Halaman

15 December 2011

Terengganu jadi contoh Program Permata Negara


Oleh: Aida Abd Rahman

Isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor mahu negeri lain mencontohi usaha dan kejayaan Terengganu dalam pelaksanaan Program Permata Negara.

“Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada kerajaan negeri yang memberi perhatian khusus kepada program pembangunan dan pendidikan awal kanak-kanak.



“Adalah tidak keterlaluan jika dikatakan Terengganu boleh dijadikan contoh dalam pelaksanaan Program Permata Negara,” katanya sempena Majlis Penyampaian Sijil Program Hafazan Muqaddam (23 Surah lazim) Kanak-kanak Taska Permata Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), di Stadium Negeri, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib dan Pengarah YPKT, Encik Mohd Safaruddin Mustaffa.

Datin Paduka Seri Rosmah berkata,sebagai contoh, di Terengganu terdapat 32 Taska permata yang dilaksanakan di setiap Dewan Undangan Negeri, selain 34 Taska Keluarga yang dinaiktaraf sebagai Taska Permata keluarga.






“Selain itu juga, 15 Taska Permata Kemas, dua Taska Permata perpaduan, empat Taska Permata Komuniti dan dua Pusat Anak Permata Negara.Ini bermakna, jumlah keseluruhan Taska Permata di Terengganu berjumlah 89 buah,” katanya.

Beliau juga berharap program hafazan muqaddam dijadikan permulaan kepada pembelajaran kitab suci al-Quran.

“Seharusnya ia juga perlu dilengkapkan dengan kefahaman mengenai aplikasi al-Quran sebagai sumber ilmu dalam pelbagai bidang sama ada yang berkaitan dengan ilmu sains, biologi, biotani, fizik, matematik atau sains kemanusiaan.




“Sesungguhnya ayat-ayat al-Quran adalah kalam Allah dan mengandungi ciri-ciri keajaiban yang membuktikan bahawa ianya adalah wahyu kudus dari Allah S.W.T,” katanya.

Dalam majlis itu, seramai 1,012 kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun dari Taska Permata YPKT seluruh Terengganu berjaya menghafaz 23 surah muqaddam.

Majlis turut disusuli dengan acara penyampaian sijil hafaz muqaddam dan cenderahati, penyerahan surat perlantikan ibu angkat Taska kepada isteri Ahli Dewan Undangan Negeri serta penyerahan sumbangan kenderaan oleh TOP IT Industries dan Kumpulan Ladang Rakyat Terengganu kepada YPKT.




UMT peruntukan RM2 juta untuk penyelidikan dan inovasi

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyediakan peruntukan khas berjumlah RM2 juta bagi tujuan penyelidikan dan inovasi universiti itu tahun depan.

Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Aziz Deraman berkata, peruntukan khas yang disediakan pihak universiti untuk memantap dan meningkat dibidang penyelidikan khusus kepada pensyarah baru menjalankan penyelidikan dalam bidang masing-masing.

“Geran ini akan diagih antara RM5,000 hingga RM10,000 bagi satu projek untuk pensyarah yang baru menghabiskan pengajian PhD mereka,” katanya dalam sidang media di UMT, hari ini.

Menurutnya tahun ini, UMT menyediakan peruntukan RM500,000 bagi tujuan yang sama dan sumbangan ini banyak membantu pensyarah menyiapkan tugas-tugas penyelidikan.

Namun begitu katanya, sumber ini tidak mampu menampung gerakan projek yang lebih besar dan UMT tidak meletakkan sasaran secara khusus.

Tambahnya, peruntukan pendidikan diperingkat Pusat sangat kompetatif dan pihak UMT telah menghantar permohonan mengenainya.bajet RM100 juta yang diumumkan baru-baru ini untuk program penyelidikan dan inovasi.

Selain itu, dengan adanya ramai penyelidik yang aktif serta berpengslsmsn, UMT berupaya meningkatkan imej kecemerlangan di peringkat kebangsaan mahu pun antarabangsa.

“Bagaimana pun UMT berbangga dengan pencapaian cemerlang para penyelidik yang mampu meraih pingat di pertandingan yang disertai dalam dan luar negara,” katanya.





Produk penyelidikan UMT dapat pengiktirafan antarabangsa.

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meraih empat pingat emas, satu perak dan dua gangsa dalam pertandingan BioMalaysia Conference dan Exhibition 2011 (BMCE) yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 21 – 23 November lalu.

Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Aziz Deraman berkata, kejayaan para penyelidik ini merupakan pencapaian yang sangat membanggakan universiti dalam usaha menjadikan negara kita sebuah negara maju.

