Halaman

14 March 2012

Sultan Mizan rasmi Masjid Al-Huda

Oleh FAUZI MOHD

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin malam tadi berangkat merasmikan Masjid Al-Huda Kampung Rantau Abang, Dungun selepas bersama penduduk setempat menunaikan solat Maghrib.



Turut mengiringi baginda ialah Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah serta Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB. Khazan Che Mat.

Semasa bertitah, baginda menyeru seluruh rakyat terutamanya ketua keluarga supaya mengimarahkan masjid dengan mengajak ahli keluarga masing-masing datang berjemaah serta melibatkan diri dalam aktiviti keagamaan di masjid.

Baginda juga mengharapkan masyarakat Islam sentiasa menjaga kebersihan terutamanya kebersihan masjid dan surau dengan menjadikannya amalan hidup harian.

“Hari ini, masjid-masjid menjadi tempat persinggahan para musafir terutamanya masjid yang berada di tepi laluan jalan raya utama.

“Oleh itu, amatlah wajar sekali qariah masjid menjaga kebersihan agar dapat memberi keselesaan kepada pengunjung masjid,” titah baginda.



Masjid Al-Huda yang dibina dengan kos RM3.2 juta itu mampu memuatkan kira-kira 1,000 jemaah pada satu-satu masa.



Pada majlis yang sama, Sultan Mizan turut berkenan menyampaikan tauliah kepada Ketua Pendaftar, Timbalan Pendaftar dan Pendaftar Bahagian Nikah, Cerai dan Rujuk serta imam dan jurunikah daerah itu.

Selepas menunaikan solat Isyak yang diimamkan Mufti negeri, Dato’ Dr. Alias Abdullah, baginda menyertai jamuan rakyat bersama kariah yang hadir di perkarangan masjid itu.


Bot baru tambah rezeki

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan sentiasa mengambil cakna setiap pemasalahan yang dihadapi golongan petani, penternak dan nelayan yang menghadapi kesukaran meneruskan kehidupan mereka akibat dilanda sesuatu musibah.

“Nasib mereka sentiasa dalam perhatian pihak kerajaan dan berharap setiap sumbangan yang dihulurkan memberi manfaat kepada mereka dan ahli keluarga,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, YB Haji Khazan Che Mat.
Katanya, melalui peruntukan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sebuah bot baru disumbangkan kepada seorang nelayan, Encik Abdul Halim Ismail, 60, dari Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit.

Beliau yang bergantung hidup sebagai nelayan sejak 30 tahun lalu, mengalami kerugian hampir RM 7,000 akibat kerosakan bot setelah dipukul ombak besar pada November tahun lalu.

“Akibat kejadian itu, saya hilang punca pencarian hampir tiga bulan dan hanya melakukan kerja menjahit pukat untuk menyara keluarga selain sedikit bantuan dari anak-anak.

“Setelah memikirkan masa depan saya bertekad untuk membuat permohonan melalui Pejabat Penyelaras Dun dan alhamdulillah akhirnya diluluskan dalam jangka waktu yang cepat,” katanya ketika ditemui di majlis penyampaian bantuan bot oleh YB Haji Khazan di Kampung Pengkalan Atap baru-baru ini.

Menurutnya, keprihatinan pihak Maidam dan wakil rakyat memberi kelegaan serta semangat baru serta berharap mendapat rezeki lebih menerusi rutin harian sebagai nelayan selepas ini.



13 March 2012

JPP peruntuk sehingga RM300 ribu baiki prasarana sekolah

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Pusat memperuntukkan antara RM100,000 hingga RM300,000 bagi melaksanakan projek baru pembangunan sekolah yang melibatkan kerja membaiki padang, makmal dan tandas di seluruh Terengganu pada tahun ini.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Terengganu, Haji Ahmad Sharom Yasin, berkata pembiayaan khusus menerusi JPP itu bagi memastikan prasarana di sekolah sentiasa berada dalam keadaan terbaik dan memberi keselesaan kepada tenaga pengajar serta pelajarnya.
“Projek baru di bawah penyeliaan JPP terbahagi kepada tiga kategori iaitu membaiki padang sekolah yang memperuntukkan (kira-kira) RM300,000, membaiki makmal dan juga tandas masing-masing memerlukan kos antara RM100,000 hingga RM200,000,”katanya ketika sidang media sempena Program Bicara Media anjuran Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom), di Hotel Permai Inn, Kuala Terengganu,semalam (12 Mac).



