Halaman

03 May 2012

Optimis kekal juara Sukma Pahang

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said optimis skuad Terengganu mampu meraih sekurang-kurangnya 45 pingat emas dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-15 Pahang Julai ini.

Beliau mengulas demikian ketika sesi wawancara khas bersama Unit Berita Sukan RTM, semalam (2 Mei).

Menurutnya sasaran 45 pingat itu merupakan penguasaan 70 peratus pingat keseluruhan yang dipertandingkan di Sukma itu kelak.

“Kalau dapat 45 pingat emas, Insya-Allah kita akan jadi juara buat kali keempat beturut-turut. Macam tahun lepas kita berjaya tepati sasaran pingat dan Alhamdulillah kita muncul juara,” katanya.

Selain itu, beliau turut menasihatkan semua atlet supaya mempersiapkan diri dengan rapi, menjalani latihan secara intensif dan teratur menerusi jurulatih masing-masing, selain meningkatkan disiplin diri.

“Di samping itu, setiap atlet perlu menanam semangat juang yang tinggi untuk mempertingkatkan penguasaan dalam acara mereka dengan penguasaan secara berperingkat-peringkat.

“Kita tidak mahu, mereka naik mendadak dan mudah jatuh semula dan kita mahu mereka naik di kemuncaknya pada masa-masa yang sesuai,” katanya.

Dalam Sukma Ke-14 Kuala Lumpur pada 2 hingga 12 Jun tahun lalu, Terengganu meraih 30 pingat emas, lapan perak dan 12 gangsa untuk mengekalkan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut.

Sementara itu, Kontinjen Terengganu bakal menyertai 24 acara sukan yang menawarkan 1,179 pingat iaitu masing-masing 348 pingat emas dan perak manakala selebihnya gangsa.

Temasya itu juga mempertandingkan 18 sukan wajib seperti olahraga, menembak, pencak silat, tenpin boling dan skuasy. Manakala lima sukan pilihan pula adalah tinju, golf, petanque, bola tampar dan ekuestrian.