“Para penyelidik UMT juga berjaya meraih dua emas, tiga perak dan dua gangsa dalam pertandingan Seoul International Invention Fair 2011 (SIIF) , di Coex Exhibition Hall, Seoul, Korea Selatan pada awal bulan ini,” katanya dalam sidang media di UMT hari ini.

Katanya, dalam BMCE UMT menghantar lapan produk, tujuh daripadanya mendapat pingat manakala di SIIF telah memenangi tujuh daripada sembilan produk yang disertai,” katanya.

“Produk ‘Seagold Probiotik Liquid:Nutritional Health Supplement’ oleh Prof. Dr Effendy Abd. Wahid dan Encik Thirukanthan Chandra Segaran yang menerima pingat emas turut di mendapat anugerah khas Bioteknologi Inovation of The Year,” katanya.

Selain itu turut mendapat pingat emas ialah projek penyelidikan ‘Scalogel; Topical Wound Care Management’ oleh Prof. Dr. Effendy dan Encik Thirukathan.

Manakala dua produk iaitu ‘Improved Technique In Vital Copepod Production: Green Technology For Aquaculture dan Biva-Meb Larvae For Larvae’ oleh Prof Madya Dr. Zaleha Kassim turut menerima pingat emas di BMCE.

Sementara itu dua produk inovasi menerima pingat emas di SIIF ialah ‘Benzomip-SPE’ oleh Prof. Madya Dr Marinah Mohd Ariffin dan ‘Evo-7’ oleh Encik Mohd Fairuz Affandi Aziz.




Belanja RM43.5 juta, bantu golongan kurang berkemampuan

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membelanjakan kira-kira RM43.5 juta bagi menaiktaraf kehidupan 19,427 golongan kurang berkemampuan di Terengganu, sepanjang Januari hingga November tahun ini.

Daripada peruntukan itu, Kuala Terengganu mencatatkan jumlah tertinggi iaitu RM13.3 juta membabitkan 6,612 penerima, diikuti Marang (RM7.2 juta, 2,997 penerima) dan Besut mencatatkan peruntukan berjumlah RM7 juta dengan bilangan 3,121 penerima.

Manakala bagi Dungun pula sebanyak RM5.7 membabitkan 2,460 penerima; Hulu Terengganu (RM3.9 juta, 1,502 penerima); Kemaman (RM3.8 juta, 1,454 penerima) dan Setiu pula mencatatkan jumlah RM2.8 juta membabitkan seramai 1,381 penerima bantuan.

Mereka yang dikategorikan orang miskin, ibu tunggal, bapa tunggal, anak yatim, anak yatim piatu, orang kurang upaya, orang sakit dan warga emas, layak menerima bantuan itu secara bulanan dengan kadar yang ditetapkan JKM.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad, berkata kerajaan negeri melaksanakan pelbagai strategi dan kaedah semata- mata ingin melihat rakyat terutama mereka yang kurang bernasib baik dan berpendapatan rendah merasai kehidupan lebih selesa.

“Penerima sewajarnya memanfaatkan atau membelanjakan wang bantuan yang diterima itu kepada perkara yang berfaedah supaya mampu keluar daripada dibelenggu kemiskinan,” katanya.


10,000 pengunjung dijangka hadir pada Karnival Jalur Lebar

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 10,000 pengunjung terutama golongan belia dijangka hadir pada Karnival Jalur Lebar 1Malaysia yang akan diadakan di Jertih Souq, Besut.

Karnival selama tiga hari dan bermula 6 Januari tahun depan itu menampilkan pelbagai aktiviti menarik, termasuk pertandingan konsol guitar hero, cabaran permainan dalam talian, animasi mania, persembahan badut, pertandingan mewarna dan pertandingan karaoke.

Program anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) danTelekom Malaysia itu mampu meningkatkan kesedaran pengguna mengenai betapa pentingnya jalur lebar dalam kehidupan seharian.

Pengurus Acara karnival itu, Wong Ee Shen, berkata pihaknya yakin dengan adanya penganjuran karnival seumpama ini di serata negeri, matlamat untuk mencapai sasaran 75 peratus pengguna jalur lebar menjelang 2015 mampu dicapai.

“Karnival ini bukan saja mampu mempromosikan penggunaan jalur lebar di kalangan masyarakat malah dapat mempertingkatkan kesedaran pengguna tentang fungsinya serta membentuk komuniti celik teknologi maklumat,” katanya.


Datuk Seri Nazri Aziz tinjau penempatan PPRT Kampung Pangkalan Atap,Kuala Besut

Oleh: Mohammad Ishak


Nazri diiringi Dr Abdullah malam tadi meninjau kawasan pantai


Ketakutan penduduk yang tinggal di penempatan Projek Perumahan Termiskin (PPRT) Kampung Pengkalan Atap,Kuala Besut, yang dilanda banjir laut Ahad lalu,akibat ombak besar dan air pasang terubat apabila penderitaan mereka mendapat perhatian pemimpin kerajaan.

