Halaman

17 October 2011

Ambil resepi Terengganu untuk tawan Selangor

Oleh; Esah Abdullah

“Kami ingin mengambil resepi dari Terengganu sebagai panduan untuk merampas kembali negeri Selangor yang berada di tangan Pakatan Rakyat (PR) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang,”.



Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Shah Alam, Selangor, Puan Radziah Ahmad berkata demikian ketika ditemui di Pejabat UMNO Perhubungan Terengganu semalam.

Katanya, sebagai sayap kanan Barisan Nasional (BN), jentera Wanita berusaha keras dan membuat persiapan rapi untuk menghadapi ujian getir dalam PRU-13 nanti.

Kunjungan tiga hari dua malam ke negeri ini bersama 40 orang ahli dalam Program Kembara Ilmu (PKI) turut diraikan dalam majlis makan malam bersama Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu.

Beberapa tempat menarik turut dilawati termasuk Taman Tamadun Islam, di Pulau Wan Man, Yayasan Nur Zahirah dan Pusat Kraf Tangan di Chendering serta Pasar Payang, Kuala Terengganu.



“Sepanjang berada di sini, kami berpeluang bertemu dengan jawatankuasa wanita di Hulu Terengganu, Marang dan Kuala Terengganu bertukar idea serta meminta resepi jentera wanita negeri memenangi hati rakyat,” katanya





Swasta dipelawa sertai ternakan ikan air tawar

Oleh; Esah Abdullah


Kadar pengeluaran sumber perikanan darat di negeri ini masih belum berjaya sepenuhnya walaupun projek awal telah dimulakan di Tasik kenyir.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Asha’ari Idris berkata, untuk mencapai tahap optimum kerajaan berharap ada pelabur luar berminat untuk meneroka penternakan ikan sungai pada masa akan datang.

“Peranan pihak swasta dalam zon akuakultur juga mampu memastikan hasrat kita ke arah menjadikan bidang berkenaan suatu yang menguntungkan semua pihak,” katanya selepas melakukan pelepasan benih ikan di Sungai Nerus, Kampung Pelong, Setiu.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Encik Zakaria Ismail dan Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Encik Ishamuddin Hashim.

Sebanyak 12,000 benih ikan kelah, lampam dan kerai telah dilepaskan dalam usaha mengekalkan populasi ikan air tawar daripada terus mengalami kepupusan.

Katanya, pelepasan ini merupakan kali kedua selepas projek pertamanya di Tasik Kenyir dan Sungai Nerus dilihat sangat bersesuaian dengan keadaan biologi asal sungai dan kaya dengan spesies ikan air tawar.

“Saya yakin pembabitan tiga kampung disekitar sungai ini iaitu Kampung Payong, Seri Kenangan dan Pelong berpotensi untuk menjadi santuari ikan sungai suatu hari nanti,” katanya.

Menurutnya, projek pelepasan benih ikan ini di bawah pemantauan Jabatan Perikanan akan dikembangkan ke daerah lain selepas ini.





Sepakat Kuala Terengganu Meriah



Program Sepakat Komuniti 1Malaysia peringkat daerah Kuala Terengganu berlangsung dalam suasana meriah, ceria dan bermaklumat.

Program anjuran Pejabat Penerangan Daerah Kuala Terengganu diadakan di Padang Bola, Kampung Binjai, Tepoh selama dua hari bermula 14 Oktober 2011.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan iaitu sukaneka, pertandingan wau naik, pertandingan dam aji, pertandingan masakan, pameran jualan, pameran agensi kerajaan dan swasta.

Kira-kira 1,000 pengunjung hadir pada program yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Kawasan Tepoh yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Ustaz Muhammad Ramli Hj Nuh.



Selain itu, pada sebelah malam turut diadakan Forum Perdana yang bertajuk `Merdekakah Kita’ dengan hujahan dua ahli panel iaitu Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (Unsiza), Tuan Haji Halim Awang dan Pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Zulkifli Muda. YB Ustaz Muhammad Ramli bertindak sebagai pengerusi panel.

Bagi memeriahkan lagi program itu, penganjur turut menyediakan cabutan bertuah iaitu empat basikal Fixie dan hamper kepada pengunjung.
Sempena program itu, Komuniti 1Malaysia daerah Kuala Terengganu menyumbang RM4,600 untuk Tabung Somalia.

Hadir sama pada program itu ialah Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Puan Hajah Azizah Awang dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu yang juga Pengerusi Komuniti 1Malaysia, Tuan Haji Wan Nawawi Wan Ismail.


Pelancong perlu rasa makanan tradisional

Oleh: Suriati Ali

“Cukup rugi sekiranya pelancong luar Terengganu tidak merasai kelazatan pelbagai makanan tradisional seperti nasi dagang, semang, kerepok lekor, akok telur, puding raja, jala mas dan laksam apabila berkunjung ke negeri ini.

“Puluhan hidangan itu mudah didapati di gerai-gerai makanan, restoran dan juga tempat paling popular di Terengganu iaitu Pasar Besar Kesar Payang,” kata isteri Menteri Besar To’ Puan Norliza Mahmud ketika berucap di Majlis Makan Malam di Kediaman Seri Iman, Batu Burok, Kuala Terengganu, malam tadi (16 Oktober).

