Halaman

01 May 2012

Tindakan tegas jika didapati sertai Bersih

Oleh: Suriati Ali

Penjawat awam di Terengganu bakal dikenakan tindakan tatatertib atau dibuang kerja sekiranya didapati mengikuti Perhimpunan Haram Bersih 3.0 di Dataran Merdeka Kuala Lumpur, pada 28 April lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said (gambar kiri), berkata dia kini sedang menunggu laporan daripada pihak berkaitan mengenai perkara itu. jika terdapat mana-mana penjawat awam yang menyertai, tindakan tegas bakal dikenakan.

Katanya, dia kesal dengan tindakan penganjur dan perhimpunan itu tidak sepatutnya berlaku di negara kita yang sememangnya mengamalkan sistem demokrasi.

“Perhimpunan itu lebih cenderung kepada gimik politik, kepentingan peribadi dan bukannya untuk menyelesaikan tuntutan seperti yang mereka kehendaki.

“Pihak kami mengakui demontrasi turut berlaku di luar negara, tetapi mereka tidak merosakkan harta benda awam dan mencederakan anggota polis yang bertugas,” katanya.

Menurutnya, berlainan di Malaysia, mereka yang menyertai demontrasi bertindak di luar dugaan, hingga menakutkan banyak pihak.

“Jika pelabur tidak berani masuk ke Malaysia, siapa yang rugi, kita orang Melayu juga yang rugi. Saya sedih dan kesal kerana mereka tidak fikir kesannya sehingga sanggup mangadai maruah negara sendiri,” katanya.

Keharmonian hidup rakyat dan tahap perpaduan yang sudah sekian lama diamalkan rakyat negara ini tercalar dengan adanya demontrasi jalanan anjuran pembangkang menerusi perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara Sabtu lalu.