Halaman

30 April 2012

Konschak, Chelsea juara Swimathon Kapas-Marang

 Peserta memulakan renangan dari Pulau Kapas ke Pantai Kelulut Marang dalam Kejohanan Swimathon Antarabangsa Kapas-Marang 2012. - Gambar oleh Mohd Yahya Muda.

Oleh FAUZI MOHD

Benjamin Konschak dan Chelsea Chong Xuet Yi masing-masing dinobatkan juara lelaki dan wanita Kejohanan Swimathon Antarabangsa Kapas-Marang 2012 di Pantai Kelulut, Marang semalam.

Konschak, 25, dari Frankfurt, Jerman, berjaya menamatkan saingan sejauh 6.5 kilometer dengan masa 1 jam 28 minit 6 saat manakala Chelsea, 15, dari Kuala Lumpur dengan masa 1 jam 36 minit 30 saat.

Juara kejohanan itu maing-masing menerima hadiah wang tunai RM1,000.



Peserta lelaki negara, Mohamad Zaim Teh Mohd. Sabri terpaksa berpuas hati di tempat kedua apabila ketinggalan empat minit 28 saat di belakang pendahulu dan peserta Australia, Manfred Mahrie di tempat ketiga.

Manakala Irene Chong dan Lai Mei Juah dari Malaysia masing-masing mendapat tempat kedua dan ketiga dalam kategori wanita.

Hadir menyampaikan hadiah kepada para pemenang, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan , Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said.

Lebih 412 peserta daripada 17 negara termasuk Malaysia mengambil bahagian dalam 10 kategori yang dipertandingkan dengan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM43,900.


 Kejohanan edisi ke-12 itu dianjurkan sempena kempen Tahun Melawat Terengganu 2013 menarik penyertaan dari pelbagai negara termasuklah Australia, Austria, Belgium, Britain, Jerman, Hong Kong, Iran, Japan dan New Zealand.