Hadir sama, Pengarah Ukom, Tuan Haji Shamsuddin Sulong dan Penolong Pengarah JPP Terengganu, Mohammad Zaidad Abdul Samat.

Selain itu, katanya sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi membaiki dewan gimnasium Sekolah Sukan Bukit Nenas, Setiu.

Dalam pada itu, JPP turut bertindak mengkoordinasikan peruntukan dengan Pejabat Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan setiap kali Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said melakukan program lawatan `turun padang’ ke setiap daerah terutama melibatkan kelulusan bagi projek Penyelenggaraan Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS).

Katanya, JPP memperuntukkan RM16 juta bagi PIA dan PIAS fasa satu dengan setiap Parlimen bakal mendapat peruntukan kira-kira RM2 juta untuk melaksanakan projek berkenaan.

“Projek di bawah PIA dan PIAS termasuk membaiki dan menaik taraf jalan rosak, membina jalan baru serta jalan di kawasan pertanian,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, pihaknya semalam menjalankan undian berkomputer bagi menjalankan projek PIA dan PIAS di Parlimen Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dengan peruntukan keseluruhan RM3.8 juta yang melibatkan 83 projek.













BN iktiraf wanita

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa menghargai peranan dan pengorbanan wanita terhadap pembangunan negeri dan kelancaran perjalanan program parti dengan cara memberi pengiktirafan serta menyalurkan peruntukan tujuan mengerakkan organisasi.

Pengerusi BN Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, keberkesanan jentera wanita menjalankan gerak kerja yang ditunjukkan begitu mantap dan meyakinkan.

“Oleh itu jawatan Ahli Dewan Negara Negeri Terengganu diperuntukkan khusus kepada golongan wanita sahaja,” katanya di majlis Program Pemantapan Jentera Pilihanraya Wanita (JR) Bahagian Kuala Nerus, di Stadium Tertutup Gong Badak.

Setakat ini, jawatan berkenaan dipegang oleh Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Dungun, Senator Hajah Zainun Abu Bakar dan Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Kemaman, Senator Hajah Rahmani @ Rohani Abdullah.

“Jawatan berkenaan berkuatkuasa tiga tahun dari tarikh pelantikan dan akan diserahkan kepada setiap pemimpin tertinggi wanita secara bergilir,” katanya.

Katanya, peruntukan RM50,000 setahun turut diagihkan kepada Pergerakan Wanita di setiap Parlimen untuk program turun padang dengan berkunjung ke rumah ibu bersalin, orang uzur serta keluarga ibu tunggal yang mempunyai ramai tanggungan.




Konmat himpun 400 penuntut IPTA seluruh negara

Oleh; Esah Abdullah





Seramai 400 penuntut daripada 12 buah Institusi Pengajian Tinggi Awam(IPTA) di seluruh negara menyertai Konvensyen Matematik Malaysia 2012 (Konmat’ 12) bertempat di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) selama dua hari baru-baru ini.

Konvensyen yang julung kali diadakan ini mendapat sambutan menggalakkan dengan hampir kesemua IPTA menghantar wakil.

Antaranya, termasuklah Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arau, Perlis,Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA).



Konmat diadakan khusus kepada pelajar matematik peringkat sarjana muda dan mahasiswa serta pelajar bagi membincangkan hala tuju mahasiswa matematik selepas menamatkan pengajian.

“Matematik adalah sumber aspirasi utama dalam bidang kewangan, sains dan teknologi serta merangkumi keseluruhan aspek kehidupan,” kata Timbalan Naib Censelor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Prof. Dr Noor Azhar Mohamed Shazili.

Katanya, penguasaan matematik mampu memberikan kepakaran dalam bidang berkaitan yang sekaligus meningkatkan kualiti profesionalisme seseorang.

Tambahnya, bidang matematik juga adalah nadi pengerak utama kepada sektor ekonomi dan kewangan.




Sambutan pejalan kaki solo di Kampung Rawai



Oleh FAUZI MOHD

Seramai 200 penunggang menyertai acara kayuhan basikal di Kampung Rawai, Marang sempena kehadiran pejalan kaki solo, Mustaffa Kamal Abdul Karim, 53, yang tiba di kampong itu selepas memulakan Misi Larian Solo Mengelilingi Semenanjung Malaysia sejak 31 Disember lalu.

