Halaman

14 January 2012

Pemilik tanah perlu bayar cukai

Oleh: Suriati Ali

Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) menyarankan pemilik tanah membuat pembayaran cukai tanah dengan segera bagi mengelak dikenakan denda dan tanah mereka diambil balik oleh kerajaan negeri.

Pengarah PTG Dato’ Haji Tuan Mamat Tuan Ngah, berkata cukai tanah yang tidak dibayar mulai 1 Jun akan menjadi tunggakan dan boleh dikenakan denda lewat bayar.

Katanya, pemilik tanah akan diberi surat peringatan untuk tempoh tertentu sekiranya mempunyai rekod lewat bayar dan tunggakan.

“Jika masih ingkar membayar, Pentadbir Tanah boleh menyampaikan Notis 6A dengan memberi tempoh selama tiga bulan untuk menjelaskan segala urusan.

“Sekiranya tetap gagal berbuat demikian, tanah berkenaan boleh dirampas dan menjadi hak milik mutlak kerajaan negeri,” katanya.

Katanya, membayar cukai tanah adalah menjadi tanggungjawab setiap pemilik di mana ia perlu membayarnya mulai 1 Januari sehingga 31 Mei setiap tahun.

“Penentuan kadar cukai yang perlu dibayar dikira berdasarkan keluasan dan kategori penggunaan tanah atau berpandukan Peraturan Tanah Terengganu.

“Setiap pembayaran boleh dibuat secara tunai, bank draf, wang pos dan kiriman wang berpalang atas nama Pentadbir Tanah yang berkenaan atau Pengarah Tanah dan Galian Terengganu,” katanya.

Selain itu bayaran juga boleh dibuat melalui laman sesawang http://www.maybank2u.com.my/. Segala urusan pembayaran cukai tanah bagi tahun ini, boleh dibuat di semua pejabat PTG Daerah dan Negeri selewat-lewatnya 31 Mei.

Waktu urusan boleh dibuat pada hari bekerja bermula jam 8 pagi sehingga 4.30 petang dan pada Khamis bermula jam 8 pagi sehingg 3.30 petang.

Pemilik tanah yang membuat pembayaran di laman web, kriman pos atau sebagainya iaitu tanpa urusan di kaunter, PTG tetap menghantar bil pembayaran sebagai peringatan dan bukti.

Jika tidak menerima bil itu dalam tempoh tertentu, mereka boleh mendapatkannya sendiri di Bahagian Hasil Pejabat Tanah berkaitan atau membuat semakan di laman web http://cukaiptg.terengganu.gov.my/isolar10/ dengan mengemukakan maklumat seperti nombor bil, hak milik, lot atau PT dan mukim atau Bandar.



AUT dorong tingkat ekonomi- tokoh usahawan

Oleh: Aida Abd Rahman

“Saya rasa gembira dan bangga dengan anugerah tokoh usahawan yang julung kali saya terima ini. Dengan pengiktirafan ini menaikkan semangat untuk terus rajin dan berusaha memajukan perniagaan ini bagi meningkatkan ekonomi di Terengganu.

“Apabila berniaga kita kena berusaha bersungguh-sungguh dan jangan mudah putus asa apabila ditimpa masalah termasuk ketika berdepan dengan ekonomi yang meleset ,” kata penerima Anugerah Tokoh Usahawan, Chong Fah Ming di majlis Malam Anugerah Usahawan Terengganu (AUT) 2011, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (11 Januari).

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menyampaikan hadiah kepada semua pemenang bagi sembilan kategori AUT yang menawarkan wang tunai keseluruhan berjumlah RM54,000 beserta piala, sijil penghargaan dan cenderahati sumbangan Nuriz Kosmetik.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera dan Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik.

Perasaan gembira dan bangga dengan pengiktirafan itu turut dikongsi pengerusi MSET Engineering Corporation Sdn Bhd, Haji Hasnan Dato’ Abdullah, yang menerima anugerah bagi kategori perkilangan dan pembuatan.

