Oleh; Esah Abdullah
Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) akan mengeluarkan produk keropok lekor pelbagai rasa termasuk perasa tongkat ali untuk memberi kelainan kepada pengemar makanan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik berkata, ramai pengemar keropok inginkan kelainan rasa pada makanan kegemaran ramai itu seperti perasa Tongkat Ali, strawbery, lemon dan sebagainya.
“YPU akan mengadakan usahasama dengan syarikat Sidratul Corporation Sdn Bhd bagi laksanakan program berkenaan,” katanya kepada pemberita di Seminar Kesedaran Produk Halal di Pasaran dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara YPU dan Sidratul Sdn Bhd di Dewan Konvensyen Pusat Dagangan Terengganu (TTC) hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pegawai Eksekutif YPU, Haji A. Razak Sulaiman dan Pengerusi Sidratul Corporation Sdn Bhd, Ustaz Ahmad Tajuddin Arshad.
Katanya, MOU ini adalah untuk mengabungkan kepakaran dan kemahiran dalam aspek pengeluaran produk halal mengikut syariah ke arah pemasaran dan penerokaan bidang keusahawanan yang lebih berdaya saing.
Sidratul Corporation yang berpengkalan di Kuala Kangsar, Perak mempunyai 70 syarikat pengeluar pelbagai produk itu merancang membuka cawangan di negeri ini untuk membantu usahawan membuat R&D dalam menghasilkan produk halal.
Tambahnya, YPU akan menawarkan kursus produk halal kepada pengusaha-pengusaha keropok lekor yang berselerak di negeri ini untuk menghasilkan pelbagai perasa untuk pasaran dalam dan luar negara.
Menurutnya, ramai usahawan di negeri ini terlibat dalam pengeluaran makanan dan pakaian yang memerlukan jaminan halal bagi meyakinkan semua pengguna dalam aspek kebersihan dan kesucian setiap produk yang dihasilkan.
Katanya, masyarakat hari ini berdepan dengan kecelaruan pemilihan pemakanan yang berlambak di pasaran sekaligus mendatangkan pelbagai penyakit akibat kecetekan pengetahuan mengenai makanan sebenar yang boleh diambil mengikut syariah.
“Kaedah terbaik penyelesaian perkara ini adalah produk-produk yang dihasilkan mesti melalui proses IMP (Islamic Manufacturing Practice) bagi memastikan kualiti, efikasi dan keselamatan produk terjamin selain memenuhi tuntutan Allah dan Rasul iaitu Halallan Thoyyiba,” katanya.
Jesteru katanya, makanan yang terhasil dari proses pengilangan yang halal lagi suci menjadi darah daging dan memberi kesan yang cukup kuat ke atas fikiran, perasaan, roh dan peribadi manusia serta mampu mengubah keseluruhan diri ruhani dan jasmani dari kegelapan kepada petunjuk (nur).
Menurutnya, umat Islam merupakan majoriti penduduk di negara ini namun produk kegunaan harian banyak dikuasai orang bukan Islam malah ada yang menggunakan konsep halal tanpa melalui proses yang sebenarnya.