Halaman

05 March 2012

Remaja terima dana lagi

Oleh: Suriati Ali

Anak jati Terengganu terutama golongan belia di negeri ini terus mendapat manfaat daripada kerajaan negeri yang sememangnya prihatin mengenai pelbagai aspek terutama berkaitan kebajikan, kemudahan dan pendidikan.

Terbaru, kira-kira 85,000 belia di seluruh Terengganu dijangka menerima Dana Remaja pada akhir bulan ini ini (Mac). Borang berkaitan itu mula diisi belia yang layak di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Daripada kira-kira RM17 juta yang peruntukan, setiap belia berusia antara 18 hingga 40 tahun dan belum berkahwin layak menerima RM200.

Tahun lalu, seramai 83,197 belia yang membabitkan peruntukan RM16.6 juta menerima dana itu.

Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Encik Saiful Bahri Baharuddin, dia terharu kerana golongan belia di negeri ini terus mendapat perhatian dengan memberi Dana Remaja.

Katanya, perlaksanaan itu mampu membentuk generasi muda untuk mendaftar sebagai pemilih di mana sebelum ini kurang berminat untuk berbuat demikian.

“Kita harap remaja-remaja yang menerima dana ini supaya tidak menggunakan wang tersebut kepada benda-benda yang tidak mendatangkan manfaat,” katanya.



MBKT buka kaunter bergerak

Oleh; Esah Abdullah



Orang ramai yang ingin membuat bayaran cukai pintu, sewa kedai dan saman letak kereta tidak perlu lagi berkunjung ke pejabat malah boleh berbuat demikian di kaunter bergerak yang diwujudkan ditempat-tempat awam disekitar bandaraya ini.

Pembantu Tadbir (Cukai Pintu) Majis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Encik Othman Mohd berkata, kaunter ini memulakan operasi bulan lalu dalam usaha memudahkan orang ramai membuat urusan dengan MBKT.

“Kaunter yang dibuka mulai jam 10 pagi hingga 3 petang itu dibuka di kawasan tumpuan ramai seperti pusat membeli belah dan pasar-pasar utama,” katanya ketika ditemui di kaunter bergerak di Mydin Mall di sini, semalam.

Menurutnya, dalam tempoh sebulan hanya enam kali kaunter bergerak ditempatkan iaitu setiap hari Sabtu di pusat membeli belah.

``Manakala pada hari Isnin dua tarikh dipilih dalam sebulan untuk mengadakan kaunter bergerak di pasar-pasar awam.’’ Katanya

Katanya, sejak dilaksanakan lebih 100 orang mengunjungi kaunter bergerak yang disediakan bagi mendapatkan maklumat mengenai MBKT dan urusan pembayaran cukai pintu.

Tambahnya, melalui khidmat kaunter bergerak ini juga orang ramai yang mempunyai denda cukai pintu akan dihapus jika membuat pembayaran di kaunter yang sediakan.






LTdL 2012 : MB saran TSG cari raja bukit

Oleh FAUZI MOHD

Terengganu Cycling Team (TSG) memerlukan seorang pelumba yang memiliki kepakaran menerokai laluan berbukit sebagai persedian dalam kejohanan yang besar termasuk LeTour de Langkawi (LTdL) pada masa depan.

Justeru, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berharap TSG dapat mencari pelumba yang berpotensi untuk diserapkan ke dalam pasukan tersebut.

Menurutnya, pasukan TSG banyak kehilangan mata di situ (laluan berbukit) kerana mereka tidak ada jaguh bukit buat ketika ini..

"Jadi, saya harap TSG dapat mencari pelumba luar yang lebih baik tak kiralah dari negara manapun termasuk Venezuela ke Itali ke.

"Pada masa yang sama, kita juga merancang untuk menambah penyertaan pasukan ini dalam kejohanan besar di luar negara selepas ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis makan malambagi meraikan petugas LTdL di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk kelmarin.

Dato’ Seri Ahmad ketika ditanya berhubung insentif yang bakal diterima pelumba negeri termasuk Mohd. Harrif Salleh yang berjaya menaiki podium untuk tempat ketiga dan kedua di Muar serta Kijal, beliau berkata, Kerajaan negeri telahpun menyediakan habuan untuk atlet yang beraksi cemerlang.

"Kerajaan Terengganu ni pemurah, kalau mereka (atlet) beraksi dengan baik, mereka tak mintak (habuan) pun kita akan bagi.

"Apa yang penting ialah, mereka kena tunjuk kemampuan masing-masing dulu dan kita akan nilai berdasar pencapaian mereka,” katanya.