“Saya bersyukur dengan anugerah ini. Ia menjadi perangsang dan pembakar semangat untuk terus bertindak sebagai peneraju yang mampu mengubah lanskap dan dimensi syarikat dengan lebih cemerlang,” katanya.

Sementara itu, Azizah Omar pengusaha Zie Florist, di Jalan Air Putih, Kemaman, yang berjaya meraih anugerah peniaga dan penjaja kecil pula menyifatkan kemenangan itu sebagai satu suntikan semangat untuk terus melebarkan perniagaannya.

“Sebagai peniaga wanita dan Bumiputera saya sentiasa bersedia berdepan dengan persaingan dan jatuh bangun dalam perniagaan kerana itu semua menjadi rencah dan suatu pengalaman yang mampu mematangkan kita demi memajukan profesion kita,” katanya.






13 January 2012

Pelajar jantung berlubang selamat dibedah

Laporan 0leh: Kamarudin Mat Akib

Pelajar tingkatan lima, Mohd Nazwan, dari Kemaman yang menderita sakit jantung berlubang sejak 10 tahun lalu, selamat menjalani pembedahan di Pusat Rawatan i-Heal Kuala Lumpur, hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mentok itu menjalani pembedahan jantung di pusat rawatan milik anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu, dibedah dengan kos rawatan dibiayai sepenuhnhya oleh kerajaan negeri.

Mohd Nazwan yang ditemani kedua-dua ibu bapanya dimasukkan ke pusat rawatan itu semalam dan menjalani pembedahan kira-kira jam 9 pagi tadi.

Pakar sakit jantung, Dr David Khoo Sin Keat, yang menjalankan pembedahan itu berkata, pesakit mengalami masalah jantung berlubang seluas kira-kira satu sentimeter dan kini berada dalam keadaan stabil.

“Pesakit kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) i-Heal dan masih dalam perhatian doktor pakar,” katanya ketika ditemui Teganukita selepas pembedahan tersebut yang mengambil masa kira-kira tiga jam.

Beliau berkata, Mohd Nazwan akan dirawat di hospital itu selama lima hari dan mungkin dibenarkan pulang ke Terengganu Jumaat ini.

Ibu pesakit, Khatijah Muda, 52, merakamkan penghargaan terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan negeri, khususnya Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, yang sudi menanggung kos rawatan anak beliau.

“Mak cik harap Mohd Nazwan akan cepat sembuh dan mula belajar selepas ini bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.





















2 balai polis di Terengganu dipilih menyertai anugerah MCPF kebangsaan

Oleh: Mohammad Ishak



Pasukan penilai bergambar kenangan bersama anggota balai dan pemimpin masyarakat


SEMANGAT kerja berpasukan yang menjadi amalan kepada anggota polis negeri ini memberi peulangan kepada dua balai polis menyertai pertandingan akhir Anugerah MCPF Balai Polis Cemerlang peringkat kiebangsaan.

Dua balai polis yang terpilih ialah Balai Polis Pasir Akar,Hulu Besut mewakili kategori luar bandar dan Balai Polis Cabang Tiga, Kuala Terengganu bagi kategori bandar.

Serombongan panel penilai anugerah berkenaan diketuai Naib Presiden Yayasan Pencegahan Jenayah Kebangsaan,Datuk Kamaruddin Md Ali bersama lima anggota lain mengadakan sesi penilian di kedua-dua balai polis terbabit semalam.

Kamaruddin berkata, penilian berasaskan kepada beberapa faktor termasuk kejayaan mengurangkan kadar jenayah, kerjasama dengan komuniti dan keadaan fizikal balai polis yang dinilai.

Katanya, sebanyak 27 balai polis dari seluruh negara dipilih menyertai anugerah anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Kebangsaan yang dilakukan sejak tujuh tahun lalu.

Menurutnya, pemenang anugerah itu dijangka diumumkan pada April ini selepas semua balai polis yang dipilih menyertai anugerah selesai dinilai oleh anggota panel yang turut dianggotai oleh beberapa jabatan termasuk Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Ketika mengunjungi balai Polis Pasir Akar semalam, rombongan turut disambut oleh pegawai kanan polis negeri dan daerah Besut serta pemimpin masyarakat sekitar Kawasan Hulu Besut.

