Halaman

31 October 2011

JPNT anjur 500 program pupuk muafakat

Oleh: Suriati Ali



Pendekatan Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) menganjurkan lebih 500 program di peringkat negeri dan daerah pada setiap tahun, mampu memupuk semangat muafakat dan tolenrasi antara pelbagai lapisan masyarakat tempatan.



Pengarah JPNT, Puan Azizah Awang, berkata semua program yang dirancang itu membabitkan peruntukan lebih RM800,000 selain berdasarkan Penunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian dan jabatan.


"Semua program adalah mengikut sasaran tertentu dan kesesuaian sesuatu tempat. Setakat ini, sebanyak 90 peratus daripada program itu telah dijalankan," katanya kepada Teganukita.



Puan Azizah berkata, semua aktiviti jabatan itu melibatkan kumpulan sasar seperti Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, kakitangan kerajaan, pelajar, masyarakat pelbagai kaum dan belia.


“Selain itu, jabatan itu juga mengadakan program Wacana Bicara 1Malaysia di peringkat sekolah selain menubuhkan Kelab Setia di setiap sekolah menengah yang akan membantu menyebarkan dasar kerajaan.



“Jabatan turut mewujudkan Komuniti 1Malaysia yang sebelum ini dikenali sebagai Komuniti Bestari di 83 mukim untuk semua pihak hingga akar umbi,” katanya.

Program Kembara Ramadan Jalur Gemilang 2011 turut dianjur bagi menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan ke-54 yang disesuaikan dengan suasana bulan Ramadan.


NIEW anjur The Great Gender Debate 2011 di UMT

Oleh FAUZI MOHD

INSTITUT Pengupayaan Wanita bagi Anggota Pergerakan Negara- Negara Berkecuali (NIEW) akan menganjurkan debat antara institut pengajian tinggi (IPT) bertajuk The Great Gender Debate 2011 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada 9 hingga 13 November ini.

Pengarah NIEW, Tan Sri Datuk Dr. Rafiah Salim dalam satu kenyataannya berkata, ia diadakan dengan kerjasama UMT dan Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (Madum).

Katanya, pertandingan itu bertujuan memberi pendedahan kepada para belia khususnya pelajar mengenai isu-isu berkaitan gender di negara ini dan di peringkat antarabangsa.

"Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pertandingan itu boleh menghubungi Pegawai Perhubungan Awam NIEW, Che Wan Qatrunnada Che Wan Alias di talian 03-26143012 dan 0193270072 atau menerusi emel di alamat qatrunnada@niew. gov.my," katanya.

Upacara penutup pertandingan itu dijangka disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Fama Terengganu ; 231 usahawan, RM16.8 juta nilai jualan pasar tani

Oleh FAUZI MOHD

Fama Terengganu berjaya memenuhi sasaran untuk menambah 200 usahawan pasar tani baru tahun ini, apabila berjaya melahirkan 231 usahawan pasar tani baru hingga September lalu.

Pengarah Fama Terengganu Hasan Jusoh berkata, daripada jumlah keseluruhan seramai 921 usahawan, daerah Besut mencatatkan usahawan pasar tani seramai 299 usahawan, Kemaman (170), Kuala Terengganu (155), Hulu Terengganu (132), Dungun (120) dan Marang (45).

Katanya, dengan pertambahan itu, Pasar Tani Fama di seluruh Terengganu telah menghasilkan nilai jualan kira-kira RM16.8 juta bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

"Perkembangan itu memberi peluang kepada Fama Terengganu mensasarkan nilaian jualan dari pasar tani seluruh negeri sepanjang tahun ini mencapai sehingga RM22.5 juta,"


Jiran Wanita KRT Besut anjur Bengkel Keusahawanan

Oleh: Mohammad Ishak

TEKUN...Jiran Wanita Daerah Besut menyertai pertandingan jahitan manik


Jiran Wanita Kawasan Rukan Tetangga Daerah Besut sekali lagi mengaktifkan aktiviti untuk golongan berkenaan apabila menganjurkan Bengkel Keusahawanan dan Pertandingan Jahitan Manik.

Bengkel dengan kerjasama Pejabat Perpaduan Daerah Besut yang berlangsung di Dewan Pusat Aktiviti Perpaduan, Jalan Tembila, Kampung Raja, adalah aktiviti tahunan sejak 2009 dianjurkan pihak terbabit.

Pegawai Perpaduan Daerah,Noor Almizan Mahmood, yang merasmikan program itu berkata pihaknya bangga dengan usaha yang dilakukan oleh Jiran Wanita daerah itu yang mampu menganjurkan aktiviti sejak tiga tahun lalu.