Program anjuran Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) Persatuan Rangkaian Pemuda dan Pemudi Rawai (Rapera) itu bagi memberi peluang kepada golongan belia untuk berinteraksi bersama bekas tentera dari Pulau Pinang itu mengenai kegigihannya menampilkan kelainan bagi membantu masyarakat.



Pengerusi MBNT, Mat Yusof Mat Ali berkata, kayuhan sejauh sembilan kilometer itu bermula dan berkhir di perkarangan Masjid Rawai, semalam dan dilepaskan Mustaffa Kamal sendiri dan Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Datuk Abdul Rahman Bakar serta Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Saiful Bahri Baharuddin.

35 pelajar Jepun timba pengalaman di Terengganu

Oleh FAUZI MOHD


Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Encik Hashim Mohd Zin.

Seramai 35 pelajar serta tiga guru pengiring dari Jepun akan berkampung selama seminggu di Terengganu bermula 25 Mac ini dalam program Homestay Pelajar Antarabangsa Jepun ke Malaysia.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Hashim Mohd Zin berkata, program kerjasama Kementerian Pelajaran dan Kelab Antarabangsa Hiroshima bagi bertukar pengalaman berkaitan sistem pendidikan sekali gus membina rangkaian persahabatan sejagat.

Menurutnya, peserta program akan tinggal bersama keluarga angkat di Terengganu yang terdiri daripada guru Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman I, Kuala Terengganu dan Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat (Serikandi).

“Selain Program Sekolah Berkembar di sekolah-sekolah terpilih, peserta akan didedahkankan dengan aktiviti kebudayaan tempatan seperti mengayam tikar, mencanting batik, tenunan songket serta membina dan menaikkan wau.

“Turut diadakan lawatan ke pusat pertukangan bot tradisional di Pulau Duyong, Kota Lama Pulau Duyong, Taman Tamadun Islam, Muzium Terengganu sebelum menyertai permainan tradisional di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail di Telaga Batin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Hashim, Terengganu yang menerima jolokan ‘Negeri Anjung Ilmu’ menjadi destinasi kelima selepas Selangor, Kedah, Melaka dan Negeri Sembilan sejak program itu diperkenalkan pada tahun 2001.

“Di Terengganu, peserta akan berinteraksi dan mempelajari budaya tempatan melalui aktiviti bersama seperti gotong-royong memasak bubur lambuk, membuat kraftangan dari kulit siput dan gubahan bahan yang terbuang.

“Satu majlis makan malam bersama Srikandi Terengganu akan diadakan di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk yang turut dihadiri Yang Dipertuanya, To’ Puan Seri Norliza Mahmud,” ujarnya.


Sukan peringkat antarabangsa mampu tarik pelancong

Oleh: Suriati Ali

Penganjuran pelbagai sukan lasak di peringkat nasional mahupun antarabangsa mampu menarik lebih ramai pelancong ke Terengganu sekaligus dapat merealisasikan Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Dato’ Haji Rahin Mohd Said, berkata kerajaan negeri sentiasa bersedia sekiranya terdapat mana-mana pihak bersetuju ingin menjadikan Terengganu sebagai lokasi sukan ekstrim.

“Jika bersesuaian dan mampu memberi impak positif kepada rakyat dan ekonomi negeri ia boleh dijadikan sebagi program tahunan serta mengisi kalendar pelancongan negeri.

“Sebelum ini beberapa sukan lasak seperti Kenyir Motocross Monsoon Challenge, 4X4 Rainforest Challenge International, Kejohanan Drive Ride (DR) 4X4 Ranggok Antarabangsa 2012 setia memilih Terengganu selaku tuan rumah,” katanya ketika berucap di Majlis Penutup dan Penampaian Hadiah Terengganu Starhill 4x4 Challenge, di pinggiran Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, Kuala Terengganu, petang semalam (12 Mac).

Kejohanan yang melibatkan Seramai 140 peserta termasuk enam peserta luar negara itu berlangsung selama empat hari dan berakhir semalam.

Pelepasan peserta kejohanan dilsempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, pada 9 Mac lalu..

