Oleh FAUZI MOHD
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA
Kejohanan Perahu Layar Antarabangsa Piala Monsun yang diadakan sejak tujuh tahun di Pulau Duyung ternyata kekal menjadi acara pelayaran terbaik selepas berjaya menarik lebih 900 juta penonton di seluruh dunia yang menyaksikan liputan siarannya di 176 negara.
Penganjuran oleh T-best Events Sdn. Bhd. (T-best) mencatatkan peningkatan dalam Nilai Media Kasar sebanyak 60.3 peratus berbanding tahun 2010 dengan nilai RM896.5 juta yang mana liputan media online merupakan penyumbang tertinggi selepas televisyen, percetakan dan radio.
Presiden T-Best, Tan Sri Sabbaruddin Chik berkata, penganjuran kejohanan kapal layar itu juga berjaya menarik sebanyak 156,624 orang pengunjung merangkumi jumlah yang hadir di sepanjang Piala Monsun dan Karnival Monsun yang telah dianjur di semua daerah sebagai usaha mempromosi kejohanan itu.
Katanya, kejohanan itu turut memainkan peranan penting dalam menjana pembangunan ekonomi di negeri itu terutamanya penduduk setempat apabila mencatat peningkatan kadar penginapan, perusahaan dan peniaga kecil-kecilan sekurang-kurangnya 50 peratus berbanding tahun sebelumnya.
"Ini terbukti apabila jumlah perbelanjaan bagi pengunjung tahun lalu mencecah RM16.2 juta merangkumi perbelanjaan penginapan hotel, beli-belah, makanan dan minuman, pengangkutan, penerbangan domestik, lawatan ke destinasi pelancongan serta perbelanjaan pengunjung ke Karnival Monsun di tujuh buah daerah.
"Selain itu, penganjuran itu juga turut memberi peluang pekerjaan kepada seramai 1,753 orang kakitangan termasuk kontraktor, pekerja sementara, pekerja pembersihan dan sebagainya dalam melicinkan acara itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penghargaan dan pengumuman KPI Piala Monsun di Ri-Yaz Heritage Resort dan Spa, Pulau Duyong semalam.
Kata beliau, ia jelas membuktikan penganjuran acara antarabangsa itu mempunyai kapasiti untuk menjadi penjana pendapatan bagi ekonomi negeri itu malah negara.