Halaman

02 May 2012

Wajarkah pembangkang anti polis?

Oleh: Kamarudin Mat Akib

“Saban hari bila-bila waktu yang kritikal seperti Bersih ini (perhimpunan Bersih 3.0), saya sering terfikir apakah ini lambaian dan ciuman ayah untuk kali terakhir kerana ayah akan berdepan dengan makhluk-makhluk yang begitu bencikan tugas ayah,” demikian rintihan seorang anak polis yang disiarkan di dalam sebuah blog.

Seterusnya, anak anggota polis itu menulis “Apakah tugas anggota polis itu terlalu hina di mata puak pembangkang? Apakah selama ini rezeki yang ayah dan anggota polis dapat selama ini untuk menyara hidup anak isteri mereka adalah rezeki tidak halal semata-mata mereka bekerja untuk kerajaan yang dipilih oleh rakyat?”.

Berlinangan air mata penulis tatkala membaca baris demi baris artikel yang sarat dengan rintihan anak anggota polis berhubung penghinaan dan kekejaman yang terpaksa dihadapi pasukan polis selama ini.

Begitu perit nasib yang terpaksa dialami bukan saja oleh anggota polis, tetapi isteri, anak-anak dan kaum keluarga mereka turut menerima tempias akibat perbuatan segelintir warganegara yang ‘buta hati dan buta mata’ terhadap tugas dan tanggungjawab anggota polis.

Banyak sudah insiden pilu yang terpaksa dihadapi anggota polis sewaktu melaksanakan tugas mereka menjaga keamanan dan keselamatan negara.

Peristiwa anggota polis dipukul dan kereta polis diterbalikkan dalam rusuhan anjuran pembangkang sewaktu Perhimpunan Bersih 3.0 kelmarin, sekadar menambah bilangan kes polis dianiayai walaupun mereka tidak bersalah.

Seluruh rakyat negara ini amat sedih dengan peristiwa itu, apatah lagi mengenangkan nasib anggota polis serta ahli keluarga mereka yang saban waktu terpaksa berdepan dengan pelbagai kemungkinan akibat rusuhan yang dirancang parti pembangkang.

Rasa benci dan kemarahan orang ramai terhadap anggota polis seperti yang didedahkan anak anggota polis menerusi blog berkenaan, tercetus kerana perbuatan pemimpin pembangkang yang mengapi-apikannya dalam ceramah-ceramah mereka.

Boleh dikatakan dalam ceramah mereka, pemimpin pembangkang akan mengeluarkan perkataan seperti ‘anjing kerajaan’ , ‘barua’, ‘pencacai’ dan bermacam-macam gelaran buruk kepada polis.

Mereka mahu rakyat membenci kerajaan dan pada masa yang sama membuat tohmahan bahawa anggota polis menjadi ‘tali barut’ kerajaan.

Pemimpin pembangkang tidak ada isu yang jelas dan fakta sahih untuk memburuk-burukkan kerajaan, lalu mereka membuat fitnah dan mereka-reka cerita bagi menimbulkan rasa benci rakyat kepada kerajaan dan mengheret sekali polis dan pasukan keselamatan lain.

Sebagai warganegara yang masih berfikiran waras dan mampu menilai yang mana intan yang mana kaca, kita semua perlu bertindak dari sekarang sebelum keadaan bertambah buruk.

Jangan biarkan anggota polis, isteri, anak-anak dan kaum keluarga mereka dihina oleh puak pembangkang.

Sesungguhnya anggota polis terlalu banyak berjasa dalam mempertahankan keselematan negara dan mereka wajar mendapat penghormatan daripada semua pihak.




01 May 2012

Penduduk Manir sudah `celik', tolak Pas PRU13

Oleh: Aida Abd Rahman

Majoriti penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir sudah mula membuka mata untuk menghargai segala peranan dan sumbangan Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa memacu pembangunan selain menyediakan bantuan serta kemudahan di kawasan itu, malah ada diantara kemudahan yang tidak dilaksanakan di kawasan lain.



Sementelah DUN yang sudah lima penggal dimenangi Pas itu, Kerajaan BN tetap melengkapi kawasan yang dipantau Pegawai Pembangunan DUN Manir, Encik Yusof Awang Hitam dengan pelbagai kemudahan infrastruktur dan prasarana.


Sistem perhubungan jalan raya, jambatan mahupun kemudahan perparitan, longkang, dewan serbaguna, bekalan air dan elektrik yang serba lengkap tersedia buat kira-kira 25,000 penduduk melibatkan 3,600 unit rumah di sekitar kawasan itu.

