Halaman

04 December 2011

Sidang DUN Terengganu bermula esok


Gambar hiasan.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu akan bersidang selama empat hari, mulai esok.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, dijadualkan membentangkan Bajet 2012 bagi negeri Terengganu, pada pagi esok.



Bajet 2012 dijangka mengandungi pelbagai projek dan program untuk manfaat rakyat negeri Terengganu yang akan dilaksanakan pada tahun depan.

Selepas Bajet 2012 dibentangkan, wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan pembangkang akan membahaskannya sebelum ia diluluskan.

I-Heal lakar sejarah lagi: PESAKIT LUAR PERTAMA MEMBUAT PEMBEDAHAN PINTASAN JANTUNG

Oleh: Ruslan Rahman –Pengarang Teganukita



Tiada yang dapat diucapkan oleh Fara Rohlan, 39 tahun, dari Jakarta Indonesia melainkan syukur yang tiada terhingga apabila suaminya yang disayangi Dwi Bina Rachmawanto,40 selamat menjalani pembedahan pintasan jantung (bypass surgery) di i-Heal, Hospital yang dibangunkan oleh Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri.

Pembedahan adalah tanpa menggunakan pam (jantung palsu) bagi menggantikan fungsi jantung dan paru-paru semasa pembedahan dijalankan, tetapi salur darah (bypass) dijahit dalam keadaan jantung sedang berdegup.

Dwi Bina seorang usahawan di Jakarta itu adalah rakyat asing pertama yang menjalani pembedahan, kata Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said yang meluangkan masa seketika melawat pesakit Dwi Bina di i Heal Kuala Lumpur sewaktu rehat Perhimpunan Agung Umno kelmarin (1 Disember 2011).

Dato’ Seri Ahmad memberitahu Pengarang Teganukita bahawa kedatangan pesakit dari luar itu membuktikan keyakinan terhadap keupayaan hospital berkenaan, khususnya pakar pembedahan jantung yang juga Pengarah Hospital itu, Dr.David Khoo Sin Keat.

Menteri Besar yang amat prihatin dan sentiasa memantau perkembangan hospital milik Kerajaan Negeri Terengganu sempat berbual beberapa ketika dengan Dwi Bina yang baru sahaja menjalani pembedahan, juga bertanya khabar kepada keluarga Dwi yang menemani sepanjang pesakit dari Jakarta dirawat di situ.



Hadir sama ialah Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar, Dato’ Haji Wan Ahmad Nizam Abdul Hamid dan Pengarah Unit Komunikasi Negeri Haji Shamsudin Sulong.

Fara Roha berkata, keyakinan yang tinggi kepada kemampuan hospital itu dan pakar bedah jantung, Dr.David Khoo membuatkan beliau serta keluarga membuat keputusan agar suaminya Dwi Bina menjalani pembedahan di situ, walaupun di luar negara sendiri.

Dwi Bina menjalani pembedahan pintasan jantung kaedah baru itu pada 30 November selama satu jam lebih diketuai oleh Dr.David dan beberapa orang para pembantunya. Ia adalah pembedahan kaedah baru kali kelima di hospital berkenaan.

Dwi menjalani pembedahan 3 pintasan jantung (LIMA-Bilateral Radial Arteries) iaitu menggunakan salur darah dari tangan.



Kaedah ini membolehkan pesakit cepat sembuh kerana tidak memberhentikan fungsi jantung dan paru-parunya semasa pembedahan dijalankan.

Pembedahan kaedah biasa, jantung dimatikan fungsinya terlebih dahulu semasa pembedahan dengan menggantikan “pam jantung palsu” dalam tempoh pembedahan.

Ibu Nanie, iaitu emak kepada Dwi ketika ditemui mengakui kehebatan hospital berkenaan dan Dr,David yang telah lama dikenalinya kerana sebelum ini pun suaminya pernah menjalani pembedahan pintasan jantung dengan pakar itu.



“Ibu amat yakin dengan keupayaan Dr.David, lantaran itu ibu mahu anak ibu Dwi Bina juga menjalani pembedahan dengan pakar yang sama,” katanya ketika ditemui Pengarang Teganukita.

Menteri Besar melawat gerai UKOM di PWTC

Laporan: Mohammad Ishak



Kesibukan menyertai Perhimpunan Agung Umno tidak menghalang Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Ahmad Said, meluangkan masa untuk mengunjungi gerai pameran yang disediakan oleh Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM) di Aras Dua, Pusat Dagangan Dunia Putera, Kuala Lumpur.

Ketibaan Dato’Seri Ahmad yang diiringi Setiausaha Politiknya, Dato’ Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, disambut oleh Pengarah UKOM, Haji Shamsuddin Sulong, Timbalannya, Encik Ruslan Abdul Rahman dan Setiausaha Akhbar, Encik Rosli Zakaria.