“Pemenang anugerah itu akan mendapat sijil dan menghantar ketua balai ke Hong Kong selama dua minggu untuk mempelajari ilmu kepolisian negara itu yang dianggap terbaik di dunia,” katanya.





2,044 golongan miskin DUN Jertih terima agihan pakain sekolah

Oleh: Mohammad Ishak
Penerima bantuan pakaian sekolah menadatangani boucer penerimaan


“Beruntung jadi orang Terengganu maca-macam bantuan diberikan oleh kerajaan kepada rakyat,” begitulah luahan perasaan bangga seorang ibu,Bahiyah Hassan, 45, dari Perumahan Awam Seberang Jertih, Besut.

Bahiyah yang termasuk dalam penerima bantuan dana pakaian sekolah bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang terus membela nasib rakyat selari dengan slogan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’.

Pengagihan bantuan pakaian sekolah kepada ibu bapa negeri ini disifatkan penduduk amat baik dan perlu diteruskan kerana ia dapat meringankan beban rakyat terutama golongan mssikin.

Bahiyah ditemui hari ini ketika menerima agihan dana berkenaan yang diadakan di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Kemuntong, Jertih ,yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Pengerusi MARA.

Pada majlis itu, 2044 penerima dari DUN Jertih yang layak menerima bantuan berbentuk wang tunai antara RM100 dan RM200 seorang yang diadakan pada setiap tahun oleh Kerajaan Negeri.

Berucap pada majlis itu, Idris yang juga Ketua UMNO Bahagian Besut berkata, pengagihan dana pakaian sekolah itu membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) melaksanakan tanggungjawab sosial secara berterusan kepada rakyat.


Idris menyaksikan petugas mengagihan bantuan pakaian sekolah


Katanya, BN sudah melaksanakan negara berkebajikan sejak sekian lama dan Pakatan Rakyat (PR) dipelopori PAS baru sekarang mencanagkan kepada rakyat cadangan pakatan jika meraka dapat memerintah negara ini.


Industri pasir silika buka laluan pelaburan berteknologi tinggi

Oleh; Esah Abdullah

TRG Industrial Minerals Sdn Bhd (TIM) akan mewujudkan Lembah Silika (Silica Valley) di negeri ini serta membuka laluan pelaburan dalam sektor perindustrian di Koridor Raya Pantai Timur (ECER).

“Projek silika ini dibangunkan dalam empat peringkat dan peringkat pertama adalah pembinaan industri lembah silika berteknologi tinggi,” kata Ketua Eksekuti Kumpulan TIM, Encik N.Surendren di majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) TIM dan Lembaga Tabung Amanah Terengganu di Primula Beach Resort semalam.

Katanya, projek pertama dan terbesar di Asia Tenggara ini menggunakan teknologi tinggi dan kepakaran rakan sekutu dari Jepun, India dan Perancis membuat anggaran keluaran kasar sebanyak 800,000 ton setahun.

Tambahnya, pada peringkat kedua TIM membuat tambahan nilai hasil silika diikuti pembinaan kilang sodium silicate dan pembinaan kilang cermin.

“Usaha ini direalisasikan hasil kerjasama kerajaan negeri yang menyediakan kawasan seluas 1,200 hektar di Setiu dan Marang dijangka mampu meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri ini,” katanya.

Menurutnya, projek ini juga akan membuka rangkaian perniagaan lain berkaitan industri pasir silika serta membantu meningkatkan taraf hidup ekonomi rakyat terutama yang tinggal di kawasan luar bandar.

MoU berkenaan disaksikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Pegawai Kewangan negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail mewakili Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu manakala N. Surendren mewakili TIM.

