Halaman

08 December 2011

MB mahu saman wakil rakyat Pas

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Kerajaan negeri dan Menteri Besar Terengganu akan mengemukakan saman fitnah terhadap wakil rakyat Pas, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi kerana mengeluarkan kenyataan bohong kononnya terdapat penyelewengan RM30 juta bagi bantuan pakaian sekolah.

Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Buruk itu seperti disiarkan dalam Harakah bertarikh 11-13 November 2011 itu adalah pembohongan bersiri yang dilakukan wakil rakyat berkenaan, bagi menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional(BN) dan beliau sendiri sebagai Menteri Besar Terengganu.

“Kita telah mendapatkan pandangan peguam berhubung kenyataan itu dan pihak kami diminta mengemukakan saman fitnah secepat mungkin bagi membersihkan imej Kerajaan Terengganu dan Menteri Besar Terengganu,” katanya pada sidang media selepas berakhirnya sidang Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah yang mewakili kerajaan negeri akan mengemukakan saman tersebut dan beliau selaku Menteri Besar akan turut mengemukakan saman yang sama terhadap wakil rakyat Pas berkenaan.

Beliau berkata, akhbar Harakah dan penerbitnya akan turut dinamakan sebagai defendan dalam saman fitnah yang akan dikemukakan dalam tempoh terdekat ini.

“Kita telah mendapatkan pandangan Penasihat Undang-Undang Negeri Terengganu berhubung dakwaan ini dan pihak kami diminta supaya meneruskan saman itu,” katanya.

Dr Syed Azman melalui artikel dalam akhbar itu mendakwa terdapat penyelewengan berjumlah hampir RM30 juta berhubung bantuan pakaian seragam sekolah dan perkara itu mendapat teguran Laporan Ketua Audit Negara.

“Dakwaan ini tidak benar sama sekali kerana ia tidak pernah berlaku. Apa yang sebenarnya berlaku ialah kita membekalkan pakaian seragam sekolah bernilai RM7 juta sahaja pada tahun 2009.

“Perkara ini tidak disebut dalam laporan Ketua Audit Negara, sebaliknya pujian telah diberikan dengan menyebut program Ini telah membantu meringankan beban kewangan keluarga miskin. Apa yang seleweng?,” katanya.

Beliau berkata, tindakan saman malu itu pwerlu dilakukan bagi memberi pengajaran kepada pemimpin Pas supaya tidak melakukkan pembohongan bagi menjatuhkan kerajaan BN.

“Kita tidak mahu rakyat keliru dengan kenyataan bohong seperti itu kerana mereka tidak tahu kedudukan sebenar perkara ini,” katanya.

Kerajaan lahir pelapis berilmu

Oleh; Esah Abdullah

Pihak pembangkang tidak perlu risau dengan program yang dilaksanakan kerajaan untuk para guru, pelajar dan ibu bapa yang bertujuan memberi kebaikan serta melahirkan generasi pelapis yang berilmu dan beriman pada masa depan.

“Kursus Lestari Guru-guru Terengganu telah berlangsung empat siri dan membabitkan 1,200 orang guru seluruh negeri,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman.

Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan di Sidang Dewan Undangan Negeri pada hari terakhir petang ini.

Isu berkenaan dibangkitkan oleh Haji Wan Hassan Mohd Ramli (Pas-Sura) dan mendakwa peserta kursus telah diberi beg berisi buku pelbagai tajuk.

Katanya, pihak urusetia hanya membekalkan beg dan buku 1Malaysia kepada setiap peserta dan apa yang di bangkitkan wakil Pas-Sura itu sukar untuk dipercayai.

Tambahnya, tujuan kerajaan menganjurkan program ini adalah untuk meningkatkan prestasi guru yang membawa konsep memperkasa dan melonjakkan lagi prestasi pencapaian pendidikan negeri ke arah Terengganu Negeri Anjung Ilmu serta mencapai sasaran 201052.