Gerai UKOM yang menyediakan pelbagai bahan penerbitan kerajaan negeri mendapat sambutan pengunjung yang ingin mengetahui maklumat berhubung pentadbiran kerajaan negeri.

Menteri Besar, diberi penerangan oleh Shamsuddin mengenai operasi UKOM yang menjadi gerai agensi kerajaan negeri terulung mengadakan pameran di PWTC sempena perhimpunan berprestij itu.

Sebaik dibuka pada 29 November dan ditutup pada 3 Disember gerai UKOM tidak putus-putus dikunjungi orang ramai kerana ingin mengetahui perkembangan terkini mengenai kemajuan di negeri Terengganu.

Selain membekalkan bahan penerbitan bercetak dan video gerai berkenaan juga diserbu orang ramai untuk mendapatkan bahan makanan terkenal keropok lekor yang turut diberikan percuma di gerai terbabit.

Pengunjung juga memuji usaha yang dilakukan oleh UKOM kerana ia satu-satunya agensi kerajaan negeri yang mengambil bahagian dalam pemeran berkenaan.





9 muka baru T-Team hadapi saingan Liga Malaysia 2012

Oleh FAUZI MOHD

Bekas pemain kebangsaan dan Selangor Fadly Saari adalah antara sembilan muka baru yang akan memperkuatkan pasukan T-Team bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2012.

Jurulatih Yunus Alif berkata, Fadly yang berasal dari Pahang akan digandingkan dengan pemain import yang berasal dari Zambia, Zacharia Simikounda di barisan serangan.

"Kita sedang mengintai seorang dua lagi pemain untuk memantapkan barisan serangan," katanya semalam.

Menurut Yunus bekas penjaga gol Selangor, lqbal Suhimi dan bekas pemain pertahanan pasukan KL FC Mohd Dzaidin Izzuddin juga akan menyertai pasukan T-Team.

Turut menyertai pasukan T-Team ialah bekas pemain Kedah, Sharil Faizal Shabuddin dan dua orang bekas pemain Perlis Faiz Subri dan Wan Khairul Kamaruddin, katanya.

Yunus berkata tiga lagi muka baru merupakan bekas pemain Terengganu iaitu Wan Mohd Alif Jasmi, Mohd Zharis Hasna dan Mohd Hassan Basri.

Beliau berkata T-Team mengekalkan 15 pemain musim lepas termasuk bekas penjaga gol kebangsaan Shamsuri Mustafa, Rosdi Talib, Zairo Anuar Zailani dan Tengku Hasbullah Raja Hassan.

Katanya Shamsuri masih lagi dalam kecederaan dan dijangka tidak dapat diturunkan pada awal musim.

Beliau berkata T-Team akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan beberapa pasukan termasuk pasukan Felda United, Angkatan Tentera Malaysia dan Kelantan sepanjang bulan ini sebelum menentukan posisi setiap pemain.

03 December 2011

Cabaran 4x4 terpanjang dunia bermula


Oleh FAUZI MOHD

Cabaran sepuluh hari aksi lasak Rainforest Challenge International Terengganu 2011 (RFC 2011) mencatatkan penyertaan paling ramai lebih 500 peserta dari 30 buah negara bermula hari ini.

Pengasas dan Pengarah acara itu, Luis J.A. Wee berkata, acara pengembaraan 150 buah kenderaan pacuan empat roda, 4x4 itu merupakan yang terpanjang dan paling sukar di dunia terutama dalam berhadap musim monsun ketika ini.

Katanya, seperti tahun-tahun sebelumnya, cabaran edisi ke-15 ini diadakan pada musim tenkujuh yang menjadikan pengembaraan tahunan ini menjadi tumpuan para pengembara kenderaan 4x4 dari seluruh pelusuk dunia.



“Populariti acara ini meningkat setiap tahun yang dijangka menarik lebih 30,000 peminat sukan lasak yang menunggu di setiap lokasi persinggahan serta tempat pertemuan pelbagai negara, budaya dan adat resam.

“Cubaan mengatasi cuaca, hutan hujan tropika dan bentuk muka bumi di kala Monsun Timur Laut melanda merupakan pengalaman yang amat mencabar kepada peserta RFC tahun ini yang sudah pasti menjanjikan kelainan, drama dan situasi di luar jangkaan,” katanya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita sejurus majlis perasmian acara itu oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah di Pulau Warisan, Kuala Terengganu sebentar tadi.

Antara negara yang menyahut cabaran termasuklah Australia, Rusia, Filipina, Venezuela, Amerika Syarikat, Austria, China, Itali, India, Sri Lanka, Perancis, Vietnam, Thailand, United Kingdom dan Singapura.

