Halaman

22 January 2012

Teganukita 53




Dapatkan akhbar Teganukita di UKOM, Jalan Pejabat, 20200 Kuala Terengganu.

Seramai 1,975 terima BRIM Dun Batu Rakit

Oleh; Esah Abdullah



Seramai 1, 975 orang dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi sesi pertama apabila pengagihan itu mula dilaksanakan sejak 17 Januari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri merangkap Adun Batu Rakit, YB Haji Khazan Che Mat berkata, setiap penerima perlu memanfaatkan wang tersebut untuk kegunaan seisi keluarga.

“Tujuan kerajaan mengagihkan wang itu untuk memastikan keperluan rakyat berpendapatan rendah terus diberi keutamaan,” katanya di majlis penyampaian BRIM di Dewan Serbaguna, Kampung Maras, Batu Rakit.

Hadir sama, Ahli Parlimen Setiu, Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee untuk melihat proses pengagihan wang kepada penerima berjalan lancar.

Menurutnya, setiap penerima yang layak menerima wang RM 500 secara berperingkat mengikut Dun berdasarkan senarai nama yang diterima sebelum ini.

“Justeru itu, sangkaan sesetengah pihak yang menyatakan pemberian itu sebagai motif politik tidak tepat kerana kerajaan hari ini adalah sebuah kerajaan yang sentiasa mementingkan keperluan rakyat,” katanya.

Sementara itu, seorang penerima, Encik Mad Yusof Abdullah melahirkan rasa syukur kerana bantuan yang diterima ini begitu melegakannya sekeluarga disebabkan sudah lama tidak dapat turun ke laut untuk mencari rezeki.

“Memandangkan saya hanya bergantung kepada pendapatan menangkap ikan untuk menyara anak-anak ia meringankan beban terutama membantu perbelanjaan keluarga pada awal tahun.

“Hanya perasaan syukur dan terima kasih kepada pihak kerajaan yang mampu diluahkan setelah mengetahui nama tersenarai untuk penerima peringkat pertama,” katanya.

Beliau berkata, wang yang diberi oleh kerajaan ini akan digunakan sebaik mungkin sebelum dapat turun ke laut semula mencari rezeki selepas ombak kembali tenang.




BRIM ceriakan sambutan tahun baru

Oleh; Esah Abdullah



Seramai 15 keluarga terdiri masyarakat Cina dari Kampung Pantai Batu Rakit menerima agihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) sempena Tahun Baru Cina yang disampaikan oleh Adun Batu Rakit, YB Haji Khazan Che Mat.

Pengagihan ini dilakukan pada minggu terakhir menjelang Tahun Baru Cina sebagai sumbangan khas bagi memudahkan masyarakat Cina membuat persiapan secara lebih terperinci.



Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri itu berkata sumbangan ini merupakan sebahagian daripada program yang telah disusun untuk kaum Cina bagi Dun Batu Rakit.

“Kerajaan sentiasa menyediakan yang terbaik untuk semua lapisan masyarakat termasuk kaum Cina dan secara tidak langsung dapat beramah mesra selain berpeluang untuk berkongsi masalah,” katanya.

Seorang penerima, Lua Beng Song, 50-an, berkata, kecaknaan dari pemimpin tempatan kepada kumpulan minoriti yang tinggal di kawasan perkampungan Melayu menunjukkan masyarakat Cina tidak dipinggirkan.

“Sumbangan yang diberikan oleh kerajaan menambahkan kegembiraan seluruh ahli keluarga kami dan ia juga tuah sempena tahun naga yang dianggap begitu bermakna dalam kalender orang Cina,” katanya.



T-Team tumbang di tangan abang

Oleh: Aida Abd Rahman

Pertembungan `adik’ dan `abang’ di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi berkesudahan dengan T-Team terpaksa berputih mata tewas buat pertama kali di tangan pasukan senior Terengganu dengan keputusan 1-2.



