Halaman

10 April 2012

Kepakaran ilmu dalam agensi perlu disatukan untuk kejayaan


Hamzah bersalaman dengan anggota JPAM


Oleh: Mohammad Ishak

Setiap ilmu yang dimiliki oleh setiap anggota dalam agensi penguatkuasaan, pertahanan dan keselamatan perlu disatukan untuk membentuk keamanan dalam masyarakat.

Timbalan ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Md Jamil berkata,adalah merupakan satu kerugian sekiranya sumber kepakaran manusia tidak berjaya disatukan dan membiarkan setiap pihak berkerja secara sendirian .

“ Untuk itu polis akan berganding bahu dengan masyarakat dan bekerjasama dengan agensi keselamatan untuk memastikan hasil yang lebih baik diperolehi dimasa depan dan disamping itu dapat menjimat perbelanjaan serta mengelakkan pembaziran sumber tenaga “, katanya ketika berucap merasmikan Program “ Team Building” Kementerian Dalam Negeri membabitkan polis, Anggota Relawan Rakyat Malaysia (RELA), Jabatan Pertahanan Awan Malaysia (JPAM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di dewan Perumahan PDRM di Kampung Raja hari ini.

Menurutnya, dalam kursus yang diadakan serentak di seluruh negeri selama 7 hari bermula hari ini, seramai 420 daripada 700 anggota pertahanan dan keselamatan hadir bagi mengikuti kursus yang dikendalikan oleh Ibu pejabat Polis Daerah di tempat masing-masing.

Katanya, dari jumlah itu 100 di daerah Marang, 82 di Kuala Terengganu, 67 Hulu Terengganu, 55 Setiu, 41 Besut, 38 Dungun dan hanya 11 orang di Kemaman yang menyertainya.

Beliau berharap kursus yang akan berterusan untuk selama enam hari lagi itu akan disertai sepenuhnya oleh agansi-agensi yang terbabit dengan sasaran seramai 4,900 orang semuanya telah mengikutinya apabila tamat nanti.

Katanya, data-data menunjukkan dengan usaha kerjasama yang diadakan secara bersepadu di kalangan agensi-agensi penguatkuasa yang diterajui oleh polis kadar jenayah didapati telah menurun dari tahun ke setahun di negeri Terengganu.



Pameran batik, kebudayaan tambah seri BOTR

Oleh: Aida Abd Rahman

Pameran batik, persembahan kebudayaan dan artis terkenal akan menyerikan lagi ekspedisi memancing sambil bersantai Boat On The Road (BOTR) yang akan diadakan di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu bermula 20 April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata pameran batik oleh penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) bertemakan Tasik Kenyir itu adalah program nilai tambah yang diselitkan dalam penganjuran BOTR 2012.

Beliau berkata, lebih menarik penganjuran hasil kerjasama kerajaan negeri dengan Media Prima Bhd turut dimeriahkan dengan jamuan rakyat bersama Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang dijangka menarik kehadiran lebih 1,500 penduduk setempat dan pengunjung luar.
Majlis itu diserikan persembahan kebudayaan yang memaparkan budaya penduduk setempat.


“Pameran batik itu nanti akan menggambarkan transformasi Tasik Kenyir yang kini dibangunkan kerajaan negeri dengan Island Hopping yang merangkumi 10 pulau antaranya Santuari Kelah, Taman Herba, Taman Tema Air, Taman Orkid, Taman Burung dan Taman Tropika, sekali gus menyediakan kepelbagaian tarikan pelancongan.

“Penganjuran BOTR adalah yang terbesar setakat ini termasuk dengan pelbagai aktiviti sampingan untuk penduduk setempat,” katanya selepas penyerahan tajaan dan mesyuarat penyelarasan BOTR 2012, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Pengurus Pelancongan dan Pembangunan Tasik Kenyir Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah, Encik Mukhtar Che Ali; Penolong Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Encik Abdul Hadi Mamat dan Pengarah Unit Komunikasi Negeri Terengganu, Haji Shamsuddin Sulong.