Kehadiran Menteri Di Jabatan Perdana Menteri,Datuk Seri Nazri Aziz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kencana Alam Negara, melakukan lawatan mengejut ke penempatan berkenaan yang terletak kira-kira 400 meter dari laut pada jam 8.30 malam tadi.

Mengiringi beliau ialah Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera,Muhammad Pehimi Yusof,Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh serta pegawai-pegawai kanan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Nazri berpelung melihat secara lebih dekat kesan kemusnahan benteng penahan ombak yang dipukul ombak besar menyebabkan 44 rumah kediaman di situ dimasuki air dan 196 mangsa terpaksa dipindahkan ke balai raya berhampiran.

Pada sesi bertemu penduduk Nazri yang bersimpati dengan nasib malang menimpa penduduk berjanji akan member bantuan kepada semua mangsa terbabit selepas mendapat senarai terperinci daripada MKN dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, kerajaan Barisan Nasional akan memberi pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik dan jika mereka menghadapi bencana dan berpindah adalah layak menerima wang ehsan RM5,000 bagi setiap keluarga.

“Walaupun ada penduduk terutama penyokong pembangkang yang tidak mahu berterima kasih kepada sumbangan itu, ia tetap diteruskan kerana menjadi tanggungjawab kerajaan membela semua nasib mereka yang ditimpa bencana,” katanya.

Beliau berkata, program turun padang yang dilakukan beliau ke semua kawasan yang dilanda banjir dan bencana alam bukan kerana pilihan raya akan tiba bila-bila masa sebaliknya ia dilakukan sejak 2004 selepas beliau dilantik sebagai Menteri yang bertanggungjawab terhadap bencana alam.


Yang Di-Pertuan Muda terima pengurniaan DKR


Oleh: Aida Abd Rahman

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mengurniakan Pingat Darjah Kerabat DiRaja Terengganu Yang Amat Mulia Darjah Yang Pertama (DKR) kepada Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail.

Pengurniaan kepada anakanda sulung baginda itu bersempena Majlis Istiadat Penghadapan Setelah Menyempurnakan Kewajipan Sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-13, di Istana Maziah, Kuala Terengganu, semalam (14 Disember).
Turut berangkat ke istiadat berkenaan, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud, kerabat-kerabat raja, Ahli-ahli Dewan Pangkuan DiRaja Terengganu serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Dalam majlis penuh istiadat bermula jam 9.30 pagi, Sultan Mizan turut berkenan menyembahkan titah dari singgahsana selepas Menteri Besar selesai menyampaikan ucapan.

Selepas titah ucapan baginda, nobat dipalu lagu `Ibrahim Khalil’ berserentak dengan tembakan meriam 21 das.

Keberangkatan masuk baginda dan Sultanah Terengganu diiringi dengan paluan nobat lagu `Iskandar’, sementara keberangkatan dari majlis istiadat itu diakhiri dengan paluan lagu `Sri Istana’.




14 December 2011

Tugas cemerlang pacu pembangunan negara- MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri begitu kagum dengan kejayaan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan begitu cemerlang dalam memacu pembangunan negara yang dapat dinikmati oleh seluruh rakyat jelata.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata di bawah pemerintahan baginda negara mengalami pembangunan dan pertumbuhan ekonomi yang begitu memberangsangkan walaupun dalam situasi keruncingan ekonomi global dunia yang tidak menentu di mana terdapat negara seperti Portugal, Ireland, Greece dan Sepanyol menghadapi krisis kewangan begitu teruk yang boleh membawa kepada kebangkrapan negara.

“Syukur negara kita sepanjang di bawah pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku melalui Program Transformasi Ekonomi, kesan permasalahan ekonomi global dan krisis kewangan antarabangsa dapat ditangani dengan jayanya. bermanfaat dan bermakna dalam tempoh memerintah negara.

“Patik-patik sekalian percaya dan yakin dengan pengalaman yang penuh bermanfaat dan bermakna dalam tempoh memerintah negara, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dapat membawa balik mutiara pengalaman pemerintahan negara bagi kesinambungan pemerintahan baginda ke Terengganu Darul Iman,” katanya ketika berucap sempena Istiadat Penghadapan Setelah Menyempurnakan Kewajipan Sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-13, di Istana Maziah, Kuala Terengganu, pagi ini.

