengan melibatkan lebih 200 peserta yang terdiri daripada pemimpin masyarakat peringkat kampung dan orang awam.

Dalam pada itu, Mohd. Tarmizi berkata, sebanyak 112 pangkalan hadapan di seluruh Terengganu sudah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan ketika bencana alam itu berlaku.

''Sebanyak 347 pusat pemindahan yang mampu menempatkan 51,700 mangsa banjir akan dibuka sebagai persediaan. Kapasiti tempat perpindah mangsa banjir ini ditambah berbanding 48, 192 pada tahun lepas," katanya.

Jelasnya, sebanyak 98 pusat perpindahan akan disediakan di Daerah Besut, Setiu (35), Hulu Terengganu (78), Kuala Terengganu (25), Marang (23), Dungun (52) dan Kemaman (36).

Daripada jumlah itu katanya, seramai 11,082 mangsa banjir mampu ditempatkan di Besut, Setiu (2,738), Hulu Terengganu (8,640), Kuala Terengganu (7,300), Marang (4,100), Dungun (9,615) dan Kemaman (8,270).

''Semua agensi kerajaan berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pejabat-pejabat daerah juga telah bersiap sedia mengikut peringkat masing-masing.

"MKN juga telah bersiap sedia dengan pelbagai barang keperluan mangsa banjir seperti bekalan makanan dan minuman, selimut serta lampin bayi di Depot Simpanan Keperluan Bencana di Pulau Kerengga, Marang," ujarnya.

Tambah Mohd. Tarmizi, orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang, etindakan.terengganu.gov.my bagi mendapatkan maklumat tepat dan terkini berkaitan situasi bencana alam itu di Terengganu.

UMT terima 2,382 pelajar baru

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Malaysia terengganu (UMT) telah mula menerima masuk 2,382 pelajar baru yang mengikuti program sarjana muda di institusi berkenaan.



Penolong Pendaftar Kanan, Pejabat Komunikasi Korporat UMT, Sayed Mohd Tamimuddin Sayed Ibrahim berkata, daripada jumlah berkenaan seramai 936 pelajar akan belajar di Fakulti Sains dan Teknologi.

“Manakala 400 pelajar di Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Fakulti Agroteknologi dan Sains Makanan (465 orang), Fakulti Pengajian Maritim dan Sains Marin (335 orang) dan Fakulti Pengurusan Sosial (246 orang),” katanya.

Menurut Sayed Mohd Tamimuddin, daripada jumlah tersebut 1,683 merupakan pelajar perempuan dan 699 pelajar lelaki.

Katanya, pendaftaran pelajar baru yang bermula 6 hingga 10 September itu disusuli MInggu Jalinan Mesra UMT dengan pengisian pelbagai aktiviti termasuk kebudayaan, kesukanan, majlis ikrar pelajar baru dan ceramah motivasi.




100 individu berjasa dari daerah Besut akan terima anugerah

Oleh: Mohammad Ishak


Seramai 100 individu yang pernah menyumbangkan khidmat bakti kepada masyarakat dan negara dipilih untuk menerima anugerah khas sempena Semarak Merdeka Peringkat Daerah Besut yang akan diadakan di Dataran Jertih Souq pada 24 September ini.

Mereka yang dipilih termasuk bekas pemimpin kerajaan, tokoh politik, akademik, agama, kebudayaan, ketenteraan, pendidian dan sukarelawan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Program, Dr A Rahman Mokhtar gambar)yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri berkata, sempena program paling berpristej itu dijangkakan kira-kira 15,000 penduduk daerah Besut akan menghadiri majlis berkenaan.

Katanya, tokoh bakal menerima anugerah ialah Bekas Menteri Pusat dan Exco Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Yusof Noor, Bekas Ketua Hakim Negara yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri, Tun Mohd Salleh Abas, Bekas Speaker DUN, Datuk Hussein Awang, dan beberapa bekas ADUN dari Besut.

Selain itu,katanya, profesor, jurutera, diplomatik,tokoh sukan dan individu lain yang terdiri daripada anak jati daerah Besut akan diseneraikan sebagai tokoh dalam bidang masing-masing dengan mengenepikan fahaman politik.

Dr A Rahman yang juga Setiusaha Umno Bahagian Besut berkata, program anjuran Umno Bahagian itu dengan kerjasama Pejabat Daerah Besut bertujuan membangkitkan semangat kemerdekaan kepada seluruh warga Besut.

Menurutnya,acara itu bertambah meriah dengan penyertaan lebih 10,000 peserta perbarisan dan konvoi kenderaan termasuk kereta buatan Malaysia, motosikal, vespa,basikal dan kenderaan pacuan empat roda serta kereta sewa.

Katanya, perarakan kenderaan terbabit bermula dari DUN Hulu Besut, Kota Putera, Jabi dan Jertih dan berakhir di Dataran Jertih Souq.

“Paling menarik ialah perarakan empat ekor gajah yang diikuiti oleh kontijen pelajar,kakitangan kerajaan dan swasta, Kawasan Rukun Tetangga (KRT), serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) seluruh daerah Besut,” katanya.

Lebih 5,000 hadir majlis Aidilfitri Parlimen Kuala Nerus

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Lebih 5,000 orang membanjiri perkarangan pejabat Parlimen Kuala Nerus, di Seberang Takir semalam bagi memeriahkan sambutan majlis Aidilfitri Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri.

Majlis tersebut turut diserikan dengan nyanyian beberapa artis terkenal tempatan, termasuk Noraniza Idris dan Heliza Helmi (AF).

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif dan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Tepoh, YB Ustaz Haji Muhammad Ramli Nuh.