Katanya, bengkel turut dimanfaatkan dengan ceramah keusahawanan yang disampaikan oleh Pegawai Mara bertujuan memberi pendedahan kepada wanita mengetahui selok belok menjadi usahawan.

Seramai 50 peserta mewakili Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dari seluruh daerah Besut menyertai bengkel sehari yang turut menganjurkan pertandingan jahitan manik.

Pertandingan jahitan manik itu susulan daripada kursus jahitan manik yang pernah diadakan oleh penganjur tahun lalu bertujuan mengcukil bakat dikalangan ahli Jiran Wanita terbabit.

Noor Almizan berkata, pihaknya merancang untuk mengadakan lebih banyak program membabitkan kumpulan Jiran Wanita pada tahun depan kerana ia mendapat sambutan.

“Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional tiada halangan menyalurkan peruntukkan kepada kumpulan berkenaan yang beminat menganjurkan sesuatu aktiviti,” katanya.


30 October 2011

Terengganu sasar tanam 1.5 juta pokok

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Perhutanan negeri Terengganu menyasarkan penanaman sebanyak 1.5 juta pokok sehingga tahun 2014, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za”abar Mohd Adib.

Beliau berkata, sehingga September tahun ini, jabatan itu berjaya menanam sebanyak 236,289 pokok di Terengganu.

"Bagi mencapai sasaran, tanaman pokok dilakukan pelbagai agensi termasuk majlis daerah, institusi pengajian tinggi awam, sekolah, jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK), dan lain-lain,” katanya.

Datuk, Za”abar, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Abang, berkata, 42 peratus daripada keseluruhan tanah di Terengganu atau 0.544 juta hektar masih diliputi kawasan Hutan Simpanan Kekal.

Katanya, berdasarkan penemuan hasil ekspedisi kepelbagaian biologi hutan rimba bandar Bukit Bauk yang dilakukan pada 2006, dianggarkan lebih daripada 650 spesis tumbuhan wujud di rimba bandar ini.


Nipah cruise angkat produk tradisional

Oleh; Esah Abdullah

Penduduk tempatan disekitar Seberang Takir diminta tidak melepaskan peluang meningkat ekonomi keluarga masing-masing apabila kerajaan memutuskan untuk membangunkan kawasan tebing tinggi di kampung berkenaan sedang giat dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, sains, teknologi dan Sumber Manusia negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, peruntukan tambahan RM350,000 sudah diterima untuk pembangunan yang dirancang.

“Sebelum ini RM300,000 sudah dibelanjakan untuk projek sukan air nipah cruise dalam usaha menjadikannya sebagai satu tarikan pelancong di samping mengangkat semula produk nipah yang dipelopori orang-orang dahulu,” katanya.

Katanya, penggunaan daun nipah sebagai ‘rokok’ oleh generasi dahulu dikatakan mampu menjadi penawar penyakit dalaman dan ini terbukti peratus mengidap penyakit dalaman amat berkurangan berbanding sekarang.

Selain itu katanya, pihaknya merancang membina dua kiosk untuk menjual ikan dan sotong bakar serta sebuah restoran terapung untuk kemudahan pengunjung menjamu selera bersama keluarga terutama pada waktu malam dan hujung minggu.

Katanya, Seberang Takir akan menjadi tarikan baru pelancong ke negeri ini apabila usaha menaiktaraf tebing tinggi dan pembinaan kiosk ini siap tahun depan.

“Saya harap penduduk tempatan dapat mengambil peluang kemudahan yang disediakan kerajaan serta berusaha menaikkan taraf ekonomi keluarga,” katanya.




Pulau Duyong kaya warisan sejarah

Oleh: Suriati

PULAU DUYONG yang terletak di pinggir muara Sungai Terengganu, dengan jarak kira-kira 15 kilometer dari pusat Bandar Raya Kuala Terengganu, menjadi destinasi warisan yang kian popular selepas diberi `nafas baru’ oleh kerajaan negeri dengan pembinaan pelbagai prasarana.



Kewujudan lokasi penganjuran Piala Monsun, Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa dan pembinaan pangsapuri mampu milik, nyata amat membanggakan penduduk tempatan.

Tidak lengkap dengan itu, lokasi Pulau Duyong menghadap Laut Cina Selatan sememangnya terkenal dengan pelbagai bahan sejarah yang unik dan menarik.