Tambah J.A. Wee, hujan yang tidak menentu bakal memberi impak kepada peserta di mana daripada maklumat yang diterima, bakal terdapat peningkatan purata hujan di Terengganu sepanjang acara ini.

"Pengurusan teknikal telah mengambil langkah berhati-hati dalam memastikan laluan yang selamat daripada bencana banjir dan tanah runtuh, termasuk laluan kecemasan sekiranya berlaku bencana.

"Namun seperti biasa, di dalam mana-mana pengembaraan, tiada apa yang boleh memberi jaminan sehinggalah hari kejohanan memandangkan cuaca yang amat tidak menentu,” katanya.



Sejurus selepas perasmian, konvoi peserta turut ke perkarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak untuk pertunjukkan aksi lasak berhalangan dan sebelah petang keesokkan harinya konvoi bertolak ke tapak kem di Hulu Sungai Berang.

Acara tahun ini yang meliputi laluan berhalangan di Hulu Sungai Berang, Hulu Terengganu dan Pasir Raja, Dungun pada 5 hingga 7 Disember.

Peserta akan berkumpul di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungunpada hari keenam sebelum bertolak ke tapak kem seterusnya di Hutan Jengal Hulu Dungun untuk meneruskan cabaran di laluan berhalangan pada esoknya.

Sebelum berakhir di Bandar Cukai kemaman pada 12 Disember ini, kecekapan peserta mengemudi pacuan empat roda itu bakal teruji di Hulu Sungai Nipah di Hulu Kemaman selama dua hari.

Batu Buruk destinasi kejohanan luncur air

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pantai Batu Buruk yang sememangnya terkenal sebagai pantai peranginan tersohor di negeri ini, menjadi tumpuan orang ramai, termasuk pelawat dari luar Terengganu yang ingin menyaksikan kejohanan Luncur Air Terengganu Quiksilver Best Event yang julung kali diadakan di situ.

Kejohanan tiga hari yang bermula semalam itu, dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama Pejabat Pelancongan Malaysia Terengganu, Quiksilver Malaysia dan EC Extreme.

Ini bermakna sekali lagi Terengganu mendapat perhatian dunia, selepas kejohanan Piala Monsun yang juga bertaraf antarabangsa berakhir di Pulau Duyong, minggu lalu.

Seramai 97 peluncur dari 10 negara mengambil bahagian dalam acara tersebut yang diadakan khusus pada musim cuti sekolah bagi menarik pelancong dan pelawat luar negeri ke Terengganu.

Pengarah kejohanan itu, Bryan Ng berkata, Batu Buruk dipilih sebagai lokasi kejohanan itu kerana ia merupakan kawasan pantai yang berpotensi untuk mengajurkan acara itu di mana ia berangin dan ombak yang sesuai untuk meluncur.

Kejohanan bertaraf tujuh bintang itu merupakan siri ketujuh daripada lapan siri penuh dalam jelajah Kejuaran Luncur Asia pada tahun ini.

Kejohanan yang menawarkan keseluruhan hadiah wang tunai berbilai RM31,000 itu dibahagikan kepada empat kategori iaitu terbuka lelaki, terbuka wanita, terbuka master dan terbuka bodyboard.

SUK lancar buletin JKST

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKST) telah menerbitkan buletin keluaran pertamanya yang dilancarkan oleh Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah bersempena sambutan Hari Inovasi jabatan itu baru-baru ini.

Buletin itu diterbitkan sebagai penghubung antara jabatan dengan pelanggan dan juga stake holder serta dirangka bagi memenuhi kehendak orang ramai.

Pengisiannya turut merangkumi semua aktiviti, mesyuarat, kursus di samping menerbitkan pamflet yang berkaitan dengan proses yang ada di jabatan.

“Usaha ini diantara perancangan jabatan untuk menyebarluaskan penghakiman Mahkamah Syariah ke peringkat luar yang merupakan suatu kepentingan awam dan akan membawa manfaat kepada semua,” kata Ketua Hakim Syarie, Dato’ Haji Ismail Yahya.

Sehubungan itu, setiap anggota yang cemerlang dalam perkhidmatan mampu menyumbang penghasilan melebihi keperluan tanggung jawab biasa perlu dijadikan contoh dan ikutan serta berpengaruh dalam mengerakkan kecergasan bekerja.





Hariss ganti Anuar terajui TSG

Pemenang dua pingat emas Sukan SEA Indonesia, Hariss Salleh, bakal menggantikan Anuar Manan bagi mengetuai pasukan lumba basikal profesional Terengganu, Terengganu Cycling Team (TSG) 2012.

Pengurus pasukan Ahmad Kamarul Idrus berkata ini kerana Annuar, anak kelahiran Kuala Ibai akan mewakili pasukan yang berpangkalan di Hong Kong, Champion System, tahun depan.

