Halaman

03 May 2012

Bersih 3.0 imej ‘kerajaan impian’ Pakatan Rakyat – Dr. M

Oleh FAUZI MOHD

Keganasan yang berlaku pada perhimpunan haram Bersih 3.0 baru-baru ini mencerminkan sikap sebenar pembangkang yang tidak senang melihat keamanan dan kesejahteraan yang dikecapi negara selama ini.



Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sikap agresif peserta perhimpunan yang bertindak ganas itu jelas menunjukkan acuan yang bakal digunakan pembangkang sekiranya berjaya mentadbir negara kelak.

Katanya, penganjur dan pembangkang melaung-laungkan perhimpunan itu sebagai aman namun, sikap yang ditonjolkan adalah sebaliknya apabila mereka menyerang, membaling, memecah dan menterbalikkan kereta peronda polis.

"Kejadian itu jelas menunjukkan keadaan negara jika parti pembangkang menjadi pemerintah kerana mereka sudah menunjukkan imej ‘kerajaan impian’ yang mahu mereka bangunkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Program Bicara Negarawan Bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu hari ini.



Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said; Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah.

Mengenai penglibatan golongan muda dalam perhimpunan itu, Dr. Mahathir menambah, golongan berkenaan sebenarnya telah lupa pada sejarah.

"Mereka lupa asal usul dan nikmat yang sedang dinikmati kini kerana Malaysia diiktiraf oleh dunia sebagai sebuah negara membangun yang termaju," katanya.

Selain itu, Dr. Mahathir juga tidak menolak objektif sebenar yang ingin ditunjukkan pembangkang dan penganjur Bersih 3.0 adalah perpecahan dalam kalangan masyarakat.

Katanya, dengan menunjukkan keadaan berpecah-belah itu akan membuka ruang kepada kuasa asing mencampuri urusan pentadbiran negara.

"Sekarang pun sudah ada campur tangan asing, namun, setakat ini penglibatan pihak luar hanya dengan menyalurkan dana kepada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Apabila negara tidak stabil, kuasa asing ini akan mengambil kesempatan dengan mendakwa kerajaan yang ada gagal mentadbir urus negara," jelasnya.

Justeru, bekas Perdana Menteri itu mengingatkan rakyat terutamanya orang Melayu supaya tidak termakan dengan janji-janji kosong sehingga menjadi 'keldai' yang akan memusnahkan negara.

"Jika semua itu terjadi, kita akan menerima nasib sama seperti negara-negara Arab yang tidak stabil kerana setiap bantuan diterima daripada pihak luar, pasti memerlukan pembalasan," ujarnya.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir turut menyeru para pengundi atas pagar supaya berfikir terlebih dahulu sebelum membuat pilihan agar tidak tersalah memilih kerajaan kerana ia mampu memberikan kesan buruk terhadap nasib sendiri di masa hadapan.