“Tidak cukup dengan bantuan itu, kami mencari alternatif lain bagi membantu meringankan bebanan penduduk yang kebanyakannya hanya bekerja kampung termasuk mewujudkan Klinik Masyarakat (Yusof Awang Hitam) secara percuma sejak 2009 dan bantuan terbaru, Skim Insurans Pos 1Malaysia yang ditawarkan kepada semua penduduk tanpa mengira lapisan usia dan latar belakang politik.

"Kami tidak memilih bulu dalam menyediakan segala bantuan kerana kerajaan BN jelas bertanggungjawab, prihatin dan tiada pihak terpinggir. Kalau mereka tidak mengundi BN sekali pun, sekurang-kurangnya segala perlakuan mulia kita itu mudah-mudahan mendapat ganjaran di sisi Allah s.w.t,” katanya Encik Yusof kepada Teganukita, baru-baru ini.

Katanya, sehingga kini, sudah hampir 1,000 penduduk berusia antara 21 hingga 60 tahun mengisi borang untuk mencarum RM11 setahun menerusi Insurans Pos 1Malaysia bagi menyediakan perlindungan sebagaimana yang disyaratkan dalam polisi dengan tuntutan maksimum RM5,000 di mana sijil premium berkenaan akan diserahkan kepada peserta dalam tempoh terdekat.

Malah, kemudahan perubatan percuma yang ditawarkan Klinik `Pak Usop’ di Kampung Pulau Bahagia yang memerlukan peruntukan kira-kira RM20,000 sebulan itu kini beroperasi dua kali sebulan pada Sabtu pertengahan dan hujung bulan, berbanding hanya sebulan sekali sebelum ini.

"Setiap pesakit diberikan layanan sama rata oleh lebih 10 petugas dan pakar perubatan serta dibekalkan ubat-ubatan bagi mengubati pelbagai penyakit seperti demam, batuk, selsema, diabetes, jantung serta kencing tidak lawas.

"Pendek kata mereka tdak akan berhabis duit untuk ke klinik swasta, cukup dengan perkhidmatan yang tersedia di Klinik Pak Usop sahaja," katanya.

Selain pembangunan kemudahan prasarana menerusi pihak berkuasa tempatan sebanyak RM750,000 yang diperuntukkan kerajaan negeri tahun ini, penduduk juga terus diberikan `subsidi’ lain yang jelas membantu meringankan tanggungan termasuk bantuan cermin mata berharga RM250 seunit secara percuma.

"Kita meringankan bebanan dan membantu penduduk dalam segala aspek. Permohonan untuk mendapatkan setiap bantuan yang disediakan Kerajaan BN dan Umno tidak mengira waktu dan ketika.

"Malah, ramai juga orang Pas datang meminta pelbagai bantuan termasuk Bantuan Rankyat 1Malaysia, baiki rumah dan sebagainya. Semua kita layan dan kita percaya mereka sudah boleh menilai segala kebaikan dan nikmat pembangunan yang dibawa kerajaan hari ini, sekaligus menolak Pas pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti," katanya.




Promosi pakej candat sotong Terengganu ke peringkat global

Oleh FAUZI MOHD

Aktiviti mencandat sotong di perairan negeri ini melalui pakej terancang akan dipromosikan ke peringkat antarabangsa sempena Tahun Melawat Terengganu 2013.

Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) Terengganu, Mohd. Nasir Kushairi berkata, aktiviti menarik yang menyajikan pengalaman unik itu tidak seharusnya disia-siakan untuk menarik pelancong.

"Aktiviti tersebut akan dipromosikan di semua 44 pejabat Tourism Malaysia di seluruh dunia sebagai salah satu tarikan ke Malaysia khususnya Terengganu.

"Mencandat sotong merupakan satu aktiviti yang unik dan hanya boleh dilakukan pada musim tertentu iaitu pada April hingga pertengahan Jun setiap tahun," katanya.

Beliau berkata demikian sempena majlis ramah mesra bersama media dan meraikan Kelab Rekreasi Tourism Malaysia 'Jom Gi Candat 2012' di Hotel Seri Malaysia Marang baru-baru ini.

Sehubungan itu katanya, Tourism Malaysia Terengganu akan bekerjasama dengan agensi pelancongan, pengusaha bot dan hotel bagi menyediakan pakej yang menarik.

