Bekas pemimpin yang disegani bukan saja di negara ini, tetapi di peringkat antarabangsa itu, akan menyampaikan ucaputama pada Program Bicara Negarawan Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad, di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Terengganu, kira-kira jam 10 pagi esok.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said bakal merasmikan program anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Terengganu Integrity & Strategic Studies Institute (T-ISSI) itu.
Tun Dr Mahathir dijadualkan menyampaikan ucapan dan syarahan bertajuk `Cabaran Umat Islam Masa Kini:Persepsi dan Realiti’ yang akan mengupas isu berkaitan secara lebih lanjut dengan bahasa yang menarik.
Kira-kira 5,000 orang dijangka hadir pada program ilmiah yang bakal berlangsung selama tiga jam itu bagi mendapatkan gambaran sebenar dan lebih dekat mengenai isu-isu politik semasa.
Orang ramai dijemput hadir dan mengemukakan soalan ketika sesi soal jawab, sebaik selesai ucapan Tun Dr Mahathir, bagi mendapatkan gambaran sebenar politik tanahair dari persepsi bekas Perdana Menteri itu.
Dr Mahathir memang terkenal dengan ucapan bernas kerana beliau sememangnya amat kaya dengan pengalaman dan cabaran sepanjang pentadbirannya memerintah negara.