Halaman

19 February 2012

Jentera Wanita bersemuka dengan MB

Oleh; Esah Abdullah

Kira-kira 20,000 jentera Wanita Jalinan Rakyat (JR) seluruh negeri mengadakan perjumpaan hati ke hati dengan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said secara berperingkat melalui bahagian masing-masing bermula bulan lalu.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Perhubungan Terengganu, Datuk Hajah Fatimah Hamat berkata, perjumpaan bermula dengan Wanita Bahagian Besut (15 Januari) diikuti Dungun (23 Januari), Marang (24 Januari) dan Kemaman (4 Februari).

Manakala wanita di bahagian Hulu Terengganu akan menyambut ketibaan pemimpin nombor satu negeri itu semalam (18 Februari) di Dewan Sekolah Menengah Tengku Ampuan Intan Kuala Berang,” katanya ketika dihubungi Teganukita.

Menurutnya, Dato; Seri Haji Ahmad akan ke Kuala Nerus pada 10 Mac ini dan Setiu (17 Mac) serta Kuala Terengganu yang tarikhnya akan ditentukan kemudian.

“Saya harap semua wanita JR tidak melepaskan peluang bertemu MB pada tarikh ditetapkan serta mendengar amanat yang akan diberikan sebagai bekalan untuk berdepan dengan cabaran dan gelombang pilihan raya,” katanya.

Katanya, jentera Wanita di arahkan untuk bertemu setiap pengundi, bertanya khabar, menghulur bantuan, meringankan beban, menyampaikan maklumat serta membawa masalah berbangkit ke pihak atasan untuk jalan penyelesaian terakhir.

“JR tidak digalakkan memberi janji kepada penduduk yang ditemui sebaliknya berusaha membantu meringan beban serta bersabar menunggu bantuan sebenar dapat diuruskan,” katanya.





RM32juta baiki rumah rakyat

Oleh FAUZI MOHD
Gambar oleh Zulkipli Putra.

Kerajaan negeri memperuntukkan RM32 juta tahun ini bagi membantu rakyat miskin di Terengganu, termasuk membaik pulih kediaman dan masalah atap bocor.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, rumah kediaman rakyat miskin akan diperbaiki, termasuk menggantikan atap yang rosak agar kehidupan mereka lebih selesa.

Menurutnya, jumlah peruntukan itu diagihkan oleh kerajaan negeri kepada kesemua 32 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan setiap DUN menerima RM1 juta.

"Tahun lalu kerajaan negeri memperuntukkan RM500,000 untuk tujuan yang sama dan untuk tahun ini jumlah itu kita tambah lagi RM500,000 menjadikan RM1 juta bagi setiap DUN.

“Kami percaya menerusi bantuan yang diperkenalkan dua tahun lalu tiada lagi masalah rumah rosak dan atap bocor yang dihadapi oleh rakyat dalam tempoh lima tahun lagi,” katanya.


Beliau berucap pada majlis perjumpaan Menteri Besar bersama Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Daerah Setiu di Dewan Pejabat Pelajaran Daerah Setiu baru-baru ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Setiu, Dato’ Mohd. Jidin Shafee; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB. Asha’ari Idris; ADUN Permaisuri, YB. Abdul Halim Jusoh; Pegawai Daerah Setiu, Mohamad Nor Ibrahim dan Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Ishamudin Hashim.

Majlis perjumpaan pemimpin masyarakat itu diadakan sempena lawatan kerja Menteri Besar ke Setiu, termasuk meninjau tapak Pasar Pekan Seri Langkap dan Projek Besut/Setiu Agropolitan (BSA) di Kampung Panchur Berderu, Sungai Tong.

Dato’ Seri Ahmad berkata, kerajaan negeri juga menyediakan RM1.5 juta bagi dua DUN iaitu Langkap dan Permaisuri untuk membina jalan baru serta membaik pulih jalan raya yang rosak di kawasan itu.

Kata beliau, pihaknya akan membelanjakan kira-kira RM6 juta untuk membina sebuah pasar baharu dua tingkat di pekan Seri Langkap.

“Di samping itu kita juga peruntukkan RM2 juta untuk pembinaan sistem pengaliran di Beris Tok Ku dan RM200,000 bagi menaik taraf jalan di Kampung Rhu Sepuluh yang dilanda hakisan pantai baru-baru ini,” ujarnya.


18 February 2012

Kemaman lakar sejarah - 40,000 sertai perarakan Maulidur Rasul terbesar negara

Oleh FAUZI MOHD
Gambar oleh Zulkipli Putra

Sambutan perarakan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Kemaman 1433 Hijrah tahun ini adalah yang terbesar pernah diadakan dengan penyertaan kira-kira 40,000 peserta sekaligus mencipta sejarah antara perarakan terbesar pernah diadakan di negara ini.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said, berkata penyertaan tersebut adalah diluar jangkaan penganjur walaupun ianya sudah menjadi tradisi sejak beberapa tahun lalu dan tahun lalu penyertaannya hampir 30,000 orang peserta.