Malah beliau berkata, Kerajaan negeri juga akan menyediakan peruntukkan berupa ‘duit poket‘ kepada mana-mana atlet kita yang layak ke Sukan Olimpik di London selepas ini.


LTdL 2012 : Terengganu sedia jadi tuan rumah, buat penajaan kali kedua

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan negeri bersedia menjadi tuan rumah peringkat akhir kejohanan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) buat kali kedua tahun depan jika masih diberikan peluang itu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, ia ekoran sambutan hangat yang diterima daripada penduduk sepanjang dua hari perlumbaan LTdL di negeri ini terutamanya ketika memasuki peringkat kelapan iaitu dari Pekan menuju ke Chukai, Kemaman.

Menurutnya, beliau difahamkan ketika pelumba memasuki Chukai lebih 10,000 rakyat Terengganu datang memberi sokongan terutamanya selepas pelumba Terengganu, Mohd. Harrif Salleh dari pasukan TSG (Terengganu Cycling Team) menaiki podium di tempat kedua.

"Justeru, saya berharap tahun depan Terengganu akan diberi peluang sekali lagi menjadi tuan rumah dan kita juga bersedia untuk membuat penajaan.

“Ini secara tidak langsung dapat memberi suntikan semangat kepada atlet pelapis lumba basikal di negeri ini untuk berusaha dengan lebih kuat seterusnya mampu menyertai acara berprestij ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis makan malam bagi meraikan petugas LTdL di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk kelmarin.

Hadir sama Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Dato’ Zolkples Embong; Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Abd. Wahab; Ketua
Pegawai Operasi LTdL 2012, Emir Abdul Jalal serta Pengerusi Jawtankuasa Belia dan Sukan negeri, YB. Rozi Mamat.

Turut hadir Ketua Polis negeri, Dato’ Jamshah Mustapa; Pengarah MSNT, Zainal Abidin Hussin serta Pengerusi Persatuan Lumba Basikal Terengganu, Dato’ Ahmad Sidi Ismail.

Dalam pada itu, Dato’ Seri Ahmad turut berpuas hati dengan pencapaian memberangsangkan yang ditunjukkan pasukan TSG dalam perlumbaan LTdL kali ini.

"Saya bersyukur kita mampu memberi saingan walaupun ini adalah penampilan kita yang kedua dalam kejohanan lumba basikal yang amat berprestij ini," katanya.


LTdL 2012 : Gelaran juara milik Jose Serpa

Oleh FAUZI MOHD

Jose Serpa sekali lagi membuktikan kehebatannya pada Le Tour de Langkawi (LTdL) apabila memenangi Jersi Kuning selaku juara keseluruhan selepas perlumbaan berstatus 2.0 Hors edisi ke-17 itu melabuhkan tirainya di Kuala Terengganu semalam.

Ini kali kedua pelumba pasukan Androni Giocattoli itu dinobatkan sebagai juara selepas dia turut memenangi Jersi Kuning pada edisi 2009 dengan kehebatannya menawan peringkat pendakian paling sukar ke puncak Genting Highlands.

Serpa, 33, memenangi Jersi Kuning kali ini dengan mengatasi rakan sepasukannya, Jose Rujano dengan kelebihan 30 saat dan kejayaannya menawan puncak Genting juga menyaksikan dia memenangi Jersi Merah selaku Raja Bukit.

“Kejayaan memenangi dua jersi pada LTdL kali ini adalah sesuatu yang istimewa bagi saya dan juga kepada pengurus serta rakan-rakan sepasukan.

“Saya tidak terfikir akan memenangi Jersi Kuning sekali lagi, apatah lagi untuk menyarung dua jersi. Namun hasil kerjasama yang luar biasa daripada rakan-rakan sepasukan, saya mahu hadiahkan kejayaan ini kepada mereka,” kata Serpa yang turut muncul pelumba kedua dinobatkan juara sebanyak dua kali selepas Paolo Lanfranchi (1999 dan 2001).

Begitupun, tumpuan pada peringkat terakhir LTdL 2012 dari Dataran Tasik Kenyir ke Kuala Terengganu semalam lebih tertumpu kepada pelumba pasukan Farnese Vini-Selle Italia, Andrea Guardini yang dinobat sebagai pemenang Jersi Biru selaku Raja Pecut.

Guardini, 23, turut mencipta sejarah dengan muncul pelumba pertama memenangi 11 peringkat perlumbaan LTdL selepas menjuarai peringkat terakhir semalam yang juga kejayaan keenamnya pada edisi kali ini.