Katanya, negeri kita sudah menjadi contoh dan ikutan kepada negeri lain termasuk pelaksanaan Kelas Kafa dan Program Khatam Quran.

Begitu juga isu e-Book yang dibangkitkan Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar (Pas-Ladang) yang merujuk kepada seorang pelajar Tahun Enam dari sebuah sekolah berbanding hampir 100,000 pelajar telah menerima agihan buku elektronik itu setakat ini.

Katanya kita harus bangga kerana pembangunan pendidikan tetap mengungguli Bajet 2012 strategik memantapkan pembangunan modal insan berkualiti keutamaan yang tertinggi ialah sektor pendidikan yang membabitkan belanja RM60.3 juta.




Giant di Kijal tidak mempunyai tunggakan hutang

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri menolak dakwaan pembangkang yang menyatakan pengusaha atau pemilik Pasar Raya Giant di Bandar Baru Kijal, Kemaman tidak mampu membayar sewa dan mempunyai tunggakan hutang yang tinggi.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, dakwaan wakil pembangkang YB Mohd Wahid Endut (Wakaf Mempelam-Pas) adalah tidak benar sama sekali dan hanya ingin mengelirukan rakyat.

“Kerajaan negeri menerima bayaran sewa secara bulanan dan apa yang membanggakan pengusaha pasar raya itu sudah membayar sewa bagi bulan November pada 3 haribulan melalui RHB Bank Berhad bernombor 505874.

“Sambutan pelanggan terhadap pasar raya itu semakin menggalakkan sehingga mampu mencatatkan jualan RM500,000 sehari,” katanya dalam sidang DUN hari ini.

Katanya, Pasar raya Giant itu merupakan cawangan ketiga di negeri ini setakat ini selepas kewujudan Giant di Padang Hiliran, Kuala Terengganu dan pasar raya TMC di Mesra Mall Kerteh.

“Giant Bandar Baru Kijal merupakan penyewa terbesar di lokasi yang bakal dibangunkan sebagai pusat tekstil itu.

“Pembangunan di tanah seluas kira-kira 160 hektar itu yang membabitkan kos keseluruhan kira-kira RM100 juta, turut menarik perhatian sebuah gedung tekstil terkenal untuk membuka cawangannya di lokasi ini,” katanya.


Terengganu tidak alami lambakan sarang burung walit

Oleh: Suriati Ali

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini diberitahu tiada lambakan sarang burung berlaku di negeri ini sebaliknya permintaan terhadap produk itu semakin meningkat dan menggalakkan .

Menteri Besar , Dato’ Seri Haji Ahmad Said memberitahu, rata-rata pembeli atau pemborong memerlukan produk itu dalam kauntiti yang banyak, jika dapat mengeksport nya ke Guangzhou, China, mereka memerlukan kira-kira 2 tan bagi tempoh sebulan.
“Harga bagi setiap sekilogram pula sangat mahal iaitu mencecah RM6,000.

“Sarang burung walit di Terengganu diakui berkualiti dan bersih oleh pembeli berbanding di negeri lain, kerana ianya bebas daripada sebarang percemaran udara,” katanya ketika menjawab soalan YB Muhammad Ramli Nuh (Tepoh-BN).

Katanya, kerajaan negeri tidak membenarkan atau meluluskan mana-mana permohonan sekiranya ada individu ingin mengusahakan ternakan itu di kawasan bandar.
“Kita terpaksa bertindak tegas bagi mengelak pelbagai kemungkinan berlaku termasuk, diserang penyakit, rungutan dan gangguan bunyi.

“Pada masa sama, kerajaan negeri ingin berpesan kepada mana-mana pengusaha supaya jangan terlalu ghairah mendapat hasil sehingga gagal memikirkan lokasi sesuai untuk dijadikan sarang,” katanya.

Menurutnya, menyedari bidang ini mendapat sambutan di luar jangkaan, pihaknya bersedia menerima permohonan daripada mana-mana individu yang ingin menukar status tanah pertanian kepada kawasan ternakan atau industri burung walit.


