Halaman

29 April 2012

Terengganu mahu kekal reputasi terbaik, Sukma Pahang tawar 1,179 pingat



Oleh FAUZI MOHD

Reputasi terbaik setelah berjaya mencatat hatrik kejuaraan Sukan Malaysia (Sukma) pada temasya yang lalu akan dipertahankan kontinjen Terengganu pada Sukma edisi ke-15 di Pahang, Julai depan.

Untuk rekod Terengganu berjaya mencatat hatrik kemenangan ketika menjadi tuan rumah Sukma ke-12 pada 2008, diikuti juara Sukma ke-13 di Melaka (2010) dan Sukma ke- 14 Kuala Lumpur tahun lalu.

Bagaimanapun, rekod kejuaraan itu mungkin sukar dikekalkan berikutan beberapa acara yang membantu Terengganu merangkul tempat pertama sebelum ini tidak lagi dikekalkan terutamanya sukan kanu yang banyak menyumbang pingat emas.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, YB. Rozi Mamat berkata, keadaan itu sedikit sebanyak boleh menjejaskan kedudukan Terengganu dalam usaha mengekalkan kejuaraan.

Pun begitu katanya, cabaran itu pasti digalas dengan sebaik mungkin dan kini persediaan sudah memasuki fasa terakhir yang mana Kerajaan Negeri akan memastikan kesemua atlet serta pegawai sudah bersedia dalam pelbagai apsek.

“Satu perkara mudah untuk kita menjadi juara, namun untuk mengekalkan kejuaraan itu kita memerlukan komitmen yang tinggi lebih-lebih lagi kita sudah mencipta hatrik kemenangan.

"Walaupun kecewa kerana acara kenu tidak diadakan pada Sukma kali ini, namun itu tidak akan mematahkan semangat kontinjen Terengganu dan menganggap ia adalah satu cabaran dalam meraih pingat emas tertinggi sepanjang kejohanan itu berlangsung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kunjungan Hormat dan Jemputan ke Kejohanan Sukma ke-15, Pahang di Wisma Darul Iman baru-baru ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pengarah Majlis Sukan Negeri, Zainal Abidin Hussin; Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Badan-badan NGO Pahang, Datuk Mohd Shafie Abdul Aziz ; Timbalan Ketua Eksekutif Sekretariat Sukma 15 Pahang, Rose Shamsul Abd Razak dan rombongan wakil ahli Sukma Pahang 2012.

Sementara itu, Rose Shamsul berkata, kejohanan Sukma di Pahang akan melibatkan tiga daerah utama iaitu Kuantan, Pekan dan Temerloh yang mana segala persiapan dari sudut pengurusan serta teknikal sudahpun siap sepenuhnya.

Menurutnya, untuk kejohanan kali ini sebanyak 24 acara akan dipertandingkan dengan menawarkan sebanyak 1,179 pingat iaitu masing-masing 348 pingat emas dan perak manakala selebihnya gangsa.

Ketika diminta mengulas acara kenu yang tidak dipertandingkan pada kejohanan kali ini, Rose Shamsul berkata, sukan kenu dan beberapa acara lain adalah bukan sukan pilihan yang mana 24 acara dipertandingkan itu adalah 19 acara wajib dengan lima daripadanya adalah acara pilihan penganjur.

"Jadi mana-mana negeri yang menjadi tuan rumah, mereka akan memilih lima acara pilihan itu yang boleh memberi sumbangan pingat paling banyak kepada tuan rumah.

“Bagi kita acara kenu ini agak kurang dalam kutipan pingat, maka kita memilih lima sukan ini yang boleh membantu kita mengutip pingat emas antaranya termasuklah golf, ekuestrian, petanque, tinju dan bola tampar,” katanya.