Halaman

27 September 2011

500 pemimpin Kawasan Rukun Tetangga (KRT) akan berseminar

Oleh: Mohammad Ishak


Pengarah JPNIN Terengganu Tukimin Sarlan

Seramai 500 ahli dan pemimpin Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dari seluruh negeri ini akan menyertai seminar sehari bertempat Equestrian Resort (TER), Kuala Ibai, esok.

Seminar anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Terengganu itu
akan bermula jam 10.30 pagi dan berakhir jam 1.00 tengahari.

Pengarah JPNIN Negeri, Tukimin Sarlan berkata, dua pembentang kertas kerja berkaitan keselamatan akan menyampaikan ceramah masing-masing sempena seminar berkenaan.

Antara pembentang terbabit ialah Penolong Pengarah Bhagian Pembangunan Komunit, Ibu Pejabat JPNIN, Muhamad Razali dengan tajuk “Peranan Skim Rondaan Dalam Menangani Masalah Sosial,.

Manakala sesi kedua pula bertajuk “Kerjasama PDRM dan Komuniti Mencegah Gejala Sosial dan Jenayah,” yang akan disampaikan oleh Ketua Polis Negeri Terengganu,Datuk Jamsah Mustapa.

Menurut Tukimin, selesai seminar satu majlis Majlis Menandatangani Nota Kerjasama Strategik antara JPNIN dengan PDRM akan diadakan.

Sesi pertama antara Pengarah JPNIN Terengganu dengan Ketua Polis Negeri. Manakala sesi kedua antara Semua Pegawai Perpaduan Daerah dengan semua Ketua Polis Daerah (KPD).

Majlis akan disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar, mewakili Yang Amat BerhormatDatuk Seri Menteri Besar Terengganu.

Katanya, seminar itu bertujuan untuk memgukuhkan interaksi di kalangan pemimpin RT dan PDRM serta mempertingkatkan lagi jaringan kolaborasi antara JPNIN dan PDRM ke arah keberkesanan pelaksanaan Skim Rondaan Sukrela (SRS) ke arah menurunkan kadar jenayah setempat.




Dato’ Muda dilantik Pengerusi Pemantau Umno Terengganu

Oleh:Kamarudin Mat Akib

Bekas Ketua Umno Bahagian Marang, Dato’ Muda Mamat, dilantik sebagai Pengerusi Pemantau Umno Terengganu, menggantikan Allahyarham Dato’ Awang Jabar, yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya, minggu lalu.

Pelantikan Dato’ Muda yang berpengalaman luas dalam bidang politik, diputuskan pada mesyuarat pengurusan Badan Perhubungan Umno Negeri yang dipengerusikan Pengerusinya, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, di Pejabat Umno Negeri, malam kelmarin.

Beliau yang pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan sudah dimaklumkan mengenai pelantikan tersebut dan surat pelantikan akan dihantar dalam tempoh terdekat.

Pemilihan Dato’ Muda dibuat berdasarkan pengalaman beliau mengatur strategi merampas kerusi Parlimen Marang daripada Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, pada Pilihanraya Umum 2004.

Allahyarham Dato’ Awang Jabar meninggal dunia pada 20 September lalu setelah kereta dinaikinya bertembung dengan Perodua Alzar di Kampung Alur Tuman, Kelulut, kira-kira jam 7.10 pagi.


Kelas fardu ain, elaun bulanan RM240 untuk mualaf di Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) mewajibkan saudara baru mengikuti kelas fardu ain anjurannya bagi membolehkan mereka menerima elaun khas sebanyak RM240 sebulan.

Yang Dipertuanya, Dato' Mazlan Hashim berkata, langkah itu bagi memastikan mereka dapat mendalami pengetahuan mengenai Islam dan mengukuhkan pegangan hidup beragama.

Menurut beliau, selain itu, ia memberi manfaat kepada mereka dari segi kewangan dan tidak merasa terpinggir selepas menganut agama Islam kerana sentiasa dalam lingkaran rakan-rakan.

Katanya, setiap daerah disediakan dengan kelas bimbingan agama kecuali di daerah Besut mempunyai dua buah kelas termasuk kelas pembelajaran al-Quran yang diadakan tiga kali seminggu.