Kerajaan wujud pelan hala tuju pembangunan pertanian, elak krisis makanan dunia.

Oleh; Esah Abdullah



Kerajaan ada perancangan pelan hala tuju pembangunan pertanian negeri khusus untuk menghadapi kemungkinan sekiranya berlaku krisis makanan dunia yang dibimbangi semua orang.

Sehubungan itu, kerajaan tidak bercadang untuk menggubal Dasar Agro Makanan Negeri Terengganu (DAMT) yang sama bentuknya dengan Dasar Agro Makanan Negara (DAMN).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Asha’ari Idris berkata, buat masa ini kita menerimapakai dan menyokong serta memberi kerjasama kepada DAMN yang dilancarkan Kerajaan Pusat 2011-2020.

“Kita berharap dan berdoa mala petaka itu tidak berlaku kerana kesannya sangat buruk seperti apa yang kita lihat di Somalia dan sebagainya,” katanya ketika menjawab soalan lisan YB Dato’ Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Rhu Rendang) di Sidang Dewan Undangan Negeri semalam.

Dato’ Seri Haji Abdul Hadi meminta penjelasan sama ada kerajaan bercadang untuk menggubal DAMNT ekoran krisis bekalan makanan dunia yang mungkin berlaku.

Katanya, kerajaan telah mengambil langkah awal khususnya berhubung dengan penggunaan beras di kalangan rakyat tempatan yang dianggap ‘wajib’ dimakan setiap hari.

Tambahnya, setakat ini negeri hanya mampu menampung 58 peratus keperluan daripada 17,000 hektar kawasan tanaman padi dengan pengeluaran kira-kira 17,000 metrik tan (mt) di seluruh negeri.

“Untuk menjamin kecukupan penggunaan beras menjelang 2020 kita memerlukan kawasan tanaman padi seluas 24,500 hektar dengan andaian hasil pengeluaran sebanyak 146,000 mt,” katanya.

Menurutnya, masih terdapat kawasan yang boleh diusahakan tanaman berkenaan di samping mempunyai teknologi yang setara namun agak membimbangkan situasi kebelakangan ini banyak berlaku kawasan pertanian bertukar syarat kepada kawasan pembangunan.

Katanya, antara langkah kerajaan membendung perkara berkenaan berterusan usaha mewujudkan zon khusus untuk tanaman padi serta mengekalkan keluasan maksimun 24,000 hektar untuk memastikan perancangan berjalan lancar.

“InsyaAllah sebaik selesai projek jelapang padi di Kampung Jelapang, Setiu, projek yang sama akan beralih ke daerah Marang di mana daerah itu mempunyai kawasan yang luas serta sesuai dengan tanaman padi,” katanya.





07 December 2011

Belia diajak pertahan Kerajaan BN

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Golongan belia di negeri ini diajak supaya mempertahankan Kerajaan Barisan Nasional BN) untuk terus memerintah Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kerana hanya BN yang mampu membela nasib mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, YB Rozi Mamat, berkata keprihatinan Kerajaan BN membela nasib golongan belia terbukti melalui peruntukan yang besar pada setiap tahun khusus untuk mereka.

“Melalui Bajet 2012 kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM30 juta untuk golongan belia dan Terengganu merupakan negeri paling banyak menyediakan peruntukan untuk belia berbanding negeri lain di Malaysia,” katanya ketika menggulung perbahasan Bajet 2012 di sidang Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Sementara itu, beliau mengecam sikap pemimpin Pas yang menyalahkan kerajaan semata-mata apabila berlaku gejala tidak sihat di kalangan belia.

“Pemimpin Pas hanya tahu berceramah tetapi tidak membantu kerajaan membasmi gejala tidak sihat di kalangan belia seperti lumba motosikal haram,” katanya.

Beliau sebaliknya meminta pemimpin Pas turut menyumbangkan idea bagi membanteras kegiatan tersebut bagi menyelamatkan golongan belia daripada terlibat dalam kegiatan tidak sihat dan membazir masa remaja mereka.