Sambil dihiburkan nyanyian daripada artis undangan, para hadirin disajikan dengan pelbagai hidangan tradisional, tarmasuk sate dan tapai.

Dato’ Haji Mohd Basir yang diiringi isteri, To’ Puan Sabariah Dato’ Muhammad Yusof dan anak-anak, berkunjung dari meja ke meja tetamu bagi bersalam-salaman dengan hadirin dan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri.

10 September 2011

Klinik gigi bergerak dapat sambutan rakyat

Oleh: Mohammad Ishak


Kakitangan klinik gigi bergerak sedang memberi rawatan kepada seorang pesakit.

Perkhidmatan Klinik Gigi Bergerak yang disediakan Jabatan Kesihatan Terengganu yang memberi khidmat secara percuma kepada rakyat negeri ini mendapat sambutan daripada orang ramai.

Klinik berkenaan yang mengunakan dua kenderaan khas yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan sama seperti di klinik gigi mula diperkenalkan kepada penduduk terutama di kawasan luar bandar awal tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut berkata, kerajaan membelanjakan hampir RM 2 juta untuk menyediakan perkhidmatan berkenaan.

Katanya, kemudahan itu disediakan bagi membantu penduduk negeri ini mendapat khidmat rawatan dan pemulihan gigi secara percuma.

Menurutnya, seorang doktor dan lima pembantu pergigian termasuk pemandu disediakan bagi setiap unit kenderaan yang akan memasuki kampung setiap daerah mengikut jadual yang ditetapkan.

Beliau berkata, ketika ini semua kenderaan khas itu ditempatkan di Kuala Terengganu akan menjelajah ke setiap daerah untuk memberi perkhidmatan kepada orang ramai.

“Sejak diperkenalkan klinik berkenaan ternyata mendapat sambutan dan sokongan daripada penduduk negeri ini,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan juga merancang untuk membuka Klinik 1 Malaysia yang akan ditempatkan di setiap daerah bagi memberi perkhidmatan kepada rakyat Terengganu.

MB melawat anak polis yang terlibat dalam peristiwa Bukit Kepong di Chendering.











09 September 2011

Terengganu lulus 5,167 lot tanah melalui 64 skim RTB

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan negeri telah meluluskan 64 skim permohonan tanah melalui Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) sejak 2008 sehingga Julai lalu kepada rakyat di negeri ini.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said berkata, daripada jumlah itu 13 skim permohonan telah diluluskan pada 2008, 22 skim pada tahun 2009, 21 skim pada tahun 2010 dan lapan permohonan sehingga Julai lalu.

Katanya, ia melibatkan 5,167 lot tanah secara keseluruhan di semua tujuh daerah di Terengganu.

Menurut Dato' Seri Ahmad, daerah Marang mencatatkan jumlah kelulusan tanah yang tertinggi dengan 1,741 lot melalui 15 skim permohonan sehingga Julai lalu.

"Manakala di Besut kita menerima 10 skim permohonan sejak 2009 dan 2010, namun kita hanya meluluskan sembilan permohonan melibatkan 564 lot.

"Bagi daerah Dungun kita tidak menerima sebarang permohonan pada 2008, namun pada 2009 kita meluluskan dua skim melibatkan 62 lot manakala pada tahun lalu kita hanya meluluskan dua daripada tiga skim dengan 224 lot keseluruhan diperuntukkan," katanya baru-baru ini.

Dalam pada itu, Menteri Besar memaklumkan sebanyak 553 lot diagihkan kepada penduduk di Hulu Terengganu setelah Kerajaan negeri meluluskan 10 skim permohonan yang dibuat sehingga kini.

Beliau berkata, setiap pemohanan yang diajukan perlu mematuhi prasyarat permohonan tanah yang telah dikeluarkan sebelum ini termasuk bagi status tanah haram.

Kerajaan Negeri katanya, telah bersetuju meluluskan satu lot baru di Kemaman dan lokasinya akan dikenal pasti. Sehingga kini sebanyak 744 lot telah diluluskan menerusi sembilan skim permohonan dibuat dan satu ditolak pada 2008.

"Di Kuala Terengganu dua permohonan diluluskan melibatkan 42 lot melibatkan perumahan pada 2008 dan pada 2009 ada 4 permohonan dengan 312 lot diluluskan.

"Tahun 2010 ada lapan skim melibatkan 327 lot dan satu skim pada tahun ini melibatkan 17 lot menjadikan 698 lot secara keseluruhan," ujarnya.

Sementara itu kata Dato' Seri Ahmad, daerah Setiu hanya tiga skim di pohon pada 2008 dan 2009 dengan melibatkan 643 kelulusan lot tanah diberikan kepada penduduk di daerah itu.

Katanya, jumlah keseluruhan ini tidak termasuk kelulusan yang telah diumumkan sebelum ini termasuk tapak tanah pertanian, tanah haram dan tapak rumah yang diluluskan.

"Setiap tapak rumah yang diluluskan, kerajaan hanya mengambil premium 10 peratus daripada jumlah nilai harga semasa.

"Sekiranya tanah haram kerajaan negeri hanya mengambil 15 peratus daripada jumlah harga semasa, manakala sekiranya skim tanah itu ada penolakan, kita hanya ambil 25 peratus," katanya.

Sebelum ini katanya, Kerajaan negeri mewujudkan polisi baru dalam urusan menukar syarat tanah sebagai usaha memantapkan lagi pentadbiran yang sebelum ini dilihat mengambil masa terlalu lama hingga mencecah setahun.

"Dalam tempoh tujuh bulan pertama 2011, Kerajaan negeri telah meluluskan 613 permohonan dan hanya meluluskan 55 daripada 399 permohonan bagi tanah haram," jelasnya.