"Mereka yang mengikuti kelas itu akan dibayar elaun khas RM20 pada setiap sesi dan sekiranya mengikuti kesemua kelas tersebut, akan dibayar elaun penuh RM240 sebulan.

"Tempoh bayaran elaun itu dihadkan selama lapan tahun bagi setiap mualaf dan mereka akan dikenal pasti semula sama ada mampu berdikari atau sebaliknya," katanya baru-baru ini.

Homestay Teluk Ketapang wakili Zon Timur

Oleh FAUZI MOHD

Homestay Teluk Ketapang dipilih untuk mewakili Zon Timur bagi Anugerah Ilham Desa peringkat kebangsaan yang dijangka berlangsung akhir bulan ini.

Pengerusinya, Md. Azmi Abd. Aziz berkata, Homestay Teluk Ketapang adalah antara lima inap desa di seluruh negara yang dinilai bagi anugerah itu.

Katanya, ia termasuk sebuah kampung dari Sarawak (projek manik), Sabah (projek ikan bubu laut), Kedah (projek ladang getah) dan Negeri Sembilan (projek baja organik).

Program Homestay Teluk Ketapang dijayakan oleh 31 penduduk di perkampungan yang berhampiran dengan pantai, muara dan pulau-pulau kecil sekitarnya.

Anugerah Ilham Desa diperkenalkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bagi menghargai kampung-kampung yang mengetengahkan projek melibatkan penduduk secara berkelompok untuk menjana kegiatan ekonomi setempat.

26 September 2011

Kerajaan belanja RM8.4 juta untuk pelajar STPM

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan telah membelanjakan RM8.48 juta membabitkan 8,486 pelajar Tingkatan Enam Atas sejak Program Bantuan Pendidikan diperkenalkan pada 2008.



Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, bantuan material RM1,000 seorang ini sebagai galakan dan juga untuk membeli keperluan pembelajaran mereka yang akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

“Saya bangga sejak program ini diperkenalkan, prestasi pelajar kita amat memberangsangkan dan di harap tahun ini kita mampu jadi juara kali keempat berturut-turut,” katanya di majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan Yayasan Terengganu (YT) kepada Pelajar STPM 2011 di Wisma Darul Iman petang ini.



Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw dan Pengarah YT, Encik Zakaria Yusof.

Katanya, ini masuk tahun keempat kerajaan beri bantuan di mana kali pertama (2008) seramai 2,330 pelajar diikuti 2,168 orang (2009) dan tahun lalu bilangan penerima seramai 1,826 orang.



Katanya, kerajaan akan lakukan apa saja untuk memberi tambah nilai dalam pendidikan justeru menyedari hanya dengan ilmu pendidikan yang cemerlang mampu merubah landskap ekonomi negeri dan negara.

“Zaman persekolahan adalah masa terbaik pelajar mencorakkan hala tuju kehidupan masing-masing manakala kerajaan hanya mampu memberi bantuan dan galakkan, usaha ada ditangan pelajar sendiri,” katanya.



Menteri Besar kemudiannya telah menyampaikan wang tunai RM1,000 seorang membabitkan 2,156 pelajar yang akan menduduki STPM penghujung tahun ini daripada 51 buah Sekolah Menengah (SM) seluruh negeri dengan kos RM2,156,000.




Majlis Aidilfitri KPKK dapat sambutan

Oleh: Suriati Ali

Lebih 2,000 tetamu yang hadir di Majlis Aidilfitri Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) Negeri Terengganu dihidangkan dengan pelbagai juadah tradisional Terengganu yang cukup menyelerakan.



Lebih 10 menu antaranya termasuk nasi dagang, ketupat pulut, laksa Terengganu, laksa Penang, sate ayam, lemang dan rendang menjadi pilihan tetamu di majlis yang diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Sultan Ismail, Kuala Terengganu hari ini.

Hadir sama memeriahkan majlis Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Majlis yang diadakan dengan kerjasama lapan jabatan di bawah KPKK itu turut diserikan dengan nyanyian lagu Aidilfitri.



