Oleh FAUZI MOHDApa lagi ‘kejayaan’ yang pimpinan PAS mahu tunjukkan kepada penyokongnya selain satu demi satu roh perjuangan parti itu menjadi ‘korban politik’ hanya kerana pesona Putrajaya.
Selain menjadi pak turut kepada sekutunya DAP dan PKR, perubahan yang kadang kala disebut pemimpin parti berkenaan sebagai
tahaluf siyasi itu hanya kerana mahu melihat lebih ramai pemimpin PAS mendapat gelaran Yang Berhormat selepas Pilihanraya Umum ke-13.
Bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Zuber Embong berkata, setelah golongan ulama yang sinonim sebagai peneraju parti itu ditolak perwakilan dalam muktamar agung parti itu pada Jun lalu, PAS mula menukar ‘kiblat’ perjuangan mereka.
Menurutnya, PAS yang dulunya pernah menuduh UMNO anti ulama telah beralih arah dengan menolak golongan itu untuk jawatan tertinggi yang dipertandingkan iaitu Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden.
Kalau PAS benar-benar konsisten katanya, maka pemimpin-pemimpin parti itu tidak sewajarnya berubah-ubah fikirkan, contohnya sekejap mahu negara Islam dan sekejap mahu negara berkebajikan.
“Perjalanan politik Pas kini membawa dua haluan yang berbeza iaitu di kaki kanan menuju negara Islam manakala kaki kiri menuju negara berkebajikan. Jika situasi ini berlaku sudah pastilah Pas menjadi sebuah parti yang dilihat bercelaru dalam usaha untuk meraih kekuasaan.
“Setelah aganda penubuhan negara Islam digantikan dengan negara berkebajikan, PAS secara bersama dengan DAP dan PKR sekali lagi menggadai maruah parti itu dengan menolak perlaksanaan hukum Hudud,” katanya.
Beliau berkata demikian pada satu majlis penerangan isu-isu semasa anjuran Unit Komunikasi Negeri (UKOM) di Kampung Pujuk, Manir, Jumaat lalu.
Turut hadir, Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, Yusof Awang Hitam dan Pengarah UKOM, Shamsuddin Sulong serta Timbalannya, Ruslan Abdul Rahman.
Tambah Dato’ Zuber, beliau tidak terkejut jika selepas ini banyak lagi impian dan dasar perjuangan PAS sejak ditubuhkan pada tahun 1951 akan lenyap satu demi satu.
“Dalam sisi politik, PAS adalah ‘bangkai bernyawa’ kerana parti itu sudah tiada apa-apa lagi untuk diangkat sebagai lambang perjuangan. Itu semua bukan kerana UMNO dan Barisan Nasional, itu adalah keputusan PAS sendiri.
“Andainya PAS berjaya ke Putrajaya sekalipun, PAS hanya membawa ‘hampas’ bukan nilai perjuangan yang dilaungkan selama ini. PAS sudah tidak sesuai untuk dikaitkan dengan perjuangan Islam,” katanya yang juga bekas Ketua Penerangan UMNO Terengganu.
Sementara itu, Shamsuddin yang turut berceramah dalam majlis itu berkata, kempen negara berkebajikan yang dibawa Presiden PAS bukanlah perkara baru untuk rakyat rasa teruja.
Katanya, pengundi tidak perlu bersimpati dengan PAS yang sinonim dengan gelaran ‘parti kutip derma’ kerana soal kebajikan sudah lama menjadi agenda perjuangan UMNO dan Barisan Nasional.
“Pemimpin PAS jangan fikir mereka bercakap dengan rakyat yang buta dan bisu. PAS berkuasa lebih 20 tahun di Kelantan, apa dasar dan program kebajikan PAS buat di Kelantan yang boleh dicontohi oleh kerajaan negeri lain.
“PAS tidak perlu menuduh UMNO abai kebajikan rakyat, sebaliknya pemimpin dan wakil rakyat mereka perlu belajar dari UMNO bagaimana mahu tadbir negara, negeri berkebajikan yang sebenar,” ujarnya.