“Sudah tentu saya berasa gembira kerana mencatat rekod sejarah baharu dalam LTdL. Ini kali kedua saya beraksi di Malaysia dan kejayaan memenangi gelaran Raja Pecut akan saya pertahankan pada tahun depan.

“Saya juga amat berterima kasih kepada rakan-rakan sepasukan saya yang tidak pernah berputus asa membantu saya sepanjang perlumbaan di sini.

“Mereka banyak memberi kerjasama yang menakjubkan dan mereka semua adalah pelumba yang hebat,” kata Guardini yang mengatasi pelumba Astana, Valentin Iglinskiy dengan kelebihan 9 mata dalam persaingan Jersi Biru tersebut.

Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia pula menjadi milik pelumba Kazakhstan dari pasukan Astana, Alexandre Dyachenko yang mengatasi pelumba Iran dari Tabriz Petrochemical, Ghader Mizbani.


04 March 2012

Gagasan Terengganu dilancar

Oleh FAUZI MOHD

Pertubuhan Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) dilancar secara rasmi di negeri ini semalam.

Pelancarannya disempurnakan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Jailani Ngah sambil disaksikan oleh Pengerusi Gagasan negeri, Dato' Mohd Nasir Ibrahim Fikri.

Pada majlis itu, Jailani turut menyampaikan watikah pelantikan kepada beberapa Yang Dipertua Gagasan peringkat Parlimen, termasuklah Parlimen Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang, Dungun, Hulu Terengganu dan Setiu.

Terdahulu, satu ceramah khas bertajuk Guru Pewaris Anbia disampaikan oleh Pengarah Institut Sosial Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohamed Fadzil Che Din.

Gagasan adalah kesinambungan daripada cetusan idea bekas pemimpin Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang diketuai Datuk Hasan Malek iaitu Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bersama beberapa bekas pemimpin lain.

Ia ditubuhkan setelah berkuatkuasanya Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 yang mengehadkan penglibatan badan-badan belia dan pergerakan pertubuhan berorientasikan pendidikan seperti GPMS yang hanya terbuka kepada pemimpin berusia bawah 40 tahun


LTdL 2012 : Sembilan pelumba kelahiran Terengganu gagal ceriakan laman sendiri

Oleh FAUZI MOHD

Gabungan sembilan pelumba kelahiran Terengganu pada peringkat kesembilan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 tidak menjadi, malah pelumba harapan Anuar Manan dari Champion System pula terlibat kemalangan.

Selain Anuar dan Mohd. Harrif Salleh, tujuh lagi pelumba kelahiran Terengganu yang beraksi di LTdL kali ini ialah Mohd. Nur Rizuan Zainal, Amir Mustafa Rusli, Ahmad Fallanie Ali (Malaysia), Mohamad Adiq Hussainie Othman (Champion System), Mohd. Shahrul Mat Amin, Mohd. Saufi Mat Senan dan Mohd. Zamri Salleh.

Mereka gagal menceriakan penyokong sendiri pada perlumbaan sejauh 165.7 kilometer dari Kemasik ke Kuala Terengganu dalam berhujan.

Hanya Zamri yang menduduki tempat kelapan apabila berada di peloton hadapan yang menyaksikan perlumbaan terpecah kepada dua kumpulan menuju ke garisan penamat dengan catatan 3 jam 27 minit 6 saat.

Sementara itu, kemalangan menyebabkan Anuar tidak dapat meneruskan hasratnya untuk meraih kejuaraan.

Dia menamatkan perlumbaan di tempat ke-118 dalam perlumbaan yang sekali lagi dimenangi, Andrea Guardini daripada pasukan Farnese Vini-Selle Italia.

"Saya terus dilanda malang, tahun ini nasib tidak menyebelahi saya. Dua kali terlibat dalam kemalangan dan beberapa kali tayar basikal saya pancit menyebabkan rentak saya sedikit terjejas," katanya yang menyifatkan kecederaannya tidak begitu serius dan masih lagi mampu untuk beraksi pada peringkat akhir.


LTdL 2012 : Guardini lakar sejarah baru, 10 kali juara peringkat

Oleh FAUZI MOHD

Pelumba Farnese Vini-Selle Italia, Andrea Guardini melakar sejarah baru Le Tour de Langkawi (LTdL) apabila muncul juara peringkat buat kali ke-10 selepas mendominasi peringkat kesembilan dari Kemasik ke Kuala Terengganu, semalam.

Guardini mengatasi rekod pelumba Australia, Graeme Brown yang menjadi juara sembilan kali.

Menurut Guardini, kejayaan ke-10 di LTdL itu adalah yang teristimewa buatnya selepas gagal mencatat keputusan yang baik pada awal musim.


