Halaman

30 April 2012

Perhimpunan Bersih yang tidak bersih

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Seperti yang dijangka Perhimpunan haram Bersih 3.0 di Dataran Merdeka Kuala Lumpur, kelmarin, menyaksikan keganasan serta keadaan huru hara yang menakutkan banyak pihak.



Perhimpunan yang mendapat bantahan banyak pihak itu menyebabkan ramai yang cedera dan kerosakan harta benda serta tidak kurang pula yang menanggung kerugian akibat peristiwa itu.



Disebabkan rusuhan itu, peniaga tidak boleh berniaga manakala orang ramai yang mahu menjalankan urusan di sekitar kawasan tersebut terpaksa menangguhkan kerja-kerja mereka.

Inilah akibat dan kerugian yang terpaksa ditanggung banyak pihak, bukan saja kerajaan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), tetapi juga rakyat, terutama peniaga di kawasan terbabit.

Itu gambaran langsung yang kita boleh lihat hasil sikap keras kepala pihak penganjur Perhimpunan Bersih 3.0 yang didalangi parti-parti pembangkang, meneruskan himpunan itu walaupun ditentang oleh pihak berkuasa.

Mungkin tidak ramai yang terfikir akibat tidak langsung dari kejadian itu yang turut mendapat liputan meluas dalam pelbagai saluran media massa di luar negara.

Gambaran yang dibuat media asing, pastinya berlaku rusuhan di Malaysia menyebabkan warga asing berpendapat negara ini bukan lagi tempat selamat untuk melancong, sekaligus merugikan rakyat dan negara.

Bagi pelabur asing pula mereka terpaksa berfikir banyak kali untuk melabur di negara ini kerana khuatir pelaburan mereka akan terjejas disebabkan rusuhan seumpama itu.

Justeru itu, sebagai rakyat yang berfikiran waras, kita perlu menolak pihak-pihak yang cuba mempengaruhi rakyat mengadakan perhimpunan haram, demonstrasi dan tujuk perasaan seperti Bersih 3.0.

Pemimpin pembangkang dan parti-parti pembangkang seperti DAP dan Pas yang terlibat secara langsung dalam Perhimpunan Bersih 3.0 tidak layak disokong, sebaliknya mereka perlu disingkirkan dari arena politik negara.

Sebagai rakyat yang bermaruah, kita semua perlu menolak mereka dan jangan biarkan pemimpin seperti Anwar Ibrahim menduduki kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri pada Pilihan Raya Umum ke-13.