Sikap wakil rakyat Pas uzur tidak sanggup berundur diselar

Oleh; Esah Abdullah

Sikap segelintir wakil rakyat pembangkang yang masih ghairah menawarkan diri untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang walaupun dalam keadaan uzur dan bertongkat, ditempelak pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Dato’ Haji Rosol Wahid (BN-Ajil), berkata keadaan ini berbeza dengan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) kerana mereka sedia memberi laluan kepada muka baru walaupun masih mampu berkhidmat kepada rakyat.

“Berbanding dengan pembangkang murninya sikap wakil rakyat BN yang sedia menawarkan diri untuk berundur bagi memberi laluan kepada muka baru,” katanya dalam sesi perbahasan Ucapan Bajet 2012 di Sidang Dewan Undangan Negeri petang ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, tidak sehina mana bila kakitangan Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) membantu Kerajaan BN berbanding tindakan wakil rakyat pembangkang menggunakan masjid dan surau sebagai medan untuk mencaci dan memaki umat Islam lain.

Dato’ Rosol juga mengajak semua pemimpin dan penyokong Pas agar melupakan fahaman politik dan bersama mengeratkan ikatan silatulrahim sesama saudara seagama dan satu budaya.

“Pilihan raya hanya mari lima tahun sekali, pangkahlah apa pun Pas ke UMNO, tapi bila lepas pilihan raya berdamailah,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa terkilan kerana terdapat sebuah pertubuhan menggelarkan diri mereka ANAK telah menjelajah ke tanah rancangan bertujuan menghasut peneroka supaya membenci kerajaan.

Beliau seterusnya mencabar peneroka di Felda yang bencikan kerajaan supaya meninggalkan tanah rancangan itu untuk membina kehidupan baru di luar penempatan itu.




Kerajaan belanja besar beri subsidi turun harga barang

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kerajaan Pusat mengeluarkan peruntukan yang besar pada setiap tahun bagi membantu menstabilkan harga pelbagai barangan keperluan rakyat negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr A. Rahman Mokhtar, berkata kenaikan harga barangan tidak dapat dielakkan kerana ia berkaitan dengan negara pengeluar yang berdepan dengan pelbagai masalah seperti kemarau dan banjir.

Beliau berkata, jika negara pengeluar menghadapi bencana atau malapetaka, kenaikan harga barangan yang diimport dari negara tersebut tidak dapat dielakkan.

“Bagaimanapun, Kerajaan Pusat mengeluarkan perbelanjaan yang besar bagi memberi subsidi harga barangan seperti tepung gandum dan gula untuk meringankan beban pengguna di negara ini, tanpa mengira pendapatan mereka,” katanya ketika menggulung perbahasan Bajet 2012 di sidang Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Mengenai cadangan pembinaan Hospital Daerah Dungun yang baru, beliau menjelaskan kertas kerja dari Kementerian Kesihatan sudah dikemukakan untuk kelulusan Kerajaan Pusat dan projek tersebut dijangka dilaksanakan melalui Rancangan Malaysia Ke-10.

Beliau berkata, hospital baru berharga RM350 juta itu mengandungi 200 katil dan memberi keselesaan kepada pesakit apabila siap dibina kelak.

Golongan petani wajar diberi kursus

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri sewajarnya memandang serius kepakaran golongan petani di negeri, dengan mewujudkan pelbagai kursus di bidang berkenaan agar mereka lebih bermotivasi dan mampu bersaing setanding petani berjaya di negeri lain.

YB Ramlan Ali (BN-Jabi) memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini, langkah itu perlu diadakan segera supaya golongan itu tidak lagi mempunyai sikap sambil sebaliknya lebih serius mengusahakan bidang tersebut.

Katanya, kebanyakan petani keluar rumah seawal jam 7 pagi, kemudian singgah minum di warung kopi berjam lamanya, jam 9 pagi barulah masing-masing ingin ke sawah.