Turut menyaksikan MoU berkenaan, Pengerusi Kumpulan TIM, Tengku Sri Temenggong Raja, Dato’ Seri Tengku Baharuddin dan Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Hadir sama rakan sekutu TIM, Sumitomo Corporation Asia dari Jepun iaitu Ketua Pegawai Operasi, Mr.Manabu Yamane dan Ketua Jabatan Mr. Akihisa Mino serta Mr. Ezhlilmani wakil SG India.




MB minta pertadbir tanah lebih proaktif

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri mengakui pengurusan pertadbiran tanah kini berhadapan dengan pelbagai cabaran besar bagi menangani perubahan persekitaran yang memberi kesan langsung kepada prestasi perkhidmatan yang disampaikan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, perubahan itu menuntut pegawai yang terlibat di setiap pertadbiran tanah mampu bertindak secara lebih proaktif bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan berprestasi tinggi lebih cemerlang.

Katanya, strategik penting yang harus diberi fokus dalam agenda tranformasi sektor awam ialah memperkasakan agensi barisan hadapan.


“Ini kerana peranan penting yang dimainkan oleh agensi tersebut dilihat begitu kritikal bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Perubahan persekitaran dinamik turut menyaksikan pentakrifan baru di buat kepada konsep prestasi agensi sektor awam di mana ia dinilai melalui pencapaian keberhasilan impak,” katanya ketika berucap di Majlis Perjumpaan Menteri Besar Bersama Warga Pertadbiran Tanah Negeri di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama Pengarah PTG, Dato’ Tuan Mamat Tuan Ngah, Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.

Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata dalam kontek itu, penjawat awam di setiap peringkat agensi `frontliner’ perlu sentiasa peka dengan kehendak rakyat dan bersedia terhadap gelombang perubahan dalam sektor awam.

“Dalam banyak keadaan kita masih lagi perlu membuat pembaharuan kerana banyak proses kerja serta tatacara lama yang lapuk sifatnya.

“Sedang proses serta tatacara tersebut masih boleh dicipta selagi mana tidak melanggar peraturan dan peruntukan undang-undang,” katanya.



PFK perkasa ekonomi, galak penyertaan usahawan

Menteri Besar begitu teruja melihat hasil usahawan yang berwibawa dan berdaya maju. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) melaksanakan pelbagai program dan projek keusahawanan termasuk Program Flagship Keusahawanan (PFK) bagi memperkasakan ekonomi dan mengalakkan pembabitan rakyat negeri ini dalam bidang itu.

Program PFK termasuk merancang dan menambah pembukaan T’Shoppe, T’Kafe, T’Crafts dan T’Lodge yang dijangka mampu memberi pulangan berkesan kepada pencapaian objektif pelaksanaan program T-Brand.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata usaha dan pencapaian itu amat memberangsangkan dan terkehadapan berbanding negeri lain di negara ini serta melahirkan golongan usahawan yang berwibawa dan berdaya maju.

Katanya, program PFK itu juga selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Terengganu Maju 2020 dengan memperkenalkan empat tonggak, iaitu Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan, Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi dan Hala Tuju Negeri Terengganu.

“Hala Tuju Pembangunan Negeri Terengganu 2009 - 2013 merupakan visi Kerajaan Terengganu bagi mencapai Negeri Maju Tahun 2020 dengan misi merancang dan melaksanakan pembangunan negeri yang menyeluruh bagi kesejahteraan rakyat dengan berteraskan agenda `merakyatkan pentadbiran dan pembangunan’, " katanya di majlis Malam Anugerah Usahawan Terengganu (AUT) 2011, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (11 Januari).

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera dan Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik.

Menteri Besar berkata, program transformasi ekonomi merupakan agenda yang amat penting dalam pembangunan Terengganu keseluruhannya.

Malah, pelbagai program dirancang bagi mencapai Negeri Maju 2020 termasuk program mega seperti Wilayah Ekonomi Pantai Timur , projek Zon Industri Akuakultur, projek jelapang padi dan Empangan Paya Peda.






Anugerah galak usahawan lebih daya saing

Oleh: Aida Abd Rahman

Anugerah Usahawan Terengganu (AUT) dapat menggalak dan mendorong usahawan tempatan supaya membina kekuatan untuk lebih berdaya saing serta maju.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera, berkata AUT juga mampu merangsang minat rakyat negeri ini menjadikan usahawan sebagai pilihan kerjaya.