Kaki pancing yang berminat menyertai BOTR yang menyediakan hadiah keseluruhan bernilai RM75,300 boleh mendapatkan borang disiarkan dalam akhbar Berita Harian, Harian Metro dan New Straits Times 11, 13, 15 dan 17 April serta dalam sisipan Joran Berita Harian pada setiap Jumaat.

Pelbagai hadiah lumayan ditawarkan, dengan juara kategori casting berkumpulan akan menerima RM15,000 serta hadiah iringan, manakala juara individu memancing dalam rumah bot menerima RM8,000 serta hadiah iringan, selain hadiah bonus RM20,000 sekiranya pemancing dapat menaikkan ikan arapaima gigas di tasik itu.

Penyertaan ekspedisi ini terbuka kepada orang ramai yang mempunyai kenderaan pacuan empat roda (4x4) dan bot, dengan setiap pasukan terdiri daripada dua hingga empat pemancing.

Maklumat lanjut boleh didapati dalam sisipan Joran akan datang, atau hubungi Unit Joran Berita Harian, Osman di 016-6359023; 019-3141642 (Hazrul) dan 019-3143664 (Zulhilmi).




Penuntut IPT tidak harus jadi kuda politik

Oleh; Esah Abdullah

Penuntut yang berada di Pusat Pengajian Tinggi tidak harus menjadi ‘kuda’ politik kepada individu yang berada di luar kampus kerana jelas mereka mempunyai agenda tersirat.

Fenomena kebelakangan ini, ramai golongan politikal telah mempengaruhi penuntut melalui isu tertentu semata-mata untuk mendapat keuntungan politik.

Pemimpin pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Encik Mohd Ridzuan Mustafa berkata, perkara berkenaan semakin serius dan perlu ditangani segera agar ia tidak menjejaskan tumpuan pelajar.

“Mahasiswa harus menjadi suara yang memperbaiki dan bukannya merosakkan kesejahtera dalam sesebuah masyarakat dan negara ,” katanya dalam Forum Pentas Mahasiswa ‘Isu-Isu Semasa’ di Bukit Wan, Batu Rakit semalam.

Katanya, mahasiswa tidak harus terikut dengan suara dari luar yang ingin ambil kesempatan menggunakan golongan pelajar mendesak kerajaan berkait sesuatu isu seperti kes Adam Adli baru-baru ini.

“Isu penghapusan pinjaman PTPTN yang dibangkitkan pihak tertentu juga hanya merugikan mahasiswa sendiri terutama golongan Melayu yang berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya.

“Saya meminta rakan pelajar membuat timbangtara terhadap isu yang dibangkitkan terutama yang berkait dengan pelbagai tuntutan yang keterlaluan,” kata Fatimah Adilah.

Katanya, sebagai seorang terpelajar, gunakan kewarasan berfikir serta jangan mudah terpengaruh dengan suara-suara berbaur politik.

Penuntut tahun tiga UKM, Mohd Afik Amar juga melahirkan rasa malu terhadap tindakan segelintir rakan siswa yang sanggup dipergunakan pihak tertentu, menentang kerajaan yang membiayai pengajian mereka.

“Sikap itu amat ‘biadap’ kerana sanggup mengigit tangan yang menyuap nasi ke mulut kita dan tindakan sedemikian tidak ubah seperti kacang lupakan kulit,” katanya.

Forum anjuran Kelab Remaja Islam Terengganu (Krim) itu dibarisi ahli panel terdiri pemimpin pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Fatimah Adilah Abdul Ghani dan Mohd Afik Amar Tulus dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Pengerusi Krim, Encik Nohd Hanif Abdullah bertindak selaku modirator.




Penuntut UMT wakili negara ke program pengajian UK

Oleh: Aida Abd Rahman

Dua pelajar Malaysia termasuk seorang dari Universiti Malaysia Terengganu, Nurhidayah Mukhtar, 23, terpilih untuk mengikuti program pengajian musim panas antarabangsa Aston University di United Kingdom (UK) yang dijadualkan pada Julai.