Kota Lama Duyong antara bahan sejarah yang kekal hingga hari ini. Dibina pada tahun 1920, kota ini pada awalnya digunakan oleh individu tertentu dan kumpulan agama Islam untuk mengajar penduduk kampung membaca al-Quran.

Dipercayai bahan yang digunakan untuk membinanya termasuk madu, putih telur dan batu. Setelah musnah akibat banjir pada tahun 1986, ia dibaikpulih pada tahun 1999 tanpa mengubah struktur pembinaan.

Bangunan bersejarah itu dibina hasil cetusan idea pegawai senior di jabatan pentadbiran Terengganu iaitu Dato' Biji Sura.

Legasi dan keistimewaan Pulau Duyong tidak berhenti di situ sahaja kerana beberapa pengusaha bot dan kapal layar terkenal sepert Haji Abdullah Muda, Hassan Ali, Azlan Hasni, Muhammad Ali, Amran Ghazali, Muda Muhammad dan Nik Ridzuan Nik Mohd masih aktif memerah keringat dengan menjual hasil tangan mereka ke luar negara, termasuk Singapura, Kanada, Algeria, Australia, Amerika Syarikat, Perancis, Itali, New Zealand, United Kingdom dan Denmark.

Haji Abdullah yang menceburi bidang pembuatan kapal layar sejak tahun 1958, berkata sepanjang menceburi bidang itu puluhan bot nelayan bersaiz besar dan kecil dapat disiapkan.

Bilangan itu tidak termasuk tempahan puluhan kapal layar milik pelanggan asing, perahu kolek payang untuk Kerajaan Pusat dan kerajaan Terengganu yang bernilai antara RM800,000 hingga RM1.1 juta sebuah.

Keunikan reka bentuk berasaskan nilai warisan dan tradisional tempatan merupakan faktor utama kapal layar buatan Haji Abdullah terus mendapat perhatian penggemarnya.

Setiap kapal dan bot yang dihasilkan Haji Abdullah tanpa menggunakan paku sebaliknya menggunakan skru dan kaedah pasak kayu. Elemen itu diutamakan bagi menjamin kualitinya agar lebih tahan lama. Ia juga untuk mengelak kekaratan sehingga mengundang kebocoran pada kapal.


Warga INSPI teruja dapat gelanggang baru


Oleh: Nurul Aziella Saberi

Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM 87,000 bagi membina satu gelanggang serba guna di Institut Pengajian Islam (INSPI) Yayasan Islam Terengganu, di Binjai, Kemaman, untuk kemudahan warga INSPI beriadah.

Dengan adanya gelanggang itu yang akan dibina tidak lama lagi, penuntut INSPI dapat beriadah dengan lebih selesa kerana sebelum ini mereka terpaksa menggunakan gelanggang lama yang daif.

Pengetua INSPI, Ustaz Firdaus Khairi Abdul Kadir, berkata gelanggang baru itu akan dibina dan disiapkan secepat mungkin untuk kegunaan warga INSPI.

“Kita akan membina gelanggang serba guna berdekatan dengan pintu pagar masuk ke INSPI memandangkan kawasan di situ luas dan lapang.

“Seluruh warga INSPI telah lama mengharapkan satu gelanggang yang baru untuk kegunaan mereka apabila ada sebarang aktiviti riadah di luar mahupun untuk kegunaan mereka seperti bermain sukan futsal dan bola keranjang,” katanya selepas meraikan alumni INSPI yang diadakan di institut pengajian itu, baru-baru ini.

Beliau berkata, keadaan gelanggang lama terlalu menyedihkan untuk digunakan di samping kemudahan terlalu terhad.

Justeru itu, katanya, apabila gelanggang baru ini siap dibina, penuntut INSPI yang berbakat dalam aktiviti sukan boleh bergiat secara lebih aktif.



Tahniah buat pasukan “Penyu”

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Walaupun tidak berjaya memenuhi impian bergelar juara berganda bagi Piala FA dan Piala Malaysia 2011, sekalung tahniah buat pasukan Terengganu yang dinobatkan naib juara Piala Malaysia musim ini, selepas kalah tipis 1-2 kepada Negeri Sembilan pada perlawanan akhir malam tadi.



Meskipun perit dengan kekalahan itu, secara keseluruhan pasukan Terengganu masih boleh berbangga dengan kehebatan mereka sepanjang musim ini – juara Piala FA, naib johan Piala Malaysia dan naib juara liga Super.

Pujian harus diberi kepada para pemain pasukan Terengganu yang telebih dahulu membocori gawang Negeri Sembilan dan bermain secara bermati-matian untuk menjuarai Piala Malaysia.