Majlis Aidilfitri DUN Air Putih meriah

Oleh: Nurul Aziela Saberi



Walaupun Syawal hampir berlalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Air Putih, YB Haji Wan Abdul Hakim Tan Sri Haji Wan Mokhtar, mengadakan rumah terbuka di Pusat Khidmat Masyarakat Dun Air Putih, semalam bagi meraikan penduduk sekitar kawasan ini.

Menurut Wan Abdul Hakim, beliau sengaja mengadakan majlis pada hari Ahad waktu pejabat dibuka, bagi memudahkan kakitangan awam mahupun swasta yang bekerja dapat menghadiri majlis beliau pada waktu makan tengahari.

Keadaan lebih meriah lagi dengan kehadiran guru-guru dan pelajar dari Sekolah Kebangsaan Binjai Kemaman memandangkan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Air Putih berhadapan dengan sekolah.

“Di samping itu penduduk di Neram dan Perasing Jabor yang kebanyakan bekerja di Kuantan boleh datang ke sini kerana mereka bercuti pada hari Ahad dan kebanyakan penduduk di sekitar DUN Air Putih ramai yang boleh datang.

“Anggaran dalam 10,000 orang pengunjung telah menghadiri majlis sambutan Hari Raya tahun ini dan jumlah tersebut semakin meningkat dari tahun ke tahun,” katanya.



Turut kelihatan di majlis itu, bekas Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad yang mengambil kesempatan beramah mesra dengan orang ramai dan tidak pernah lengkang daripada senyuman.

Tiga pasangan kembar ceriakan majlis terima e Book

Oleh; Esah Abdullah

Keceriaan jelas terpancar pada wajah tiga pasangan kembar yang menerima e Book daripada Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Stadium Tertutup Gong Badak semalam.



Nor Aishah Nabihah dan Nor Alia Nabilah Harun, 10, pelajar Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jiring merupakan anak pasangan pendidik, Encik Harun Mohamad, 46, dan Zaimah Abdul Rahman .

Anak keempat dan kelima daripada enam beradik ini sangat meminati IT dan seronok bila menerima e Book serta tidak sabar untuk belajar menggunakan teknologi canggih itu.



Manakala Faezatul Hasniza dan Faezatul Hasnira, 10, juga dari dari SK Tok Jiring melahirkan kegembiraan dan tidak sabar untuk pulang ke rumah.

Anak ketiga dan keempat pasangan Rosmi Omar, 43 dan Solihah Stapa,34 dari Kampung Tok Jiring ini sentiasa mengimpikan e Book bila melihat pelajar lain menerimanya tahun lalu.



Bagi Mohammad Zul Najmi dan Muhammad Zul Hilmi Mohd Zaki dari SK Mengabang Telipot berazam untuk belajar bersungguh-sungguh.

Anak kedua dan ketiga Encik Mohd Zaki Mustafa, 45, dan Puan Zainab Abdullah, 39 dari Kampung Gong Sekolah ini meminati sukan bola sepak dan mewakili sekolah ke pertandingan peringkat daerah.



Turut menerima e Book seorang pelajar kurang upaya (OKU), Muhammad Omar Izuddin Mohamah dari SK Bukit Nanas, Tepoh yang bercita-cita menjadi seorang doktor.

Anak bongsu daripada empat beradik ini adalah anak pasangan Encik Mohamad Kadir, 58 dan Puan Azimah Mohd Salleh, 42 dari Kampung Bukit Berangan, Tepoh ini tidak pernah merungut tentang kekurangan dirinya yang dilahirkan cacat kedua kaki.

Katanya, Mohammad Omar Izuddin menggunakan kerusi roda yang dibeli sendiri itu sentiasa ceria biar pun tidak boleh berjalan dan menjadi rutin hariannya menghantar dan mengambilnya dari sekolah.


Hudud Pas sekadar dendangan lagu raya

Oleh FAUZI MOHD

Umpama dendangan lagu hari raya – melodi dan liriknya dilagukan setiap tahun dan penyanyinya pula terdiri daripada para pemimpin sebuah parti yang mengaku lebih Islam berbanding parti lain.

Baru-baru ini, sekali lagi Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat bersuara meminta agar Perdana Menteri membenarkan hudud dilaksanakan di Kelantan kerana beliau yakin banyak masalah boleh diselesaikan sekiranya hukum itu dijalankan.