Katanya, beberapa siri perbincangan dan pertemuan dengan agensi yang berkaitan sudah dilakukan untuk memastikan pakej yang disediakan selaras dari segi kemudahan, keselesaan dan kadar harga.

Nasir berkata, sebagai contoh pada masa ini kadar sewa bot yang ditetapkan oleh tekong bot adalah berbeza dan ia boleh mengelirukan pelancong terutama yang pertama kali menyertai aktiviti tersebut.

Beliau berkata, dengan adanya penyelarasan itu aktiviti mencandat sotong dapat dipromosikan dengan sempurna yang diharapkan ia akan menjadi aktiviti terunggul di negeri ini setaraf dengan Piala Monsun dan kejohanan kuda lasak.



PRU 13 - Polis Terengganu bersiap sedia

Oleh FAUZI MOHD

Polis negeri ini telah bersiap sedia bagi mengawal ketenteraman perjalanan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Ketua Polis negeri, Dato' Jamshah Mustapa memberitahu, persiapan sudah dilakukan sejak awal tahun ini melibatkan 3,150 anggota dengan beberapa siri kursus dan latihan berkaitan.

Katanya, pihaknya sudah membuat kajian mengenai beberapa lokasi panas yang dijangka memerlukan lebih pengawasan bagi mengelak sebarang insiden tidak diingin sepanjang proses pilihan raya nanti.

"Antara penekanan yang diberikan adalah terhadap anggota dan pegawai baru yang belum pernah bertugas pada pilihan raya sebelum ini," katanya.

Beliau ditemui ketika melawat anggota polis Trafik Dungun, Sarjan Mazlan Idris, 54, yang cedera dalam kemalangan di Kilometer 18 Jalan Bukit Besi Dungun, di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, kelmarin.

Dalam pada itu, menurut Dato' Jamshah, persiapan daripada segi logistik juga sudah dilakukan dan pihaknya sudah membuat penilaian dan sudah menghantar permohonan ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

"Kita difahamkan akan mendapat kesemua keperluan itu sedikit masa lagi," katanya.

Sementara itu, mengenai cuti kakitangannya menghadapi PRU nanti, pihaknya belum mendapat sebarang arahan untuk membekukan cuti mereka setakat ini.



Basmi ponteng sekolah secara intensif, libat pelbagai agensi

Oleh: Aida Abd Rahman

Usaha menyedarkan pelajar terhadap salah laku ponteng sekolah dilaksanakan secara intensif melibatkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), polis dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Terbaru, seramai 63 pelajar ditahan dalam operasi Gerak Gempur Basmi Pelajar Ponteng Sekolah peringkat negeri Terengganu yang dilancarkan Isnin lalu.



Operasi yang bermula pukul 8 pagi dan berakhir sekitar pukul 12 tengah hari Isnin mendapat kerjasama

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Haji Zakaria Hussin berkata kesemua pelajar yang ditahan akan diberikan sesi kaunseling sebagai peringatan sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing.

"JPNT mengarahkan supaya pihak sekolah mengambil tindakan disiplin ke atas pelajar terlibat termasuk sesi kaunseling berhubung kepentingan pendidikan kepada mereka dan kesan salah laku disiplin itu kepada diri sendiri," katanya.

Daripada kesemua pelajar yang ditahan, seramai 30 dari Kemaman, tujuh Hulu Terengganu, Marang (empat pelajar) dan 22 pelajar di Kuala Terengganu.






Hapus cukai pintu, Pas sekadar `meludah ke langit'

Oleh: Aida Abd Rahman

Ibarat meludah ke langit, muka sendiri juga yang basah. Demikian sikap pemimpin Pas yang kini sedang ghairah `mencipta’ manifesto yang langsung tidak masuk akal demi menambat hati pengundi supaya memihak kepada mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.

Walhal setiap `manifesto ciptaan' mereka pernah gagal diterjemahkan ketika mereka menawan Terengganu suatu masa dulu (1999-2004), khususnya dalam isu memansuhkan cukai pintu kepada penduduk Terengganu.

“Antara lain janji awal PRU 13, jika Pas menang, cukai pintu dihapuskan. Itu suatu pembohongan.Rakyat terkeliru dan keadaan itu boleh diibaratkan `mati semut kerana gula’,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.


Menurutnya, Perlembagaan Persekutuan jelas menyebut bahawa mana-mana enakmen yang diluluskan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang didapati bercanggah dengan akta di peringkat Parlimen automatik enakmen berkenaan akan gugur.