Majlis itu diadakan bagi meraikan 40 ahli rombongan Wanita Umno Bahagian Shah Alam, Selangor yang berkunjung ke Terengganu selama tiga hari dan dua malam.



Beliau berbesar hati menerima kunjungan seumpama ini dan mengalu-alukan semua ahli rombongan sudi melawat pelbagai destinasi menarik, termasuk Taman Tamadun Islam, Tasik Kenyir, Pantai Batu Burok dan sebagainya.

Ketua rombongan yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Shah Alam, Puan Radziah Ahmad berkata semua ahli rombongan kagum dengan perubahan yang berlaku di Terengganu, bukan saja di segi kemudahan prasarana, tetapi ia juga meliputi kemudahan awam, lanskap dan kebersihan yang terjaga rapi.

“Berdasarkan perubahan ini, tidak hairanlah pelancong menaruh minat untuk kembali melawat Terengganu sekaligus menyaksikan bilangan pengunjung meningkat setiap tahun.

“Sesiapa saja yang berkunjung ke negeri ini tidak lengkap jika tidak singgah ke Pasar Payang untuk membeli batik, barangan kraf, barangan tembaga dan juga makanan tradisional seperti keropok lekor, coklat nisan dan sebagainya,” katanya.



16 October 2011

Pasukan lawan puji kehebatan Terengganu


Keupayaan Skuad “Penyu” mengekang pasukan Kelantan pada pertandingan suku akhir kedua Piala Malaysia di gelanggang lawan Jumaat lalu, mendapat pujian Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa.

Menurut beliau, walaupun Kelantan kecewa dengan keputusan yang memihak kepada Terengganu, perlawanan antara kedua-dua pasukan dari Pantai Timur itu merupakan pertandingan yang terbaik dan pihaknya akur dengan kehebatan pasukan Terengganu.

Katanya, Terengganu sememangnya layak menang kerana mempamerkan aksi bertenaga mereka selain menghukum kelalaian barisan pertahanan Kelantan yang agak leka mengekang asakan pasukan pelawat itu.

"Mereka layak menang kerana bermain bersungguh-sungguh dan mempamerkan aksi sangat bertenaga. Kelantan tewas di tangan pasukan yang lebih baik daripada kita (Kelantan).

"Penyerang dan barisan pertahanan Terengganu bermain dengan cemerlang dan menghukum kelalaian pemain Kelantan terutama di barisan pertahanan," katanya.

Pada perlawanan itu, Kelantan dan Terengganu mencatatkan keputusan seri 2-2 tetapi Skuad “Penyu” berjaya melangkah ke separuh akhir apabila mencatatkan keputusan secara agregat 5-3.

"Kepada Terengganu kita ucapkan selamat maju jaya untuk tempoh yang akan datang manakala kita (Kelantan) akan mula mengatur persiapan untuk musim akan datang," katanya.


Larian Merdeka Raya Kemaman 2011

Oleh: Nurul Aziela Saberi



Program Larian Merdeka 2011 yang diadakan di Cheneh Baru, semalam, mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat apabila 1,000 peserta menyertai acara tersebut.

Sejak awal pagi penduduk tempatan memenuhi Padang Awam Bandar Cheneh Bharu untuk menyertai acara pelbagai sukan yang dipertandingkan.

Beberapa agensi kerajaaan dan swasta seperti Jabatan Kesihatan, Jabatan Pertanian dan banyak lagi turut menyertai pameran yang diadakan sempena pameran berkenaan.



Antara sukan rakyat yang dipertandingkan ialah lari kaki tiga, gelek buah kelapa, lari dalam guni, bola jaring, bola sepak dan futsal kanak-kanak tadika KEMAS.

Acara cabutan bertuah paling dinanti-nanti orang ramai yang menyertai program itu kerana pelbagai hadiah menarik seperti skuter, TV LCD 42 inci dan basikal disediakan penganjur.

Murid Tahun 4 Sekolah Kebangsaan Cheneh Bharu, Norhidayati Abd. Karim sangat bertuah pada pagi semalam kerana telah memenangi hadiah cabutan bertuah tempat pertama iaitu sebuah skuter merah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Air Putih, YB Haji Wan Abdul Hakim Tan Sri Haji Wan Mokhtar merasmikan majlis penutup di Astaka Padang Awam Bandar Cheneh Bharu dan menyampaikan hadiah kepada semua pemenang.

Penduduk setempat berharap program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

ALBUM 2 - Pembedahan Jantung Pertama di iHeal



16 sekolah sertai pertandingan memasak peringkat kebangsaan

Oleh; Esah Abdullah

Sebanyak 16 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dari seluruh negara akan berentap dalam Pertandingan Memasak Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu, Selasa ini.

Setiap pasukan merupakan johan di peringkat negeri diwakili empat pelajar tingkatan empat itu akan beradu kehebatan untuk menyediakan masakan yang bertemakan `masakan pangantin’.

