Oleh: Kamarudin Mat AkibTentu ada yang tidak kena bila Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Naib Tun Abdul Razak membuat teguran keras agar jangan ada pihak yang cuba mengubah fakta sejarah dengan mengagung-agungkan kezaliman pengganas komunis di zaman darurat.
Mungkin setelah meneliti polemik yang ditimbulkan pihak tidak bertanggungjawab itu, Perdana Menteri turut terpanggil untuk mengeluarkan kenyataan itu bagi meredakan kemarahan rakyat Malaysia, khususnya ahli keluarga yang terlibat secara langsung dengan kekejaman yang pernah dilakukan komunis.
“Komunis zaman darurat zalim dan membunuh orang dengan kejam. Sebab itulah jangan sesiapa yang hendak mengubah sejarah negara kita, jangan ada sesiapa yang mengagungkan orang yang sebenarnya kejam dan mengkhianati bumi bertuah ini,” begitu tegas Perdana Menteri memberi amaran .
Kenyataan beliau itu pastinya merujuk kepada kata-kata Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mengeluarkan ucapan menyinggung perasaan seluruh rakyat negara ini termasuk bekas pejuang kemerdekaan negara.
Bagi keluarga salah seorang mangsa Tragedi Bukit Kepong yang juga merupakan rakyat Terengganu, Allahyarham Konstabel Jaafar Hassan, penghinaan yang dilakukanMat Sabu terhadap mangsa serangan pengganas itu, merupakan satu penghinaan yang tidak mampu mereka tanggung.
Anak mangsa, Azlas Jaafar, 62, tidak dapat mengungkapkan dengan kata-kata kesedihan dan betapa tergurisnya hati beliau dan seluruh ahli keluarga terhadap penghinaan pemimpin Pas itu.
“Anak mana yang tidak terguris apabila ayahnya dihina sebegitu rupa. Kakak tidak sedih jika orang tidak mahu panggil ayah kakak sebagai hero. Tapi, kakak cukup terluka, jika ada orang tergamak berkata komunis adalah hero.
“Sejak kecil, kakak diberitahu oleh arwah ibu, ayah mati ditembak komunis dan dia adalah seorang pejuang yang mempertahankan negara daripada kekejaman komunis,” kata anak tunggal Allahyarham Kontabel Jaafar.
Seperti Perdana Menteri, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, turut marah dengan penghinaan yang telah dilakukan oleh Mat Sabu.
Lantas beliau dengan diringi istrei, To’ Puan Norliza Mahmud meluangkan masa baru-baru ini untuk melawat anak mangsa tragedi Bukit Kepong di rumahnya di Kampung Perpindahan, Cendering .
Turut hadir menjenguk Azlas yang tinggal bersama ibu saudaranya, Minah Mohamad, 85, Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Timbalan Ketua Polis negeri, SAC Dato’ Hamzah Md. Jamil.
Justeru tidak hairanlah jika bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Dr. Mohammad Fairus Khairuddin menyifatkan perbuatan Mat Sabu yang menganggap anggota keselamatan yang terkorban dalam peristiwa di Bukit Kepong bukan hero sebenar, sebagai mencari pulisiti murahan.
Dalam nada yang keras, beliau menyarakan pemimpin Pas itu dilucutkan kerakyatan sebagai warganegara Malaysia.
Fairus yang kini dilantik Penasihat Politik kepada Menteri Besar Terengganu berkata, rakyat negara ini tidak dapat menerima kenyataan yang mengatakan komunis sebagai pejuang negara dan menuduh pejuang kemerdekaan sebagai pengkhianat negara.
“Kita perlu mendesak supaya kerajaan mengambil tindakan termasuk melucutkan taraf kerakyatan Mat Sabu dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat perlu memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Kita sebagai warganegara yang masih waras pula, perlu menolak pemimpin Pas dan parti itu secara total sebagai hukuman kepada kenyataan tidak bertanggungjawab itu.