“Ini bermakna mengikut Enakmen peringkat DUN, walaupun Pas memenangi dan memerintah Terengganu mereka sama sekali tidak boleh menghapuskan cukai pintu.

“Sebab ia tidak boleh diluluskan di DUN bagi menghapuskan cukai pintu di bawah Akta 131 kerana bercanggah dengan akta di peringkat Parlimen,” katanya.

Malah, ketika memerintah Terengganu dahulu, Pas bertindak membiarkan sahaja cukai pintu bertambun-tambun di pejabat tanah dan daerah tanpa menghantarnya kepada penduduk.

Kesannya, tanpa sumber pendapatan yang mencukupi mengakibatkan kerajaan Pas ketika itu gagal membayar elaun lebih masa kepada kakitangannya yang bertugas selepas waktu pejabat terutama bagi membersih sampah-sarap di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masing-masing.

“ Apabila ini berlaku, kerajaan tiada duit menyebabkan sampah bertambun , cukai pintu tidak dibayar. Malah, kakitangan majlis (PBT) tidak dibayar `OT’, diganti pula dengan cuti. Itulah akibatnya,” katanya.

Demikian janji awal Pas dan pernah dilontarkan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Haji Mohd Abdul Wahid Endut, yang menegaskan 'ikrarnya' akan terus membantu rakyat sekiranya diberi mandat selepas PRU 13 nanti termasuklah meneruskan dasar pengecualian cukai pintu rumah kediaman.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu mengesyorkan, kepada mana-mana warga bandar tidak perlu membayar cukai pintu sekarang dan tunggu sehingga Pas memenangi PRU itu sedangkan sejarah lalu membuktikan dasar yang dibuat itu `memakan’ diri sendiri.








Biar rumah cat hijau, tetapi undi BN

Oleh: Kamarudin Mat Akib

“Orang Pas rumah dia cat hijau, bukan rumah je, sampai ke jamban pun cat hijau. Kereta buruk gogek-gogek tengah jalan pun pun cat hijau. Kuatnya Pas, tapi kalu pemimpin Pas, ada rumah dia cat hijau? Kereta cat hijau? Orang Pas ni padan kena kecek ke pemimpin je,” begitu sinis sindiran Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, kepada penyokong Pas setiap kali beliau berucap di kebanyakan majlis di seluruh negeri.

Sindiran Menteri Besar itu memang tepat kerana hakikatnya, di kawasan tertentu yang dikatakan kubu Pas, memang banyak rumah dicat dengan warna hijau.

Ada juga rumah sampai atap pun hijau, mungkin penyokong kuat Pas agaknya.

Bagi mengimbangi keadaan itu, Dato’ Seri Haji Ahmad memperkenalkan Program Bantuan Atap Biru sejak 2008 di mana rumah rakyat yang bocor digantikan dengan atap baru, berupa asbestos yang dicat dengan warna biru.

Sejak tahun 2008 hingga 2011 kerajaan negeri membelanjakan RM54,4 juta bagi membiayai program menggantikan rumah rakyat yang atapnya bocor berjumlah 10,880 buah rumah di seluruh negeri.

Dalam tempoh yang sama, kerajaan membelanjakan kira-kira RM16.12 juta bagi membaiki 1,728 rumah yang uzur manakala sejumlah RM43.2 juta digunakan bagi membina 1,600 rumah baru bagi golongan termiskin.
.
Penduduk kampung yang rumah mereka bocor sebelum ini, pastinya boleh tidur nyenyak selepas atap rumah mereka diganti baru.

Seperti bantuan lain, sebahagian daripada mereka yang menerima bantuan atap rumah atau membaiki rumah merupakan penyokong Pas.

Kata orang tua-tua, orang berbudi, kita berbahasa. Orang memberi kita merasa. Sepatutnyalah budi pemimpin BN mengadakan pelbagai kemudahan kepada mereka itu dibalas dengan baik, bukannya dibalas dengan tuba.

Dalam hal ini, seruan Menteri Besar amat wajar disahut oleh rakyat Terengganu. “Kita dah beri macam-macam kepada rakyat. Kerajaan tak minta apa-apa daripada rakyat. Cuma satu kita mitak. Undilah BN bila tiba pilihan raya,”.

Kita harap pada PRU 13 ini, biarlah rumah mereka cat hijau, tetapi undi tetap BN.