Menurutnya, melalui sambutan yang membanggakan daripada umat Islam, beliau begitu yakin program seumpama itu berjaya matlamat di samping dapat meningkatkan persefahaman dalam kalangan umat Islam di daerah tersebut.

“Program ini adalah usaha kita dalam menggembeling tenaga. Ia juga menjadi medan kepada setiap pasukan yang bertading menunjukkan kreativiti masing-masing dengan mereka sepanduk yang kreatif dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai perarakan bermula di Padang Astaka, Kemaman mengelilingi Bandar Chukai, hari ini.

Turut menyertai perarakan, Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; ADUN Chukai, Datuk Mohamed Awang Tera.; ADUN Kemasik, Ir Rosli Othman; ADUN Air Putih Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar dan Pegawai Daerah, Mohamad Kamil Othman.

Dato’ Seri Ahmad berkata, program itu menjadikan Kemaman unik seterusnya meningkatkan perpaduan dalam kalangan umat Islam di negara ini serta di mata pelancong asing yang turut melahirkan rasa kagum dengan program keagamaan itu.

Peserta mula berkumpul di Padang Astaka seawal pukul 7 pagi dan perarakan dibahagikan kepada tiga laluan iaitu kategori dewasa sejauh tujuh kilometer, institusi pendidikan sejauh lima kilometer dan tabika dua kilometer mengelilingi Bandar Chukai.


Sebanyak enam kategori dipertandingkan dan bagi kategori jabatan kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) tempat pertama dimenangi oleh Pesama Timber, Pejabat Agama Daerah (Kedua) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah (ketiga)

Bagi kategori Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), tempat pertama disandang oleh JKKK Batu Empat Binjai, JKKK Bukit Teruna (kedua) dan JKKK Mak Lagam (ketiga).

Untuk kategori wanita UMNO, tempat pertama dimenangi Batu Empat Binjai, Jawatankuasa Aktiviti Kemas (kedua) dan Sungai Ibok (ketiga).

Kategori sekolah rendah, diungguli Sekolah Kebangsaan Bukit Kuang manakala kategori sekolah menengah diraih Sekolah Menengah Kebangsaan Chukai.











JHEAT anjur Majlis hafaz al-Quran

Oleh FAUZI MOHD

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mempelawa orang ramai untuk menyertai Majlis Menghafaz al-Quran peringkat negeri 2012.

Penyertaan dibahagikan kepada tiga tahap iaitu tahap pertama (1 hingga 10 juzuk dan taranum); tahap dua (1 hingga 20 juzuk) dan tahap tiga (1 hingga 30 juzuk termasuk dua soalan tafsir dari juzuk ketujuh).

JHEAT dalam satu kenyataan memberitahu, pemohon sama ada lelaki dan wanita perlu mematuhi syarat-syarat umum termasuk berumur tidak kurang dari tujuh tahun dan tidak melebihi 25 tahun.

Borang permohonan boleh diperoleh daripada JHEAT (Bahagian Dakwah) dan semua Pejabat Agama Daerah atau dengan melayari laman sesawang http://jheatweb.terengganu.gov.my. Tarikh tutup permohonan pada 23 Februari ini.


17 February 2012

JR masuk kampung

Oleh; Esah Abdullah

Seramai 15,000 jentera wanita Jalinan Rakyat (JR) bergerak masuk ke kampung-kampung membabitkan 32 kawasan Dewan Undangan negeri (DUN) seluruh negeri untuk membuat bacian sikap pengundi sebagai persiapan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Perhubungan Terengganu, Datuk Hajah Fatimah Hamat berkata, sehingga ini petugas JR berjaya menyiapkan 80 peratus bacian daripada jumlah keseluruhan pengundi.

“Usaha mengenalpasti sikap dan kecenderungan individu ini akan berterusan hingga ke tarikh PRU diumumkan oleh Perdana Menteri,” katanya ketika dihubungi Teganukita.

Tambahnya, usaha keras dan semangat yang ditunjukkan JR amat membanggakan dan yakin bacian dapat diselesaikan dalam masa terdekat dan tumpuan utama untuk menjinakkan pengundi ‘atas pagar’ .

“Jentera wanita dibekalkan dengan ilmu politik dan pengetahuan pelbagai isu semasa untuk menjelaskan dasar-dasar kerajaan serta menjawab segala tomahan dan fitnah yang sengaja diadakan pihak pembangkang,” katanya.

Katanya, wanita bekerja dan suri rumah merupakan golongan yang sangat setia kepada Barisan Nasional (BN) dan tidak mudah terpengaruh dengan cerita rekaan parti pembangkang.