Ketua Unit, Unit Perhubungan dan Pendaftaran, Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pelajaran Negeri, Mohamad Nawawi Rani berkata, program anjuran Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran dengan kerjasama Nestle itu merupakan acara tahunan dan Terengganu menjadi tuan rumah bagi edisi yang ke 14 pada tahun ini.

Katanya, sekolah yang mewakili Terengganu ialah SMK Lembah Bidong, SMK Dato’ Onn (Johor), SMK St Mary (Sabah), SMK Tiang Chambi (Kelantan), SMK St Bernadette’s Convent (Perak), SMK Putrajaya Persint 11 (Putrajaya), SMK Bintang Utara (Kuala Lumpur).

Manakala SMK Tinggi Perempuan Melaka (Melaka), SMK Kg Nangka (Sarawak), SMK Seri Enggang Batu Lima (Kedah), SMK Perempuan Raja Zarina Pelabuah Kelang (Selangor), SMK Datuk Abdul Samad (Negeri Sembilan), SMK Penanti (Pulau Pinang), SMK Perampau Damai Muadzam Shah (Pahang), SMK Abu KM 7 (Perlis) dan SMK Pantai (Wilayah Persekutuan Labuan).

Mohamad Nawawi berkata, kesemua peserta termasuk guru pengiring dan ketua kontinjen akan mula mendaftar pagi esok, bagaimanapun tiga kumpulan yang mewakili Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan mula mendaftar petang ini.

“Program tahunan kementerian itu adalah satu usaha dalam mencungkil bakat pelajar dalam bidang masakan di samping membantu meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang berkenaan,” katanya.

Sempena dengan pertandingan itu turut diadakan demostrasi masakan oleh Chef Muluk, ceramah pemakanan dari Nestle dan pertandingan MAGGI Kreatif Challenge.

Pengarah Bahagian Korikulum dan Kesenian, Kementerian Pelajaran, Encik Muhammad Roli Hassan dijangka merasmikan majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada para pemenang.




JBS sedia RM27,000 untuk penerima anugerah

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Terengganu bakal menganjurkan program Penyampaian Anugerah Belia Terengganu yang bakal berlangsung November ini.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) negeri, Abdul Aziz Abd. Rahman berkata, lokasi program yang diadakan sempena Hari Belia itu belum ditentukan lagi.

"Sebanyak RM27,000 disediakan untuk penerima anugerah bagi tujuh kategori yang dinilai termasuk Tokoh Belia Lelaki dan Wanita serta Tokoh Kepimpinan Lelaki dan Wanita.

“Kategori lain yang dipertandingkan ialah Kesukarelaan Terbaik, Usahawan Belia Terbaik, Persatuan Belia Terbaik, Daya Juang dan Wira Tani,” katanya.

Katanya, pemenang setiap kategori masing-masing akan menerima wang tunai RM3,000, cenderamata dan sijil penghargaan kecuali Persatuan Belia Terbaik akan menerima tambahan RM500 untuk pengurusan pentadbiran.

Mengenai perkembangan persatuan belia di negeri ini, Abdul Aziz berkata, pihaknya menyasarkan penubuhan kira-kira 1,000 pertubuhan seluruh negeri menjelang akhir tahun ini.

Katanya, ia selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk mewujudkan sebuah pertubuhan belia di setiap peringkat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Menurut beliau, pada masa ini sebanyak 540 pertubuhan belia didaftarkan di negeri ini dengan kira-kira 35,000 keahlian.

Katanya, JBS sentiasa bekerjasama dengan Majlis Belia negeri dan daerah untuk memastikan matlamat tersebut tercapai.

"Dengan wujudnya pertubuhan belia di peringkat kampung, ia memberi peluang kepada golongan itu melakukan pelbagai aktiviti yang secara tidak langsung dapat membendung gejala kurang sihat," ujarnya.

Menurut beliau, di peringkat penajaan, sekurang-kurangnya 15 orang yang dilantik sebagai jawatankuasa dan penubuhan biro boleh dibentuk bagi membolehkan mereka mendaftar sebagai sebuah pertubuhan belia.




Puspanita buka laman sosial

Oleh: Suriati Ali

Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhimatan Awam Malaysia (Puspanita) Terengganu melancarkan laman web sosial facebook untuk dimanfaatkan semua ahli.

Pengerusi Puspanita, To’ Puan Rohani Abdullah, berkata langkah itu diambil selaras dengan perubahan kemajuan teknologi tersebut yang kini semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat.

Katanya, pendekatan sama juga diambil oleh puspanita negeri lain. Jesturu itu Puspanita Terengganu juga tidak mahu ketinggalan dengan mengambil langkah yang sama membuka lama sosial dan diharapkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya ahli bagi mengetahui maklumay dan aktitiviti yang dirancang.

“Setiap ahli Puspanita boleh membuka laman sosial tersebut dengan menggunakan alamat Puspanita Terengganu.

“Pihaknya berharap lebih ramai ahli memanfaatkan laman tersebut untuk berhubung antara satu sama lain serta berkongsi ilmudan idea antara sesame ahli,” katanya.