"Saya sasar untuk muncul juara dalam peringkat akhir sejauh 114.8 kilometer dari Tasik Kenyir ke Kuala Terengganu di samping mahu mengekalkan jersi raja pecut.

"Saya perlu berjuang hingga ke penamat untuk mendapatkan kembali jersi biru daripada pelumba Astana, Valentin Iglinskiy yang menyarung jersi itu pada dua peringkat sebelum ini.

"Perlumbaan hari ini sukar berbanding peringkat lalu dengan sepanjang laluan hujan, selepas beberapa peringkat saya sudah terasa penat. Saya tujukan kemenangan ini kepada pemilik pasukan, Valentino Sciotti yang turut datang menyaksikan kemenangan saya," katanya.

Sementara itu, pelumba Androni Giocattoli, Jose Serpa masih menyarung jersi kuning apabila merakamkan 30 jam 18 minit 43 saat dan dijangka dinobatkan sebagai pelumba terbaik keseluruhan apabila perlumbaan peringkat akhir hari ini dijangka tamat dalam kelompok besar.


Seramai 1,578 penduduk Kampung Gertak Seratus jadi ahli perpustakaan



Oleh: Mohammad Ishak


Penduduk di perkampungan nelayan Kampung Gertak Seratus,Kuala Besut, tidak ketinggalan mendapatkan kemudahan tempat membaca yang lebih selesa apabila sebuah Perpustakaan Desa di bina di kampung itu.

Perpustakaan yang dibina 2010 dan mula beroperasi pada November tahun lalu, kini menyediakan 12,251 naskah buku untuk kemudahan pengunjung.

Pengerusinya, Maliki Jusoh berkata, pembinaan perpustakaan itu mendapat sambutan komuniti seteempat apabila 1,578 penduduk sudah mendaftar sebagai ahli sejak ia mula beroperasi.

Selepas tiga bulan perpustakaan itu beroperasi satu majlis perasmian dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, YB Dr A Rahman Mokhtar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Kuala Besut.

Hadir sama Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT), Nor Akmal Abdul Fatah dan pegawai kanan PPAT.

Maliki berkata, perpustakaan berharga RM200,00 itu dibina bagi memberi peluang penduduk yang sebahagian besarnya nelayan mendapatkan bahan bacaan bermutu kepada pengunjung.

Sementara itu, Nor Akmal berkata, sehingga ini sebanyak 50 perpustakaan awam dibina di seluruh negeri Terengganu bagi member perkhidmatan dan kemudahan kepada penduduk setempat mendapatkan bahan bacaan.

Katanya, penduduk Terengganu memberi sambutan baik terhadap perpustakaan malah jumlah pengunjung ke perpustakaan amat menggalakkan walaupun ketika ini lebih ramai yang menggunakan internet untuk mendapatkan maklumat.





UMT undang ratu squash negara

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bercadang untuk mengundang ratu squash negara, Datuk Nicol Ann David ke universiti itu dalam usaha merangsang dan mempromosi sukan tersebut di kalangan mahasiswa tidak lama lagi.

Naib Canselor UMT, Prof, Dato'Dr, Aziz Deraman berkata, Datuk Nicol dijangka akan mengadakan program sehari bersama mahasiwa di gelanggang squash UMT hujung bulan ini.

“Program yang dirancangkan itu dijangka dapat menarik minat penuntut terhadap sukan berkenaan selain dapat mencungkil bakat sukan squash di kalangan mahasiswa,” katanya di majlis Anugerah Sukan UMT 2011 di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu.

Hadir sama Ketua Polis negeri, Dato’ Jamshah Mustapa.

Katanya, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah memberi mandat kepada UMT bagi menerajui sukan squash di peringkat Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di seluruh negara berdasarkan kemampuan universiti yang mempunyai gelanggang squash bertaraf antarabangsa di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail.

Tambahnya, melalui program promosi sukan tersebut, UMT akan turut dibantu dengan bekas pemain squash kebangsaan Sharon Wee yang telah pun berkunjung ke UMT baru-baru ini.

“Saya yakin dengan kehadiran pemain squash tersebut akan menjadi pembakar semangat yang lebih tinggi untuk terlibat secara serius dalam sukan berkenaan,” katanya.

Sehubungan dengan itu beliau juga berharap kerajaan negeri dapat memberikan kerjasama untuk menjadikan sukan squash sebagai sukan yang diminati dengan membentuk sebuah pasukan.

Di majlis itu seramai 150 staf menerima anugerah masing-masing, yang mengharumkan nama UMT melalui pelbagai kejohanan sukan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa sepanjang tahun lalu.