Acara yang diasaskan oleh Kelab Kembara Geduut 4x4 dari Besut itu pada mulanya hanya bergerak aktif peringkat daerah, bagaimanapun kini mula berkembang ke peringkat negeri serta kebangsaan.

Dato’ Rahin berkata, usaha menarik pelancong bukan sahaja tertumpu kepada TMT 2013 sahaja, tetapi perlu dilaksanakan setiap tahun khususnya dengan mempelbagai produk dan acara yang dapat menarik penyertaan negara asing.

“pihaknya bercadang melengkapkan persekitaran Komplek Sukan Gong Badak dengan pelbagai kemudahan asas untuk menghidupkan suasana, selain memastikan kawasan itu menjadi lokasi utama bagi aktiviti sukan dan riadah di negeri ini.

“Usaha penambahbaikan dan membangunkan kemudahan di kawasan itu khususnya tandas dan perkedaian akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dalam masa terdekat untuk memberi keselesaan kepada pengunjung,” katanya.


Terengganu senarai 24 pelumba, sasar 5 emas Sukma Pahang

Oleh FAUZI MOHD

Skuad berbasikal Terengganu telah menyenaraikan 24 pelumba termasuk 12 wanita untuk menggalas cabaran negeri ke Sukan Malaysia (Sukma) Pahang bermula 7 hingga 16 Julai depan.

Jurulatih Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata, mereka yang terpilih termasuk 10 muka lama yang diharap dapat memberi bimbingan dan semangat kepada pelumba-pelumba baru.

"Kita membuat pemilihan pelumba lebih awal supaya kita mudah mengatur persiapan dan latihan seterusnya menjelang Sukma ini," katanya baru-baru ini.

Syed Mohd Hussaini berkata, sasaran Terengganu sekurang-kurangnya lima pingat emas tetapi merupakan bonus buat pasukan sekiranya mencapai lebih daripada sasaran.

Beliau berkata daripada 10 pelumba lama, lima adalah lelaki iaitu Mohammad Adiq Husaini Othman, Mohd Zulhilmi Nafiz Aamri, Nor Amirul Fakharuddin, Mohd Khairul Azizi Abdullah dan Saufian Naibih Umar Bakti.



Baiki, naik taraf surau sekolah RM4 juta

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu menerima peruntukan RM4 juta bagi membaiki dan menaik taraf 52 surau sekolah rendah dan menengah di luar bandar seluruh daerah menerusi Program Transformasi Luar Bandar sepanjang tahun ini.

Projek pembiayaan Kerajaan Pusat yang disalurkan menerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Negeri Terengganu akan dilaksanakan bermula bulan depan.

Pengarah JPP Terengganu, Haji Ahmad Sharom Yasin, berkata pelaksanaan setiap projek itu akan bermula tidak lama lagi berikutan waran peruntukan sudah dikeluarkan JPP kepada Kementerian Pelajaran.

“Waran (peruntukan) sudah dikeluarkan kepada Kementerian Pelajaran dan urusan itu sudah boleh diambil tindakan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT).. yang mana pada bulan depan akan keluarkan tender untuk melaksanakan kerja itu,” katanya ketika sidang media sempena Program Bicara Media Bersama Pengarah JPP anjuran Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom), di Hotel Permai Inn, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Ukom, Tuan Haji Shamsuddin Sulong dan Penolong Pengarah JPP Terengganu, Mohammad Zaidad Abdul Samat.

Katanya, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) akan mengeluarkan tender selepas selesai mengenal pasti sekolah terlibat selain peruntukan sebenar yang diperlukan bagi menjalankan kerja menaik taraf dan membaiki setiap surau berkenaan.

Selain itu, katanya menerusi JPP juga, projek yang menjadi tumpuan dan baru sahaja diumumkan Timbalan Perdana Menteri ketika kunjungan ke Terengganu 1 Mac lalu adalah pembinaan sekolah sukan kedua di negeri ini bernilai RM25 juta yang akan dibangunkan di Gong Badak, Kuala Terengganu bermula bulan depan.

“Projek menyiapkan sekolah sukan yang diputuskan dalam Rancangan Malaysia ke-10 bermula 2011 hingga 2015 ini termasuk dalam `rolling plan’ dengan jumlah peruntukan bagi tempoh dua tahun sebanyak RM25 juta,” katanya.