“Pulang ke rumah sebelum menjelang tengahari, pada waktu petang lewat juga turun ke sawah, apabila itu berlaku berapa jam sangat mereka berada di sawah,” katanya.

Katanya, sikap itu cukup berbeza dengan golongan petani yang menyertai Program Jelapang Padi di Sekinchan, Selangor, mereka lebih berdisplin, turun ke sawah dalam tempoh panjang atau seumpama waktu pejabat.

“Sehubungan itu, sudahlah tiba masanya untuk kita memandang serius perkara ini dengan menganjurkan kursus supaya golongan itu lebih bermotivasi dan berdisplin.

“Bajet yang diperuntukan kerajaan negeri RM27.3 juta untuk sambungan projek Jelapang Padi, Pembangunan Ladang Kelapa Sawit, Projek Tanaman Kelapa dan projek kecil berkelompok amat bertepatan sekali kerana boleh menjana pendapatan rakyat,” katanya.

Menurutnya, dia turut meminta jasa baik kerajaan negeri supaya mengkaji balik syarat pinjaman yang dikeluarkan Yayasan Terengganu (YT) kerana ia dikatakan terlalu longgar.

“Peminjam itu hanya lahir di Terengganu, membesar bersama keluarga di luar Terengganu dan dikenalpasti tidak mengundi di negeri ini, tetap boleh membuat pinjaman.

“Kes seumpama ini wajar dikaji semula kerana sudah tentu ia tidak mendatangkan apa-apa hasil kepada negeri,” katanya.


Tarik pelabur mampu tawar pekerjaan

Oleh: Suriati Ali

Terengganu berjaya menduduki tangga ketiga kerana berjaya menarik sejumlah pelabur tempatan dan asing untuk berusniaga di beberapa lokasi strategik.

Langkah itu berjaya menawarkan kira-kira 10,000 peluang pekerjaan kepada rakyat terutama golongan belia dan graduan Institut Pengajian Tinggi (IPT) Awam serta Swasta..

YB Ir Rosli Othman (Kemasik-BN) dalam sesi perbahasan hari ini, berkata maklumat itu dinyatakan secara tidak rasmi oleh pihak Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA).

“Bagi merancakkan lagi pembangunan industri, Menteri Besar pernah hadir pada majlis pecah tanah di Awana Kijal berhubung pembinaan Kilang keluli bernilai RM1.8 bilion yang akan beroperasi pada tahun 2013 di Kemaman.

“Eastern Steel Sdn. Bhd. Sudah memulakan pembinaan fasa pertama kilang keluli bersepadu bernilai RM1.8 juta di Taman Perindustrian Berat Kemaman di Zon Ekonomi Khas Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

“Syarikat tempatan, Hiap Teck Venture Bhd. dan China Shougang Group, yang mementerai perjanjian pembinaan kilang di bawah Eastern Steel akan membina kilang berkenaan secara berperingkat,” katanya.

Menurutnya, peringkat pertama fasa satu kilang itu, dengan keupayaan pengeluaran tahunan 700,000 tan metrik keluli, dijangka siap menjelang pertengahan 2013 pada kos RM750 juta.

“Peringkat dua melibatkan pelaburan sebanyak RM1.05 bilion lagi, sekali gus meningkatkan kapasiti pengeluaran kilang kepada 1.5 juta tan metrik setahun.
“Kerja-kerja menaiktaraf tapak PelabuhanMaritim di Teluk Kalong, Kemaman sedang giat dijalankan dan bakal siap tidak lagi,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri juga turut mengadakan usaha sama antara syarikat terkenal di Korea dan Perancis bagi menjalankan beberapa projek hiliran di Kemaman dengan membabitkan kos RM2 bilion.

“Melihat perkembangan yang cukup positif ini, projek yang berkaitan seperti perumahan dan bangunan perkedaian perlu diperbanyakkan di kawasan berkaitan untuk kemudahan dan keselesaan penduduk,” katanya.