"Hariss memang layak mengambil tempat Anuar memandang pengalaman beliau yang begitu luas dalam kejohanan lumba basikal di peringkat antarabangsa," katanya.

Ahmad Kamarul berkata walaupun TSG bakal kehilangan pelumba sensasi itu, pelumba-pelumba lain masih dikekalkan bagi menghadapi kejohanan lumba basikal benua Asia musim 2012 yang akan bermula Januari ini.

Mereka ialah Hariss, Shahrul Mat Amin, Mohd Saufi Mat Senan, Nor Amirul Fakharuddin Marzuki, Yusliza Usoff, Nor Umardi Rosdi, Mohd Shobery Abdullah dan Mohd Fais Saifuddin.

Beliau berkata muka baru yang akan diambil bagi memantapkan lagi pasukan TSG tahun depan ialah Mohd Zamri Salleh dan juga beberapa pelumba remaja sebagai pelapis.

Ahmad Kamarul berkata sasaran TSG tahun depan ialah untuk menyertai seberapa banyak kejohanan peringkat Asia dan sekaligus menjadi sebuah pasukan disegani di peringkat Asia.

"Program latihan pelumba-pelumba TSG akan diadakan termasuk di Eropah kerana TSG dijangka menyertai kejohanan undangan sana tahun depan," katanya.



UMT perkenal Fakulti Perikanan

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan membuka fakulti baru iaitu Fakulti Perikanan dan Akua Indistri mulai tahun depan, bagi menarik lebih ramai belajar masuk ke pusat pengajian berkenaan.

Naib Canselor UMT, Prof Dato’ Dr Aziz Deraman, berkata penubuhan fakulti tersebut akan mengukuhkan lagi peranan UMT sebagai pusat penyelidikan di mana ia akan menawarkan pelbagai kursus di bidang berkenaan di peringkat diploma dan ijazah.

Sehingga ini, UMT masih belum memutuskan kursus-kursus baru yang akan ditawarkan berikutan penubuhan fakulti baru berkenaan di mana ia bakal diputuskan dalam tempoh terdekat ini.

Beliau berkata, fakulti baru itu akan memberi tumpuan kepada masalah keselamatan makanan dan pihaknya percaya sudah sampai masanya UMT menunaikan tanggugjawab itu bagi kepentingan negara.

“Penubuhan fakuliti baru ini juga selaras dengan saranan kerajaan yang mahu UMT terlibat secara serius bagi memperkenalkan pengajian berkaitan industri makanan,” ujar beliau.

Lokasi menarik, ikon pelancongan

Oleh: Suriati Ali

Sepuluh destinasi menarik dan terbaik di negeri ini digelar sebagai ikon pelancongan sebagai usaha meningkatkan jumlah kedatangan pelancongan tempatan dan luar negara.

Ikon pelancongan itu termasuk Taman Taman Islam; Taman Reakresi dan Mini Zoo; Muzium Negeri; Pulau Redang; Bazar Warisan; Pulau Warisan; Tasik Kenyir; Pantai Batu Buruk; Pasar Besar Kedai Payang dan Masjid Tengku Tengah Zaharah.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, destinasi itu wajar digelar sebagai ikon kerana menjadi faktor penyumbang peningkatan jumlah pelancongan pada setiap tahun.



“Peningkatan jumlah pelancong bukan saja mampu memberangsangkan ekonomi negeri dan menarik minat pelabur malah meningkatkan taraf hidup penduduk terutama yang membabitkan diri dalam perniagaan.

“Apa yang membanggakan apabila tiba musim cuti sekolah atau umum, peniaga keropok lekor, pengusaha kain batik dan songket bagaikan tidak menang tangan melayan pelanggan,” katanya kepada Teganukita

Menurutnya, dia menyarankan kepada semua peniaga terutama pengusaha makanan supaya tidak mengambil kesempatan terhadap kedatangan pelancong dengan mengenakan harga yang tidak munasabah.

“Sikap ingin untung sekejap ini, bukan saja merugikan diri sendiri malah membabitkan imej Terengganu. Apabila pelancong mengeluh mengenai harga makanan mahal, mereka bukan saja tidak mengunjungi restoran itu lagi malah akan menjaja topik kepada rakan atau saudara lain.

“Pelancong juag akan naik bosan untuk mengunjungi Terengganu, sekaligus membantutkan usaha kerajaan negeri yang tidak jemu-jemu menghebahkan tentang keindahan negeri ini ,” katanya.

Kerajaan negeri menganjurkan pelbagai program tahunan peringkat antarabangsa di pelbagai lokasi menarik di negeri ini sebagai langkah menambat hati pelawat terutama pelancong luar negara.