Sebagai peminat nombor satu pasukan Terengganu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said terus bergegas ke Stadium Shah Alam malam tadi, untuk memberi sokongan, walaupun beliau masih kepenatan selepas pulang dari lawatan ke negeri China bersama-sama pegawai kanan kerajaan bagi tujuan pelaburan.

Beliau dan para peminat bola sepak tempatan, tentunya mengharapkan pemain Skuad ‘Penyu’ akan beraksi lebih hebat pada musim depan, bagi mengekalkan kedudukan sebagai juara Piala FA dan menebus kembali kekecewaan untuk merangkul Piala Malaysia.



Pada perlawanan akhir yang mendebarkan kedua-dua pasukan itu, pemain sayap Terengganu, Mohd Ashaari Abdullah terlebih dahulu menceriakan lebih 35,000 penyokong Skuad ‘Penyu’ apabila menjaringkan gol pertama pada minit ke-59.

Bagaimanapun, pasukan Terengganu yang mengimpikan Piala Malaysia selepas kali terakhir bergelar juara piala itu pada 2001, tersentak dengan jaringan penyamaan pemain penyerang lawan, S Kunanlan pada minit ke-81.

Peluang pasukan Terengganu untuk bangkit semula, seakan-akan tertutup apabila pemain veteran Negeri Sembilan, Hairuddin Omar melakukan penyudah lipatan gunting ke sudut kanan gawang Terengganu, sekaligus menewaskan penjaga gawangnya, Mohd Sharbinee Allawee, kira-kira lima minit selepas kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri.

Sebelum itu, Kerajaan Terengganu memberi diskaun 50 peratus ke atas tiket berharga RM50 bagi menyaksikan pertandingan akhir antara kedua-dua pasukan kerana kenaikan harga tiket yang diputuskan FAM bagi tujuan berkenaan membebankan peminat kedua-dua pasukan itu.

Subsidi RM25 bagi setiap tiket perlawanan itu yang disalur melalui Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, cukup melegakan para penyokong Terengganu yang memenuhi separuh daripada tempat duduk di Stadium Shah Alam, bagi menyokong pasukan Terengganu.





Walaupun gagal memenuhi impian Menteri Besar dan seluruh rakyat negeri ini untuk melihat Skuad ‘Penyu” dinobatkan sebagai juara Piala Malaysia 2011, sekalung tahniah buat pasukan bimbingan jurulatih Irfan Bakti Abu Salim yang mempamerkan kesungguhan dan semangat juang yang tinggi dalam pertandingan akhir cukup menghiburkan peminat bola sepak tanah air.



Tahniah kepada semua pemain, jurulatih Irfan Bakti, pengurus pasukan, pegawai-pegawai PBSNT dan semua pihak yang terlibat dalam menaikkan mutu permainan skuad ‘Penyu’.









Hulu Terengganu sedia hadapi banjir

Pejabat Parlimen Hulu Terengganu melakukan pelbagai persiapan awal, termasuk mengenal pasti pusat-pusat pemindahan mangsa banjir di kawasan yang sering ditenggelami air, bagi menghadapi kemungkinan berlaku bah besar tahun ini.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, YB Mohd Nor Othman, berkata daerah itu sering mengalami banjir setiap kali musim tengkujuh dan pelan tindakan awal seperti penyediaan bahan bekalan makanan dan gerakan menyelamat mangsa banjir perlu dilakukan lebih awal bagi mengelak tragedi tidak diingini.

Beliau berkata, antara kawasan yang sering dilanda banjir ialah Kampung Bukit Tadok, Kampung Nibong, Kampung Lubuk Perah, dan beberapa kampung sekitar Hulu Berang.

Sebanyak 112 pangkalan hadapan diwujudkan di seluruh negeri bagi menghadapi banjir yang dijangka berlaku pada bila-bila masa sebelum penghujung tahun ini.

Sebanyak 78 pusat perpindahan yang mampu menempatkan 8,640 mangsa banjir disediakan di daerah Hulu Terengganu, pada tahun ini.

Semua agensi kerajaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pejabat-pejabat daerah juga bersiap sedia menjalankan tanggungjawab mereka jika banjir berlaku.

YB Mohd Nor berkata, bilik gerakan banjir akan dibuka segera sebaik saja terdapat mangsa banjir berpindah, bagi memudahkan urusan penghantaran bekalan dan bantuan di kawasan terlibat.

Beliau menasihatkan penduduk yang terlibat dengan banjir supaya berpindah segera jika diminta pihak berkuasa dan tidak menunggu hingga ke saat akhir untuk berbuat demikian.