Selain Nurhidayah, Mohamad Asri Abdul Jani, 24, dari Universiti Malaya yang berjaya menunjukkan prestasi cemerlang di kejohanan bahas tempatan turut terpilih mengikuti program itu.
Mereka dijangka akan menjalani program selama tiga minggu menerusi tajaan Persatuan Alumni Malaysia Universiti Aston.

Dua pelajar berkenaan yang terkejut terpilih mengikuti program yang mampu memberi pengalaman baru dan memperluas pandangan itu menerima replika cek berjumlah RM20,000 dari Menteri Pengajian Tinggi Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin bagi pihak persatuan itu, di Kuala Lumpur, semalam.




Penyu julang Piala Emas Khir Johari

Oleh: Aida Abd Rahman

Pasukan Terengganu yang menggunakan strategi bertahan dan menyimpan tekong terlebih dulu, berjaya menjulang Piala Emas Khir Johari buat kali pertama pada Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Ke-49 di Dewan Majlis Perbandaran Manjung, Perak, Ahad lalu.

Kejayaan skuad bimbingan Ahmad Mohd. Zin membenam juara bertahan, Selangor 2-0 dalam perlawanan akhir melayakkan skuad Penyu meraih RM5,000 pada kejohanan berpasukan tertua di dunia itu, sekali gus menghampakan hajat lawan mencipta rekod penyandang terbanyak, 12 kali.

Biarpun diheret ke set penentuan oleh Selangor yang dibarisi ramai pemain elit dan bekas pemain berpengalaman antarabangsa, Terengganu tidak mudah goyah, malah mampu mengekang asakan lawan bagi memenangi kedua-dua regu, (15-10, 11-15, 15-9) dan (15-6, 10-15, 15-12) dalam tempoh 160 minit.

Mata kemenangan bermakna Terengganu hasil paduan trio Mohd Syazwan Husin, Mohd Hami Khairi Roslan dan Mohd Safarudin A Bakar yang membenam regu Ahmad Sufi Mohamed Hashim, Norshahruddin Mad Ghani dan Farhan Adam.

Manakala kemenangan kedua disumbangkan oleh Mohd Faiz Jalal, Mohd Fadzly Roslan dan Zulhafizazwan Roslan yang mengecewakan benteng Selangor yang dibarisi Noor Azman Abdul Hamid, Arif Ramli dan Mohd Putra Abd Ghani.



PAS ‘menikus’ dengan Ambiga, Bersih tapi boikot program anti murtad


Oleh FAUZI MOHD

Awal bulan lalu, Pesuruhjaya Pas Selangor menyatakan kepada umum berhubung pendirian Pas yang lebih mendahulukan politik berbanding pendedahan isu murtad oleh Bekas EXCO Selangor, Dato’ Dr. Hasan Ali.

Tidak lama selepas itu, kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu membuktikan pendirian parti itu adalah benar dan sahih, matlamat politik didahulukan dan ancaman akidah diketepikan.

Dalam kenyataan rasmi di sidang akhbar 5 April lalu, Mat Sabu telah menyatakan kesediaan Pas untuk mengembleng tenaga ahli dan penyokongnya bagi menjayakan demonstrasi Bersih 3.0 yang akan diadakan pada 28 April ini di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

“Saya menyeru ahli dan penyokong Pas dan Pakatan Rakyat turun beramai-ramai bagi menuntut pilihan raya yang bersih.

“Kita anggarkan kehadiran dalam setengah juta rakyat untuk menunjukkan kesungguhan rakyat hendakkan pilihan raya yang bersih dan adil,” kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Begitu pantas dan ‘menikus’ pemimpin Pas sebaik sahaja pertubuhan haram Bersih 3.0 mengumumkan perancangannya untuk mengadakan demonstrasi pilihanraya.

Jauh berbeza jika dibandingkan dengan sebuah NGO, Himpun kira-kira enam bulan lepas yang mengadakan perhimpunan aman anti murtad di Stadium Shah Alam, Selangor.