Tindakan tegas jika didapati sertai Bersih

Oleh: Suriati Ali

Penjawat awam di Terengganu bakal dikenakan tindakan tatatertib atau dibuang kerja sekiranya didapati mengikuti Perhimpunan Haram Bersih 3.0 di Dataran Merdeka Kuala Lumpur, pada 28 April lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said (gambar kiri), berkata dia kini sedang menunggu laporan daripada pihak berkaitan mengenai perkara itu. jika terdapat mana-mana penjawat awam yang menyertai, tindakan tegas bakal dikenakan.

Katanya, dia kesal dengan tindakan penganjur dan perhimpunan itu tidak sepatutnya berlaku di negara kita yang sememangnya mengamalkan sistem demokrasi.

“Perhimpunan itu lebih cenderung kepada gimik politik, kepentingan peribadi dan bukannya untuk menyelesaikan tuntutan seperti yang mereka kehendaki.

“Pihak kami mengakui demontrasi turut berlaku di luar negara, tetapi mereka tidak merosakkan harta benda awam dan mencederakan anggota polis yang bertugas,” katanya.

Menurutnya, berlainan di Malaysia, mereka yang menyertai demontrasi bertindak di luar dugaan, hingga menakutkan banyak pihak.

“Jika pelabur tidak berani masuk ke Malaysia, siapa yang rugi, kita orang Melayu juga yang rugi. Saya sedih dan kesal kerana mereka tidak fikir kesannya sehingga sanggup mangadai maruah negara sendiri,” katanya.

Keharmonian hidup rakyat dan tahap perpaduan yang sudah sekian lama diamalkan rakyat negara ini tercalar dengan adanya demontrasi jalanan anjuran pembangkang menerusi perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara Sabtu lalu.




Pendaratan 46 penyu agar hasilkan 4,000 biji telur

Oleh: Aida Abd Rahman

Sebanyak 46 Penyu Agar didapati mendarat dan bertelur di kawasan Pusat Santuari Penyu Ma'Daerah dan sekitarnya di Kerteh serta menghasilkan kira-kira 4,000 biji telur bagi tempoh Januari hingga pertengahan April tahun ini.

Pengarah Perikanan Terengganu, Encik Abdul Khalil Abdul Karim berkata dari jumlah itu, sebanyak 10 sarang ditemui di kawasan Pusat Santuari Penyu Ma'Daerah yang menghasilkan telur tabung sekitar 1,000 biji manakala 36 sarang lagi ditemui di sekitar kawasan pantai berkenaan dengan menghasilkan telur sebanyak kira-kira 3,000 biji.


"Kesemua telur penyu berkenaan telah diramkan di pusat berkenaan termasuk sebanyak 3,000 biji yang dibeli dengan harga RM2.50 sebiji daripada pemajak yang dibiayai oleh Tabung Pelindungan Hidupan Luar Dunia (WWF)," katanya di program gotong-royong membersih Pantai Santuari Penyu Ma'Daerah, Kerteh, baru-baru ini.

Program yang bertemakan 'Cakna Penyu Sokmo' itu disertai kira-kira 300 peserta daripada Jawatankuasa Kerja Ma'Daerah yang terdiri daripada Jabatan Perikanan, BP Petronas dan WWF Malaysia untuk membersihkan kawasan pendaratan penyu itu yang telah diwartakan sejak Januari 2007.






Pertahan kedudukan, jangan 'cah keting' - MB


Oleh FAUZI MOHD
Gambar oleh Zulkipli Putra.

UMNO mampu merampas beberapa kerusi yang kalah dan mengekalkan kedudukan di kawasan sedia ada di Terengganu jika pemimpin parti itu mampu mengelakkan budaya 'cah keting' pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said berkata, kegagalan UMNO mempertahankan kedudukan berkenaan bukan kerana parti itu tidak kuat, tetapi disebabkan penularan budaya cah keting di kalangan pemimpin dan ahlinya.



Pas ujarnya, tidaklah sehebat mana tetapi disebabkan tindakan sabotaj sebilangan pemimpin dan ahli UMNO sendiri setiap kali pilihan raya menjadi punca UMNO tersungkur.

"Tindakan pemimpin dan ahli UMNO yang terus mengamalkan budaya tersebut pada setiap kali pilihan raya umum bukan sahaja merugikan, malah turut boleh mengancam perjuangan parti.

"Siapa calon yang diletakkan pada pilihan raya nanti harus diberikan sokongan penuh bukannya dengan bertindak mengkhianati mereka," katanya pada majlis makan malam Kejohanan Golf Piala Menteri Besar Terengganu di Awana Kijal, Kemaman malam tadi.