Kekalahan itu memaksa T-Team atau digelar Penyu Muda gagal mempertahankan kedudukan di takhta liga, sebaliknya dirampas oleh Kelantan yang berjaya menjinakkan Kedah 3-0, di Alor Setar, semalam.

Sementara kemenangan Terengganu yang terhasil menerusi jaringan penyerang import dari Liberia, Francis Forkey Doe pada minit 20 dan ke-59 berjaya membaiki kedudukan dan merapati Kelantan di tangga kedua dengan jumlah sembilan mata keseluruhan.

Dalam keghairan kedua-dua pasukan saling mengasak ke kubu lawan sebaik wisel dibunyikan, T-Team terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti yang dijaringkan Zairo Anuar Zailani pada minit ke-12.



Bagaimanapun, Terengganu berjaya menunjukkan kebangkitan selepas T-Team kekurangan seorang pemain yang menerima kad merah sekaligus membataskan skuad kendalian Yunus Aliff itu untuk menambah jaringan gol.





Menteri Besar rai kaum Tionghua Bukit Kuang

Oleh FAUZI MOHD

Sambutan Tahun Baru Cina kali ini pastinya cukup bermakna kepada lebih 200 keluarga kaum Tionghua di Kampung Bukit Kuang, Kemaman apabila menerima sumbangan limau mandarin dan angpau daripada Dato’ Seri Ahmad Said.



Sumbangan itu diserahkan sendiri Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Kemaman, baru-baru ini.

Dato’ Seri Ahmad berkata, sumbangan itu sebagai tanda sokongan Kerajaan negeri kepada masyarakat kaum Tionghua yang bakal meraikan perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.



"Pemberian limau kepada masyarakat Tionghua di kawasan berkenaan sebagai inisiatif mengukuhkan hubungan antara kaum yang terdapat di kawasan ini," katanya.

Turut sama isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud, Ketua Wanita UMNO Kemaman, YB. Senator Rohani Abdullah dan kepimpinan parti MCA dan Gerakan di Parlimen Kemaman.

Menurut Menteri Besar, walau pun kecil, sumbangan itu sebenarnya memberi makna cukup besar kepada nilai persahabatan dan hubungan erat yang terjalin antara rakyat berbilang kaum di daerah ini.

Sebelum itu, beliau turut melawat beberapa rumah penduduk kaum Tionghua di kawasan berkenaan.

Turut dilawati, pengidap penyakit batu karang, Lim Siew Kiat, 75 yang tinggal bersama suaminya.

Kata Dato’ Seri Ahmad, wanita berkenaan akan dirujuk ke hospital pakar milik Kerajaan negeri di Kuala Lumpur, I-Heal Medical Centre untuk mendapatkan rawatan lanjutan.

“Segala perbelanjaan dan kos rawatan pesakit ini akan ditanggung oleh kerajaan negeri melalui Tabung Penyakit Kronik,” ujarnya simpati.


Dato’ Siti Nurhaliza, Rabbani di Ri-Yaz Heritage 5 Februari

Oleh FAUZI MOHD



Ri-Yaz Heritage Resort & Spa akan menganjurkan Majlis Makan Malam Bersama Dato’ Siti Nurhaliza dan kumpulan nasyid, Rabbani bertempat di Cindai Ballroom, Pulau Duyong pada 5 Februari depan.

Pengurus Besarnya, Abdul Shaheed Yusoff berkata, pihak resort menawarkan harga istimewa kepada pelanggan serendah RM175, RM270 hingga RM500 setiap seorang beserta makan malam.

“Juadah Melayu akan disajikan. Sambil menjamu selera, jemputan akan dihiburkan dengan nyanyian daripada Dato’ Siti Nurhaliza dan Rabbani yang pasti mempesonakan.

“Tempahan perlu dibuat selewat-lewatnya tiga hari sebelum tarikh majlis diadakan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.


