Halaman

30 April 2012

Program Bicara Bersama Tun Mahathir 3 Mei ini

Oleh: Aida Abd Rahman

Program Bicara Negarawan Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad akan diadakan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Terengganu, pada 3 Mei ini (Khamis) bermula jam 9 pagi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said bakal merasmikan program anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Terengganu Integrity & Strategic Studies Institute (T-ISSI) itu.

Ketua Pegawai Operasi T-ISSI, Haji Lukema Meri Salleh, berkata Tun Dr Mahathir bakal menyampaikan ucapan dan syarahan yang bertajuk `Cabaran Umat Islam Masa Kini : Persepsi dan Realiti’ yang akan mengupas isu berkaitan dengan lebih lanjut dan menarik.

Sehubungan itu, orang ramai dijemput ke program ilmiah yang bakal berlangsung sepanjang tiga jam itu bagi mendapatkan gambaran sebenar dan lebih dekat mengenai perkara yang menjadi isu penting masa kini yang bakal disampaikan pemimpin ulung negara nanti.

“Hadirin juga berpeluang mengetengahkan soalan ketika sesi soal jawab sebaik selesai ucapan Tun Dr Mahathir yang mungkin akan memberi dimensi baru kepada kita semua bagi menyiapkan diri berdepan dengan cabaran musuh-musuh Islam dari pelbagai sudut dalam era globalisasi ini.

“Sebagaimana yang kita ketahui, mutakhir ini umat Islam di seluruh dunia berdepan dengan pelbagai cabaran yang menguji keimanan, kepercayaan, pegangan dan krisis mereka terhadap Islam yang timbul sebagai isu yang hangat diperdebatkan oleh semua,” katanya.