Halaman

29 April 2012

Anak peneroka sertai Kompeni Askar Wataniah Felda


Oleh: Nurul Aziela Saberi
Gambar oleh Nurul Aziela Saberi

Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) mensasarkan untuk mengambil 1,000 anak peneroka dari 317 tanah rancangan Felda seluruh negara untuk menganggotai Kompeni Askar Wataniah Felda untuk sesi tahun ini.

Pengerusinya, Brigedier Jeneral (Kehormat) Tan Sri Rozali Ismail berkata, daripada jumlah berkenaan seramai 138 anggota telah diambil daripada Felda gugusan Kerteh.

Menurutnya, sambutan yang diterima daripada anak peneroka di Kerteh amat menggalakkan apabila ramai yang beratur semasa sesi pengambilan yang diadakan sempena pelancaran Kompeni Askar Wataniah Felda Wilayah Terengganu.

“Kita akan tambah keahlian secara berterusan dan berperingkat. Paling mustahak, anak-anak peneroka yang menjadi askar wataniah ini akan bergabung dengan Ikatan Relawan Malaysia (Rela), polis dan sukarelawan lain untuk memastikan keamanan negara terpelihara.

“Dengan penyertaan dalam Kompeni Askar Wataniah Felda ini juga, anak peneroka dapat bersama-sama mencegah jenayah termasuk kes dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kompeni Askar Wataniah Felda Wilayah Terengganu yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketengah Jaya.


Majlis pelancaran disempurnakan Panglima Medan Tentera Darat, Lefternan Jeneral Datuk Zulkiple Kasim. Hadir sama, Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Azizzaan Md Delin dan Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Mohamad Zaki Hamzah.

Perlancaran Kompeni Askar Wataniah Felda bagi Wilayah Terengganu adalah yang ketiga di di negara ini selepas pelancaran sama dilakukan di Pahang dan Johor.

Datuk Zulkiple berkata, pelancaran di setiap negeri merupakan kesinambungan hasrat Perdana Menteri yang mahukan pelancarannya diadakan di kesemua 11 buah wilayah Felda di seluruh negara.

Menurutnya, antara objektif penubuhan Kompeni Askar Wataniah Felda ialah memberi kesedaran kepada masyarakat Felda mengenai kepentingan keselamatan dan pertahanan negara serta mengeratkan silaturahim antara warga Felda, Rejimen Askar Wataniah dan GWGF sebagai satu wasilah yang memperjuangkan nasib generasi baru Felda.