Halaman

01 May 2012

Penduduk Manir sudah `celik', tolak Pas PRU13

Oleh: Aida Abd Rahman

Majoriti penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir sudah mula membuka mata untuk menghargai segala peranan dan sumbangan Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa memacu pembangunan selain menyediakan bantuan serta kemudahan di kawasan itu, malah ada diantara kemudahan yang tidak dilaksanakan di kawasan lain.



Sementelah DUN yang sudah lima penggal dimenangi Pas itu, Kerajaan BN tetap melengkapi kawasan yang dipantau Pegawai Pembangunan DUN Manir, Encik Yusof Awang Hitam dengan pelbagai kemudahan infrastruktur dan prasarana.


Sistem perhubungan jalan raya, jambatan mahupun kemudahan perparitan, longkang, dewan serbaguna, bekalan air dan elektrik yang serba lengkap tersedia buat kira-kira 25,000 penduduk melibatkan 3,600 unit rumah di sekitar kawasan itu.

“Tidak cukup dengan bantuan itu, kami mencari alternatif lain bagi membantu meringankan bebanan penduduk yang kebanyakannya hanya bekerja kampung termasuk mewujudkan Klinik Masyarakat (Yusof Awang Hitam) secara percuma sejak 2009 dan bantuan terbaru, Skim Insurans Pos 1Malaysia yang ditawarkan kepada semua penduduk tanpa mengira lapisan usia dan latar belakang politik.

"Kami tidak memilih bulu dalam menyediakan segala bantuan kerana kerajaan BN jelas bertanggungjawab, prihatin dan tiada pihak terpinggir. Kalau mereka tidak mengundi BN sekali pun, sekurang-kurangnya segala perlakuan mulia kita itu mudah-mudahan mendapat ganjaran di sisi Allah s.w.t,” katanya Encik Yusof kepada Teganukita, baru-baru ini.

Katanya, sehingga kini, sudah hampir 1,000 penduduk berusia antara 21 hingga 60 tahun mengisi borang untuk mencarum RM11 setahun menerusi Insurans Pos 1Malaysia bagi menyediakan perlindungan sebagaimana yang disyaratkan dalam polisi dengan tuntutan maksimum RM5,000 di mana sijil premium berkenaan akan diserahkan kepada peserta dalam tempoh terdekat.

Malah, kemudahan perubatan percuma yang ditawarkan Klinik `Pak Usop’ di Kampung Pulau Bahagia yang memerlukan peruntukan kira-kira RM20,000 sebulan itu kini beroperasi dua kali sebulan pada Sabtu pertengahan dan hujung bulan, berbanding hanya sebulan sekali sebelum ini.

"Setiap pesakit diberikan layanan sama rata oleh lebih 10 petugas dan pakar perubatan serta dibekalkan ubat-ubatan bagi mengubati pelbagai penyakit seperti demam, batuk, selsema, diabetes, jantung serta kencing tidak lawas.

"Pendek kata mereka tdak akan berhabis duit untuk ke klinik swasta, cukup dengan perkhidmatan yang tersedia di Klinik Pak Usop sahaja," katanya.

Selain pembangunan kemudahan prasarana menerusi pihak berkuasa tempatan sebanyak RM750,000 yang diperuntukkan kerajaan negeri tahun ini, penduduk juga terus diberikan `subsidi’ lain yang jelas membantu meringankan tanggungan termasuk bantuan cermin mata berharga RM250 seunit secara percuma.

"Kita meringankan bebanan dan membantu penduduk dalam segala aspek. Permohonan untuk mendapatkan setiap bantuan yang disediakan Kerajaan BN dan Umno tidak mengira waktu dan ketika.

"Malah, ramai juga orang Pas datang meminta pelbagai bantuan termasuk Bantuan Rankyat 1Malaysia, baiki rumah dan sebagainya. Semua kita layan dan kita percaya mereka sudah boleh menilai segala kebaikan dan nikmat pembangunan yang dibawa kerajaan hari ini, sekaligus menolak Pas pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti," katanya.