“Saya sangat yakin dengan undi wanita yang mampu menyumbang kemenangan kepada BN dalam PRU-13 nanti,” katanya.






Pelatih PDK Jertih sertai lawatan sambil belajar



Oleh Mohammad Ishak


Serombongan 40 pelatih dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Jertih, menyertai program lawatan sambil belajar ke Paka dan Pahang dalam usaha meningkatkan lagi pengetahuan pelatih dengan perkembangan luar kelas.

Lawatan dua hari diketuai penyelia kelas, Salina Mat Ali turut disertai ibu bapa pelatih serta ahli jawatankuasa PDK Jertih.

Ketibaan rombongan di PDK Paka disambut oleh ahli jawatankuasanya serta guru dan petugas PDK yang kemudian menyampaikan takilmat ringkat mengenai perjalanan pengurusan PDK berkenaan.

Salina berkata, lawatan itu bertujuan merapatkan hubungan antara pelatih dan ibu bapa dengan warga PDK Paka yang mempunyai hala tuju yang sama dalam membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di negeri ini.

Menurutnya, selepas melakukan lawatan singkat ke PDK Paka rombongan kemudian meneruskan perjalanan ke Pahang dan memberi peluang pelatih bersama ibu bapa masing-masing melakukan lawatan sambil beriadah di pusat pelancongan terkenal di Gambang Water Park

Katanya, lawatan berkenaan bertujuan memberi peluang kepada pelatih terbabit mengenali tempat menarik selain merapatkan hubungan sesama pelatih yang belajar di PDK.



T-Team turun sebagai 'underdog' bertemu Johor FC saingan kalah mati

Oleh FAUZI MOHD

T-Team akan turun sebagai pasukan bukan pilihan apabila bertemu Johor FC dalam perlawanan saingan kalah mati Piala FA di Stadium Pasir Gudang, Johor yang membuka tirai esok.

Jurulatih pasukan itu, Yunus Alif enggan mendabik dada dengan keupayaan anak buahnya dan menganggap Johor FC merupakan pasukan hebat selain mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

"Kita hormati dan tidak boleh memandang rendah keupayaan pasukan itu terutamanya dalam perlawanan kalah mati ini,” katanya semalam.

Berharap anak buahnya memenangi perlawanan pertama itu bagi menghidupkan peluang dalam perlawanan seterusnya, beliau berkata, T-Team akan turun habis-habisan dangan barisan pemain berpengalaman yang diketuai bekas penjaga gol kebangsaan Syamsuri Mustafa.

Yunus akan mempertaruhkan Mohd Faiz Subri, peledak berbisa untuk mengepalai jentera serangan dan dibantu bekas pemain Selangor Fadli Saari.

Mohd Faiz menjaringkan dua gol ketika T-Team bertemu Felda United di Stadium Hang Jebat Melaka Selasa lepas.

Yunus yakin prestasi pasukan T-Team kini dalam keadaan memberangsangkan dan diharapkan momentum positif itu terus dikekalkan ketika menentang Johor FC nanti.


Pameran Nostalgia Kampung Cina di Muzium Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Orang ramai berpeluang melihat wajah silam Kampung Cina, salah satu penempatan terawal di pusat bandar raya ini dalam pameran di Muzium Negeri mulai 20 Februari hingga 18 Mac depan.

Pameran Nostalgia Kampung Cina itu dianjurkan oleh pihak muzium bersama para akademik serta pelajar Fakulti Seni Reka dan Arkitek Bangunan Universiti Taylor's, Selangor.

Antara tarikan utama adalah lukisan lama pemandangan Kampung Cina yang berusia lebih 100 tahun serta beberapa artifak milik penduduk yang ada di antaranya merupakan generasi ketujuh di penempatan itu.

Pengarah Muzium Terengganu, Mohd. Yusof Abdullah berkata, lebih 30 lukisan dan 30 gambar lama selain 20 gambar baru penempatan berusia lebih 200 tahun itu turut dipamerkan, di samping artifak lain.

Katanya, Kampung Cina yang merupakan salah sebuah penempatan masyarakat Cina tertua di negara ini mempunyai keunikan tersendiri kerana ia menjadi penempatan pelbagai kaum dan perkongsian budaya.

"Pengunjung dapat menyelami suasana kehidupan silam apabila pelbagai dekorasi seperti papan tanda lama, pintu, meja serta beberapa barang-barang dapur bakal dijadikan hiasan di galeri tersebut.

"Pada majlis perasmian nanti, sebuah buku berkenaan kampung ini juga bakal dilancarkan yang memaparkan sejarah penempatan itu," katanya semalam.

Dalam pada itu, Universiti Taylor's yang diwakili pensyarahnya, Normah Sulaiman memberitahu, pada pameran itu, orang ramai juga dihidangkan dengan pertunjukan video mengenai kampung itu yang dihasilkan pelajar.