Usahkan kenyataan sokongan rasmi pimpinan tertinggi Pas, sedikit pun tiada galakan diberikan kepada penyokong dan ahli Pas untuk menyertai program tersebut sekalipun diketahui tujuannya ikhlas demi menyelamatkan akidah ummah.

“Presiden Pas telah menyatakan bahawa Pas tidak terlibat dalam Himpunan Sejuta Umat, oleh itu Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman mengarahkan semua ahli Pas di Selangor, agar tidak terlibat dalam himpunan tersebut,” kata kenyataan Setiausaha Pas Selangor, Mohd Khairuddin Othman pada 19 Oktober tahun lalu.


09 April 2012

Maidam kutip zakat RM17.9 juta

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) berjaya mengutip zakat sebanyak RM17.9 juta sejak awal tahun hingga hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Wan Harujan Sulaiman berkata, dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini (Januari – Mac) pihaknya mengutip zakat berjumlah RM16.7 juta.

“Dalam tempoh yang sama tahun lalu, kita hanya mengutip RM11.5 juta dan ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM5.2 juta berbaning tempoh yang sama tahun lalu,” katanya pada sidang media selepas menerima pembayaran zakat perniagaan dari Telekom Malaysia Berhad di pejabatnya petang ini.

Katanya, jabatan mensasarkan kutipan zakat RM100 juta tahun ini dan angka itu tidak mustahil dicapai berdasarkan kutipan semasa yang semakin meningkat setiap bulan berbanding tahun lalu sebanyak RM84 juta.

“Zakat pendapatan dan perniagaan menjadi teras utama meningkatkan jumlah kutipan atau 23 peratus diikuti zakat wang simpanan,” katanya.

Tambahnya, bagi mencapai sasaran berkenaan unit promosi Maidam telah bergerak ke pusat-pusat membeli belah , pasar-pasar malam, institusi kerajaan untuk potongan gaji serta syarikat-syarikat yang baru dan lama.

“Di samping mengingatkan umat Islam terhadap tanggung jawab membayar zakat sama ada zakat pendapatan atau perniagaan juga membuat penilaian dan penjelasan kaedah pembayaran yang boleh dibuat oleh orang ramai,” katanya.



Sementara itu, Syarikat Telekom Malaysia Berhad telah membuat bayaran zakat perniagaan berjumlah RM190,977 yang disampaikan Pengurus Besarnya, Encik Badrul Hisham Bahari kepada Haji Wan Harujan mewakili Maidam.




MB turun padang beri maklumat sahih

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said turun padang menemui rakyat di segenap tempat termasuk mengadakan majlis pertemuan bersama penjawat awam persekutuan dan negeri bagi menyampaikan sendiri maklumat yang sahih berkaitan dasar, rancangan dan pelaksanaan kerajaan negeri selama ini.



“Saya tidak menolak ada di kalangan penjawat awam sendiri yang begitu mudah terpengaruh dengan dakyah pembangkang, tohmahan, tuduhan dan terpaksa menemui mereka bagi menceritakan dasar, rancangan dan pelaksanaan melalui `first hand information’ daripada saya sendiri,” katanya.

Menteri Besar berkata, sebagai `front liner’ kepada pentadbiran kerajaan, penjawat awam perlu memahami dan mengetahui tindakan yang sepatutnya serta mengelak daripada sekadar mengandaikan dan menyebarkan maklumat palsu kepada orang ramai.

“Kita beritahu kepada rakyat apa yang sedang berlaku dan kerana itulah kita menayangkan video (merujuk video Runtuhnya Sebuah Empayar) bukan suatu hiburan, tetapi sebagai renungan bersama apakah nasib dan masa depan agama, bangsa dan negara kita,” katanya.

Selain itu, beliau juga tidak menafikan ada di kalangan penjawat awam yang bertindak dengan memberikan komen dan respon yang keterlaluan terhadap program yang dijalankan kerajaan negeri.

“Saya memerhatikan lenggang-lengguk penjawat awam, sama ada mereka menjalankan tanggungjawab diamanahkan dengan betul dan berdasarkan jawatan masing-masing atau pun menjadi `gunting dalam lipatan’ serta `api dalam sekam’,” katanya.