“Anugerah ini diadakan khusus bagi mengiktiraf dan menghargai peranan serta pencapaian usahawan dalam sektor masing-masing.

“Kerajaan negeri menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) mempelawa penyertaan agensi dan Badan Bukan Kerajaan dan juga syarikat IKS tempatan bagi menyertai Anugerah Usahawan Terengganu pada tahun akan datang sebagai mengiktiraf pencapaian usahawan tempatan dalam bidang keusahawanan,” katanya ketika berucap sempena Malam Anugerah Usahawan Terengganu (AUT) 2011, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (11 Januari).

Dato’ Mohamed Awang Tera melihat produk keluaran para usahawan yang dipamerkan di Malam Anugerah Usahawan Terengganu (AUT) 2011, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik.

AUT mula diadakan sejak 2002 mempertandingkan sembilan kategori termasuk dua kategori baru iaitu Anugerah Khas Media yang diperkenalkan pada 2010 dan Anugerah Khas Flagship YPU yang baru pertama kali dipertandingkan.

Selain itu, kerajaan negeri melalui YPU sentiasa berusaha membawa usahawan Terengganu ke peringkat antarabangsa termasuk menyertai Gulfood Exhibition 2011 lalu bagi memperkenalkan produk makanan negeri ini di Dubai World Trade Centre.

“Hasil daripada penyertaan itu, sejumlah 120 pertanyaan perniagaan diterima melibatkan syarikat IKS Terengganu yang menyertai program itu.

“Pembeli berpotensi termasuklah dari UAE, Kuwait, Iraq, Angola, India, Pakistan dan Switzland. Malah, tindakan susulan sudah dilaksanakan dengan kerjasama YPU, Pejabat
MATRADE di Dubai dan usahawan berkenaan,” katanya.

Beliau juga berharap supaya lebih ramai syarikat IKS menyertai mana-mana program di peringkat antarabangsa kelak berikutan banyak pengusaha IKS berpotensi untuk menempatkan produk mereka di luar negara.



12 January 2012

Bayar cukai elak tanah dirampas

Dato' Seri Haji Ahmad Said ketika hadir pada Majlis Perjumpaan YAB. Menteri Besar Terengganu Bersama Warga Pentadbiran Tanah Negeri Terengganu bertempat di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri menyarankan semua pentadbir tanah di negeri ini supaya melipat gandakan usaha dengan menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 85 peratus pemilik membayar cukai tanah.

Berdasarkan rekod Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG), sebanyak 25,047 hak milik dikesan gagal mambayar cukai walaupun pelbagai pendekatan dilaksanakan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sehubungan itu, pihaknya meminta individu berkaitan prihatin mengenai pembayaran ini bagi mengelak tunggakan dan didenda lewat bayar.

Katanya, pemilik tanah akan diberi surat peringatan untuk tempoh tertentu sekiranya mempunyai rekod tunggakan.

“Jika masih ingkar membayar, Pentadbir Tanah boleh menyampaikan Notis 6A dengan memberi tempoh selama tiga bulan untuk menjelaskan segala urusan.

“Sekiranya tetap gagal berbuat demikian dan mempuyai tunggakan ditahap maksima tanah berkenaan boleh dirampas dan menjadi hak milik mutlak kerajaan negeri,” katanya.

Menurutnya, dia tidak faham mengapa pemilik tanah di Terengganu liat untuk membayar cukai, sedangkan harga yang ditetapkan cukup rendah iaitu antara RM2.50 hingga RM10.00 saja bagi satu lot kediamaan.

“Jumlah itu jauh bezanya dengan negeri lain yang mengenakan harga lebih RM100 bagi tanah lot jenis sama.

“Saya sangat berharap kepada pemilik tanah yang mempunyai tunggakan terutama yang melebihi 10 tahun supaya segera menjelaskan cukai tanah bagi mengelak perkara buruk berlaku,” katanya.