Halaman
01 May 2012
IPG Sultan Mizan, Besut Juara Debat Perpaduan
Oleh: Mohammad Ishak
Institut Pendidikan Guru (IPG) Sultan Mizan , Besut mencatat sejarah apabila muncul Juara Debat Perpaduan selepas mengalahkan pasukan Kampus Temenggong Ibrahim, Johor, yang berakhir di Kampus IPG berkenaan semalam.
Debat anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia itu disertai 26 IPG dari seluruh negara dan julong kali diadakan di negara ini.
Bertemakan “Integrasi Nasional Teras Transformasi Pendidikan” debat itu bertujuan melahirkan guru yang berkemahiran tinggi dalam ilmu komunikasi dan interaksi. IPG Sultan Mizan selaku tuan rumah menampilkan empat juru debat iaitu Muhamad Asraf Alpandi,Madihah Mohd Fakhirudin,Azhar Husin dan seorang peserta Cina, Tan Chan Yee.
Malah, pesertanya Tan Chan Yee, berasal dari Pulau Pinang turut mencipta nama kepada IPG berkenaan apabila muncul juru debat terbaik pada pertandingan akhir itu.
Rektor IPGM Kementerian Pelajaran Malaysia,Datuk Dr Haili Dolhan merasmikan upacara penutup debat berkenaan dan menyampaikan hadiah kepada pasukan dan peserta yang berjaya.
Hadir sama Ketua Pengarah JPNIN, Datuk Azman Amin Hassan,Pengarah Jabatan Pelajaran Terengganu,Zakaria Hussin dan Pengarah Sektor Hal Ehwal Pelajar dan Hubungan Luar IPGM Latifah
Mahmud. Dr Haili berkata, program debat berkenaan mampu melahirkan kelompok guru yang mampu mencetuskan idea spontan dalam berkomunikasi dan ia perlu diterapkan bagi berhadapan dengan masyarakat dan pelajar.