Pada masa yang sama, kerajaan negeri berdepan cabaran bagi `membangunkan minda’ masyarakat yang hanyut dan memberi gambaran sebenar apa yang sudah dilaksanakan kerajaan selama ini.

“Cabaran kerajaan untuk menyedarkan masyarakat mengenai apa yang kerajaan laksanakan. Ada pihak lain mengambil kesempatan untuk menidakkan kebenaran itu, menceritakan sebaliknya, memfitnah, membuat tohmahan dan menceritakan yang bukan-bukan, menyebabkan orang ramai terkeliru,” katanya.



Rakyat disaran usah bazir undi

Oleh: Suriati Ali

Rakyat negeri ini diminta tidak mensia-siakan undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dengan cara memilih kerajaan yang benar-benar berwibawa demi memastikan kesinambungan proses pembangunan di Terengganu.

Ketua Penerangan Umno Terengganu, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata perkara itu hanya dapat dicapai sekiranya kerajaan yang dipilih benar-benar berwibawa dan dipimpin oleh mereka yang berkebolehan serta berpengalaman.

“Sebab itu, kita perlukan sebuah kerajaan yang lebih memfokuskan kepada agenda rakyat dan kerajaan yang pandai serta bijak merancang sesuatu pelan berkesan dalam menjaga perihal pembangunan rakyat.

“Jika rakyat memilih dan mengundi mana-mana parti tidak pasti ke mana hala tuju dan hanya pandai menabur janji melalui manifesto `khayalan’ undi mereka dianggap membazir ,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, semua jentera parti Umno Terengganu terutama peringkat bahagian dan negeri sudah bersedia menghadapi PRU Ke-13 walaupun diadakan dalam tempoh terdekat.

“Pihak kami sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi demam PRU Ke -13 dengan menyusun semuanya termasuk daripada aspek gerak kerja peringkat cawangan, peti undi, DUN, bahagian dan negeri.

“Pihaknya sudah nampak persefahaman antara semua barisan kepimpinan sama ada peringkat bahagian mahupun negeri,” katanya.



Konsep turun padang mampu pikat hati rakyat

Oleh: Suriati Ali

Konsep turun padang yang dilaksanakan Umno Terengganu nyata membanggakan semua pihak kerana ia bukan saja mampu menambat hati rakyat, malah dapat memperjelaskan setiap perubahan dan dasar kerajaan kepada peringkat akar umbi.

Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Dato’ Yahya Khatib Mohamad, berkata pihaknya yakin pengetahuan rakyat mengenai pelaksanaan dan pelbagai kejayaan yang diraih Barisan Nasional (BN) di Terengganu, mendoorong mereka untuk terus menyokong Kerajaan BN.

Menurutnya, penjelasan mengenai kejayaan BN di ambil perhatian oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang ketika ini dikatakan cukup rancak melakukannya di seluruh negeri supaya rakyat tidak melupakan usaha BN untuk memastikan mereka mencapai kehidupan lebih baik.

“Kita ada buat penerangan melalui perhimpunan dan program dengan fakir miskin di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), Skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 dan sebagainya.

“Melalui program seumpama ini, Adun akan mendedahkan kejayaan Terengganu sehingga ke peringkat akar umbi,” katanya kepada Teganukita.
Katanya, pihak tidak menolak bahawa pembangkang sering tidak puas hati dan dengki dengan pelbagai kejayaaan yang diraih kerajaan BN hari ini.

“Bagaimanapun, kita tidak mengambil serius perkara itu, sebaliknya terus menjelaskan kepada rakyat untuk memastikan mereka menghargai sumbangan dan menilai kebaikan serta kejayaan BN.

“Pembangkang memang hobinya membangkang, apa saja yang dilaksanakan kerajaan walaupun mengetahui ianya untuk kebaikan semua rakyat, mereka tetap cemburu, iri hati, mengkritik selain menganggap membazir,” katanya.