Berkenan berangkat, Sultanah Terengganu, Tuanku Nur Zahirah serta Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud, kerabat-kerabat raja, Ahli-ahli Dewan Pangkuan DiRaja Terengganu dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Menteri Besar berkata, dengan mutiara pengalaman berharga tersebut sudah pasti akan dapat membantu meligatkan putaran kemajuan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri bagi membolehkan Terengganu tampil menjadi sebagai negeri maju menjelang 2020.

Beliau juga bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dalam keadaan keruncingan krisis ekonomi global, rakyat masih lagi dapat bertahan dengan menjalani hidup dalam suasana aman damai, tenteram dan harmoni.

Walaupun menghadapi persekitaran luar yang begitu mencabar ekonomi negeri masih dapat mencatat pertumbuhan pada kadar 4.3% pada 2010 dan pada tahun ini pula ekonomi negeri dijangka berkembang pada kadar 4.5%.

Dari segi kemasukan pelabur pula, pada 2010 jumlah pelaburan yang telah diluluskan di Terengganu sebanyak RM2.33 billion. Manakala bagi tempoh Januari hingga Julai 2011 sebanyak RM1.68 billion diluluskan dengan mewujudkan 3,464 peluang pekerjaan.

Katanya, dijangka pada tahun ini Terengganu akan menerima pelaburan berjumlah sebanyak RM3.5 billion.

“Kerajaan negeri Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku mempunyai wawasan menjadikan Negeri Terengganu sebuah negeri maju menjelang tahun 2020. Bagi merealisasikan matlamat tersebut Kerajaan Negeri Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah merangka perancangan Strategik Pembangunan Lima Tahun Negeri Terengganu yang dikenali sebagai ‘Halatuju Pembangunan Negeri Terengganu 2009-2013’.

“Halatuju Pembangunan Negeri Terengganu memberi penekanan kepada peningkatan ekonomi dan rantaian nilai lebih tinggi, memupuk keupayaan pengetahuan dan inovasi, menangani isu sosioekonomi secara berterusan, meningkatkan kualiti hidup dan mengukuhkan ‘delivery system’ kerajaan,”katanya.

Beliau berkata, bagi melaksanakan projek-projek dan program-program yang dikenalpasti di bawah hala tuju tersebut peruntukan sebanyak RM14.4 billion adalah diperlukan.



Mara sedia peruntukan usahawan berniaga

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyediakan pembiayaan perniagaan berjumlah RM27.5 juta kepada usahawan dan RM18.3 juta lagi untuk Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (Spike) di Terengganu.

Timbalan Pengarah Mara negeri, Encik Mohd. Tahir Mat Yusof berkata, pihaknya juga menyediakan Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan (3P), dan latihan keusahawanan.

“Mara turut memperkenalkan program baru iaitu program UK Dinamik bagi meningkatkan pendapatan kumpulan usahawan kecil dari kalangan penjaja dan peniaga kecil,” katanya.

Menurutnya, program UK Dinamik dilaksanakan melalui skim pembiayaan Islam Al-Ghardul Hasan berkonsepkan kebajikan tanpa caj keuntungan bernilai sehingga RM10,000 di samping khidmat bimbingan, perundingan dan pemasaran.

Selain itu katanya, Mara berjaya melahirkan kira-kira 3,000 usahawan bumiputera sehingga akhir tahun ini dan berharap jumlah berkenaan akan bertambah tahun depan.




YPKT tumpu lapan bidang

Oleh: Suriati Ali

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) mengambil pendekatan membasmi kemiskinan tegar di kalangan penduduk Terengganu melalui lapan bidang utama di mana boleh menambah baik ekonomi keluarga.

Bidang itu adalah kemahiran, Kraftangan, ternakan, perikanan, perkhidmatan barangan, perniagaan makanan, perniagaan dan pertukangan.

Pengarah YPKT, Encik Mohd Shafaruddin Mustaffa, berkata daripada lapan bidang itu, perkhidmatan barangan paling ramai peserta, membabitkan 1,056 orang; diikuti perniagaan makanan (801); kemahiran jahitan dan sulaman (706); ternakan (207); pertukangan (198); pertanian (94); perikanan (37) dan kraftangan (8).

Katanya, antara objektif YPKT membantu meningkatkan pendapatan golongan miskin menerusi penyediaan peluang meningkatkan ekonomi golongan sasar adalah mengalakkan rakyat miskin menyertai program pembangunan diri, memberi suntikan minda kepada golongan sasar ke arah mencapai kejayaan, membangkitkan kesedaran dan keupayaan diri sendiri untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Yang pasti YPKT memantau setiap bulan terhadap peserta dan menilai laporan kemajuan di samping mereka perlu mengikuti kursus perubahan minda dan motivasi diri dari masa ke semasa sehingga Berjaya mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan menerusi projek yang dilaksanakan,” katanya.