"Pengunjung juga berpeluang melihat ketelitian lukisan terukur (measure drawing) yang dilakukan -pelajar yang mengambil masa dua tahun untuk diterjemahkan dalam lukisan, " katanya.

Selain itu, katanya, seminar berkenaan Kampung Cina (27 Mac), demonstrasi kaligrafi dan origami (12 Mac) serta persembahan muzik klasik Cina (20 Mac) juga diadakan sempena pameran itu.


3,000 spesies orkid warnai tiga pulau di Tasik Kenyir

Oleh FAUZI MOHD



Lebih 3,000 spesies orkid bakal mewarnai tiga buah pulau seluas 2.7 hektar yang sedang dibangunkan di Pulau Hulu Selimbar, Pulau Hilir Selimbar dan Pulau Belit di Tasik Kenyir, dekat sini.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said berkata, projek pelancongan bernilai RM2 juta itu akan ditanam spesies orkid liar serta hibrid dari dalam dan luar negara seperti Thailand, China dan Taiwan.



Menurutnya, projek itu kini mencapai tahap 35 peratus siap dengan tanaman 400 spesies orkid dan dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini.

“Sebahagian spesies orkid liar yang bakal ditempatkan di pulau ini berasal dari Terengganu yang diperolehi dari sekitar tasik ini sendiri, Chemerong di Dungun, kawasan Gunung Tebu (Besut) dan Lata Payong (Setiu).

“Apabila siap kelak, pengunjung boleh melihat pelbagai jenis orkid termasuk yang terbesar di dunia dan yang paling kecil, hanya boleh dilihat dengan kanta pembesar dan ada juga yang paling wangi dan paling busuk” katanya kepada pemberita membuat lawatan ke pulau berkenaan semalam.

Turut serta, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB. Rozi Mamat; Pengarah Unit Perancangan Ekonomi negeri, Dato' Mat Razali Kasim dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Wan Mat Amin Wan Daud.

Tambah Dato' Seri Ahmad, dua jambatan yang menghubungkan tiga pulau itu telah siap termasuk sebuah jambatan gantung dan laluan pejalan kaki.



“Kini, kontraktor sedang membina kiosk jualan dan cenderamata, pusat penyelidikan dan pembenihan orkid serta beberapa lagi kemudahan lain.

“Pelbagai jenis dan warna orkid hibrid boleh dibeli pengunjung apabila dibuka kelak dan ada pokok orkid yang bernilai mencecah RM10,000 turut ditempatkan di pulau ini. Orkid yang mahal ini biasanya untuk tujuan perubatan, penyelidikan dan ia spesies terancam,” katanya.

Jelas beliau, Pulau Orkid merupakan satu daripada 10 buah pulau kecil yang terdapat di bahagian utara tasik buatan manusia itu sedang dibangunkan mengikut tema tertentu sebagai tarikan pengunjung melalui program ‘Kenyir Island Hopping’.



Dalam lawatan itu, Ahmad turut mengunjungi Taman Tropika seluas 5.5 hektar di Pulau Tekak Besar yang telah siap 85 peratus dengan hampir 3,000 spesies tumbuhan termasuk herba dan melawat Taman burung di Pulau Terengganu Mati seluas 1.7 hektar.


Tugas media, setajam mata pedang : Dato' Sri Ahmad Shabery

Oleh: Aida Abd Rahman

“Umum mengetahui peranan wartawan dan media amat penting dalam kehidupan masyarakat. Setajam mata pedang, sesuatu tulisan itu mampu untuk merubah kehidupan mahupun kejayaan negara.



“Dengan wujudnya laman sosial seperti facebook, twitter dan sebagainya, semua orang mampu menjadi wartawan tetapi atas profesionalisme wartawan sebenarlah yang akan terus memastikan masyarakat mendapat maklumat berita yang tepat dan benar,” kata Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek sempena Malam Anugerah Kewartawanan Kawat-Exxonmobil (AKKEM) 2011, di Hotel Permai Inn, Kuala Terengganu, baru-baru ini.



Hadir sama Pengerusi Subsidiari-Subsidiari ExxonMobil (Malaysia), J. Hunter Farris dan Presiden Kawat, Encik Ayob Mamat.

Dato’ Sri Ahmad Shabery berkata, sebagai individu yang menjadi sebahagian daripada `wartawan’ , beliau turut gembira apabila ada pihak yang berusaha memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada golongan itu.

Katanya, bukan semua pihak tahu menghargai dan berterima kasih kepada wartawan serta media.Oleh itu, usaha menganjurkan AKKEM membawa pengertian yang tersendiri dalam pembangunan dunia kewartawanan negara ini.

Beliau kemudiannya menyampaikan hadiah kepada semua pemenang.