Semuanya gara-gara laporan Majlis Aids Malaysia yang mengatakan Kelantan mencatat bilangan pesakit HIV tertinggi di Malaysia pada 2010.

Untuk pengetahuan, bukan sahaja 2010 Kelantan menjadi juara HIV, malah pada tahun 2008 dan 2009 anugerah itu tidak terlepas ke negeri lain.

Seperti biasa, sesuai dengan perangai pemimpin dan penyokong-penyokong Pas, apa sahaja yang buruk akan dilemparkan kepada UMNO dan Barisan Nasional.

Mursyidul Am Pas kata, punca HIV tinggi di Kelantan kerana mereka gagal melaksanakan hukum hudud yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 1993 kerana halangan daripada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Itu cuma kenyataan orang politik yang enggan mengakui kelemahannya sebagai Menteri Besar Kelantan serta mahu menjaga undi orang-orang kampung yang berkain pelikat atau berselipar ‘Jepun’ terhadap partinya.

Cuba bayangkan sekiranya laporan-laporan akhbar atau berita yang tersiar beberapa hari lepas melaporkan Kelantan mencatatkan bilangan paling rendah penghidap HIV di Malaysia, apa pula mereka akan kata?

Mereka akan kata, "inilah berkat pemerintahan tok guru dan kerajaan Islam di Kelantan."

Tetapi apabila akhbar melaporkan Kelantan yang paling tinggi, terus kesalahan diletakkan kepada sesiapa sahaja kecuali dirinya sendiri.

Jadi di manakah relevannya apabila Nik Aziz mengaitkan kegagalan melaksanakan hudud punca pesakit AIDS tinggi di Kelantan?

Begitu juga apabila parti itu kalah pilihan raya, salahkan parti lawan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Apabila pesakit HIV tinggi salahkan Tun Dr. Mahathir dan hukum hudud.

Tempoh 21 tahun Pas perintah Kelantan bukannya tempoh yang pendek. Tun Dr. Mahathir mentadbir negara selama 22 tahun.

Tahun depan tempoh Nik Aziz jadi MB Kelantan dah sama dengan tempoh Tun Dr. Mahathir jadi Perdana Menteri.

Apa kejayaan yang boleh dibanggakan dengan 21 tahun pemerintahan Nik Aziz? Pembangunan rohani gagal, pembangunan jasmani pun gagal.

Beberapa pihak pernah memaklumkan hudud yang dibawa oleh Pas pada tahun 1993 bukannya hudud yang sebenar mengikut syariat Islam. Ia hudud politik.

Sengaja direka cipta supaya ditolak oleh Kerajaan Pusat pada masa itu. Apabila ditolak bolehlah dijaja cerita UMNO tolak Islam.

EIO pantau e Book di 430 sekolah

Oleh; Esah Abdullah

Penempatan Eksekutif Teknologi Maklumat (EIO) di 348 Sekolah Kebangsaan (SK) dan 82 Sekolah Menengah (SM) seluruh negeri mampu menambah baik pengurusan dan penggunaan e book kalangan pelajar.

Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Razali Daud berkata, statistik pengunaan e Book sehingga ini melebih 72,000 pelajar memerlukan pemantauan rapi dan berterusan.

“Prestasi EIO sangat memuaskan kerana dengan adanya Virtual Classroom serta Sekolah Maya sangat memerlukan penglibatan dan sokongan tenaga pakar bagi memastikan prasarana ICT Virtual School beroperasi dengan baik,” katanya di majlis Pelancaran Penyerahan e Book Tahun Empat Peringkat Negeri dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh di Stadium Tertutup Gong Badak semalam.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh timbalannya, Encik Hashim Mohd Zin.
Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri merangkap Ahli DUN Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Noh.

Katanya, cadangan permuafakatan secara gabungjalin bersama agensi lain seperti Bestari.Coom dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta komuniti setempat dapat memanfaatkan kelebihan e Book dan penempatan EIO.

“Penyertai semua peringkat mampu melahirkan pendidikan terbilang serta melestarikan pendidikan didalam komuniti,” katanya.

Dalam majlis berkenaan seramai 1038 pelajar dalam DUN Tepoh merupakan kumpulan pertama menerima pemberian e Book bagi Murid Tahun Empat daripada 23,000 seluruh negeri.