Terengganu sasar kemenangan pembuka tirai

Oleh: Aida Abd Rahman

Sebagai suntikan moral kepada pemain menempuhi perlawanan berikutnya, Terengganu berazam menumpaskan Pulau Pinang apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam perlawanan pembuka tirai bola sepak Piala Presiden Terengganu, di padang bola Gong Badak, Kuala Terengganu pada 2 Februari ini.

Jurulatihbya, Encik Zakari Alias berkata bagi kemenangan Terengganu itu penting bagi menyuntik semangat pemain untuk menghadapi perlawanan-perlawanan seterusnya.

"Kita sudah bersiap sedia dan akan memastikan kemenangan menjadi milik kita pada perlawanan yang bermula 4.45 petang di padang bola Gong Badak itu nanti," katanya.

Katanya, walaupun Terengganu kehilangan lima pemain tonggak kerana menyertai pasukan Harimau Muda B, namun kehebatan pasukan tidak terjejas.

Pemain-pemain yang berhijrah itu adalah Alif Shafiq Suhaimi, Mohd Radhi Mohd Yusof, Wan Ahmad Amir Safran Wan Moris (pertahanan), Mohd Hafiza Alias (midfield) dan Ilham Amirullah Razali (penjaga gol).

Bagaimanapun, Encik Zakari berkata pasukan Piala Presiden Terengganu agak terubat apabila dua bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil, Syed Sobri Syed Omar dan Shahami Asha'ari turut memperkuat pasukan itu bagi bahagian tengah dan serangan.

Daripada 25 pemain yang disenaraikan untuk Piala Presiden tahun ini, 10 orang adalah pemain tahun lalu manakala selebihnya muka-muka baru.

Katanya Terengganu yang telah membuat persediaan sejak tiga bulan lalu mensasarkan empat pasukan terbaik tahun ini setelah kecewa di peringkat kumpulan tahun lepas.




Sultan Mizan tamatkan perlumbaan kuda lasak

Oleh: Aida Abd Rahman

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berjaya menamatkan perlumbaan dalam kejohanan kuda lasak anjuran Kelab Ekuestrian Al-Kathiri di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong, Setiu, semalam (21 Januari).

Baginda yang mewakili Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) mengambil masa 3 jam 50 minit dan satu saat bagi menamatkan perlumbaan sejauh 40 kilometer (km) itu.

Sementara, anakanda baginda Tengku Fatimatuz Zahrah juga dari RTES, yang turut menyertai acara 40 km tidak dapat menamatkan perlumbaan.

Adinda baginda, Tengku Seri Temenggong Tengku Baharuddin Shah Sultan Mahmud dari pasukan State of Terengganu Endurance Team (STET)berjaya menamatkan perlumbaan itu dengan masa 2 jam 37 minit 50 saat.

Presiden Ground Juri Al-Kathiri Endurance, Fuad Mahmud berkata, seramai 41 daripada 51 peserta yang mengambil bahagian dalam kategori 40km, berjaya menamatkan perlumbaan itu.

"Kejohanan bagi kategori 40km itu kita tidak hanya tertumpu kepada kedudukan tempat (ranking) tetapi ia lebih kepada ujian kepada peserta untuk menamatkan perlumbaan itu," katanya.

Beliau berkata, bagi perlumbaan jarak 80km lima daripada sembilan peserta senior dapat menamatkan perlumbaan manakala dua daripada enam peserta junior berjaya menamatkan perlumbaan itu.

Katanya, kedudukan tempat pertama bagi senior dimenangi Mohd Azizie Ismail dari Tengku Mahkota Kelantan Equestrian (TMKN) dengan kepantasan 4'32:19s.

Tempat kedua pula dimenangi Wan Mohd Kamaluddin Wan Yusoff dari STET dengan masa 4'38:56s manakala tempat ketiga Mohd Saifuddin Mohd Saari dari RTES dengan masa 4'41:8s.

