Halaman

01 May 2012

PRU 13 - Polis Terengganu bersiap sedia

Oleh FAUZI MOHD

Polis negeri ini telah bersiap sedia bagi mengawal ketenteraman perjalanan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Ketua Polis negeri, Dato' Jamshah Mustapa memberitahu, persiapan sudah dilakukan sejak awal tahun ini melibatkan 3,150 anggota dengan beberapa siri kursus dan latihan berkaitan.

Katanya, pihaknya sudah membuat kajian mengenai beberapa lokasi panas yang dijangka memerlukan lebih pengawasan bagi mengelak sebarang insiden tidak diingin sepanjang proses pilihan raya nanti.

"Antara penekanan yang diberikan adalah terhadap anggota dan pegawai baru yang belum pernah bertugas pada pilihan raya sebelum ini," katanya.

Beliau ditemui ketika melawat anggota polis Trafik Dungun, Sarjan Mazlan Idris, 54, yang cedera dalam kemalangan di Kilometer 18 Jalan Bukit Besi Dungun, di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, kelmarin.

Dalam pada itu, menurut Dato' Jamshah, persiapan daripada segi logistik juga sudah dilakukan dan pihaknya sudah membuat penilaian dan sudah menghantar permohonan ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

"Kita difahamkan akan mendapat kesemua keperluan itu sedikit masa lagi," katanya.

Sementara itu, mengenai cuti kakitangannya menghadapi PRU nanti, pihaknya belum mendapat sebarang arahan untuk membekukan cuti mereka setakat ini.