Bagi kategori junior, hanya dua dari enam peserta dapat menamatkan perlumbaan iaitu Aminuddin Abdullah dari STET 4'38:55s (tempat pertama) dan Abu Ubaidah Muhamad Hamzah dari The Perdana Stables 6'43:40s.




21 January 2012

Peguam Negara failkan rayuan keputusan tepat - Hishammuddin

Oleh FAUZI MOHD

Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein secara peribadi berpendapat tindakan Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan terhadap pembebasan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat, sebagai satu tindakan yang tepat.

"Secara peribadi atas undang-undang dan hak, ia adalah keputusan yang tepat.

"Bagi saya rayuan itu bukan isu kerana sesiapa sahaja yang dalam keadaan seperti itu, Anwar (Dato' Seri Anwar Ibrahim) pun tetap akan merayu," kata Menteri Dalam Negeri itu kepada pemberita, hari ini.

Naib Presiden UMNO itu berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Program Pemukiman Kepimpinan UMNO Terengganu di Janda Baik, Pahang.

Petang semalam, Jabatan Peguam Negara menerusi satu kenyataan berkata, rayuan itu difailkan berdasarkan keterangan dan undang-undang, tanpa mengikut emosi atau pengaruh mana-mana pihak.

Tambah Dato' Seri Hishammuddin, tindakan memfailkan rayuan itu merupakan tindakan pihak Peguam Negara sendiri dan menegaskan UMNO tidak mempunyai sebarang kaitan dengan rayuan tersebut.

"Keputusan merayu dalam tangan Peguam Negara, beliau mesti ada alasan yang diperjelaskan beliau. Mangsa (Saiful Bukhari Azlan) dan keluarganya telah melalui penderitaan yang lama kerana hanya tuntut keadilan.

"Jadi, orang yang nak putar belitkan ini dalam PKR sebenarnya, mereka menafikan rayuan itu. Mereka tidak perjuangkan keadilan, perjuangan atas nama (parti) sahaja," katanya.


Peluang remaja tunjuk bakat bola sepak

Oleh: Aida Abd Rahman

Remaja berusia 15 hingga 17 tahun berpeluang menunjukkan bakat dan dipilih untuk diserapkan dalam Akademi Bola Sepak Terengganu sempena sesi pemilihan pertama yang dijadualkan pada 25 Januari ini.

Ketua Jurulatih, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Nor yang juga jurulatih T-Team berkata, panel pemilihan akan ke seluruh daerah bertujuan memberi peluang kepada pelajar di seluruh negeri untuk menunjukkan bakat.

“Kami tahu ramai pelajar berusia 15 hingga 17 tahun memiliki potesi tinggi dalam bola sepak tapi tidak berpeluang membuktikan kewibawaan mereka. Dengan kaedah pemilihan di setiap daerah, bakat tersebut dapat dikenalpasti.

" Kami harap ibu bapa akan bekerjasama dengan membenarkan anak mereka hadir menjalani proses pemilihan. Sokongan mereka menjadi faktor kepada keberkesanan sesi pemilihan berkenaan,”katanya

Sesi pemilihan itu bermula di padang SMK Ajil Hulu Terengganu pada jam 4 petang , 25 Januari ini. Di Besut pula, pemilihan diadakan di padang SMK Tengku Mahmud 2 pada masa yang sama, 26 Januari .

Pemilihan di Dungun diadakan pada 28 Januari di padang Majlis Perbandaran Dungun bermula jam 8 pagi, diikuti tarikh yang sama, panel pemilihan akan ke Kemaman yang bertempat di padang SMK Bukit Mentok, Chukai untuk sesi pemilihan yang bermula pada jam 4 petang.

Manakala, pada 30 Januari pula diadakan pemilihan di Padang Majlis Daerah Marang bermula jam 4 petang sebelum berakhir di Kompleks Gong Badak Kuala Terengganu pada 31 Januari.